Bersambung daripada artikel Majlis Kota Sufi di Masjid Sri Sendayan.
Selain majlis Kota Sufi poster tentang satu majlis lain di atas turut berkumandang di media sosial buat beberapa lama. Maka apabila telah merancang untuk balik kampung di Muar selepas mengambil isteri habis kursus di Port Dickson tengah hari Sabtu 26 Ogos 2023 saya pun berazam untuk ke sana. Ini kerana lokasinya adalah dalam perjalanan ke Muar. Dan yang menganjurkan pula seorang sahabat seperjuangan dalam dunia persilatan dan busana tradisional Melayu.

Apapun asalnya ia dipromosikan sebagai satu majlis yang mahu menggabungkan kehadiran para ulamak dengan pendekar. Setelah beberapa lama didapati nama majlis diubah nama menjadi "Karnival Mega Wasilah Cinta Ambang Merdeka Melaka 2023". Penekanan nampaknya lebih diberikan kepada ulamak walaupun komponen-komponen melibatkan pendekar, guru silat dan pesilat masih banyak mengisi. Cuma kelihatan seperti pada banyak majlis melibatkan ulamak dan pesilat yang pernah dihadiri dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, pesilat kelihatan seperti dijadikan lebih pada penghias acara, para pengiring ulamak dan sebagainya. Bukan ketua-ketua yang ada kedudukan dalam masyarakat.
Sebetulnya saya ada melihat dan mengekori perkembangan pengaturan acara seperti diwar-warkan di media sosial sejak sebulan kebelakangan. Saya melihat baru dalam 2 minggu kebelakangan kehadiran ulamak diangkat sehingga seperti jauh mengatasi komponen-komponen melibatkan orang silat yang sudah diwar-warkan sebulan lebih awal.
Kelihatan tarikan utama adalah seorang ulamak muda yang disebut namanya sebagai Saiyid Muhammad Amin.
Beliau adalah Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW daripada belah Saidina Hassan yang merajai negara Maghribi atau Morocco.
Kebetulan ketika saya dan keluarga sampai sekitar jam 6.45 petang, setelah membuat beberapa persinggahan dari arah Port Dickson, beliau yang lebih dikenali sebagai Maula Muhammad Amin sedang menunggang kuda menuju ke pintu keluar tempat acara iaitu Hang Tuah Centre di Kampung Duyong.
Selepas beliau beredar menaiki sebuah kereta mewah baru kami melihat ke dalam...
Sebetulnya banyak pengisian telah dibuat untuk majlis. Saya dan keluarga cuma sempat mengikuti sedikit sahaja termasuk sesi Maulidur Rasul waktu malam.
Pada pengamatan saya penganjuran telah bertukar tangan.
Walaupun jarang berjumpa saya cukup kenal dengan sahabat yang disebut sebagai penganjur awal. Saya tahu kegigihan beliau dalam menjayakan suatu acara serta rangkaian kenalan termasuk orang-orang besar di Melaka
Kelihatan seperti beliau bertanggungjawab bagi mendapatkan penyertaan ramai golongan pesilat dan sejumlah golongan atasan. Tetapi akhirnya orang lain mengambil alih bagi menentukan pengisian dan arah tuju muktamad majlis. Beliau sekadar menjadi orang yang bertanggungjawab menyediakan tempat serta latar belakang atau set up yang diperlukan agar ia kelihatan grand.
No comments:
Post a Comment