Salam semua. Hari ini 9 April 2015 bersamaan 19 Jamadil Akhir 1436 molek sungguh rasanya dibuat artikel ke-191 di blogspot ini. Cerita-cerita tentang apa yang berlaku sekitar majlis HIKMAH Seri Menanti sudah pun siap disajikan beberapa hari kebelakangan sehingga jumlah artikel di sini mencapai 190. Sekarang sampai giliran untuk berkongsi lebih lanjut isi pembentangan majlis.
Pembentangan-pembentangan lain hari Sabtu juga saya tidak miliki slaid penuh dan bukan hak saya untuk menyiarkannya., Maka itu kita terus pergi kepada pembentangan terakhir majlis, pembentangan yang dibuat oleh saya. Oh, kata-kata pembukaan di atas mula ditulis pada jam 9.55 pagi. Memang kena sangatlah itu artikel ke 191 dimulakan jam 9.55 pada 9 April bersamaan 19 Jamadil Akhir, 5 hari selepas acara selesai 4 April...
Pembentangan diberi tajuk "Jalan Penarikan - Membuka Laluan Lama". Adapun "Membuka Laluan Lama" itu adalah tajuk untuk acara HIKMAH kali ini, HIKMAH Seri Menanti yang merupakan acara ke-13 daripada kami.
Apakah yang dimaksudkan dengan laluan lama? Apa pula yang dibuka? Sebetulnya dalam konteks majlis ia membawa dua makna. Satu adalah laluan lama ilmu kerana kami memaparkan 2 kertas kerja yang pernah menyerikan 2 acara terawal HIKMAH 2 setengah tahun lalu. Mengulanginya pada majlis ini adalah seperti membuka laluan lama. Kami buat ini kerana terdapat lebih 100 pelajar universiti menyertai majlis di Seri Menanti, mereka-mereka yang tidak pernah datang ke mana-mana majlis HIKMAH sebelum ini lalu harus dibuka pengenalan tentang misi kami.
Kedua adalah laluan lama yang wujud tidak jauh daripada Seri Menanti. Perhatikan peta di atas, semasa majlis saya boleh menunjukkan dengan anak panah cursor atau bangkit ke hadapan skrin lalu menunjukkan lokasi dengan jari. Slaid ini tidak ditanda tetapi cukup terang boleh kelihatan nama Seri Menanti di bawah kiri. Kalau tak terang boleh buka dalam Windows baru lalu mendapat paparan saiz penuh. Ke kanan sedikit daripada tempat yang kelihatan nama Seri Menanti itu adalah lokasi majlis iaitu di Ladang Alam Warisan.
Adapun dalam kawasan ladang terdapat Sungai Seri Menanti yang airnya mengalir masuk ke Sungai Muar. Maka itu orang dahulukala biasa masuk ke Seri Menanti melalui laluan Sungai Muar. Saya malah diberitahu oleh ibu kepada pemilik ladang bahawa nenek moyang mereka yang berasal dari Pagar Ruyung di Sumatera masuk mengikut laluan ini. Tetapi mereka telah 'terlajak' dahulu ke Pahang sebelum datang ke Seri Menanti, maka itu suku kaum mereka dikenali sebagai Seri Lemak Pahang (Seri Lemak itu katanya merujuk pada tempat asal suku di sekitar Pagar Ruyung).
Bagaimana pula boleh terlajak ke Pahang? Nah. Sekarang baru kita boleh masuk ke bahagian utama laluan lama. Tumpukan perhatian pada kanan atas peta di mana kelihatan tempat atau lebih tepat, bandar bernama Bahau. Ke kiri sediki ada Kampung Jambu Lapan...
Zoom in ke kawasan tersebut. Nampak tak nama Kampung Jambu Lapan? Di kirinya ada Kampung Jempol. Ke bawah ada ditanda nama Sungai Muar. Sungai Muar ini mengalir melalui Kampung Jempol. Di situ ada pertemuan Sungai Jempol dengan Sungai Muar. Sungai Jempol pula melalui kawasan ke utara jalan yang kelihatan. Ke utara lagi kelihatan sungai lain iaitu Sungai Serting, sungai yang airnya mengalir masuk ke Sungai Bera kemudian Sungai Pahang...
Sambungan dari Sungai Muar masuk ke Sungai Jempol, dari Sungai Jempol mendekati Sungai Serting (ada jarak terdekat sekitar 300 meter atas darat antara kedua sungai itu), dari Sungai Serting masuk ke Sungai Bera lalu ke Sungai Pahang inilah membentuk satu laluan lama yang sering digunakan untuk bergerak dari Pantai Barat Semenanjung ke Pantai Timur dan sebaliknya. Pada bahagian 300 meter atas darat itu kapal ditarik, kalau tak salah dengan cara meletakkan balak bawah kapal agar ia boleh ditarik dengan lebih lancar, Maka laluan ini dikenali sebagai Jalan Penarikan...
Menariknya ada peta lama malah menggambarkan Sungai Muar terus bersambung dengan Sungai Pahang sehingga Semenanjung putus di bahagian berkaitan! Apakah itu keadaan muka bumi di sini pada suatu waktu yang lampau? Tak mustahil. Cuma setakat saya baca dalam sejarah yang diketahui orang kapal perlu ditarik atas darat antara Sungai Jempol dan Sungai Serting.
.
Adapun saya sudah sampai ke tempat-tempat ini beberapa kali. Sekarang biarlah ditunjukkan tempat-tempat dengan lebih dekat. Biar digunakan gambar-gambar daripada lawatan pertama saya ke Jalan Penarikan awal 2008. Ketika itu saya baru memulakan satu perjalanan pusing sepertiga Semenanjung. Dari Kuala Lumpur pergi ke kawasan ini di Negeri Sembilan kemudian baru masuk Pahang lalu naik ke Terengganu dan Kelantan. Ia adalah komponen ketiga daripada pengembaraan seluruh Semenanjung yang dibuat selepas selesai menyajikan 3 buka pertama saya, siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" (terbit Jun 2006 - November 2007).
Sila rujuk
sidebar kiri
blogspot CATATAN SI MERAH SILU,
scroll ke bahagian tengah, cari tajuk "Siri pengembaraan setelah trilogi siri BKA siap disajikan...". Tersenarai di bawahnya beberapa artikel di bawah tajuk kecil "Bahagian selatan (Johor)" diikuti "Bahagian Utara (Kedah dan Perak)" kemudian baru "Bahagian Timur (Pahang, Terengganu, Kelantan tapi bermula di Negeri Sembilan!)". Di bahagian terakhir itulah ada cerita tentang perjalanan ke Jalan Penarikan awal 2008. Ketika itu saya sudah bertahun selalu menaiki kenderaan awam atau
hitchike menumpang kenderaan orang.
Sebetulnya saya sampai ke kawasan ini lewat malam lalu mula meneroka persekitaran Tetapi bila siang baru dapat diambil gambar sambil mengulang perjalanan dan masuk lebih dalam. Kelihatan di papan tanda sebelah pintu gerbang Kampung Jambu Lapan lukisan ringkas laluan Jalan Penarikan. Pintu gerbang boleh kelihatan ke selatan tepi jalan utama Kuala Pilah ke Bahau.
Masuk ke dalam kampung sekitar 1-2 km lalu kelihatanlah replika keris besar dengan papan maklumat...
Menariknya, diberitahu bahawa kawasan persekitaran yang dipanggil Jempol diterokai oleh 9 keluarga daripada Pasai (terletak dalam Aceh sekarang) diketuai seseorang yang dikenali sebagai Datuk Sempedang. Oh, ketika masuk waktu malam saya telah bertemu sekumpulan pemancing lalu diperkenalkan dengan ketua kampung berdekatan. Ketua kampung memberitahu 9 orang keluarga itu datang selepas berlaku peristiwa ombak besar Tsunami yang meranapkan kampung halaman mereka.
Peristiwa ini katanya berlaku sebelum Kesultanan Melayu Melaka muncul (merujuk pada kiraan lama Melaka berdiri tahun 1400an, sedangkan tahun 2010 iaitu lebih 2 tahun selepas perbualan ini kerajaan negeri Melaka mengisytiharkan ia diasaskan tahun 1262 iaitu berdasarkan kiraan baru). Dia menambah, sebenarnya yang berhijrah dari Pasai itu lebih ramai keluarga. Tetapi ada yang memilih untuk turun lebih awal sepanjang laluan Sungai Muar lalu membuka penempatan lain.
Pertemuan Sungai Muar dengan Sungai Jempol. Yang dikiri itu Sungai Muar.
Dari situ saya menghala ke utara melepasi ladang kelapa sawit menyusuri Sungai Jempol (ke kiri luar gambar).
Kelihatan jambatan menyerangi sungai, jambatan jalan utama Kuala Pilah ke Bahau.
Di seberang jalan kelihatan masjid ini, kalau tak salah ingatan Masjid Jamek Jempol. Di situlah saya bermalam sebelum membuat perjalanan siang hari.
Sungai Jempol mengalir melalui sisi timur masjid. Untuk mengikuti laluan saya harus melepasi satu taman perumahan di barat masjid lalu sampai ke tanah perkuburan ini.
Selepas kubur kelihatanlah Istana Serting yang kalau tak salah dibina atas laluan darat tempat kapal ditarik 300 meter dari Sungai Jempol ke Sungai Serting. Gambar ini menunjukkan pagar istana di kanan. Untuk mengikuti jalan kapal ditarik saya tidak boleh masuk istana tetapi boleh menyusuri sedekat mungkin melalui tepian pagar.
Masuklah saya ke dalam ladang kelapa sawit diikuti hutan belukar.
Selepas beberapa lama terjumpalah Sungai Serting. Baru terasa puas hati kerana telah dapat menyusuri laluan ini dengan berjalan kaki sejauh mungkin. Selepas itu saya pun mengorak langkah ke Bahau kemudian masuk ke negeri Pahang menaiki kenderaan awam. Perjalanan diteruskan hingga ke Pekan yang terletak di Sungai Pahang, jadi memang saya betul-betul menyusuri Jalan Penarikan walau tidak melalui sungai.
Sebetulnya semasa majlis saya juga berkongsi beberapa pengalaman, antaranya terjumpa kubur-kubur lama yang dipercayai milik tentera Siam yang pernah menyerang Melaka melalui jalan ini. Saya juga menceritakan tentang seorang manusia pelik yang ditemui di tepian kubur (kubur yang kelihatan pada gambar sebelum ini) tengah malam ketika keluar dari masjid tempat menginap akibat tidak sabar mahu melihat persekitaran. Apakah orang itu sebenarnya hantu Siam? Turut diceritakan adalah satu mimpi lama yang berlaku sekitar 10 tahun sebelum pertama kali sampai ke Jalan Penarikan. Apapun semua ini boleh dibaca dalam penulisan lama saya. Sila masuk artikel-artikel berikut :-
OK. Kita lihat balik peta besar yang menunjukkan laluan Jalan Penarikan. Yang terang komponen utama laluan adalah Sungai Muar dan Sungai Pahang. Semasa ceramah saya mencadangkan agar hadirin masuk ke
blogspot berbahasa Inggeris saya,
BERPETUALANG KE ACEH untuk rujukan. Pada
sidebar kanan, ke bawah sedikit daripada atas ada segmen bertajuk "Fascination with rivers". Ada ditunjukkan peta Semenanjung dengan 33 sungai utama pilihan ditanda diikuti artikel-artikel menunjukkan gambar-gambar sungai daripada beberapa sudut dan tempat dengan sedikit ulasan. Ini dibuat menggunakan gambar-gambar yang saya ambil sendiri di lokasi. Setiap senarai menurut sungai dimulakan daripada bahagian paling hulu pernah saya capai sehingga ke kuala sungai.
Untuk Sungai Muar sahaja ada 25 artikel (saya mungkin sudah terlajak menysebut 30 artikel ketika pembentangan), untuk Sungai Pahang ada 22. Anda boleh lihat rupa sungai daripada pelbagai sudut dan tempat. Padankan sendiri yang mana termasuk di dalam Jalan Penarikan. Di sini biar dicopy paste links untuk artikel-artikel tersebut...
Sungai Muar
Sungai Pahang
Cukuplah ya artikel ke-191 ini. Sekian terima kasih, Wassalam. :]
Sejarah sangat berharga ia perjalanan manusia di titian masa
ReplyDeleteBanyak yang ingat banyak yang lupa
Yang hilang lesap selamanya
Alhamdullilah ada cendikiawan bangsa
merencana untuk di tatap di pusakai bangsa
dan juga manusia keseluruhan nya
Moga di Rahmati Allah subhanahu wataala
Yang abadi selama nya
Kalau mahu boleh ikut serta, dalam perancangan saya sebenarnya, Disember 2019, saya akan menyusuri sungai dari Muar ke Pekan, mengikuti laluan ini menggunakan motorised canoe
ReplyDelete