Saturday, September 30, 2023

Program Semangat Besi - Membangkit semangat leluhur warisan pusaka bangsa

Salam semua. Kali terakhir blogspot ini dikemaskinikan iaitu melalui artikel Mesyuarat 31 Ogos bagi penganjuran acara ke-23 HIKMAH pada 1 September ada diberitahu bahawa acara ke-23 HIKMAH mahu diadakan di Sarang Art Hub, Tanjung Malim pada 21 Oktober 2023. Tetapi beberapa hari kemudian pemilik tempat meminta ia ditundakan. Hal ini ada dikongsikan di Facebook dan WhatsApp pada 6 September. Sekarang biar diulang di sini pula...


ACARA KE-23 HIKMAH DI SARANG ART HUB DITUNDA KE 11 NOVEMBER
Salam semua. Pemilik Sarang Art Hub iaitu Kak Intan, balu arwah Mamat Khalid telah meminta agar tarikh penganjuran HIKMAH ditunda ke suatu tarikh selepas anaknya Amen Khalid selesai shooting 15-30 Oktober. Selain itu beliau minta supaya disatukan dengan acara Anjung Tradisi yang telah dianjurkan Sarang setakat ini 3 kali iaitu awal tahun 20 17 kemudian awal 2018 dan akhir 2021. Ini supaya bajet juga penat lelah mengatur majlis dapat dipadukan dalam satu acara. Setelah berbincang dengan Kak Intan kami mendapati tarikh 11 November 2023 hari Sabtu adalah yang terbaik untuk itu. Semoga acara menjadi lebih baik daripada yang dirancang sebelum ini.


Dengan itu boleh pergi pada satu cerita yang ada kena mengena dengan aktiviti-aktiviti HIKMAH.




Dalam artikel Mendekati falsafah melalui persoalan-persoalan fundamental tentang keadilan sosial manusia yang dipersembahkan di blogspot CATATAN SI MERAH SILU ada diberitahu bahawa selepas menghadiri perkongsian ilmu falsafah di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pada petang Jumaat 29 September 2003 saya pergi ke satu majlis lain di pinggir utara Kuala Lumpur. Turut diberitahu bahawa untuk yang itu telah diberikan komitmen sejak lebih sebulan lalu. Walaupun kurang sihat dan masih penat, antaranya kerana beberapa hari kebelakangan asyik bersengkang mata bagi menyiapkan butiran-butiran akhir pembetulan dan penambahbaikan selepas peperiksaan lisan (post viva) tesis saya di ISTAC, sehingga tak jadi datang dua majlis pada hari Khamis, lewat malam Jumaat dapat disiapkan hal tesis  lalu bolehlah ke majlis.



Program selama 3 hari ini melibatkan persilatan, persenjataan tradisional Melayu juga lain-lain aspek budaya tempatan seperti tarian dan permainan tradisi (congkak dan sebagainya). Selepas masuk waktu Isyak bergeraklah ke lokasi majlis iaitu Balai Adat Tok Cindai di Taman Ehsan, Kepong.








Kelihatan pelbagai jenis senjata telah diatur sepanjang jalan dalam kawasan...










Ada gerai-gerai jualan...




Ke balai utama kawasan...











Selepas diadakan perarakan para tetamu kehormat sekitar jam 9.15 pembukaan rasmi majlis pun dimulakan.







Dibuat pembukaan gelanggang...




Dibuat tarian tradisional bagi menyambut tetamu...




Dibuat lagi persembahan-persembahan silat...








Ini diselang-selikan nyanyian lagu dengan iringan bunyi-bunyian yang turut mewarnai persembahan silat dan tarian...









Majlis berlangsung sehingga lewat Ahad malam Isnin. Insyaallah malam ini saya hadir lagi bagi sesi Maulidur Rasul.



Friday, September 1, 2023

Mesyuarat 31 Ogos bagi penganjuran acara ke-23 HIKMAH

Salam awal pagi Jumaat. Merujuk pada artikel Acara ke-23 di Sarang Art Hub kurang 3 bulan lagi insyaallah yang dipersembahkan pada 1 Ogos iaitu tepat sebulan lalu. Telah dinyatakan persetujuan dengan pihak pemilik lokasi di Tanjung Malim bahawa ia mahu diadakan pada 21 Oktober dengan tema "Antara Tradisi dan Kemodenan : Mencari Kebaikan Dalam Setiap Keadaan". Selepas itu saya tidak ada menceritakan apa-apa lagi tentang acara di blogspot HIKMAH. Padahal seawal 3 Ogos sudah ada perkembangan positif...




Perkembangan berkenaan sebaliknya hanya dikongsikan di Facebook dan WhatsApp pada tarikh tersebut. Begini teksnya :-


ATUR CARA DAN PEMBENTANGAN ILMU PADA ACARA HIKMAH KE-23 DI SARANG ART HUB 21 OKTOBER 2023
Salam. Rasanya sudah boleh dikongsikan sedikit sebanyak atur cara dan pengisian majlis. Secara santainya majlis di Sarang Art Hub dirancang akan dibuka bermula jam 10 pagi untuk hadirin bersama. Ini untuk memberi peluang bagi mereka yang berniaga datang awal mempromosikan jualan masing-masing. Mungkin akan ada majlis Maulidur Rasul sekitar jam 11-12 itu.
Jam 2.30 baru acara secara rasminya bermula dengan pembentangan ilmu sehingga waktu Asar. Maghrib pula diadakan solat jemaah diikuti tahlil arwah bagi mengenangkan pemilik tempat, sutradara filem terkenal Mamat Khalid yang kembali ke rahmatullah pada 23 Oktober 2021. Selepas itu akan diadakan ucapan alu2an oleh waris beliau diikuti oleh saya sebagai presiden HIKMAH kemudian VVIP, besar kemungkinan Orang Besar Jajahan iaitu Toh Paduka Setia Dato' Ir. Dr. Safry Kamal. Selain daripada yang dinyatakan akan diselitkan persembahan2 silat dan kebudayaan juga aktiviti santai.
Bagi majlis ilmu yang bermula jam 2.30 petang telah diperuntukkan 4 slot sepanjang 30 minit setiap satu. Sukacita dimaklumkan saya telah mendapat persetujuan tentatif daripada tokoh2 berikut untuk membentang :-

1. Pelukis terkenal Dato' Sharifah Fatimah Syed Zubir

2. Tokoh pejuang bahasa Melayu, Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan

3. Profesor sejarah sosial dan intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) Prof Dato' Dr Ahmad Murad Merican

Pembentang ke-4 adalah saya sendiri Radzi Sapiee @ Merah Silu. Tapi saya bukan tokoh, cuma seorang yang ada sedikit ilmu dan rasa tanggungjawab untuk memperjuangkan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air.




Selepas itu ada sedikit lagi perkembangan berkaitan pengisian majlis berlaku pada pagi Ahad 13 Ogos. Tetapi ia baru dinyatakan dalam artikel Antara Perak 6-9 ke Muar 26 Ogos di blogspot CATATAN SI MERAH SILU pada awal pagi Isnin 28 Ogos. Artikel tersebut meringkaskan cerita pelbagai aktiviti yang dilakukan selepas kembali daripada satu perjalanan ke Perak (lihat Kompilasi cerita "Antara perpustakaan dan mahkamah") dan sebelum ke Muar (lihat Asbab pertanyaan ibu). Disebutlah bahawa pada 13 Ogos itu, sementara menunggu anak habis latihan silat di Bukit Beruntung kami ke rumah pelukis terkenal Dato' Sharifah Fatimah Syed Zubir sekitar 4.5 km dari gelanggang. 




Sebabnya - Sejurus sebelum ke Perak 6 Ogos Sharifah Fatimah yang kami panggil sebagai Kak Fatimah menyatakan keraguan untuk bersama dalam majlis. Ini kerana beliau bukanlah orang yang biasa membentang seperti halnya para pensyarah (mungkin setelah melihat nama Prof Awang Sariyan dan Murad Merican yang memang biasa bersyarah). Maka itu selepas kembali dari Perak saya dan isteri pergi bertemu beliau. Saya hendak memberitahu jangan risau tentang itu. Pembentangan boleh dibuat secara soal jawab dengan saya sebagai pemudah cara. Pengisian pun saya boleh bantu. 




Caranya, biar dipilih sejumlah lukisan untuk dipaparkan dalam slaid lalu kami berbincang tentang makna setiap lukisan dalam majlis. Walaupun bukan pakar dalam bidang seni saya boleh faham bagaimana lukisan-lukisan Fatimah relevan dengan tema yang telah ditetapkan. Ini kerana tahu latar belakang beliau yang ada keturunan Tunku Kudin @ Sayyid Zainal Abidin yang berdarah Sayyid marga Shahabuddin/Al-Shahab campur darah kerabat diraja Kedah. Saya dan isteri juga tahu minat beliau menelusuri salasilah dan menziarah makam-makam lama.




Itu hal pengisian ilmu yang menjadi tanggungjawab saya untuk mengatur sebagai Presiden HIKMAH selain beberapa komponen lain yang telah dinyatakan dalam atur cara pembentangan seperti diwar-warkan melalui Facebook dan WhatsApp pada 3 Ogos tetapi baru dipaparkan di blogspot HIKMAH hari ini. Untuk memastikan kelancaran majlis juga pengisian selain apa yang telah dirancang lebih awal  memerlukan mesyuarat dengan pihak pemilik lokasi iaitu Sarang Art Hub juga pihak lain.




Sebelum ini balu kepada arwah sutradara terkenal filem Mamat Khalid iaitu orang yang kami panggil sebagai Kak Intan lalu menjadi pengganti arwah memiliki Sarang sedang sibuk dengan persediaan bagi perkahwinan anak mereka yang bernama Adam. Selepas majlis terakhir selesai pada Sabtu malam Ahad 19 Ogos baru boleh diadakan mesyuarat.




Saya, isteri dan anak pergi ke majlis di Ipoh pada tarikh tersebut. Tengok-tengok Kak Intan ingat nak buat mesyuarat malam itu juga selepas majlis. Lihat Antara Perak 6-9 ke Muar 26 Ogos. Ketika itu ramai orang yang terlibat dengan Sarang berada di majlis. Maka memang senang hendak bermesyuarat kerana sudah terkumpul orang-orang penting...




Kami jawab rehat dahululah kak. Akak pun dah beberapa hari  sibuk dengan urusan majlis kahwin, mula-mula di pihak pengantin perempuan di Shah Alam 5-6 Ogos, kemudian di Ipoh 19 Ogos. Lalu diaturlah tarikh lain untuk mesyuarat, di Sarang Art Hub, petang selepas Asar pada Hari Kemerdekaan 31 Ogos iaitu semalam.



Dalam mesyuarat ini diajak sekali Yang Dipertua DSSM (Dunia Seni Silat Melayu) Malaysia Cikgu Roslim Abu, Yang Dipertua DSSM Perak iaitu Tok Mi dan beberapa orang wakil. Dibincangkanlah bagaimana kawan-kawan dalam dunia persilatan boleh membantu membuat pengisian yang lebih bermakna bermula jam 10 pagi sehingga lewat malam iaitu selain daripada apa yang sudah disenarai pasti seperti pengisian ilmu (berbentuk akademik) jam 2.30 sehingga waktu Asar.




Mesyuarat berlanjutan dari meja makan ke gelanggang silat dalam kawasan Sarang. Dibincangkan sekali penggunaan ruang, di mana hendak dibuat pembentangan ilmu, di mana boleh buat persembahan silat, gerai untuk jualan dan macam-macam. Dipersetujui bahawa majlis adalah kerjasama antara HIKMAH, Sarang Art Hub dan DSSM Perak. Dicadangkan dan dipersetujui antara kami akan diadakan sesi penyampaian selempang kepada guru-guru tua silat oleh tetamu utama iaitu VVIP yang dijangkakan adalah Orang Besar Jajahan Daerah Mualim, Toh Paduka Setia Dato' Ir. Dr. Safry Kamal, salah seorang Orang Besar 16 negeri Perak.




Yang Dipertua DSSM Malaysia ada memohon untuk membuat kelainan selain daripada pesilat sekadar membuat persembahan. Beliau tidak mahu mereka dilihat seperti sekadar menjadi penghias majlis sahaja, bukan antara peneraju. Saya setuju dengan itu. Misalnya, seperti dinyatakan dalam artikel Majlis ulamak dan pendekar di Hang Tuah Centre 26-27 Ogos yang ditulis 3 hari lepas. Saya sudah melihat apa yang berlaku dalam begitu banyak majlis.

Majlis diwar-warkan sebagai menggandingkan para ulamak dengan pendekar. Tetapi realitinya apabila majlis berlangsung ulamak sahaja ditatang seperti minyak penuh. Para pesilat dan pendekar dipanggil beramai-ramai untuk memeriahkan tetapi sekadar  dijadikan orang bawahan. Setakat buat persembahan silat seperti menghadap raja sehari dalam perkahwinan, ulamak seperti menjadi raja. Mereka kemudian sekadar didudukkan bersila di hadapan atau sisi, atau berdiri di belakang ulamak. Seolah-olah tiada antara mereka yang layak duduk bersama atas kerusi sebaris dan setaraf dengan ulamak.




Walaupun saya sendiri lebih suka mengkehadapankan diri sebagai seorang pemikir ketamadunan Melayu Islam yang sering bercerita tentang sejarah lalu memendamkan latar belakang lama yang sudah tahu bersilat malah bermain batin sejak tahun 70an pada saya patut ada dalam kalangan orang lama silat, kalau tidak pun para pemimpin persatuan yang sepatutnya didudukkan setara dengan orang-orang penting dalam mana-mana majlis baik melibatkan ulamak mahupun umarak. 

Yang tak boleh setara adalah kalau ada raja yang bertakhta turut hadir dalam majlis. Ulamak pun patut tahu adab. Jangan diminta didudukkan setara dengan raja kecuali raja sendiri meminta begitu. Itupun tentunya bagi ulamak tertentu seperti guru mursyid raja, bukan sebarang ulamak. Saya lihat ulamak sekarang ramai sudah terlebih dijunjung tinggi sehingga ada yang boleh dilihat dengan mata kasar lupa diri, tak perlu melihat dengan mata batin. 




Dalam sesebuah kerajaan ada aturan yang perlu menghormati raja sebagai kepala kerajaan diikuti orang-orang besar sebagai wakil raja dan ketua-ketua masyarakat. Guru-guru tua yang menjadi rujukan masyarakat biasanya bukan sekadar tahu ilmu bersilat. Mereka juga ulamak malah mungkin bertaraf arif bilah dan mursyid lalu ada kedudukan dalam kalangan aturan orang besar sekurang-kurangnya dalam satu majlis yang tahu adab sopan keMelayuan.

Sebetulnya sejak HIKMAH dimulakan penghujung tahun 2012 kami sudah berbuat begitu. Sementara orang lain masih terkial-kial lagi hendak menghubungkan ulamak dengan pendekar  kami sudah melakukannya dalam majlis sejak awal 2013 malah disertakan dengan satu perbarisan berkenaan. Lihat sahaja perjalanan majlis-majlis kami yang terdahulu melalui artikel-artikel kompilasi berikut :-