Wednesday, May 13, 2015

HIKMAH Chenor : Semangat dan gerak dalam gendang Pahang serta Tasawuf dalam agama purba



Sekitar jam 2.40 acara pun disambung dengan sesi pembentangan petang.




Saya masuk lewat sedikit kerana ada hal. Sesi dimulakan oleh saudara Rahmad bin Zainal Abidin, seorang budayawan Pahang daripada Kumpulan Kesenian Unggul Tori, Jerantut.



Lebih dikenali sebagai Aki Uda, beliau membawa tajuk "Gendang Pahang : Semangat dan Gerak". Percakapannya agak laju lalu beliau menerangkan ini berlaku kerana beliau berasal dari Jerantut yang terletak lebih ke hulu Sungai Pahang. Menurut Aki Uda, cara bercakap orang Pahang adalah mengikut aliran Sungai Pahang di tempat asal masing-masing, lebih pantas ke hulu, lebih perlahan ke hilir. Nampaknya ini sangat kena dengan tema dan tajuk majlis iaitu "HIKMAH Chenor : Aliran Sungai Pahang".



Ternyata pembentang berusia 35 tahun ini memiliki pengetahuan yang luas tentang budaya negeri Pahang, daripada ilmu bergendang berkait dengan silat berkait pula dengan amalan dalaman yang melibatkan ilmu Tasawuf. Saya agak kagum apabila beliau menyebut nama-nama alunan seperti Hijaz dan Nahrawan yang saya sendiri baru tahu 4 hari sebelum acara iaitu selepas membaca satu buku tentang alat musik gambus. Lihat artikel Oud : Warisan Seni dari Timur Tengah di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Ini merupakan alunan yang boleh dikatakan sebahagian daripada teori muzium Arab. Beliau menerangkan dalam konteks membaca Taranum menggunakan Tajwid yang tepat.



OK. Saya dah lupa apa yang berlaku ketika ini.



Kelihatan tuan Tengku Hassani, pengasas Warisan Chenor, penganjur tempatan majlis HIKMAH ke-14 menerangkan sesuatu, kalau tak salah tentang cara bergendang di daerah sekitar kerana beliau juga selalu terlibat dengan aktiviti-aktiviti budaya tempatan.




Aki Uda menyambung penerangan. Di celah-celah itu beliau sempat berbalas alunan Dikir Maulud dengan seorang tua di belakang.



Selepas beberapa lama tibalah giliran pembentang seterusnya, Cikgu Kamaludin Endol, seorang bekas pensyarah institut perguruan yang sudah menulis beberapa buah buku yang agak intelektual. Dahulu beliau memilih untuk memakai nama pena Pelita Di Dalam Kaca, nama yang masih digunakan dalam Facebook. Kini beliau lebih selesa memakai nama sebenar dalam penulisan. Kamaludin pernah membentang tajuk "Sistem Pentadbiran Islam Moden di bawah Pemerintahan Raja-Raja Melayu" ketika HIKMAH bertandang ke Muar penghujung tahun lepas. Lihat artikel lama HIKMAH Pagoh 8 Nov - Kaitan Aceh-Muar dan visi kerajaan Islam ideal.



Untuk HIKMAH Chenor saya telah meminta beliau agar membawa tajuk  "Hindu dan Buddha berasal daripada agama Islam", satu tajuk yang pertama kali dibawa oleh seorang pembentang lain semasa HIKMAH bertandang ke Kedah awal tahun ini. Lihat HIKMAH Lembah Bujang - Hindu-Buddha-Islam, Gunung Jerai dan Merong. Untuk HIKMAH di Pahang ini saya meminta beliau menanganinya kerana selain merupakan anak tempatan (bekas pensyarah berumur 63 tahun ini kini menetap di Kuantan) beliau telah menulis sekurang-kurangnya 2 buah buku berkaitan.



Kamaludin meminta tajuk yang dapat merangkumi aspek lebih meluas iaitu "Mengenal Allah Melalui Agama Purba". Saya setuju kerana ini lebih sesuai dengan tujuan meminta beliau mengupas perkara iaitu untuk menunjukkan bahawa agama-agama terdahulu seperti Hindu dan Buddha sebenarnya berasal daripada agama Islam syariat terdahulu yang telah lari daripada landasan lalu perlu diperbetulkan namun tidak diabaikan. Tajuk yang beliau cadangkan itu dapat merangkumi juga agama-agama lama lain termasuk Taoisme yang terkenal di negara Cina.



Tujuan saya meminta beliau menangani tajuk ini adalah agar orang ramai dapat melihat dalil yang terang bahawa semua agama sejak zaman Nabi Adam adalah Islam. Islam bukanlah bermula 1,400 tahun lalu seperti selalu disebut orang. Sesungguhnya, yang bermula zaman itu adalah syariat Nabi Muhammad SAW, Islam untuk umat akhir zaman. Pemahaman ini perlu supaya kita dapat melihat kesinambungan daripada agama-agama terdahulu sampailah sekarang. Kalau tidak kita akan selalu terdedah kepada tuduhan para Orientalis bahawa kedatangan Islam 1,400 tahun lalu (yang sebenarnya merujuk pada syariat Nabi Muhammad) telah 'menganggu' keharmonian yang katanya sudah wujud misalnya di Alam Melayu bawah agama Hindu dan Buddha, Dengan memahami kesinambungan juga kita dapat membela kembali kedudukan orang Melayu dahulukala bahawa mereka sebenarnya bukanlah penganut agama Hindu dan Buddha seperti yang kita faham hari ini. Sebaliknya orang Melayu lama adalah penganut Islam syariat nabi terdahulu, syariat yang kemudian lari daripada landasan. Itulah yang disebut sebagai agama Hindu dan Buddha yang kita kenali kini... dengan pelbagai unsur berhala yang tidak selari lagi dengan ajaran Tauhid dan Islam...



Perkara ini pernah saya sendiri tangani dalam buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" yang terbit Mei 2007. Kamaludin yang pertama kali pernah bermuzakarah bersama saya dalam satu pertemuan di Raub penghujung tahun itu kalau tak salah ingatan pernah mengaku mendapat ilham untuk memanjangkan perkara setelah membaca isi berkaitan dalam buku saya. Lihat artikel lama Kaitan agama Hindu dan Buddha dengan Syariat Nabi Ibrahim AS.



Tak sangka pula untuk pembentangan Kamaludin akan masuk lebih mendalam.



Beliau membawa peserta untuk pergi lebih jauh dalam memahami kebenaran dan ilmu Tauhid yang terdapat atau tersirat dalam agama-agama purba. Kita diajak untuk melangkaui ilmu Sifat 20 lalu masuk ke wilayah ilmu Wahdatul Wujud dan Martabat Tujuh.



Masyaallah, tak sangka ini akan dibincangkan dalam acara ke-14 HIKMAH. Walaupun saya sendiri telah menyentuh ilmu Tasawuf tinggi ini dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" (2006-2007), ia lebih merupakan penerangan tentang ilmu yang dibawa para ulamak dan wali ke bumi Serambi Mekah. Lihat Peranan ulamak dan para wali di Aceh. Kamaludin pula telah menerangkannya sebagai inti pati yang boleh digali daripada ajaran agama-agama purba. Entah kenapa apabila beliau masuk lebih mendalam sistem pembesar suara menghadapi masalah lalu saya pun mengajak peserta/hadirin agar duduk lebih dekat untuk mendengar pembentangan tanpa bantuan sistem.






Nampaknya sistem pembesar suara terganggu kerana tak semua perkara sesuai dikongsikan kepada umum. Sepanjang majlis hinggalah berlaku gangguan, semua yang dibentangkan boleh didengar kuat di luar masjid.



Antara yang hadir ini mungkin ada seorang dua merasa pelik kerana tidak faham.







Tetapi secara rata, saya dapat melihat ramai merasa puas kerana ilmu sebegini bukan selalu dapat dikongsikan atau diterangkan dengan baik. Mereka terus memberikan tumpuan penuh sampai pembentangan terpaksa dihentikan kerana masuk waktu Asar. Peliknya, sistem pembesar suara kembali berfungsi dengan elok untuk laungan azan...


No comments:

Post a Comment