Salam. Melengkapkan gerak yang timbul setelah membaca kesemua isi fail tentang Beruas yang dipinjamkan oleh Prof Dato' Dr Othman Yatim. Bersambung daripada Membuka x-file Beruas - Ekspedisi 1991...
Ini adalah buku "Beruas Kerajaan Kuno di Perak" susunan Prof Othman dan Prof Emeritus Dato' Dr Nik Hassan, terbitan Persatuan Muzium Malaysia 1994. Ketika itu Prof Othman masih bertugas dengan Muzium Negara, belum bergelar Professor sedangkan Prof Nik Hassan yang cukup dikenali dalam dunia arkeologi tanah air belum bergelar Profesor Emeritus.
Buku ini pertama kali saya baca di Perpustakaan Negara sekitar 2002-2003. Ketika itu saya masih sibuk mencari salasilah keluarga sebelah bapa yang katanya berasal dari Aceh.
Kalau tak salah ingatan daripada buku inilah saya pertama kali mendapat tahu bahawa Sultan Malikul Mansur adalah pembuka kerajaan Beruas. Sebelum itu saya cuma tahu baginda adalah cucu Sultan Malikus Saleh (pengasas kerajaan Samudera dan Pasai, kemudian diserap ke dalam Aceh) yang pernah dibuang negeri ke Manjung, menurut kitab Sulalatus Salatin karangan Bendahara Tun Sri Lanang. Hal ini penting bagi saya kerana mendapat petunjuk nasab keluarga sebelah bapa bersambung ke Malikus Saleh melalui Malikul Mansur.
Selain itu minat saya adalah terhadap sejarah kerajaan lama Gangganegara yang dipercayai terletak di dalam lingkungan wilayah yang sama sebelum Beruas muncul. Walaupun senaskah buku telah dihadiahkan kepada saya satu atau dua tahun lalu, bahagian lain cuma pernah dibaca sepintas lalu.
Sejak berbual lama dengan Prof Othman tentang Beruas setengah bulan lalu baru timbul rasa untuk menelaah betul-betul isinya. Ini kerana mendapat tahu buku terhasil daripada ekspedisi tajaan kerajaan negeri Perak 23 tahun lalu. Hal ini ada disebut dalam buku tetapi saya tidak menyedarinya. Semalam baru mendapat gerak dan kelapangan untuk membaca segala isi dengan teliti.
Rujuk balik artikel Membuka x-file Beruas - Ekspedisi 1991. Di situ ada ditunjukkan sedikit tentang usaha tersebut, Ekspedisi pula terjadi akibat penemuan-penemuan yang berlaku 5 tahun lebih awal. Lihat artikel Membuka x-file Beruas - Misteri batu bersurat piramid bertulisan ayat al-Quran diikuti Membuka x-file Beruas - Menulis kembali sejarah kedatangan Islam?.
Siapa sangka minat yang tiba-tiba timbul tak sampai sebulan lalu untuk membuka kembali hal Beruas membawa kepada kemunculan pelbagai maklumat yang tidak disedari sebelum ini. Lihat artikel Mencari Batu Bersurat Beruas - Misi untuk acara ke-13 HIKMAH nanti?. Baru saya tahu Beruas jadi kecoh akibat penemuan-penemuan barangan purba 1986 kerana lawatan Sultan Perak awal tahun itu, Sultan Azlan Shah.
Sultan Azlan yang mangkat 28 Mei iaitu setengah tahun lalu ditabalkan sebagai Sultan ke-34 Perak 9 Disember 1985. Tidak lama kemudian baginda pun singgah ke Beruas. Teringat saya pernah diberitahu pemilik rumah di hadapan sebuah makam sana bahawa ia diziarahi kerana katanya ada kena-mengena dengan nasab baginda...
Setelah menelaah buku "Beruas Kerajaan Kuno di Perak" dengan teliti saya dapati maklumat yang ada cukup lengkap untuk memetakan apa yang boleh didapati di Beruas dan sekitarnya sekurang-kurangnya buat waktu itu. Ekspedisi tahun 1991 telah meliputi segenap muka bumi sana yang dapat dicapai oleh manusia biasa, segala penemuan yang dilaporkan telah diceritakan dalam buku ini.
Turut disebut adalah "Batu Bersurat Beruas" yang masih belum ditemui hingga kini. Laporan menyebutnya sebagai 'inskripsi' tapi saya tahu ia merujuk pada apa.
Barangan lama yang ditemui penduduk tempatan lalu menjadi koleksi peribadi turut dipaparkan dalam buku. Insyaallah satu terbitan baru akan dibuat khas untuk acara ke-13 HIKMAH di Beruas 21 Februari 2015 dan akan dilancarkan nanti dengan Prof Othman juga Prof Nik Hassan hadir sama. Selain memperbaharui minat untuk menggali lagi cerita kegemilangan lama Beruas, buku ini diharap dapat membantu usaha untuk menjejak batu bersurat. Semoga usaha ini mendapat keberkatan Ilahi. Amin.