Salam. Hari ini 13 Nov, setelah 5 hari acara berlangsung baru terasa dapat bercerita untuk membentuk sebuah artikel. Mari... :]
Pagi Sabtu 8 Nov bersamaan 15 Muharram saya ke Masjid Sultan Alauddin Riayat Shah I di Kampung Raja, Pagoh, Muar untuk menghadiri dan menjayakan acara ke-11 HIKMAH.
Saya sampai sekitar jam 8.16, Suasana kelihatan sepi, sunyi...
Waktu yang diperuntukkan untuk peserta hadir adalah 8-9 pagi. Selepas itu harus dimulakan hol atau majlis memperingati kemangkatan Sultan Alauddin yang saya lihat adalah ke-550 menurut kiraan Hijriah. Sekitar 8.40 baru persekitaran kelihatan sedikit seperti ada acara. Ketika itu sudah muncul sejumlah peserta meninggalkan kereta dalam kawasan masjid.
Namun suasana masih terasa sepi, lengang. Sedikit yang sudah muncul membuat hal masing-masing termasuk menziarahi makam.
Untuk pengetahuan makam Sultan Alauddin merupakan satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih terpelihara di Malaysia. Makam Sultan Melaka lain telah dirosakkan Portugis ketika mereka masuk menjajah Kota Melaka tahun 1511 lalu kehilangan tanda. Yang tinggal cuma cerita-cerita lisan menyatakan makam ini milik sultan itu, makam itu milik sultan ini tetapi tiada tanda nyata untuk dijadikan bukti sahih kedudukan makam.
Hampir jam 9 baru kawasan masjid kelihatan hidup. Tetapi masih belum cukup orang untuk memulakan hol.
Imam masjid yang akan memimpin sesi pun masih belum kelihatan. Oleh kerana sarapan sudah siap terhidang, peserta diajak mengisi perut terlebih dahulu.
Kalau ikut rancangan asal, selepas sesi hol tamat jam 10 baru kita sarapan. Tetapi jam 9.30 baru terasa cukup orang untuk memulakan majlis.
Hadirin pun diminta datang ke khemah yang didirikan di hadapan makam.
Sekitar jam 9.34 gitu baru imam (namanya Haji Bajuri kalau tak salah ingatan).membuka kata-kata diikuti beberapa ayat. Kemudian kami membaca Surah Yassin beramai-ramai diikuti tahlil ringkas...
Pengerusi masjid Tuan Haji Hamzah Ali membacakan doa.
Tidak lama kemudian sesi hol pun tamat. Haji Hamzah yang lebih dikenali sebagai Cikgu Hamzah memberikan sedikit kata-kata aluan. Antara lain beliau menceritakan bagaimana Sultan Alauddin boleh mangkat di Pagoh yang terletak sekitar 60 km (kalau dibuat garis lurus, tidak mengikut liku-liku perjalanan sungai mahupun jalan raya) dari pusat pemerintahan kerajaan di Kota Melaka.
Sebagai presiden dan pengasas HIKMAH saya juga memberikan kata-kata aluan berupa arah tuju dan misi penubuhan HIKMAH diikuti bagaimana boleh timbul gerak untuk mengadakan acara di sekitar makam sultan. Tetapi saya tiada gambar sendiri bercakap. Cukuplah ditambah selepas itu peserta diajak sarapan lagi sementera menunggu sesi pembentangan tengah hari bermula, ikut jadual jam 11.
Ketika gambar ini diambil jam saya menunjukkan 10.35 pagi. Masih ada banyak masa untuk bersarapan atau berlegar-legar. Boleh buat apa sahaja yang kita suka sebelum pembentangan dimulakan dalam masjid. Boleh berziarah dan bergambar di makam sultan yang dinyatakan sebagai wali Allah yang terpilih asalkan tertib dan beradab...
Sambil itu ada yang seronok melihat barangan jualan, paling banyak buku-buku tentang agama dan sejarah sambil mendapat kenalan baru.
Assalammualaikum tuan Merah Silu. Alhamdulilah, akhirnya entri Program Hikmah ke-11 muncul juga, setelah menunggu-menunggu semenjak pulang dari program tempohari. Banyak pengetahuan yang ditimba, banyak pengalaman yang diraih dan ramai kenalan baru diperolehi. Malahan saya telah bertemu dengan rakan sekampus yang sudah 15 tahun terpisah. Bahkan yang paling manis dan terindah adalah dapat bertemu sua, dapat berjabat tangan malah dapat berbicara empat mata dengan para penulis buku yang selama ini hanya dapat menatap dan membaca karya-karya mereka sahaja termasuklah tuan Merah Silu sendiri. Syukur Ya Allah atas hajat yang tertunai dan terima kasih tuan Merah Silu atas usaha dan amal tuan, semoga beroleh keredhaanNya jua. Wassalam
ReplyDeleteWassalam. Alhamdulillah... :]
ReplyDelete