Aktiviti tambahan yang tak dirancang. Bersambung daripada HIKMAH Lembah Bujang - Hindu-Buddha-Islam, Gunung Jerai dan Merong.
Lewat petang, selepas beberapa lama berbual-bual di perkarangan rumah sambil menikmati sedikit juadah kami bertolak ke Pengkalan Bujang, beberapa kilometer ke selatan.
Kami mahu melihat tapak arkeologi yang dikenali sebagai Tapak 23, dipercayai oleh sesetengah pengkaji sebagai masjid purba abad ke-9 Masihi. Hal ini malah menjadi salah satu topik pembentangan semasa acara. Rujuk HIKMAH Lembah Bujang - Tamadun purba Sungai Batu dan masjid abad ke-9.
Lawatan ke sini memang sudah lama bermain di dalam fikiran saya tetapi tidaklah termasuk di dalam program lawatan lapangan HIKMAH Lembah Bujang. Saya cuma mencari masa yang sesuai untuk melakukannya, itupun fikirnya sekadar bersama keluarga dan beberapa orang kawan.
Petang itu nampak keluangan masa yang sesuai Saya pun mengajak mana-mana peserta HIKMAH yang masih ada ketika itu untuk ikut sama. Tak sangka lebih 10 buah kereta ikut...
Sebetulnya ada 2 lagi tapak arkeologi dalam lingkungan tempat tengah sawah yang dipanggil Pengkalan Bujang ini. Lihat artikel Tapak arkeologi (Archeological site of) Pengkalan Bujang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Tapi kami terus menuju ke Tapak 23.
Lihat sahaja suasana lokasi disinari cahaya matahari hampir senja ini.
Saudara Che Ross, tuan punya rumah tempat HIKMAH Lembah Bujang memberikan penerangan. Katanya sebelum tempat ini dibuka ada orang mendapat mimpi mengatakan di sini terdapat sebuah masjid purba.
Pentarikhan yang meletakkan ia sebagai binaan abad ke-9 Masihi pula telah ditentukan secara saintifik oleh pasukan penggali arkeologi yang membuka tapak, saya sudah lupa siapa, mungkin daripada UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia). Cuma fungsi tempat, rumah ibadah agama apakah ini yang menjadi persoalan hingga kini.
Bagi kami ia cukup terang adalah binaan masjid. Cuma yang dipersoalkan, kalau masjid kenapa tidak betul-betul menghadap ke Kaabah? Kenapa menghadap barat atau matahari jatuh?
Persoalan ini sebenarnya telah dijawab oleh Dr Harleny dalam pembentangannya (lihat lagi HIKMAH Lembah Bujang - Tamadun purba Sungai Batu dan masjid abad ke-9). Ada kemungkinan berlaku perubahan muka bumi yang mengalih atau menyengetkan kedudukan. Sebetulnya ini tidaklah menghairankan jika kita melihat dengan hati terbuka dan dada yang lapang. Saya boleh beri contoh sebuah masjid di Kajang yang dibina tahun 1920an tetapi lari kedudukan. Apabila disemak kembali kedudukan kiblat menggunakan alatan zaman moden ia ternyata lari agak jauh. Lihat Masjid lama (The old mosque at) Sungai Ramal, Kajang.
Jadi apa yang hendak dihairankan jika masjid lama berusia lebih 1,100 tahun boleh lari beberapa kedudukan? Lari pun setakat 23-24 darjah sahaja sudut, bukanlah teruk sangat. Di atas adalah bahagian yang dipercayai mihrab...
Oh. Sebetulnya saya pernah sampai ke sini 8 tahun lalu. Menariknya ia berlaku pada 18 Januari 2007... sedangkan pada 18 Januari 2015 pula HIKMAH melakukan lawatan lapangan ke tapak arkeologi Sungai Batu. Lihat artikel The ruins of Pengkalan Bujang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Ketika itu saya tidak menyedari tinggalan bangunan ini mungkin sebuah masjid. Saya cuma dapat merasakan banyak bangunan lama sekitar Lembah Bujang yang dikatakan candi-candi agama Hindu dan Buddha itu adalah rumah ibadah agama Islam tetapi daripada syariat nabi-nabi terdahulu. Di atas adalah batu-batuan di bahagian pinggir belakang Tapak 23.
Ke belakang lagi ada binaan-binaan ini.
Kami berlegar beberapa lama di tapak menunggu Maghrib masuk.
Seorang daripada kami kemudian mengumandangkan azan menandakan waktu. Semoga timbul keberkatan yang dapat membantu mendaulatkan Melayu dan Islam. Amin.
Kenapa dipijak tapak arkeology tu? "
ReplyDelete