Terbitnya HIKMAH



Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.


HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.


Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.


Permintaan-permintaan sebegitu terus muncul daripada pihak-pihak lain lalu kami cuba mencari cara untuk melaksanakannya. Begitulah kami di HIKMAH. Siapa sangka acara yang asalnya mahu diadakan sekali sahaja iaitu pada 4 November 2012 boleh bercambah menjadi satu siri jelajah yang ditunggu-tunggu umat Melayu dan Islam serata Malaysia malah dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia? Untuk melihat atau menelaah apa yang telah dibuat HIKMAH sila klik pautan berikut...




















Friday, April 26, 2019

Sidang menolak PPSMI bersama Profesor Awang Sariyan dan para pejuang bahasa

Merujuk kepada artikel Haul Tok Pulau Manis - Kemuncak zikir dan maulud Nisfu Sya'aban. Apabila diri yang hina dimuliakan seorang ulamak besar Tasawuf yang dipersembahkan awal pagi Khamis. Ini ada satu cerita yang boleh menjadi satu macam kesinambungan daripada majlis haul di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu 19-20 April.


Petang Sabtu lepas 20 April 2019, ketika masih berada di majlis haul saya menerima WhatsApp daripada tokoh pejuang bahasa, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan berbunyi begini :-


Pemakluman awal: Sidang media pembentangan hasil kajian penolakan PPSMI akan diadakan pada 23.4.19, Selasa, 12 tengah hari di Wisma Majlis Perundingan Melayu, Jalan Ledang, Kuala Lumpur. Mohon kehadiran pemimpin  semua badan pejuang bahasa dan pendidikan kebangsaan (persatuan dan institusi/agensi). Kehadiran individu pejuang turut dialu-alukan. Allahuakbar!


Untuk pengetahuan beliau adalah pensyarah saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam) dalam subjek Tamadun Melayu Islam semester lalu. Turut diterima senarai berikut lalu beliau meminta saya memanjangkan dengan menambah nama :-


Senarai pejuang yang mengesahkan kehadiran dalam Sidang Media Pembentangan Laporan Kajian PPSMI, 23.4.19, pukul 12 tengah hari:

1. Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron
2. Dato' Raof Husin
3. Dato' Dr.Hasan Mad
4. Awang Sariyan
5. Prof. Supyan Hussin
6. Puan Zaharah Sulaiman
7. Kamal Shukri Abdullah Sani
8. Dato' Ibrahim Ghafar
9. Zairudin Hashim
10.Cikgu Zai Mustafa
11.Cikgu Azmi Hamid/wakil TERAS
12.Wakil Utusan Melayu
13.Wakil Berita Harian
14.Wakil Harian Metro


Saya jawab : "Tak boleh janji Prof" memandangkan sedang berada jauh lebih 450 km dari rumah. Takut apabila kembali yang dijangka sampai lewat Ahad malam Isnin saya sudah terlalu penat lalu perlu berehat sepanjang hari. Kepenatan mungkin berlanjutan hingga keesokan harinya kerana saya harus memandu kereta lebih 1,000 km meliputi banyak tempat dalam keadaan sedang menunaikan puasa sunat setiap hari sejak masuk bulan Rejab. Beliau pun meminta agar dimewar-warkan majlis kepada para pejuang Melayu Islam yang lain.


Awang tahu saya adalah seorang aktivis kedaulatan Melayu Islam lalu memiliki ramai kenalan sealiran kerana pernah membuat satu kerta kerja ala-ala tesis lebih 6,000 perkataan tentang HIKMAH - Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman, Diberi tajuk "HIKMAH – Satu Gerakan Intelektual Melalui Jaringan Sosial Internet untuk Memartabatkan Agama, Bangsa dan Negara" ia dibuat sebagai assignment terakhir (lupa pula apakah perkataan Melayu untuk assignment.) untuk kelas beliau. Petang Isnin 22 April, setelah lebih 12 jam berada di rumah iaitu sekembalinya dari Terengganu baru terasa boleh menghadiri majlis pada tengah hari Selasa 23 April. Saya pun memberitahu beliau melalui WhatsApp. Diberi pula senarai terbaru penyertaan termasuk nama saya sambil diminta mendapatkan lagi penyertaan...


Senarai pejuang yang mengesahkan kehadiran dalam Sidang Media Pembentangan Laporan Kajian PPSMI, 23.4.19, pukul 12 tengah hari di Wisma MPM, Jalan Ledang, KL:

1. Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron
2. Dato' Raof Husin
3. Dato' Dr.Hasan Mad, MPM
4. Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan, PLM
5. Prof. Supyan Hussin, ATMA
6. Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, PPM
7. Datuk Zainal Abidin Borhan, GAPENA
8. Puan Zaharah Sulaiman
9. Kamal Shukri Abdullah Sani, PLM
10. Dr. Mohd. Saleeh Rahamad, PENA
11. Dato' Ibrahim Ghafar
12. Zairudin Hashim, ABIM
13. Cikgu Zai Mustafa, MAPPIM
14. Cikgu Azmi Hamid/wakil TERAS Pengupayaan Melayu
15. Anas Alif, GPMS
16. Wakil Utusan Melayu
17. Wakil Berita Harian
18. Wakil Harian Metro
19. Prof. Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud, ASASI
20. Abdul Hakim Shahbuddin, GPTD
21. Datuk Nasarudin Hashim
22. Azril Mohd Amin, CENTHRA
23. Mohd Zuhdi Marsuki, Pusat Penyelidikan PAS
24. Dato' Rosli Yang Danian, Harmonis Perak
25. Mohd. Fauzi Noordin
26. Prof. Emeritus Dato' Dr. Wan Hashim Wan Teh
27. Ramlee Wahab
28. Ruslan, MPM
29. Dato' Faridah Jabar, MPM
30.Wakil akhbar Harakah
31. Dato' Zain Hamzah
32. Letfee Ahmad
33. Dr. Fazilah Husin, NUMERA
34. Prof. Dr. Puteri Roslina (APM, UM)
35. Junaini Kasdan (ATMA/PAPTI)
36. Abd Ganing Laengkang (Pascasiswazah, APM, UM)
37. SN Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah, NUMERA Malaysia
38. Zainal Mohd. Jais, KEMUDI
39. Dr. Hasrina Baharum (UPSI)
40. Prof.Madya Dr. Norliza Jamaluddin (UPSI)
41. Dr. Zaharani Ahmad
42. Prof. Dr. Zamri Mahamod (UKM)
43. Dr. Ibrahim Ahmad, Harmonis Perak
44. Romil Shamsudin
45. Radzi Sapiee @ Merah Silu



Masuk jam 5.30 petang beliau memberitahu sudah ada 60 orang  dalam senarai. Tengah hari Selasa saya pun bergegas ke lokasi majlis iaitu Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM). Bangunannya adalah sebuah bungalow lama yang dicat baru bersebelahan bangunan Parlimen Malaysia. Kelihatan dalam gambar Awang sebagai pengerusi sedang memperkenalkan majlis...


Secara rata diceritakan bagaimana program PPSMI iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris itu merosakkan prestasi pelajar Melayu di sekolah. Diperkenalkan tahun 2003 oleh Kementerian Pendidikan atas dakwaan kononnya ia akan memperbaiki pemahaman pelajar tentang sains dan matematik sambil meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris ia dikecam banyak pihak terutama mereka yang memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu. Mengikut kajian berdasarkan apa yang sebenarnya berlaku di sekolah-sekolah beberapa tahun selepas dilaksanakan ia didapati menyebabkan pencapaian pelajar dalam subjek-subjek tersebut menurun. Bahkan penguasaan bahasa Melayu mereka juga turun merosot sama kerana dipaksa menguasai subjek-subjek lain bukan dalam bahasa ibunda lalu mengabaikan bahasa sendiri di sekolah.

Disebabkan itu bermula tahun 2009 telah diadakan bantahan demi bantahan sehingga pelaksanaan PPSMI dibatalkan tahun 2012. Ketika itu bantahan serta hujahan berkenaan didengar lalu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kini setelah berlaku pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lepas PPSMI kembali menghantui. Ada ura-ura Perdana Menteri sekarang, Tun Dr Mahathir yang pernah menjadi PM ke-4 dahulu ingin menghidupkannya kembali.

Ditunjukkan satu kaji selidik ringkas berupa kutipan pendapat melalui Internet tentang PPSMI dalam tempoh beberapa hari sebelum majlis.


Seramai 2,844 orang daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang telah memberikan maklum balas.


Secara rata mereka menolak PPSMI...











Seterusnya naik Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Abdul Rauf Hussin berkongsi kajian ilmiah yang dibuat atas nama Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA).  Untuk pengetahuan beliau juga adalah pengarah eksekutif PEMBINA.


Kajian yang berada pada tangan beliau lalu ditunjukkan kepada hadirin itu cukup tebal, Seperti satu jilid ensaiklopedia atau satu tesis PhD rupanya. Salinan ringkasan kajian bertarikh Mac 2009 dengan 28 muka surat diberikan. Ia adalah hasil usahasama PEMBINA dengan 8 buah universiti :-

1. Universiti Putra Malaysia (UPM)
2. Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)
3. Universiti Sains Malaysia (USM)
4. Universiti Utara Malaysia (UUM)
5. Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM)
6. Universiti Teknologi Mara Sarawak (UiTM Sarawak)
7. Universiti Malaysia Sabah (UMS)
8. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Kakitangan universiti dihantar membuat kajian bagi memerhatikan pembelajaran baik daripada segi cara cikgu mengajar juga penerimaan dan pemahaman murid kemudian dinilai hasil peperiksaan. Disebut bahawa kajian diadakan di 90 buah sekolah rendah kebangsaan termasuk 3 sekolah orang asli, 2 sekolah pendidikan khas, 7 sekolah Cina dan 5 sekolah Tamil. Turut dijadikan kajian 70 buah sekolah menengah termasuk 4 sekolah agama, 4 sekolah berasrama penuh, 4 sekolah teknik dan 5 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Secara rata ia melibat 553 orang guru dan 15,089 pelajar.

Pada bahagian belakang dilampirkan salinan surat rasmi Profesor Diraja Ungku Aziz bertarikh 6 Mei 2009 menyokong laporan diikuti salinan rencana akhbar Berita Harian tentang laporan (tidak kelihatan tarikh).


Ringkasannya mudah. PPSMI adalah satu projek yang gagal lagi menyusahkan. Diberikan juga satu salinan 12 sebab kenapa ia tidak boleh diteruskan. Kajian inilah yang pernah dibawa kepada Muhyiddin lalu PPSMI akhirnya dibatalkan tahun 2012. Pada awal salinan dilampirkan salinan laporan akhbar Utusan Melayu hari Sabtu 23 Mei 2009 menunjukkan pertemuan Ungku Aziz, Tan Sri Ahmad Sarji, Datuk Abdullah Abdul Rahman dan Datuk Hassan Ahmad dengan Muhyiddin. Mereka datang atas nama Gagasan Veteran Malaysia untuk menyatakan penolakan terhadap PPSMI.


Presiden Akademi Sains Islam Malaysia, Profesor Datuk Ir. Wan Ramli Wan Daud pula berkongsi laporan prestasi pelajar akibat PPSMI berdasarkan penaksiran antarabangsa TIMMS dan PISA.



TIMSS adalah singkatan bagi perkataan Inggeris Trends in International Mathematics and Science Study. Saya terjemahkan sebagai "kebiasaan semasa dalam pengajian matematik dan sains antarabangsa". PISA pula singkatan bagi Programme for International Student Assessment - Program Penilaian untuk Pelajar Antarabangsa. Kedua-duanya merupakan program penilaian pelajar di beberapa buah negara yang dibuat oleh dua badan antarabangsa berlainan.


Ditunjukkan graf kajian TIMMS bagi Malaysia berbanding Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Indonesia untuk subjek matematik. Didapati berlaku penurunan pencapaian yang jelas apabila PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003 malah semakin menurun dan menurun. Selepas dibatalkan tahun 2012 baru pencapaian naik menuju pemulihan. Itupun belum lagi mencapai tahap sepertimana sebelum PPSMI diperkenalkan...


Begitu juga kajian TIMMS untuk bidang sains. Lihat sendiri graf dan rumusan.


Untuk PISA pula Malaysia mula menyertai kaji selidik ini pada tahun 2009 yang mana PPSMI sudah diperkenalkan. Lalu tidak dapat dibuat perbandingan dengan tahun-tahun sebelum itu. Kelihatan seperti ada peningkatan dalam bidang matematik. Tapi kadar peningkatan kelihatan serupa sahaja selepas PPSMI dibatalkan tahun 2012.


Ini pula kajian yang dibuat berdasarkan aliran. Kedua-dua aliran sains dan bukan sains diambil kira. Saya agak keliru membaca graf. Jadi ikut sahajalah rumusan bahawa pencapaian pelajar aliran sains tulen mendatar sekitar 30% pada zaman PPSMI dilaksanakan dan menjunam sekitar 20% pada 2016-2018 iaitu setelah ia dibatalkan tahun 2012.

Adakah ini bermakna pembatalan itu menjahanamkan?  Menurut Wan Ramli bukan. Walaupun PPSMI tidak lagi dilaksanakan ketika itu ia telah menimbulkan trauma yang berpanjangan. Pelajar melihat matapelajaran sains menjadi susah akibat PPSMI lalu terkesan walaupun ia tidak lagi dilaksanakan.



Tokoh pejuang bahasa Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron turut memberikan pendapat sebagai orang lama yang dahulu pernah berusaha sama membantah sehingga pelaksanaan PPSMI dibatalkan. Pada beliau ia jelas merosakkan prestasi pelajar, bukan memajukan.


Hadirin lain pun secara rata sependapat.


Yang harus dipanjangkan adalah strategi bagaimana untuk memastikan ia tidak berulang juga menyekat apa-apa lagi cadangan pembelajaran yang boleh mensudutkan kedaulatan bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan bahawa bahasa penghantar utama adalah bahasa Melayu.


Saya sendiri turut berkongsi pandangan dan memberikan maklum balas. Gambar ini dan selepasnya dihantar Awang kepada saya melalui WhatsApp.


Sesungguhnya PPSMI ini bukan sahaja isu yang boleh melemahkan pencapaian pelajar Melayu di sekolah. Dalam keadaan sekarang di mana jelas kumpulan-kumpulan bukan Melayu semakin rancak memperlekehkan kepentingan orang Melayu dan penggunaan bahasa Melayu ia seperti membantu serangan ideologi musuh untuk menjatuhkan orang Melayu secara keseluruhan.


Saya akhiri artikel ini dengan beberapa laporan akhbar daripada majlis menolak PPSMI. Semoga memberikan manfaat...






Oh. Baru teringat. Ketika menyemak kembali artikel ini baru tersedar. Rasanya elok disertakan sekali pernyataan rasmi oleh Awang pada majlis yang dibuat atas nama Persatuan Linguistik Malaysia. Saya ambil gambar kenyataan itu di rumah...


Sebetulnya kenyataan dicetak atas kertas berwarna merah jambu. Tapi saya ambil gambar di ruang tamu bawah lampu kuning. Nah. Dah jadi macam nak sama warna kuning kejinggaan dengan bangunan makam Tok Pulau Manis pula. Hmm... :]



Thursday, April 25, 2019

Haul Tok Pulau Manis - Kemuncak zikir dan maulud Nisfu Sya'aban. Apabila diri yang hina dimuliakan seorang ulamak besar Tasawuf

Salam malam 19 Sya'aban. Sekarang sampai masanya untuk berkongsi tentang kemuncak acara. Bersambung daripada artikel Haul Tok Pulau Manis - Membuka kaitan Saidina Hassan dan rahsia berkenaan secara bidan terjun.


Adapun saya diberitahu oleh pengarah majlis atau festival Tok Pulau Manis bahawa ketika memilih tarikh 19-20 April untuk mengadakan acara tidak terfikir pun ia akan masuk pada satu tarikh penting dalam kalendar Islam. Ini merujuk kepada belah malam 20 April yang mana siangnya adalah Sabtu tetapi menurut kalendar Islam malamnya bermula waktu Maghrib sudah masuk tarikh baru hari Ahad yang kebetulan bersamaan 15 Sya'aban 1440 Hijriah. Ini adalah hari yang dikenali sebagai Nisfu Sya'aban. Apabila menyedari ini maka majlis Maulidur Rasul yang memang telah dirancang mahu diadakan pada malam itu diwar-warkan sekali sebagai sambutan Nisfu Sya'aban.


Seperti kebiasaan di mana-mana masjid diadakan dahulu bacaan tiga kali Surah Yassin di Masjid Kampung Pulau Manis berserta doa-doa yang berkenaan. Selepas Isyak baru tumpuan beralih ke padang  dekat dengan makam (Tok Pulau Manis) untuk orang ramai di mana terdapat beberapa buah khemah dan satu pentas besar.


Masuk jam 9 orang ramai sudah memenuhi ruang. Namun saya sendiri lewat menyertai kerana harus menyelesaikan beberapa urusan terlebih dahulu.


Sejumlah ulamak berada di pentas. Mereka datang daripada pelbagai pelusuk Asia Tenggara.


Poster yang diwar-warkan sejak beberapa lama sebelum acara menyenaraikan nama-nama ulamak yang terlibat waktu malam. Saya letak sini untuk membantu mengingati siapakah yang berucap dan daripada mana  mereka datang (tidak semua berucap).





Selesai urusan saya bergerak ke beberapa bahagian untuk mendapatkan sudut pandang yang baik dan selesa. Akhirnya didapati ada ruang kosong cukup dekat dengan pentas di satu khemah di hadapan sisi kanan kawasan. Saya pun bergerak ke sana...


Dari situ mudah memerhatikan aktiviti atas pentas juga di khemah sebelah yang dikhaskan untuk kumpulan-kumpulan membawa qasidah juga alunan bacaan maulud.





Tidak lama kemudian berdiri Tengku Khairunnas dari Jakarta memberikan syarahan tentang tauhid orang Sufi ataupun Tasawuf. Beliau sebetulnya adalah orang berketurunan Aceh yang berguru kepada seorang ulamak besar Aceh, Sheikh Amran Wali.


Selepas itu berkumandang lagi qasidah memuji-muji kecemerlangan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW tapi dalam bahasa Jawa. Kalau tak salah ia dibawa oleh satu kumpulan dari Sabah.








Ini pula Ustaz Sulaiman Champa dari Kemboja (Cambodia). Beliau berkongsi tentang usaha pengembangan Islam di negara majoriti Buddha itu yang dipelopori orang Melayu berketurunan Champa, satu negara Melayu yang kini sudah ditelan menjadi Vietnam.


Ini kalau tak salah adalah Baba Romli (memegang mike). Yang pasti dari Patani. Beliau bercakap tentang institusi pengajian pondok yang dipelihara di sana walaupun sejak lebih 200 tahun lalu wilayah dan kerajaan Melayu lama itu telah ditelan menjadi sebahagian daripada selatan Thailand. 

Oh, baru teringat. Sama ada sebelum atau selepas Tengku Khairunnas dari Jakarta yang berketurunan Aceh bercakap pengacara ada menyebut acara sedang diikuti secara langsung melalui Facebook oleh umat Islam di wilayah Sulu, selatan Filipina.


Yang ini Ustaz Hafiz Hukmi al-Kenali daripada Pondok Tok Kenali di Kota Bahru, Kelantan. Beliau yang merupakan anak cucu keturunan Tok Kenali, wali besar Kelantan awal abad ke-20 berkongsi sedikit tentang majlis haul Tok Kenali yang julungkali diadakan tahun lepas lalu edisi kedua dijangka akan diadakan sebelum Hari Raya Haji akan datang.


Kiyai Ahmad Cirebon pula merupakan keturunan Sunan Gunung Jati, salah seorang ahli Wali Songo atau Wali Sembilan yang sangat terkenal dalam sejarah pengIslaman Pulau Jawa. Lupa pula beliau bercakap tentang apa. Tutur katanya perlahan dan lembut, rasanya bercakap tentang adab.


Satu kumpulan lagi membawa alunan qasidah dan maulud. Walaupun sedap suara orang yang memimpin kumpulan saya pada mulanya kurang senang kerana alunan yang dimodenkan. Tetapi bagi orang lain mungkin lebih berkesan. Saya kembali masuk menyelami irama dan rasa apabila alunan tradisional Arab dikembalikan untuk bacaan-bacaan seterusnya.


Acara mencapai kemuncak apabila semua hadirin diminta berdiri bagi satu bahagian maulud.


Sudah tengah malam baru ia 'disurutkan' agar majlis dapat ditangguh. Ia ditutup dengan bacaan doa panjang lebar oleh Ustaz Iqbal Zain. Pada penghujung itulah baru kelihatan satu kelibat yang sangat berpengaruh menjayakan majlis, hamba Allah yang disebut dalam artikel Haul Tok Pulau Manis - Membuka kaitan Saidina Hassan dan rahsia berkenaan secara bidan terjun. Beliau muncul daripada sisi kanan kawasan sedangkan ketika itu saya sudah berada di hadapan tangga pentas. Tak perlulah ditunjukkan gambar.

Sama ada kebetulan atau memang berniat begitu beliau melangkah ke arah pentas lalu berhenti betul-betul di sebelah kanan saya. Sempat kami bertegur sapa  sebelum seorang demi seorang ulamak dari atas pentas turun ke arah beliau lalu mencium tangannya. Jelas bagaimana beliau dipandang tinggi oleh ulamak yang memiliki amalan Tasawuf dari merata Alam Melayu walaupun ada antara mereka  jauh lebih tua sedangkan beliau pula cuma 4 tahun lebih tua daripada saya. Ketika para ulamak melangkah untuk ke tempat makan VIP saya cuma berdiri tercegat sahaja kerana sedar siapakah saya berbanding para ulamak yang berilmu agama tinggi.

Masyaallah air mata mula bergenang apabila menulis ini. Tetapi saya harus menyatakan rasa dengan jujur. Walaupun sebagai penulis yang telah menghasilkan 12 tajuk buku, walaupun sebagai seorang aktivis saya telah menganjurkan 20 acara HIKMAH di merata Semenanjung Malaysia membawa 2 kali ke Aceh saya rasa sangat kerdil apabila berdiri bersama para ulamak yang bacaan doanya, hafazan Al-Quran, pengetahuan hukum hakam, matan hadis dan sebagainya begitu luas dan lancar. Tetapi hamba Allah ini telah memuliakan saya dalam majlis sangat berjaya yang dihadiri ribuan orang. Saya diajaknya berjalan kaki bersama menuju ke tempat makan VIP.

Masuk dalam ruang makan saya berdiri tercegat lagi kerana memikirkan tentu ada ulamak berwibawa diajak duduk di sebelahnya. Saya sedia untuk duduk di mana sahaja ruang. Maklumlah orang dah biasa tidur bersepah, baik dalam masjid, mahupun di tepian jalan. Saya bukan sesiapa. Walau seperti mana-mana manusia biasa saya merasa suka apabila dimuliakan tetapi saya tidak mengharapkannya.

Tengok-tengok diajaknya saya duduk di kirinya. Seorang ulamak lebih berumur dari Pulau Jawa pula duduk di kiri saya. Tengku Khairunnas di belah kanan beliau. Lain-lain ulamak duduk memanjang dan melintang membentuk segi empat mengikut ruang makan. 

Saya diajak berbual-bual. Entah bagaimana dan tiba-tiba dia berkata Merah Silu (ya, dia tahu nama panggilan saya itu) tentu ada kashaf boleh melihat perkara ghaib. Saya jawab tidak. Saya cuma diperlihatkan sekali sekala sahaja perkara-perkara sebegitu. Ia bukan dalam kawalan saya.

Dengan lembut dia memberitahu itulah kashaf sebenar. Kalau tiap kali hendak melihat boleh nampak itu kashaf jin. Kata beliau kashaf sebenar adalah seperti berlaku kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Ketika timbul fitnah isteri baginda Siti Aishah RA ada berbuat tidak senonoh setelah tertinggal kafilah lalu diselamatkan seorang lelaki muda baginda pun tidak dapat melihat apakah yang sebenarnya berlaku. Sebaliknya baginda harus menunggu turun ayat atau wahyu menerangkan keadaan sebenar. 

Selepas beberapa lama tergerak untuk saya bertanya apakah benar beliau ada meminta ahli jawatankuasa satu majlis besar di masjid negeri Shah Alam tahun 2012 agar menghubungi lalu mengundang saya untuk bercakap tentang buku "Berpetualang ke Aceh"? Jawabnya ya. Saya tanya kenapa? Beliau jawab apabila terlihat gambar saya rasa sesuai dan ada gelombang. Rujuk artikel  Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh di blogspot CATATAN SI MERAH SILU

Sekian perkongsian tentang majlis daripada saya. Untuk makluman ini adalah artikel ke-361 di blogspot HIKMAH. Ini adalah 19 x 19. Sesuailah dipersembahkan pada malam 19 Sya'aban... :]


Wednesday, April 24, 2019

Haul Tok Pulau Manis - Membuka kaitan Saidina Hassan dan rahsia berkenaan secara bidan terjun

Merujuk kepada artikel Haul Tok Pulau Manis - Apabila penyanyi rock Awie beraksi pada acara julungkali yang dipersembahkan semalam. Adapun majlis haul yang turut diwar-warkan sebagai festival ini mengandungi banyak komponen termasuk pertunjukan silat dan memanah tradisional. Tetapi untuk perkongsian tak perlulah diceritakan semua.  Antara paling menarik adalah wacana ilmu yang diadakan di Masjid Tok Pulau Manis pagi hingga petang Sabtu 20 April 2019...











Selepas bermalam di satu taman perumahan beberapa kilometer dari lokasi saya dan keluarga sampai ke masjid jam 9.50.





Ceramah bertajuk "Tok Pulau Manis dan Syeikh Abdul Rauf Singkel dalam Perkembangan Islam di Nusantara"  oleh Profesor Dr Farid Wajdi dari Aceh sedang berlangsung. Dimaklumkan ia bermula agak lewat. Jadi saya tidaklah terlepas terlalu banyak...


Dapat didengar sejarah Aceh dikongsikan sekitar zaman kegemilangannya abad ke-16 hingga ke-17 Masihi. Disebut tentang kehebatan laksamana perempuan bernama Malahayati (Raja Keumala Hayati) menentang pencerobohan kuasa Barat. Disebut tentang Sultan Iskandar Muda yang memerintah tahun 1607-1636 mendukung fahaman Tasawuf wujudiyah yang dibawa Sheikh Hamzah Fansuri juga Sheikh Shamsuddin as-Sumatrani. Seterusnya disebut tentang penentangan Sheikh Nuruddin ar-Raniri pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani (1636-1641) yang membawa fahaman shuhudiyah sehingga membunuh beribu pengikut wujudiyah dan membakar kitab-kitab mereka. Selepas itu baru muncul Sheikh Abdul Rauf Singkel mendamaikan kedua pihak dan pendapat sambil menjadi penasihat kepada 4 orang raja perempuan yang memerintah Aceh selepas kemangkatan Iskandar Thani.

Sheikh Abdul Rauf sebetulnya faham tentang kebenaran wujudiyah yang ditentang oleh Sheikh Nuruddin tetapi mengambil pendekatan lain yang tidak menimbulkan lagi perbalahan mahupun silap faham. Alimnya beliau itu sehingga dapat secara Syari'e mematahkan hujah-hujah ulamak Mekah yang melarang negara diperintah oleh raja perempuan. Bila beliau wafat sekitar tahun 1699 baru hal ini tidak dapat dipertahankan lagi lalu naiklah seorang Sultan berbangsa Arab keturunan Nabi Muhammad SAW didatangkan terus dari Mekah. Dengan Sheikh inilah Tok Pulau Manis atau Sheikh Abdul Malik dari Terengganu belajar sehingga dapat menjadi ulamak besar.


Selepas ceramah ataupun syarahan diadakan bacaan maulud.


Dalam keseronokan menyatakan pujian terhadap Rasul yang membawa kepada satu kemuncak semua hadirin berdiri saya bergerak ke hadapan sisi kanan masjid...





Daripada sisi itu saya mengikuti syarahan seterusnya oleh pendakwah muda dan penulis buku, Ustaz Mohd Hanif bin Ibrahim. Beliau membawa tajuk "Menginsafi Amanah Leluhur : Pulau Manis, Di Sini Bermulanya CINTA". Dipromosikan sekali satu buku tulisan beliau yang baru sebulan dua terbit bertajuk "Menginsafi Amanah Leluhur"...


Asalnya syarahan beliau sepatutnya diadakan jam 2 petang, Tetapi ia dikehadapankan kerana penceramah yang sepatutnya mengisi slot jam 11 pagi, Dr. Shafie bin Abu Bakar dari Lembah Klang tidak dapat hadir kerana jatuh uzur. Ceramah Hanif yang menceritakan keistimewaan Tok Pulau Manis serta lokasi yang dikenali sebagai Kampung Pulau Manis dalam lipatan sejarah lama kerajaan Terengganu ini tamat sekitar jam 12.30. Ketika orang lain keluar untuk makan tengah hari dan sebagainya saya yang sedang berpuasa berehat tidur  di sisi kanan masjid.


Saya bangun sejurus sebelum masuk waktu Zohor lalu mandi sedikit kemudian ikut solat berjemaah. Gambar ini diambil selepas solat. Saya harus bersedia untuk satu tugasan bidang terjun.


Adapun malam sebelumnya saya telah diberitahu bahawa Shafei yang merupakan bekas pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah membuat tesis tentang kitab Hikam Melayu tulisan/syarahan Tok Pulau Manis, tidak dapat datang. Namun beliau ada menyerahkan teks berkenaan lalu pihak majlis telah meminta penceramah bebas terkenal Ustaz Iqbal Zain untuk mengulas teks tersebut pada sesi ceramah petang. Untuk memantapkan lagi sesi saya diminta berkongsi cerita tersendiri tentang Tok Pulau Manis selepas itu dengan pengkhususan diberikan terhadap kaitan dengan satu dinasti raja yang pernah wujud di Aceh lama. Saya diberitahu itu atas permintaan seorang guru dan pemimpin tarikat Syadziliyah berketurunan Tok Pulau Manis.


Hamba Allah ini mengendalikan satu tempat pengajian pondok dan tariqat berdekatan. Saya teringat pernah diberikan penghormatan untuk berkongsi kisah di sebalik penulisan buku-buku terawal saya, siri trilogi  "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007) pada satu majlis besar agama di masjid negeri atau masjid besar Shah Alam tahun 2012. Selepas itu baru dapat tahu majlis yang dihadiri lebih 10,000 penuntut agama dan para ulamak dari seluruh Alam Melayu termasuk 1,000 orang dari Aceh itu terbit akibat usaha hamba Allah tersebut. Dan saya juga dapat tahu beliaulah yang meminta agar jawatankuasa majlis menghubungi lalu mengundang saya bercakap. Rujuk artikel  Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


Gambar-gambar tadi menunjukkan satu kumpulan anak muda membaca qasidah. Ia adalah selingan sebelum sesi ketiga atau sesi petang wacana ilmu bermula.


Saya dan Ustaq Iqbal pun dijemput mengambil tempat di hadapan.


Pengenalan dibuat sebelum Ustaz Iqbal membuka kata-kata. Secara rata beliau bercerita tentang asal usul Tok Pulau Manis dan keturunan juga sumbangan beliau. Untuk makluman kertas kerja yang harus ditangani beliau walau menurut cara sendiri bertajuk "Ketokohan, Dakwah dan Perjuangan Tok Pulau Manis".


Saya sebagai pembicara atau pensyarah/penceramah terakhir mengambil tugas berat memanjangkan dan mewar-warkan lagi asal-usul Tok Pulau Manis yang dipercayai sampai kepada cucu sulung Rasulullah SAW iaitu Saidina Hassan. Walaupun datang sebagai bidang terjun saya bernasib baik kerana ada bahan sokongan penting telah lama dipersembahkan dalam blogspot lalu boleh dimuat-turun untuk tatapan hadirin. Saya memulakan dengan memperkenalkan perkongsian sebagai pengalaman peribadi berbentuk dzauqiyah dan majzub.  Diceritakanlah bagaimana sebagai seorang pelajar matematik di London tahun 1991-1995 saya hampir menjadi atheis atau tidak percayakan Tuhan lantaran terlalu berpegang pada akal. 

Namun saya ditunjukkan kebesaran Allah SWT melalui pengalaman roh beberapa kali keluar masuk badan. Diceritakan peringkat-peringkat seterusnya pencarian sehingga terbawa untuk mengenali asal usul keturunan di Aceh.  Lalu terjadilah satu peristiwa yang membuka perkenalan tentang siapakah itu Tok Pulau Manis. Ketika itu saya sudah lama diberikan ilham bahawa wujud ramai keturunan Saidina Hassan di Alam Melayu yang tidak tahupun mereka memiliki darah Ahlul Bait keturunan Rasulullah SAW akibat peristiwa-peristiwa lampau memaksa nenek moyang menyembunyikan asal usul sebenar. Seperti membenarkan telahan ini ziarah pertama ke makam Tok Pulau Manis menyaksikan saya dihadiahkan risalah menyebut kaitan dengan Saidina Hassan.


Cerita berkenaan boleh dibaca dalam artikel lama Wasilah kekeluargaan Tok Pulau Manis, wali agung Terengganu abad ke 17.... Gambar-gambar yang digunakan untuk membantu penerangan diambil daripada Risalah kecil Tok Pulau Manis. Diberitahu kepada hadirin bahawa cerita boleh dibaca dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" (terbit November 2007) malah dikhaskan satu bab untuk Tok Pulau Manis. Tetapi perkara paling besar adalah tentang kaitan dengan Saidina Hassan dan amanah yang wujud dalam darah keturunan baginda. 

Dalam hal ini tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa saya adalah orang pertama membuka satu rahsia besar berkenaan melibatkan seorang Ahlul Bait bernama Muhammad Nafs az-Zakiyah ibni Abdullah al-Kamil ibni Hassan al-Muthanna ibni Saidina Hassan. Ia ada diceritakan dalam buku saya dan anda boleh membacanya dalam artikel Akhirnya... Membuka misteri identiti Nakhoda Khalifah!. Di atas adalah gambar yang isteri temui tadi menunjukkan saya sedang memberikan ceramah. Kemudian baru isteri dapat menemui lebih banyak gambar sekitar perkongian tersebut. Biar diletakkan sedikit di bawah...








Sesungguhnya saya merasa terharu diberikan penghormatan dapat berkongsi sedikit ilmu dalam majlis haul yang penuh gilang- gemilang ini. Keadaan begitu terasa kerana saya tahu sejak beberapa tahun hingga kini ada beberapa pihak berusaha bertungkus lumus untuk menjatuhkan nama saya serta meremehkan kajian-kajian dan sumbangan ilmu daripada saya. Penghargaan daripada pihak-pihak yang lebih berwibawa menjadi bukti bahawa usaha saya selama ini bukanlah sia-sia, ilmu yang dikongsikan bukan tidak bermakna mahupun picisan. Saya bukanlah orang yang mengejar harta, duit mahupun nama. Tetapi sebagai manusia biasa apabila difitnah macam-macam apa lagi setelah penat berusaha menggali pelbagai maklumat untuk dikongsikan disebabkan dorongan dalaman tentulah ada masanya saya terasa dan terguris hati. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-360 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


PERKONGSIAN ILMU YANG TELAH DIBUAT HIKMAH SETAKAT INI

Ramai sudah sedia maklum bagaimana HIKMAH menggabungkan persembahan silat, budaya, pameran koleksi keris malah sesi berkuda juga memanah untuk memeriahkan acara. Namun teras utama acara tetap perkongsian ilmu yang dibuat dalam bentuk pembentangan seperti seminar sebelum diikuti sesi berkumpulan. Dengan ini biar dikongsikan tajuk-tajuk kertas kerja yang telah dibuat setakat ini...

“Suai Kenal HIKMAH” atau HIKMAH I di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Perlembagaan Negara dan Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja – Mohd Faizal Ahmad, peguambela dan peguamcara


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


4. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


5. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


6. Ragam Hias Gunungan Mihrab dan Mimbar di Alam Melayu – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan Idris


7. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


8. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


9. Keris ke arah Penyatuan Alam Melayu – Khairul Azhar Abdul Karim, YDP Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur


10. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


11. Dari Srivijaya ke Batu Bersurat Terengganu : Perjalanan Melayu Merentas Zaman Menggamit Peranan – Mohd Syukri Embong, YDP Persatuan Belia Waja Watan




“Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” atau HIKMAH II di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 November 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


3. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


4. Ragam Hias Gunungan Mihrab di Acheh dan Tanah Melayu (1600-1900) – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan


5. Busana tradisional Melayu sebagai Lambang Jiwa Merdeka – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


6. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Ancaman Terhadap Situs Bersejarah Kerajaan Lama Lamuri : Usaha untuk Memperkasakan sejarah Aceh yang hilang Melalui Pemeliharaan Makam-makam - wakil dari badan NGO Mapesa (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh)


9. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


10. Panji-panji hitam dari Timur : Peranan bangsa Melayu Akhir Zaman – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh


“HIKMAH Berselawat : Menjejak Pendekar, Ahlul Bayt dan Mendaulat Sultan di tanah Gangga Negara” atau HIKMAH III di Marina Hall, Lumut 27 Januari 2013


1. Alter Terahsia Melayu – Srikandi, pengkaji sejarah Melayu dan seorang penulis blog yang agak misteri tetapi diminati ramai terutama melalui blog Mistisfiles


2. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Ahlul Bayt Rasulullah SAW & Warisan Melayu – Tun Suzana Othman, penulis buku tentang Ahlul Bait dan raja-raja Melayu juga ulamak silam


4. Siapakah itu Melayu? – Tuan Haji Halim Bashah, penulis, pengumpul koleksi sejarah negeri Kelantan, wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan


5. Ahlul Bayt sebagai Perisai Agama,Bangsa dan Negara - Habib Abu Aswad ibn Zakaria Al-Kubra, mudir Madrasah Ahbabul Mustafa, Kelantan


6. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Sajak Melayu – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


9. Kebangkitan Panji-panji Hitam Melalui Pembatalan Sihir Perjanjian Pangkor - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”

HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013


1. Motif Langkasuka Dalam Kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR


2. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Abd Arif, calon PhD seni UPSI


3. 'Seni Khat Melayu': Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


4. Sejarah dan Tempat-tempat Signifikan di Kelantan : Langkasuka, Empayar Chermin hingga ke Zaman Raja K'Umar – Mohammad Iddham, Kelab Pencinta Sejarah Kelantan


5. Sejarah Kelantan Membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan Kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong


6. Sheikh Ahmad al-Fathoni dan para Ulamak Pantai Timur : Kenapa Kelantan dipanggil Bumi Serambi Mekah? - Ustaz Zaidi Hassan dari Masjid Salor, Pasir Mas, Kelantan


7. Apa yang Perlu dilakukan untuk Menjayakan Perjuangan Dinar Dirham dan Muamalatnya : Peranan HIKMAH dan Kaitan dengan Cap Mohor Diraja - Ustaz Muhammad Hassan Zaid bin Ramli dari As-Saff Madani Islamic City


8. Praktik Dinar dan Dirham untuk Kesultanan dan Umat Melayu – Mazli Alias dari kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


9. Dari Langkasuka ke Serambi Mekah : Kedaulatan Melayu dan Islam – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH


“HIKMAH Isra’ dan Mi’raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu” atau HIKMAH V di Masjid Makmur Losong, Kuala Terengganu 5-8 Jun 2013


1. Aplikasi Dinar dan Dirham sebagai Wadah Pendaulatan Islam sedunia : Pasar Terbuka Masjid - Puan Norbaini Hassan, Perunding Dinar & Dirham


2. Hubungan Syarif Al-Baghdadi dan Tok Pulau Manis dengan Islam di Nusantara - Fokus Salasilah Tok Syeikh Pulau Manis - Cikgu Najib Badruddin, Pengkaji sejarah dan waris Tok Pulau Manis dari Kelantan


3. Antara Muhammad al-Baghdadi dan Muhammad Nafs al-Zakiyah : Pengalaman Peribadi Menjejak Makna hingga ke Terengganu - Radzi Sapiee, pengasas dan presiden HIKMAH


4. Dinar dan Dirham dan Kesultanan Masa Kini – Umar Azmon Amir Hassan, Penggiat Dinar dn Dirham kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


5. Tasawuf, Tamadun Melayu dan Khilafat Uthmaniyyah – Halit Osmanli An-Naqsyabandi, Sheikh tariqat Naqsyabandiah-Haqqani


6. TokKu Paloh dari aspek Sosiologi Ekonomi Masyarakat - Razi Yaakob, Pensyarah UnisZa (Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu)


7. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 -Mohd Zahamri Nizar, Aktivis seni rupa Melayu


8. Jejak dan Legasi Tok Ku Paloh dan Keluarga - Dr Syed Lutfi bin Syed Umar, Pensyarah Unisza


9. Batu Bersurat Terengganu, Mesej untuk Umat Akhir Zaman - Rashid Hamat, Ketua Bahagian Sejarah, Muzium Negeri Terengganu


HIKMAH Merdeka Raya atau HIKMAH VI di Galeri Shah Alam 7 September 2013


1. Hasil kerja seni sebagai Wadah Memartabatkan Melayu dan Islam - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


2. Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya – Puan Zaharah Sulaiman, penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu - Shamsul Yunos, bekas wartawan Malay Mail dan aktivis media bebas


4. Pernyataan HIKMAH Melaka sebagai blue print kebangkitan Ummah - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH

Festival Ketamadunan Dan Adat Istiadat Melayu Mukmin Nusantara atau HIKMAH VII di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 November 2013


1. Zuriat Nabi SAW dan Islam di Nusantara : Sejarah, Hijrah dan Hikmah - Tun Suzana Othman, penulis buku“Ahlul Bait dan Raja-Raja Melayu” dan Ustaz Mohd Iqbal Parjin dari KEMUDI ((Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam)


2. Fiqh al Adat Muhakkamah dalam Hikayat Raja-raja Melayu oleh Farha Muhammad - Nur Shazwani Sadzali dari Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan



Rumahku Syurgaku @ HIKMAH VIII di Baitul Hikmah, Sungai Buaya, Rawang, Selangor 8 Februari 2014


1. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 oleh Mohd Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu


2. Ruang Mihrab Rumah Rasulullah SAW dan Perkaitannya dengan Falsafah Gunungan bersumberkan Al-Quran oleh Puan Harleny Abd Arif, pengkaji dan calon PhD seni UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris)

Mutiara HIKMAH @ HIKMAH IX di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Februari 2014


1. Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang - Roslan Saadon dari NGO Peradaban


2. Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu - Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos, wartawan dan aktivis media bebas


4. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


5. Ancaman terhadap Akidah Umat Islam - Sheikh Raja Aman bin Raja Mokhtar, pemimpin Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah

HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda @ HIKMAH X di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014



1. Pengenalan HIKMAH – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


2. Sahibul Hikayat Bustanus Salatin - Muammar Farisi dari SILA (Sejarah Indatu Lemuria Aceh)


3. Pelestarian Situs Sejarah dan Budaya di Aceh - Teuku Zulkarnaian dari Dinas Budaya dan Parawisata (Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan) Aceh, juga Raja Nagan, raja bagi negeri kecil Nagan di bawah Aceh Darussalam.