Salam semua. Adapun kali terakhir blogspot HIKMAH ini dikemaskinikan adalah apabila artikel Majlis Silat dan Selawat 1444 di Selayang dipersembahkan pada 27 November 2022 iaitu hampir 9 bulan lalu. Kali terakhir acara HIKMAH diadakan pula adalah pada 3 tahun setengah lalu. Lihat Acara kedua puluh dua HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Kuala Lumpur 22 Februari 2020. Sekarang baru ada berita yang 'mewajibkan' agar blogspot ini dikemaskinikan. Dan ia adalah tentang acara terbaru HIKMAH yang insyaallah akan diadakan dalam tempoh kurang 3 bulan dari sekarang...
Gambar ini diambil ketika majlis pelancaran dirham HIKMAH di pusat seni dan makan minum Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak pada 29 Julai 2017. Lihat artikel Pelancaran dirham HIKMAH - Bermulanya fasa baru mendaulatkan Melayu dan Islam. Ia berlaku sebagai satu komponen 'tumpang' bagi program "Sireh Pulang ke Gagang" yang dianjurkan oleh Sarang. Program itu sendiri sebenarnya berlangsung sebagai ganti bagi permintaan oleh pemilik iaitu sutradara filem terkenal arwah Mamat Khalid agar satu acara HIKMAH diadakan di tempat beliau. Permintaan disuarakan oleh arwah pada penghujung tahun 2016. Lalu artikel bertajuk Cadangan acara HIKMAH di Sarang Art Hub dan lain-lain tempat - Langkah untuk mengintegrasikan diri lama yang keBaratan? pun disiarkan 5 Januari 2017 bagi menyatakan komitmen.
Mamat pernah menghadiri beberapa acara HIKMAH, pertama kali di Melaka hampir 10 tahun lalu di mana hadirin diminta untuk membuat cadangan isi terbaru filem beliau (lihat Acara ketujuh HIKMAH di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 Nov 2013). Rupa-rupanya sambil itu beliau juga merancang untuk mengadakan acara sendiri yang memakai sebahagian konsep HIKMAH. Jadilah apa yang dipanggil sebagai "Anjung Tradisi" pada 25-26 Februari tahun 2017. Ia lebih menumpukan pada konsep budaya yang mana pemakaian busana tradisional Melayu, berkeris, bersampin dan bertanjak dan persilatan lebih diutamakan berbanding HIKMAH yang ada semua itu tetapi lebih menonjolkan perkongsian ilmu bersifat intelektual bagi mengangkat tinggi sejarah dan ketamadunan Melayu.
Dengan itu saya melihatnya sebagai alat menuju ke aspirasi tinggi HIKMAH. Lihat Malam Anjung Tradisi di Sarang Art Hub - Satu langkah persediaan untuk menyambut HIKMAH di sana. Kemudian berlaku hal-hal tertentu ketika berada di Aceh bagi penganjuran acara ke-20 HIKMAH (lihat Acara kedua puluh HIKMAH di Rumah Cut Nyak Dhien, Aceh 19 Mac 2017). Ini membuatkan saya memutuskan tidak mahu mengadakan apa-apa lagi acara HIKMAH. Lalu tertulislah artikel Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? pada 21 April.
Namun saya tetap merasa bertanggungjawab untuk menunaikan permintaan Mamat tetapi dengan cara lain. Dengan itu berlangsunglah acara "Sireh Pulang ke Gagang" pada 29 Julai. Butiran bagaimana ia boleh terjadi ada dinukilkan dalam artikel Program "Sireh Pulang ke Gagang" di Sarang Art Hub sebagai ganti acara HIKMAH. Walaupun melepaskan tanggungjawab bagi menjayakan acara keseluruhan kepada pihak lain saya tetap berusaha untuk menjayakan komponen utama acara iaitu satu forum pada malamnya. Lihat Forum "Busana di dalam Filem Klasik Melayu" - Menetapkan piawaian baru untuk filem-filem akan datang.
Setahun setengah kemudian baru tergerak untuk kembali mengadakan acara penuh. Berlakulah Acara kedua puluh satu HIKMAH di Kompleks Makam Sultan Malikus Saleh membawa ke Muzium MAPESA/Pedir, Aceh 1-3 September 2019 diikuti Acara kedua puluh dua HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Kuala Lumpur 22 Februari 2020. Sementara itu Mamat yang turut mengadakan pelbagai acara dengan bermacam tema seni moden dan lama terus bergerak dengan Anjung Tradisi. Jadilah acara kedua atas nama sama pada 27 Januari 2018 diikuti ketiga pada 18 Disember 2021. Lihat Anjung Tradisi 2018 di Sarang Art Hub - Mengomel sikit tentang keMelayuanlah pulak... diikuti Pantai Timur penghujung 2021 - Membuka secara tradisi di Sarang Art Hub di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Acara ketiga berlangsung dalam keadaan Mamat baru sekitar 2 bulan mengembuskan nafas terakhir kerana masalah kesihatan. Ia telah dirancang sebelum itu lagi lalu diteruskan oleh waris-waris. Tidak pasti jika Sarang Art Hub ada menganjurkan lagi apa-apa acara sebegitu selepas itu. Yang pasti PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi mengekang penularan wabak virus Covid-19 yang bermula 18 Mac 2020 telah menyebabkan apa-apa acara melibatkan orang ramai dilarang sehinggalah dilonggarkan dalam 2 tahun kemudian.
Pada 12 Mac 2023, sekembalinya saya, isteri, anak dari satu perjalanan ke selatan Thailand menggunakan kereta api (lihat Kompilasi cerita perjalanan selatan Thailand penghujung 2022), kami yang meninggalkan kereta di Tanjung Malim lalu mengambil kembali di sana telah singgah ke Sarang lalu balu arwah Mamat Khalid yang kami panggil sebagai Kak Intan bertanya jika kami ada merancang untuk mengadakan apa-apa acara? Beliau menawarkan Sarang sebagai tempat. Tetapi ketika itu saya cuma tersenyum sahaja, tidak menyatakan apa-apa.
Ketika itu saya masih menunggu peperiksaan lisan bagi tesis saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) diadakan. Saya juga sedang sibuk dengan penulisan akhir buku ke 13+1 (buku pertama setelah siap penulisan tesis, buku sebelum itu iaitu yang ke-13 dimulakan sebelum masuk ISTAC September 2018) iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad : Perjuangan yang Belum Selesai. Bila peperiksaan diadakan 24 Mac lalu lulus diikuti buku siap untuk dihantar ke kilang percetakan 13 April baru timbul rasa boleh dibuat acara ke-23 HIKMAH di Sarang Art Hub. Terus terfikir tarikh yang sesuai adalah hari Sabtu 23 September (23.9.23).
Pun begitu saya harus menjayakan dahulu penerbitan buku. Alhamdulillah ia dapat dilancarkan pada 13 Mei. Lihat artikel-artikel berikut :-
1. Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Persediaan dalam kegelisahan
No comments:
Post a Comment