Sekitar jam 2.14 petang hadirin pun berkumpul kembali di dewan untuk sesi pembentangan petang.
Mengikut jadual asal sesi ini harus dimulakan jam 2.45. Tetapi ia dipercepatkan memandang tengah hari itu kami berehat awal demi memenuhi undangan rumah terbuka di pekan Beruas dan semua pun sudah makan.
Sesi pembentangan petang juga dipercepatkan kerana undangan telah menyebabkan sesi pembentangan tengah hari yang asalnya dijadualkan berlangsung 11.45 - 1.45 dibatalkan. Hal ini menyebabkan atur cara keseluruhan harus dirombak kembali secara drastik. Dengan itu, pembentangan pertama sesi tengah hari yang bertajuk "Busana Melayu : Antara Tradisional dan Klasik" oleh saudara Johan Iskandar, seorang pengkaji dan aktivis busana juga pengasas badan NGO Komuniti Keris Warisan dianjakkan menjadi pembentangan pertama sesi petang.
Ketika itu, tim projek dokumentari "Daulah Melayu" sudah bersama dalam majlis untuk membuat penggambaran. Untuk pengetahuan saya terlibat sebagai seorang penyelidik utama juga hos bagi dokumentari bersiri yang menjangkau 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini. Penggambaran dibuat untuk meliputi dua aspek utama - satu adalah tentang sejarah kerajaan Beruas juga kerajaan lebih awal dalam lingkungan wilayah yang sama iaitu Gangganegara. Satu lagi adalah tentang aktiviti saya sebagai hos satu siri yang dibuat untuk memartabatkan sejarah dan kebudayaan Melayu juga Islam. Ini sudah diterangkan dalam artikel
Lawatan lapangan HIKMAH Beruas, shooting "Daulah Melayu" dan pertukaran lokasi acara 12 hari lalu.
Setelah memberikan penerangan panjang lebar tentang mengapa aspek-aspek tradisional busana Melayu harus dipelihara seasli mungkin tanpa mencampur-adukkan elemen-elemen baru terutama selepas British masuk mengubah keadaan di Tanah Melayu, Johan bangun untuk membuat satu demonstrasi.
Ia melibatkan penghasilan tenaga dalam secara automatik atau spontan setelah mengenakan pakaian yang betul, pakaian yang pembuatannya memiliki sanad ilmu yang berwibawa, bukan setakat tiru-tiru atau memandai-memandai memgubahsuai sesuka hati. Tak perlulah diterangkan bagaimana kerana beliau tidak mahu perkara ini dirakamkan terutama dalam dokumentari. Cukuplah apa yang dikongsikan untuk memberikan gambaran.
Pembentang seterusnya adalah saudara Idris Zainal Abidin, seorang pengkaji sejarah dan pengusaha makanan sunnah.
Membawa tajuk "Teori Membangun Umat Cemerlang. : Rahsia Pemakanan para Rasul dan Kesan Amalan Harian Mereka daripada Sudut Sains" beliau asalnya dijadualkan menjadi pembentang ketiga dan terakhir untuk sesi tengah hari.
Berbeza dengan pembentang lain beliau memilih untuk menggunakan white board bagi membantu penerangan.
Untuk pengetahuan, seperti Johan, Idris juga pertama kali membentang dalam HIKMAH. Bezanya Johan pernah beberapa kali menghadiri majlis kami dan pernah menjadi moderator sesi perbincangan berkumpulan yang sering diadakan selepas rehat Asar.
Selesai itu aktivis seni ukir dan khat, saudara Mohd Zahamri Nizar memulakan tajuk "Ikonografi Zulfikar di Alam Melayu : Kibaran Panji-panji Perjuangan Melayu Islam".
Beliau yang sudah beberapa kali membentang tajuk serupa dalam majlis-majlis HIKMAH sebelum ini asalnya dijadualkan menjadi pembentang ketiga sesi tengah hari. Tentang isi pembentangan boleh rujuk pertengahan artikel lama
HIKMAH 4 Nov - Lepas Zuhur hampir ke Maghrib masih tak balik-balik! yang menunjukkan perjalanan separuh akhir acara pertama HIKMAH lebih 2 tahun lalu.
Melihat ke luar sebentar...
Kelihatan produser atau penerbit dokumentari "Daulah Melayu", saudara Syahril sedang memasang alatan drone untuk membuat penggambaran dari udara...
Anak-anak seronok menunggu drone seperti helikopter ini berlepas. Saya diberitahu harganya adalah RM15,000 sebuah. Dua orang diperlukan untuk mengendalikannya, seorang untuk penerbangan, seorang untuk menjaga pergerakan kamera.
Kembali ke dalam dewan. Ketika ini Zahamri sudah tamat membentang menandakan apa yang tertunggak daripada sesi tengah hari sudah dapat dilangsaikan. Tiba giliran pengkaji seni, Dr Harleny Abd Arif untuk membentang tajuk "Kesatuan dalam Kepelbagaian : Identiti Ragam Hias Gunungan Mimbar Sultan Iskandar Muda (1607-1636)".
Di luar
drone sedang diuji terbang. Saya difahamkan ia baru sahaja dibeli beberapa hari lalu. Penerbit bercadang untuk membuat penggambaran udara kami beramai-ramai berjalan keluar daripada dewan apabila selesai semua pembentangan.
Maka itu apabila Harleny tamat membentang selepas 5 petang ia tidaklah lari terlalu jauh daripada jadual asal di mana sesi pembentangan petang harus tamat jam 4.45. Sesi boleh sahaja ditutup dan rehat waktu Asar dilangsungkan seperti dalam jadual jika tidak kerana saya pula perlu membentang (tidak dirakam dalam kamera saya). Secara peribadi, selepas memberikan laluan untuk hadirin bergerak ke pekan Beruas apabila giliran saya membentang tiba jam 12 tengah hari. saya merasakan ia tidak perlu lagi diteruskan. Namun tim "Daulah Melayu" mahu pengkongsian ilmu daripada saya dirakamkan maka nak tak kenalah membentang selepas jam 5.
Tak mengapa jawab saya. Pembentangan bertajuk "Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah : Menelusuri faktor Beruas" boleh diringkaskan menjadi 15 minit sahaja fikir diri ini, selepas itu bolehlah dibuat penggambaran di luar menggunakan
drone. Pembentangan tersebut mengulang kembali bahan yang pernah dikongsikan kepada ahli Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di Kuala Lumpur awal 2014. Lihat artikel
Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah di
blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Ternyata tidak semudah itu untuk meringkaskan pembentangan mengandungi isi yang pernah memakan masa sejam untuk diterangkan dengan baik. Apatah lagi apabila masuk faktor Beruas yang tidak ada dalam pembentangan PSM - saya turut menggabungkan isi daripada satu pembentangan yang mahu dibuat pada acara ke-3 HIKMAH di Lumut 27 Januari 2013 tetapi tidak sempat akibat kesuntukan masa ketika itu. Akibatnya, walaupun saya cuba sedaya mungkin meringkaskan pembentangan tetapi perlu menjaga kesinambungan agar tidak terlalu terlompat-lompat, ia cuma dapat diselesaikan dekat jam 5.45. Ketika itulah hujan turun maka penggambaran menggunakan drone tidak dapat dilaksanakan.
Daripada segi penggunaan masa dan rombakan atur cara kami masih berjaya kerana menurut atur cara asal segalanya harus selesai jam 5.45 petang. Itu adalah termasuk sesi perbincangan berkumpulan yang dijadualkan berlangsung 5.15-5.45. Perubahan atur cara menyebabkan saya merasakan lebih baik ia dibatalkan apatah lagi pihak penganjur tempatan meminta agar kami menyambung lagi acara pada waktu malam selepas Isyaq. Maka selesai sahaja pembentangan saya menangguhkan acara. Kami pun mengambil peluang untuk bergambar beramai-ramai.
Hujan pula menjadi semakin lebat sehingga timbul banjir kilat. Ini menyebabkan orang ramai tidak dapat meninggalkan dewan lalu kami pun duduk berbual-bual. Nasib baik air tidak masuk ke dalam dewan, lebih sejam juga kami terperangkap. Kalau berhenti awal pun penggambaran menggunakan
drone tetap tidak dapat dilakukan kerana keadaan langit yang mendung dan kawasan sekeliling masih basah.
Ketika hujan lebat itulah muncul pengarah filem terkenal, sutradara Mamat Khalid yang merupakan seorang anak jati Perak. Beliau dan beberapa orang pelakon terkenal tanah air pernah menyerikan acara ke-7 HIKMAH di Melaka penghujung 2013. Lihat artikel lama
HIKMAH VII di Melaka - Darah Melayu pun mula menggelegak. Ketika itu beliau meminta pertolongan untuk mengisi satu filem tentang Melayu yang mahu diterbitkannya lalu saya menggunakan sesi berkumpulan untuk mendapatkan maklum balas. Kali ini beliau membawa satu cadangan baru. Biarlah ia menjadi rahsia kecuali Mamat sendiri ingin berkongsi tentangnya kepada umum.
Sejak menyedari HIKMAH akan bertandang ke Beruas Mamat telah menyatakan komitmen untuk datang apa lagi kami sudah lama tidak bersua muka. Cuma tak pasti sampai jam bila. Bila dah sampai sekitar jam 6 kalau tak salah, beliau mengambil peluang untuk mendapatkan satu persalinan busana Melayu tradisional, katanya untuk dipakai dalam majlis reunion sekolah di Ipoh malam nanti. Gambar bersama beliau diambil jam 7 petang. Ketika itu hujan sudah reda tetapi masih ramai yang berlegar-legar di sekitar dewan.
Oh. Tajuk kecil artikel ini iaitu "Busana, makanan, pedang dan mimbar. Menyelesaikan hal tertunggak..." dibuat kerana teringat komen seorang sahabat juga hadirin yang menyebut betapa acara HIKMAH kali ini yang menjadi penutup senarai acara kami buat beberapa waktu terasa lengkap kerana ada pembentangan tentang busana diikuti pedang (merujuk pada ikonografi Zulfikar iaitu pedang kesayangan Rasulullah SAW) dan mimbar. Ini membawa pengertian pemakaian, perjuangan dan keagamaan. Nampaknya beliau yang sampai ke acara lambat iaitu selepas rehat Zohor dan makan tengah hari terlupa ada pembentangan tentang makanan yang tidak kurang penting antara busana dan pedang. "Menyelesaikan hal tertunggak" pula merujuk pada bagaimana atur cara asal yang terganggu akibat memenuhi undangan ke rumah terbuka di Beruas dapat dirombak kembali secukup rasa lalu memenuhi sesi petang. Alhamdulillah, Allah SWT memberikan gerak yang patut agar kami dapat menggembirakan hadirin dari jauh juga penduduk tempatan yang merasa teruja dengan kedatangan ramai anak Melayu berbusana tradisional...
No comments:
Post a Comment