Thursday, December 11, 2014

Mengembalikan kegemilangan Beruas, kerajaan Kuno di Perak

Salam. Melengkapkan gerak yang timbul setelah membaca kesemua isi fail tentang Beruas yang dipinjamkan oleh Prof Dato' Dr Othman Yatim. Bersambung daripada Membuka x-file Beruas - Ekspedisi 1991...


Ini adalah buku "Beruas Kerajaan Kuno di Perak" susunan Prof Othman dan Prof Emeritus Dato' Dr Nik Hassan, terbitan Persatuan Muzium Malaysia 1994. Ketika itu Prof Othman masih bertugas dengan Muzium Negara, belum bergelar Professor sedangkan Prof Nik Hassan yang cukup dikenali dalam dunia arkeologi tanah air belum bergelar Profesor Emeritus.




Buku ini pertama kali saya baca di Perpustakaan Negara sekitar 2002-2003. Ketika itu saya masih sibuk mencari salasilah keluarga sebelah bapa yang katanya berasal dari Aceh.




Kalau tak salah ingatan daripada buku inilah saya pertama kali mendapat tahu bahawa Sultan Malikul Mansur adalah pembuka kerajaan Beruas. Sebelum itu saya cuma tahu baginda adalah cucu Sultan Malikus Saleh (pengasas kerajaan Samudera dan Pasai, kemudian diserap ke dalam Aceh) yang pernah dibuang negeri ke Manjung, menurut kitab Sulalatus Salatin karangan Bendahara Tun Sri Lanang. Hal ini penting bagi saya kerana mendapat petunjuk nasab keluarga sebelah bapa bersambung ke Malikus Saleh melalui Malikul Mansur.



Selain itu minat saya adalah terhadap sejarah kerajaan lama Gangganegara yang dipercayai terletak di dalam lingkungan wilayah yang sama sebelum Beruas muncul. Walaupun senaskah buku telah dihadiahkan kepada saya satu atau dua tahun lalu,  bahagian lain cuma pernah dibaca sepintas lalu. 


Sejak berbual lama dengan Prof Othman tentang Beruas setengah bulan lalu baru timbul rasa untuk menelaah betul-betul isinya. Ini kerana mendapat tahu buku terhasil daripada ekspedisi tajaan kerajaan negeri Perak 23 tahun lalu. Hal ini ada disebut dalam buku tetapi saya tidak menyedarinya. Semalam baru mendapat gerak dan kelapangan untuk membaca segala isi dengan teliti.

Rujuk balik artikel Membuka x-file Beruas - Ekspedisi 1991. Di situ ada ditunjukkan sedikit tentang usaha tersebut, Ekspedisi pula terjadi akibat penemuan-penemuan yang berlaku 5 tahun lebih awal. Lihat artikel Membuka x-file Beruas - Misteri batu bersurat piramid bertulisan ayat al-Quran diikuti Membuka x-file Beruas - Menulis kembali sejarah kedatangan Islam?.



Siapa sangka minat yang tiba-tiba timbul tak sampai sebulan lalu untuk membuka kembali hal Beruas membawa kepada kemunculan pelbagai maklumat yang tidak disedari sebelum ini. Lihat artikel Mencari Batu Bersurat Beruas - Misi untuk acara ke-13 HIKMAH nanti?. Baru saya tahu Beruas jadi kecoh akibat penemuan-penemuan barangan purba 1986 kerana lawatan Sultan Perak awal tahun itu, Sultan Azlan Shah. 



Sultan Azlan yang mangkat 28 Mei iaitu setengah tahun lalu ditabalkan sebagai Sultan ke-34 Perak 9 Disember 1985. Tidak lama kemudian baginda pun singgah ke Beruas. Teringat saya pernah diberitahu pemilik rumah di hadapan sebuah makam sana bahawa ia diziarahi kerana katanya ada kena-mengena dengan nasab baginda...






Setelah menelaah buku "Beruas Kerajaan Kuno di Perak" dengan teliti saya dapati maklumat yang ada cukup lengkap untuk memetakan apa yang boleh didapati di Beruas dan sekitarnya sekurang-kurangnya buat waktu itu. Ekspedisi tahun 1991 telah meliputi segenap muka bumi sana yang dapat dicapai oleh manusia biasa, segala penemuan yang dilaporkan telah diceritakan dalam buku ini.




Turut disebut adalah "Batu Bersurat Beruas" yang masih belum ditemui hingga kini. Laporan menyebutnya sebagai 'inskripsi' tapi saya tahu ia merujuk pada apa.



Barangan lama yang ditemui penduduk tempatan lalu menjadi koleksi peribadi turut dipaparkan dalam buku. Insyaallah satu terbitan baru akan dibuat khas untuk acara ke-13 HIKMAH di Beruas 21 Februari 2015 dan akan dilancarkan nanti dengan Prof Othman juga Prof Nik Hassan hadir sama. Selain memperbaharui minat untuk menggali lagi cerita kegemilangan lama Beruas, buku ini diharap dapat membantu usaha untuk menjejak batu bersurat. Semoga usaha ini mendapat keberkatan Ilahi. Amin.


Tuesday, December 9, 2014

Membuka x-file Beruas - Ekspedisi 1991




Turut terdapat dalam fail Beruas yang dipinjamkan Prof Othman Yatim kepada saya adalah kertas kerja, surat menyurat juga buku perasmian satu ekspedisi yang dilakukan tahun 1991.



Di dalam buku tersebut terdapat satu artikel panjang lebar berkenaan kajian dan penemuan yang telah dibuat tentang Beruas setakat itu. Biar ini dikongsikan untuk tatapan semua...

























Friday, December 5, 2014

Membuka x-file Beruas - Menulis kembali sejarah kedatangan Islam?



Penemuan-penemuan artifak di Beruas begitu mengujakan sehingga ada yang percaya ia akan membawa kepada penulisan kembali sejarah kedatangan Islam ke Alam Melayu...











Sambil itu ada yang berusaha untuk mencari batu bersurat misteri.





Penemuan pelbagai barangan lama terus menarik perhatian ramai...














Pencarian batu bersurat diteruskan buat beberapa waktu. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-161 di blogspot ini.


Membuka x-file Beruas - Misteri batu bersurat piramid bertulisan ayat al-Quran

Salam semua. Merujuk pada artikel Mencari Batu Bersurat Beruas - Misi untuk acara ke-13 HIKMAH nanti? yang dibuat Selasa 25 November iaitu 10 hari lalu. Berlaku rentetan beberapa perkara yang memberangsangkan untuk acara. Ini adalah salah satu daripadanya...


Tidak lama selepas artikel tersebut disiarkan Profesor Dato' Dr Othman Yatim menghubungi mengajak saya berjumpa. Rabu selepas Maghrib saya, isteri dan anak-anak pun sampai ke rumahnya. Kami berbual panjang tentang acara.


Rupa-rupanya beliau mahu meminjamkan satu fail lama mengandungi keratan-keratan akhbar tentang penemuan barangan-barangan purba/artifak di Beruas. 


Cuma disebabkan sibuk dengan hal lain malam semalam baru saya dapat betul-betul menelaah fail lalu mengatur isinya mengikut kronologi atau turutan masa.






Pagi Jumaat tadi pula baru saya berkesempatan untuk mengambil gambar semua keratan akhbar dalam fail. Ternyata kesemuanya daripada tahun 1986..


.


Beruas sedang mencuri perhatian Malaysia dengan cerita-cerita penemuan barangan purba/artifak. Ia dipercayai tinggalan kerajaan lama Beruas, sebuah kerajaan Melayu Islam yang pernah berdiri di atas runtuhan kerajaan purba Gangganegara. Anda boleh klik atau buka gambar dalam windows baru untuk bacaan yang lebih terang.





Paling menarik adalah tentang batu bersurat yang katanya  berbentuk piramid, diliputi ayat-ayat Al-Quran. Cuma ia sebenarnya ditemui secara tidak sengaja 10 tahun sebelum cerita keluar. Apabila mahu dicari tahun 1986, tiada siapa dapat menemuinya...














Thursday, December 4, 2014

Dari Lembah Bujang ke Beruas ke Seri Menanti - 3 acara terawal HIKMAH untuk tahun 2015

Salam. Hari ini lengkaplah satu gerak. Ah. Ketika ayat ini ditulis jam komputer saya menunjukkan waktu 4.44 petang. Ada makna bagi saya ni, ada faktor 444 bersamaan faktor 313 + faktor 131.






Kembali kepada gerak yang dimaksudkan. Sejak hampir 3 minggu kebelakangan saya telah mendapat ilham pemilihan tempat yang sesuai untuk mengadakan acara-acara HIKMAH yang seterusnya. Tetapi selagi belum selesai bercerita tentang acara ke-11 HIKMAH di Pagoh, Muar 8 Nov saya tidak mahu menyatakannya di blogspot. Sambil itu perbincangan telah berjalan di belakang tabir, antaranya dikongsikan kepada umum melalui Facebook sehingga dapat tempat dan tarikh yang sesuai untuk mengadakan acara juga kerjasama pihak tertentu untuk menangani apa-apa keperluan demi menjayakan acara. 

Penulisan artikel Acara kesebelas HIKMAH di Pagoh, Muar 8 Nov 2014 - Istimewa faktor 313 ilham daripada Sultan Alauddin? Ahad lalu menandakan saya sudah sedia untuk menutup buku tentang acara hampir sebulan lalu. Dengan itu penumpuan boleh dialihkan kepada acara-acara yang bakal mendatang. Esoknya jam 12.54 pagi Isnin 1 Disember saya pun membuka event page untuk acara ke-12 HIKMAH iaitu di Lembah Bujang, Kedah. Ini diikuti pembukaan event page acara ke-13 di Beruas, Perak jam 5.42 pagi semalam dan page acara ke-14 di Seri Menanti, Negeri Sembilan baru 4 jam tadi.





Saya rasa tak perlu dipanjangkan cerita tentang acara. Untuk masuk event page HIKMAH Lembah Bujang, klik sini...





Untuk event page HIKMAH Beruas, klik sini...




Untuk page HIKMAH Seri Menanti, klik sini...



Gerak kerja menyatakan 3 acara terawal untuk kalendar HIKMAH 2015 ini seperti mengulangi hal sama kurang setahun lalu. Lihat artikel 3 acara HIKMAH akan datang dan Maulidur Rasul di mana 3 acara terawal HIKMAH untuk tahun 2014 telah diumumkan pada 12 Januari lalu. Dengan itu terzahirlah majlis berikut :-


Acara kelapan HIKMAH di Sungai Buaya, Rawang 8 Feb 2014

Acara kesembilan HIKMAH di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Feb 2014

Acara kesepuluh HIKMAH di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014


Ketika menulis deskripsi ringkas untuk acara ke-14 di Seri Menanti tadi timbul gerak agar acara seterusnya diadakan di Pahang awal bulan Mei. Tetapi ini sudah bergerak terlalu ke hadapan. Cukuplah melengkapkan gerak dengan artikel ini mengumumkan 3 acara terawal 2015. Wassalam.