Merujuk pada artikel Misi HIKMAH Chenor - Menggamit rasa "Aliran Sungai Pahang" yang dipersembahkan beberapa jam lalu, saya ada menyebut begini :-
Kami ke Chenor untuk membincangkan penganjuran acara ke-14 HIKMAH di sana 9 Mei ini. Lihat artikel HIKMAH Beruas ditunda ke 6 Jun menjadi acara ke-15 dan terakhir, HIKMAH Seri Menanti ganti menjadi acara ke-13 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Oh, artikel yang dibuat pada 11 Februari lalu ini merupakan kali terakhir saya menyebut tentang HIKMAH di Chenor dalam blogspot itu. Selepas itu saya memberikan tumpuan penuh untuk melaksanakan acara di Negeri Sembilan. Lihat Acara ketiga belas HIKMAH di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, Negeri Sembilan 4 April 2015,
Bila segala yang perlu diceritakan tentang acara ke-13 itu selesai 12 hari lalu baru saya berkongsi perkembangan terbaru tentang acara di Chenor, itu pun setakat di Facebook. Hinggakan pertukaran tarikh daripada 2 Mei menjadi 9 Mei pun belum dikongsikan lagi di blogspot HIKMAH. Untuk pengetahuan, kawan tersebut bertindak sebagai wakil penganjur tempatan kerana memiliki ramai saudara mara di Chenor. Beliaulah yang mencadangkan agar satu acara HIKMAH dibuat di situ. Saya menerimanya apabila mendapat gerak hati bahawa selepas bertandang ke Negeri Sembilan acara HIKMAH seterusnya mesti dibuat di Pahang berdekatan aliran Sungai Pahang. Lihat artikel Acara ke-15 HIKMAH di Chenor, Pahang 2 Mei, penutup kalendar 2015... (ditulis 3 bulan lalu). Ketika itu saya menjangkakan ia akan menjadi acara terakhir HIKMAH sekurang-kurangnya untuk tahun 2015...
Adapun pengumuman penundaan tarikh daripada 2 Mei menjadi 9 Mei sebenarnya telah saya buat di FB pada 9 April iaitu tepat 2 minggu lalu. Selepas itu iaitu bermula 13 April saya berkongsi beberapa perkembangan baru melalui media itu juga terutama tentang senarai pembentangan dan tajuk yang telah diperolehi pada suatu masa. Terkini iaitu pada 16 April tepat seminggu lalu senarai pembentangan yang sudah dapat 5 tajuk dan pembentang dalam tempoh 3 hari sebelumnya susut menjadi 4. Ini kerana seorang cucu dan waris pejuang Melayu Pahang terkenal Mat Kilau iaitu Cikgu Alhamadi memberitahu beliau tidak jadi membentang "Pengkisahan Mat Kilau" kerana baru mendapat arahan agar menghadiri program jabatan pada 9-10 Mei (beliau seorang guru).
Slot yang tinggal 4 itu adalah seperti berikut :-
1. Hindu dan Buddha berasal daripada agama Islam - Pelita Di Dalam Kaca (nama pena), bekas pensyarah Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis yang telah menulis beberapa buah buku
2. Lembah Bama Pusat Tamadun Melayu Silam - Dr Aminuddin Abdul Karim, seorang pakar ICT yang turut minat mengkaji sejarah
3. Dinar, Dirham dan Pertanian Fitrah - Ahmad Afifi Sulaiman, aktivis dan pengamal dinar dan dirham
4. Amalan Pejuang Pahang : Antara Silat dan Tasawuf – Pendita Azlan Ghanie, Presiden Persatuan Guru-guru Seni Beladiri Malaysia (MAGMA) dan pengasas Silat Lok 9
Hal ini saya nyatakan semasa mesyuarat di Chenor. Cuma dalam artikel Misi HIKMAH Chenor - Menggamit rasa "Aliran Sungai Pahang" tidak disebut apakah yang dibincangkan selain cadangan untuk membuat perarakan daripada masjid ke rumah bersejarah atau warisan selepas Asar. Mengambil kira cadangan yang saya terima sebelum mesyuarat, misalnya daripada Pendita Azlan Ghanie agar Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato Seri Wan Wahid diundang untuk berkongsi ilmu, persatuan Warisan Chenor sebagai penganjur tempatan pun bersetuju untuk mendapatkan beliau. Ini tentunya amat bersesuaian apa lagi apabila saya menyedari baru tadi bahawa Wan Wahid juga menyandang jawatan Orang Kaya Indera Pahlawan yang secara tradisionalnya berkuasa ke atas wilayah Chenor, satu antara orang besar empat Istana Pahang.
Selain itu mereka juga akan berusaha mendapatkan seorang anak Pahang untuk bercakap tentang permainan gendang sana. Sekembalinya saya ke rumah pula seorang pembentang yang dikenali sebagai Pelita Di Dalam Kaca meminta agar tajuk pembentangan beliau ditukar daripada "Hindu dan Buddha berasal daripada agama Islam" menjadi "Mengenal Allah Melalui Agama Purba". Mengambil kira semua hal ini bolehlah atur cara ringkas juga senarai terbaru pembentangan diletak seperti di bawah. Sebetulnya atur cara tersebut telah dibuat lebih seminggu lalu apabila saya mengeluarkan surat rasmi undangan kepada pembentang. Sekarang baru dikongsikan kepada umum. Cuma bezanya dahulu saya meletakkan Sesi Berkumpulan di mana peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan menurut minat seperti Perkerisan, Persilatan dan sebagainya untuk mengisi masa selepas Asar. Kini ia ditukar menjadi sesi perarakan ke rumah lama (rujuk artikel Rumah bersejarah (Historical house of) Chenor di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART))...
ATUR CARA RINGKAS
8 - 9 : Kedatangan tetamu
9 - 10 : Pembukaan –
Ucapan-ucapan aluan dan sebagainya
10 - 12.30 - Sesi
pembentangan tengah hari
Rehat makan tengah hari/Zohor
2 - 4.30 : Sesi
pembentangan petang
Rehat minum petang/Asar
5.15 : Berarak ke Rumah Warisan Chenor lalu menyambung aktiviti secara lebih santai di sana. Peserta/hadirin boleh bersilat, berseloka, bermuzakarah, main panah dan sebagainya.
SENARAI PEMBENTANGAN
1. Mengenal Allah Melalui Agama Purba - Pelita Di Dalam Kaca (nama pena), bekas pensyarah Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis yang telah menulis beberapa buah buku
2. Lembah Bama Pusat Tamadun Melayu Silam - Dr Aminuddin Abdul Karim, seorang pakar ICT yang turut minat mengkaji sejarah
3. Dinar, Dirham dan Pertanian Fitrah - Ahmad Afifi Sulaiman, aktivis dan pengamal dinar dan dirham
4. Amalan Pejuang Pahang : Antara Silat dan Tasawuf – Pendita Azlan Ghanie, Presiden Persatuan Guru-guru Seni Beladiri Malaysia (MAGMA) dan pengasas Silat Lok 9
5. Sejarah Chenor Menurut Kaca Mata Istana Pahang - Dato Seri Wan Wahid, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang juga Orang Kaya Indera Pahlawan
6. Gendang Pahang : Semangat dan Gerak - seorang anak Pahang
Nota : Pembentangan yang mana dahulu mana kemudian belum ditetapkan. Secara rata 3 pembentangan akan mengisi sesi pagi/tengah hari dan 3 lagi pembentangan sesi petang. Setiap pembentang diberi masa 30-40 minit. Selebihnya adalah untuk soal jawab.
Selain apa yang sudah dinyatakan untuk mengisi hari Sabtu, terpulanglah bagi pihak Warisan Chenor untuk menambah apa-apa sahaja yang difikirkan perlu untuk memeriahkan lagi acara. Kalau mahu mereka boleh mengadakan karnival yang bermula lebih awal mengambil kesempatan atas Pekan Sari Chenor yang diadakan setiap Khamis. Mereka boleh meneruskan sehingga Ahad apa lagi dijangka sejumlah hadirin akan terus berada di Chenor pada hari itu untuk menikmati suasana enak persekitaran...
Mereka malah boleh memberikan nama sendiri untuk acara, cuma pihak saya sahaja yang terus mewar-warkan nama HIKMAH Chenor : Aliran Sungai Pahang mengambil kira gerak kerja kami yang sebenarnya bersambung dengan acara-acara HIKMAH terdahulu. HIKMAH Chenor ini memang bersambung pun dengan acara sebelumnya iaitu di Negeri Sembilan. Lihat Acara ketiga belas HIKMAH di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, Negeri Sembilan 4 April 2015. Untuk makluman di sana, HIKMAH menjadi pengisian dalam program lebih panjang yang dipanggil Konvensyen Anak Melayu. Formula serupa boleh diulang di Chenor.
Semoga acara terbaru HIKMAH ini dapat memberikan rasa kemeriahan, juga menaikkan semangat Melayu dan Islam orang Pahang. Oh, sedikit tentang makanan. Seperti biasa pada setiap acara HIKMAH sarapan, makan tengah hari dan minum petang percuma akan disediakan yang mana ini merupakan tanggungan Warisan Chenor sebagai penganjur tempatan. Cuma untuk lauk ikan patin masak tempoyak yang dicadangkan seorang pembaca di FB saya diberitahu mereka setakat sedia menjamin hidangan tersebut untuk sejumlah orang terutama pembentang dan pihak urus setia, bukan semua orang. Ini kerana ikan patin bukannya murah. Dan menurut keadaan sekarang di mana paras air Sungai Pahang sedang menurun, ditakuti bekalan ikan patin tidak mencukupi menjelang majlis.
Secara rata saya telah meminta penganjur tempatan menyediakan makanan percuma untuk 100 orang peserta dengan keutamaan diberikan kepada tetamu luar. Untuk menampung keperluan jika muncul lebih ramai orang gerai-gerai makanan dan minuman akan dibuka. Selain itu dan seperti biasa pada setiap acara HIKMAH, mereka yang ingin berniaga dijemput berbuat begitu tanpa perlu membayar apa-apa. Kami juga membuka ruang untuk mana-mana pihak membuat persembahan silat, maulud, bergendang dan sebagainya.
Harus dinyatakan juga bahawa tarikh HIKMAH Chenor 9 Mei 2015 itu harus bersamaan 20 Rejab 1436 Hijriah. Ini adalah seminggu sebelum sambutan Hari Israq dan Mikhraj 27 Rejab. Maka itu apalah salah menyambut hari atau lebih tepat, malam penuh berkat dan keajaiban itu di Chenor? Mungkin ini boleh diadakan dengan bacaan tahlil, juga sedikit pengkisahan di rumah warisan kalau tidak pun di mana-mana masjid berdekatan.