Acara disambung kembali jam 2.35 petang dengan persembahan silat daripada Pusaka Gayong.
Selesai itu baru masuk sesi pembentangan petang. Pembentang pertama adalah saudara Che Ross tuan punya rumah unik ini.
Diberi tajuk "Tarikan Mistik Gunung Jerai dan Sekitarnya", beliau berkongsi pengalaman peribadi beliau dan beberapa orang rakan yang biasa turun naik Gunung Jerai lalu terjumpa pelbagai perkara yang tidak masuk akal, antaranya kehadiran roh orang-orang alim yang sudah lama meninggal dunia.
Pembentang seterusnya, tuan Hasan Yusof diminta menangani tajuk yang agak berat iaitu "Hindu dan Buddha berasal daripada agama Islam".
Namun sebagai pegawai penyelidik Mahkamah Syariah Melaka yang telah menulis buku bertajuk "Sultan-sultan Soleh di Nusantara", beliau dapat membina dalil-dalil dan hujah yang cukup tuntas menggunakan ayat-ayat Al-Quran juga beberapa sumber sampingan...
Antara contoh yang diberikan adalah bagaimana agama Islam syariat Nabi Isa AS boleh terseleweng menjadi agama Kristian. Malah agama Islam syariat Nabi Muhammad SAW pun ada diselewengkan orang yang mengaku mendapat wahyu menjadi nabi baru selepas Rasulullah SAW wafat!
Garis masa kewujudan nabi dan rasul yang disebut di dalam Quran menurut sejumlah pengkaji dan ulamak dibandingkan dengan tempoh masa munculnya beberapa agama dunia.
Ayat dalam kitab Veda, kitab suci Hindu dibandingkan dengan ayat Al-Quran yang berkenaan...
Setelah menyentuh beberapa bahagian ajaran Hindu yang kelihatan berunsur Islam, hal sama dicari dalam ajaran agama Buddha...
Seperti kitab Veda Hindu, ajaran Buddha juga ada menyebut tentang kemunculan nabi terakhir yang memiliki ciri-ciri sesuai dengan peribadi Nabi Muhammad SAW.
Dengan itu dapatlah dibuka kemungkinan bahawa candi-candi lama yang terdapat di Lembah Bujang tiada lain adalah rumah ibadat agama Islam syariat nabi-nabi yang terdahulu. Cuma amalan dan ajaran mereka telah lari daripada landasan sebenarnya menjadi agama seperti Hindu dan Buddha seperti dikenali hari ini.
Pembentang ketiga petang itu, terakhir untuk keseluruhan acara adalah saya. Ini adalah satu gambar yang diambil ketika berhenti sebentar untuk memberi laluan kepada azan Asar.
Isi pembentangan saya iaitu berkenaan Hikayat Merong Mahawangsa biarlah dikongsikan dalam artikel lain ya.
Tamat pembentangan, ada persembahan nyanyian lagu berbentuk puisi keTuhanan oleh kumpulan Dendang Anak cawangan Teluk Kumbar, Pulau Pinang.
Selesai itu Che Ross membaca doa selamat untuk menutup majlis.
Minum petang. Yang tinggal adalah lawatan-lawatan lapangan ke tempat-tempat bersejarah terutama tapak arkeologi Sungai Batu hari Ahad.
No comments:
Post a Comment