Terbitnya HIKMAH



Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.


HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.


Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.


Permintaan-permintaan sebegitu terus muncul daripada pihak-pihak lain lalu kami cuba mencari cara untuk melaksanakannya. Begitulah kami di HIKMAH. Siapa sangka acara yang asalnya mahu diadakan sekali sahaja iaitu pada 4 November 2012 boleh bercambah menjadi satu siri jelajah yang ditunggu-tunggu umat Melayu dan Islam serata Malaysia malah dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia? Untuk melihat atau menelaah apa yang telah dibuat HIKMAH sila klik pautan berikut...




















Friday, March 22, 2013

HIKMAH IV di Kandis, Bachok - Pembentangan pagi dan tengah hari yang disatukan serta kuda dan silat

OK. Untuk malam Jumaat yang penuh berkat ini kita teruskan cerita tentang acara HIKMAH IV yang sudah berlangsung Sabtu lalu. Bersambung dari HIKMAH IV di Kandis, Bachok - Pembukaan yang mendebarkan.


Tamat sahaja persembahan teater nasyid oleh kumpulan PETRI saya meminta MC, Cik Saidatul Shahera agar memanggil hadirin masuk ke bawah rumah untuk memulakan acara secara rasmi. Ketika itu sudah 10.44 pagi. Kalau ikut jadual perasmian harus dimulakan dengan selawat pembukaan oleh sahabat kami Sheikh Raja Aman al-Kubra jam 9.45.


Sheikh Raja Aman yang merupakan pemimpian tariqat Naqsyabandiyah-Zainiyah yang berpengkalan di Kuala Lumpur telah membuat selawat pembukaan pada HIKMAH I, II, III. Tapi kali ini beliau tidak muncul. Saya tidak mendapat berita dan tidak dapat menghubunginya. Setakat saya tahu Raja Aman telah ke Tanah Arab untuk menunaikan umrah dan dijadualkan kembali 11 Mac.

Sebelum pergi umrah 2 minggu sebelumnya beliau memberitahu akan datang dengan kapal terbang ke Kelantan untuk HIKMAH IV kemudian cepat-cepat kembali ke Lembah Klang untuk menghadiri majlis hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Masjid Besi, Putrajaya yang bermula petang itu. Nampaknya beliau tidak dapat mengejar kedua-dua acara kerana kepenatan atau keuzuran lalu memilih yang lebih dekat. Apapun saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sanggup menyokong acara kami selama ini. Dengan itu saya meminta MC agar terus mengumumkan ucapan alu-aluan oleh Encik Norhaiza Nordin, seorang dari dua pengarah Akademi Nik Rashiddin.


Saya diberitahu buat masa ini Norhaiza adalah pengukir dan pakar seni kayu yang paling terkemuka di Malaysia, menggantikan gurunya arwah Nik Rashiddin yang telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Namun beliau juga tiba-tiba tidak dapat datang lalu menghantar wakil. Saya diberitahu beliau telah dipanggil ke istana, saya tak tahu istana mana, mungkin Istana Negara untuk menolong perkara berkaitan seni dan ukiran.


Oh. Lantai bawah rumah dijadikan bahagian utama untuk membuat pembentangan. Selain itu peserta atau hadirin boleh duduk di bawah khemah. Habis kata-kata aluan oleh wakil pengarah tiba giliran saya sebagai presiden dan pengasas HIKMAH untuk membuat ucapan pengenalan tentang pertubuhan dan acara. Tentunya saya tidak dapat mengambil gambar diri sendiri...


Tamat ucapan sampailah masa untuk memulakan sesi pembentangan. Ketika itulah saya meminta seorang pemimpin tariqat, Sheikh Halit Osmanli untuk membacakan doa selamat. Beliau merupakan seorang pemimpin Tariqat Naqsyabandiyah-Haqqani yang bertanggungjawab ke atas murid dan ahli di selatan tanah air. Berasal dari Singapura dan masih warga sana beliau kini menetap di Johor Bahru.

Sheikh Halit pertama kali terlibat dengan HIKMAH apabila muncul di HIKMAH III di Lumut 27 Januari 2013. Sheikh Raja Aman memperkenalkan beliau kepada saya sebagai seorang pemimpin tariqat yang disegani. Abang beliau Sheikh Lokman yang mukanya hampir serupa memimpin jemaah antarabangsa di New York, USA. Tetapi Halit menyuruh pembantunya pula ke hadapan melaungkan azan sebelum ia disambung dengan doa ringkas.


Dalam gambar ini kelihatan Sheikh Halit memakai jubah dan serban di kiri. Di hadapan kelihatan Puan Rosnawati, balu kepada Nik Rashiddin. Beliau adalah pemilik rumah dan seorang lagi pengarah ANR, menggantikan tempat suaminya setelah meninggal.


Puan Rosna atau Kak Wati adalah pembentang pertama sesi pagi. Kertas kerja beliau yang bertajuk "Motif Langkasuka Dalam Kesenian Melayu" boleh dikatakan serupa dengan persembahan yang dibuat pada Forum Kurator (kalau tak salah ingatan itulah namanya) yang saya lihat di Muzium Negara, Kuala Lumpur lebih setengah tahun lalu. Ketika itulah saya pertama kali mengenali nama beliau dan tahu tentang kewujudan Akademi Nik Rashiddin. Kemudian baru saya tahu nama beliau dan arwah suami juga ANR agak tersohor di kalangan para pelajar dan pengamal seni terutama pengukir kayu. Siapa sangka beliau boleh jadi rapat dengan kami dan HIKMAH boleh diadakan di ANR?


Oh. Kalau ada yang bingung ANR ni rumah ke akademi saya rasa biarlah disebut ia mengandungi kedua-duanya sekali. ANR sendiri adalah sebuah badan bukan kerajaan yang dibentuk untuk menyokong aktiviti seni sedangkan premisnya didirikan di dalam tanah persendirian Nik Rashiddin yang diwarisi Kak Wati. Tanah tersebut adalah seluas 5.5 ekar dengan rumah yang bersambung dengan bangunan pejabat dan Galeri Nik Rashiddin terletak di dalam kawasan berpagar1.5 ekar. Lihat artikel Berkat Tok Kenali untuk menjayakan HIKMAH IV di Akademi Nik Rashiddin 16 Mac yang dibuat 3 minggu lalu untuk mendapatkan gambaran kedudukan bangunan. Isi galeri boleh dilihat pada artikel Galeri (Gallery of) Akademi Nik Rashiddin di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

Pada bawah galeri terdapat sebuah dewan kecil untuk mengadakan seminar. Pada mulanya ia mahu dijadikan tempat pembentangan tetapi setelah diperhatikan betul-betul, ruangan bawah rumah terasa lebih sesuai untuk itu. Dewan kecil pula dijadikan tempat pameran dan jualan barangan seperti buku juga senjata tradisional Melayu. Maka sambil pembentangan berjalan ada pula yang memilih untuk berlegar-legar di dewan.



Dah jadi perangai saya susah nak diam di satu tempat. Saya suka melihat acara dari pelbagai sudut. Ketika sedang meninjau-ninjau itulah isteri saya memberitahu seorang anak kami teringin untuk menunggang kuda. Kuda-kuda ini kami dapati dari orang kampung sekeliling yang memang membela kuda seperti halnya orang membela lembu dan kambing di tempat lain. Peserta dan hadirin HIKMAH IV boleh menunggang kuda setelah membeli kupon RM5 lalu dibawa keliling padang oleh anak-anak tempatan yang sudah sedia mahir dan arif tentang kuda.

Ini adalah satu ciri unik rakyat Kelantan di mana sesetengah mereka sudah pandai menunggang kuda sejak kecil, tidak seperti di Kuala Lumpur misalnya di mana cuma orang berduit atau mereka yang berasal dari keluarga berada sahaja mampu menunggang kuda, biasanya di kelab-kelab eksklusif dengan yuran keahlian yang mahal. Kak Wati sendiri selama ini cuma melihat dari jauh sahaja kuda-kuda yang ada di luar rumahnya. Ketika saya sampai ke ANR pagi Jumaat baru beliau pergi melihat lebih dekat... apabila diajak oleh saya untuk melibatkan penduduk tempatan membawa kuda memeriahkan acara.


Kembali ke tempat pembentangan. Ketika gambar ini diambil jam 12.05 tengah hari pembentang kedua, Puan Harleny Abdul Arif baru sahaja bercakap tentang "Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias". Beliau adalah seorang peminat seni yang cekal mengembara hingga ke seluruh Alam Melayu, sampai ke Aceh, Kalimantan, Jawa, Sulawesi dan pelbagai tempat lagi mengkaji pelbagai perkara berkaitan terutama mihrab dan mimbar masjid lama. Harleny kini sedang menghitung hari untuk menerima ijazah PhD. dalam bidang berkaitan. Beliau yang pernah bertugas sebagai guru selama beberapa tahun baru sahaja diangkat menjadi seorang penolong pengarah di Kementerian Pendidikan, dalam satu jabatan yang ditugaskan untuk menentukan isi kurikulum seni di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Pernah membentang pada HIKMAH I dan HIKMAH II, Harleny adalah antara orang paling setia menyokong misi HIKMAH mendaulatkan Melayu dan Islam.


Kalau ikut atur cara asal kertas kerja beliau harus dimulakan jam 11 dan tamat 11.30. Sudah disebut dalam artikel HIKMAH IV di Kandis, Bachok - Pembukaan yang mendebarkan kenapa jadual boleh lari begitu jauh. Adalah menjadi tugas saya untuk memastikan acara kembali jadi terkawal sambil semua pembentang yang hadir (ada yang terpaksa menarik diri pada saat akhir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan) dapat mempersembahkan kertas kerja mereka sehingga tamat. Saya yakin keadaan masih terkawal kerana ada ruang lompong masa seperti rehat 15 minit sebelum pembentangan pagi, rehat 15 minit selepasnya dan jarak masa ke Zuhur yang boleh digantikan dengan pembentangan.



Sekali lagi saya tergerak merayap ke padang. Kali ini seekor kuda agak besar berwarna coklat gelap baru sahaja dibawa masuk dan saya diminta menunggang.


Oh. Penyertaan kuda-kuda dari kampung-kampung sekitar ini diatur oleh seorang anak muda baru lepas sekolah yang memimpin Persatuan Kuda Amatur Kelantan. Bagi saya anak muda bernama Faris ini kira pangkat anak tapi biarlah dipanggil adik. Beliau mendapat tahu saya ada meminta anak-anak tempatan agar menolong memeriahkan majlis dengan membawa kuda-kuda mereka berjalan. Rupa-rupanya sebelum itu beliau telah mendapat tahu saya ada menghubungi Persatuan Aktivis Berkuda Kelantan (PERKUDA) yang lebih besar untuk mendapatkan penyertaan pasukan berkuda lalu mengambil inisiatif sendiri untuk menghubungi saya.

Biar diberitahu saya pernah sekali dua menghadiri kelas menunggang kuda tetapi itu adalah lebih 10 tahun lalu, ketika saya masih menjadi wartawan sukan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times. Antara sukan diliputi adalah ekuestrian atau sukan berkuda. Saya selalu mengikut pelbagai acara dalam bidang itu dan pernah mengenali (serta dikenali) nama-nama besar seperti adik-beradik Ambak (Qabil, Quzier dan Quzandria) atau 3Q, Wan Zaleha Radzi dan Datuk Awang Kamaruddin. 

Malah tidak keterlaluan dikatakan saya pernah diakui sebagai wartawan suratkhabar paling terkemuka dalam bidang ini. Walaupun saya tidak pandai menunggang ini tidak menjadi masalah kerana yang penting adalah saya tahu tentang pelbagai jenis acara berkuda seperti showjumping, eventing, dressage dan endurance. Secara rata wartawan suratkhabar memang kurang pengetahuan tentang ini. Yang pandai adalah wartawan majalah khas berkuda dan seingat saya di Malaysia ini sebenarnya tidak ada majalah khas kuda yang bercetak. Yang ada cuma majalah on-line atau maya di Internet. 

Disebabkan pengiktirafan atas kebolehan diri inilah Awang Kamaruddin pernah membawa saya ke serata Peranchis selama hampir 2 minggu melawat ladang-ladang kuda dari luar Paris hingga ke sempadan Sepanyol dan pantai Laut Mediterranean. Beliau yang ketika itu menerajui Kelab Bukit Kiara sedang berusaha untuk menjadi juara dunia dalam bidang endurance dan saya dibawa untuk melihat beliau bertanding dalam satu acara antarabangsa. Sambil itu beliau dan sejumlah peminat/aktivis bidang mengharapkan saya agar dapat mengangkat bidang endurance yang ketika itu kurang dikenali di Malaysia ke persada yang lebi tinggi. 

Kini setelah beberapa lama, setelah saya meninggalkan bidang kewartawanan rasmi penghujung 2001 (sekarang saya masih boleh dikira wartawan tidak rasmi, masih boleh meneruskan liputan secara profesional jika mahu kerana sudah cukup kelayakan, diakui dan masih dikenali mereka yang pernah bertugas sama) Awang Kamaruddin bukan sahaja telah menjadi menjadi juara dunia malah berjaya menarik Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk menjadi peminat tegar endurance, ketika baginda masih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Lihat beberapa artikel lama tulisan saya dalam akhbar NST yang ada disertakan dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH...


Endurance 1

Endurance 2

Endurance 3

Equestrian endurance in France

Equestrian sports gaining ground?

Equestrian again? Why not?




Saya cuma sempat mengikuti satu dua kelas menunggang kerana satu, sentiasa sibuk dengan kerja. Kedua, saya tidak mampu untuk mengikut kelas penuh yang mahal harganya. Masalah ini boleh diatasi dengan mudah jika saya adalah jenis orang yang boleh dibeli. Disebabkan pengalaman berurusan dengan pelbagai pihak dari semua lapisan masyarakat sehingga ke istana bukan sekali dua saya dihidangkan peluang untuk menjadi kaya-raya jika sahaja sudi menurut rentak pihak tertentu. Dalam kerja sebagai wartawan saya ditemukan dengan para pemimpin dunia. Hampir tiap hari saya berjumpa menteri kabinet, ada masanya terus dengan perdana menteri. 

Tapi itu secara rata dalam kapasiti formal. Dalam kapasiti tanpa protokol saya pernah diperkenalkan dengan Sultan Selangor sekarang ketika baginda masih lagi Raja Muda, di sebuah kelab kapal layar yang terkemuka dan sangat eksklusif.  Ketika meliputi permainan polo di sebuah kelab ternama pula saya diperkenalkan dengan Raja Muda Perlis sebelum baginda menjadi Raja dan Yang di-Pertuan Agong lalu diajak duduk minum sama. Rata-rata mereka yang terlibat dalam dunia kuda di Kuala Lumpur adalah jutawan belaka. Tentu sahaja saya ada peluang maju membuat duit apalagi saya sendiri memiliki ramai saudara-mara yang sudah sedia kaya-raya.

Namun saya ini jenis orang yang rebel, melawan, tidak berapa suka ikut peraturan dan sistem. Saya jenis orang yang tidak berminat pada harta tetapi lebih menghargai ilmu, kejujuran dan pengalaman hidup. Satu dua kelas kuda yang sempat saya ikuti itu pun disebabkan menemani bekas isteri yang seronok mendapat tawaran belajar menunggang kuda secara percuma oleh pasukan polis berkuda yang baru diasaskan untuk menjaga Putrajaya, ketika pusat pentadbiran negara itu masih lagi dalam pembinaan, banyak lagi hutan dan ladang kelapa sawit. Kami juga pernah ditawarkan kelas-kelas percuma oleh kelab-kelab kuda tetapi saya tak terima kerana tidak mahu terhutang budi. Kalau dengan polis berkuda kira ok sedikit sebab mereka adalah badan kerajaan yang ditugaskan untuk menjaga keamanan. Itupun saya berhenti apabila mendapat tahu ketua polis berkuda itu sebenarnya berniat untuk mendapatkan perkhidmatan saya untuk menyokong seorang hartawan tertentu.


Dengan sedikit pengetahuan yang ditinggalkan lebih 10 tahun itulah saya perlahan-lahan mendapatkan rentak dan rasa sambil adik Faris memimpin kuda di sekeliling padang. Selepas itu saya cuba menunggang sendirian keluar dari kawasan ANR.


Namun saya tidak boleh menunggang lama kerana hujan pula turun. Selain itu saya harus kembali pada acara. Tiba-tiba teringat apabila saya mula mencipta nama dalam bidang kewartawanan dan dikenali ramai orang atasan, timbul pula berbagai fitnah yang sangat mengecewakan. Ah. Cukuplah. Kita cerita sahaja pasal HIKMAH...


Gambar ini diambil jam 12.16 tengah hari. Ketika ini sudah muncul kumpulan persilatan Gayung Makrifat yang datang 25 orang, satu kehadiran yang tak disangka. Sebelum ini saya setakat tahu seorang ahli mereka telah menyatakan di Facebook akan datang. Tak sangka pula tiba-tiba muncul satu kumpulan malah bersungguh-sungguh mahu membuat persembahan.


Saya cakap nanti akan dilihat ketika mana yang elok untuk mereka masuk. Saya mahu memastikan dahulu semua pembentangan dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang terkawal. Biar sesi pagi dan tengah hari dapat ditamatkan sebelum Zuhur atau tidak terlewat sangat.


Ketika itu pembentang ketiga Mohd. Zahamri Nizar sedang bercakap tentang "'Seni Khat Melayu' : Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu". Beliau yang sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah sarjana ataupun masters merupakan aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor. Seperti Harleny beliau adalah penyokong kuat HIKMAH, pernah membentangkan kertas kerja pada HIKMAH I dan II.


Ikut atur cara asal selepas pembentangan Zahamri ada rehat 15 minit. Selepas itu baru sesi pembentangan tengah hari bermula. Sebaliknya saya meminta MC agar mengumumkan dan memanggil terus pembentang seterusnya, Mohammad Iddham dari Kelab Pencinta Sejarah Kelantan.


Idham mengetuai sejumlah anak muda Kelantan yang aktif menggali sejarah yang tersembunyi terutama melibatkan negeri mereka. Tajuk pembentangan yang tertera pada atur cara adalah "Sejarah dan Tempat-tempat Signifikan di Kelantan : Langkasuka, Empayar Chermin hingga ke Zaman Raja K'Umar'. Namun kelihatan beliau memilih untuk bercakap lebih banyak tentang terowong bawah tanah yang baru ditemui di Palekbang tahun lepas, satu kawasan luar bandar menghala ke Tumpat. Katanya terowong itu ada kena mengena dengan kerajaan-kerajaan lama.


Selepas itu tiba giliran Tuan  Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong. Beliau bercerita tentang dinasti Raja Jembal yang pernah memerintah negeri Kelantan hingga ke raja perempuannya yang sangat terkenal iaitu Puteri Saadong, anak angkat kepada seorang lagi raja perempuan terkenal, Cik Siti Wan Kembang.


Mengikut jadual asal, pembentangan beliau harus tamat jam 1.15 sedangkan kita tahu sesi pembentangan pagi pun bermula sudah terlewat sejam. Namun saya dapati pembentangan ini dapat ditamatkan sekitar 1.30, taklah jauh sangat dari apa yang dirancang. Bolehlah rehat tengah hari untuk solat Zuhur dan makan diteruskan.


Kalau tak salah ingatan semasa pembentangan tentang Puteri Saadong itulah saya mendapat gerak agar persembahan Silat Gayong Makrifat diadakan waktu rehat. Peserta boleh mengambil makanan kemudian duduk melihat. Ah. Ni satu lagi benda yang tak dirancang. Ikut rancangan dan bajet asal kami tidak mampu menyediakan makanan untuk peserta. Malah kami terpaksa meminta sejumlah kawan untuk menanggung atau menyediakan sedikit makanan untuk para pembentang, moderator, urus setia dan mereka yang membuat persembahan. Tetapi beberapa hari sebelum acara kami mendapat sedikit bantuan kewangan yang asalnya mahu digunakan untuk sarapan dan makan tengah hari mereka yang berpenat-lelah menjayakan acara. Masuk waktu rehat kami mendapati ada lebihan makanan yang cukup untuk menampung semua peserta!


Maka itu tanpa dirancang muncullah persembahan silat sambil orang makan.


Beberapa hari kemudian apabila kembali ke Kuala Lumpur dan melihat perkembangan di FB baru saya tahu kumpulan persilatan ini telah lebih awal menyatakan mahu membuat persembahan pada HIKMAH IV. Pemimpin kumpulan, Ahmad Nahzaruny atau dikenali sebagai Datuk Nahza telah meninggalkan update di FB HIKMAH pada hari Jumaat jam 5.49 pagi, sehari sebelum acara untuk memberitahu tentang ini. Pada waktu tersebut saya pula sedang bersedia untuk solat Subuh di Masjid Mukim Kuala Kandis kira-kira 300 meter dari ANR. Ketika itu saya dan keluarga serta seorang kawan baru sahaja sampai setelah beberapa jam saya memandu dari Lembah Kelang. 



Terima kasih diucapkan kepada Persatuan Seni Silat Gayung Makrifat kerana sudi menawarkan diri memeriahkan acara. Sungguh, acara-acara HIKMAH itu penuh hikmah. Walaupun seringkali berlaku gangguan atau halangan tak terduga yang membawa lari atur acara muncul pula perkara-perkara tak dijangka untuk menjadikan majlis sesuatu yang sangat berharga buat mereka yang hidup mata hatinya...




No comments:

Post a Comment

PERKONGSIAN ILMU YANG TELAH DIBUAT HIKMAH SETAKAT INI

Ramai sudah sedia maklum bagaimana HIKMAH menggabungkan persembahan silat, budaya, pameran koleksi keris malah sesi berkuda juga memanah untuk memeriahkan acara. Namun teras utama acara tetap perkongsian ilmu yang dibuat dalam bentuk pembentangan seperti seminar sebelum diikuti sesi berkumpulan. Dengan ini biar dikongsikan tajuk-tajuk kertas kerja yang telah dibuat setakat ini...

“Suai Kenal HIKMAH” atau HIKMAH I di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Perlembagaan Negara dan Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja – Mohd Faizal Ahmad, peguambela dan peguamcara


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


4. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


5. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


6. Ragam Hias Gunungan Mihrab dan Mimbar di Alam Melayu – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan Idris


7. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


8. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


9. Keris ke arah Penyatuan Alam Melayu – Khairul Azhar Abdul Karim, YDP Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur


10. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


11. Dari Srivijaya ke Batu Bersurat Terengganu : Perjalanan Melayu Merentas Zaman Menggamit Peranan – Mohd Syukri Embong, YDP Persatuan Belia Waja Watan




“Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” atau HIKMAH II di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 November 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


3. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


4. Ragam Hias Gunungan Mihrab di Acheh dan Tanah Melayu (1600-1900) – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan


5. Busana tradisional Melayu sebagai Lambang Jiwa Merdeka – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


6. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Ancaman Terhadap Situs Bersejarah Kerajaan Lama Lamuri : Usaha untuk Memperkasakan sejarah Aceh yang hilang Melalui Pemeliharaan Makam-makam - wakil dari badan NGO Mapesa (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh)


9. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


10. Panji-panji hitam dari Timur : Peranan bangsa Melayu Akhir Zaman – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh


“HIKMAH Berselawat : Menjejak Pendekar, Ahlul Bayt dan Mendaulat Sultan di tanah Gangga Negara” atau HIKMAH III di Marina Hall, Lumut 27 Januari 2013


1. Alter Terahsia Melayu – Srikandi, pengkaji sejarah Melayu dan seorang penulis blog yang agak misteri tetapi diminati ramai terutama melalui blog Mistisfiles


2. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Ahlul Bayt Rasulullah SAW & Warisan Melayu – Tun Suzana Othman, penulis buku tentang Ahlul Bait dan raja-raja Melayu juga ulamak silam


4. Siapakah itu Melayu? – Tuan Haji Halim Bashah, penulis, pengumpul koleksi sejarah negeri Kelantan, wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan


5. Ahlul Bayt sebagai Perisai Agama,Bangsa dan Negara - Habib Abu Aswad ibn Zakaria Al-Kubra, mudir Madrasah Ahbabul Mustafa, Kelantan


6. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Sajak Melayu – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


9. Kebangkitan Panji-panji Hitam Melalui Pembatalan Sihir Perjanjian Pangkor - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”

HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013


1. Motif Langkasuka Dalam Kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR


2. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Abd Arif, calon PhD seni UPSI


3. 'Seni Khat Melayu': Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


4. Sejarah dan Tempat-tempat Signifikan di Kelantan : Langkasuka, Empayar Chermin hingga ke Zaman Raja K'Umar – Mohammad Iddham, Kelab Pencinta Sejarah Kelantan


5. Sejarah Kelantan Membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan Kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong


6. Sheikh Ahmad al-Fathoni dan para Ulamak Pantai Timur : Kenapa Kelantan dipanggil Bumi Serambi Mekah? - Ustaz Zaidi Hassan dari Masjid Salor, Pasir Mas, Kelantan


7. Apa yang Perlu dilakukan untuk Menjayakan Perjuangan Dinar Dirham dan Muamalatnya : Peranan HIKMAH dan Kaitan dengan Cap Mohor Diraja - Ustaz Muhammad Hassan Zaid bin Ramli dari As-Saff Madani Islamic City


8. Praktik Dinar dan Dirham untuk Kesultanan dan Umat Melayu – Mazli Alias dari kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


9. Dari Langkasuka ke Serambi Mekah : Kedaulatan Melayu dan Islam – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH


“HIKMAH Isra’ dan Mi’raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu” atau HIKMAH V di Masjid Makmur Losong, Kuala Terengganu 5-8 Jun 2013


1. Aplikasi Dinar dan Dirham sebagai Wadah Pendaulatan Islam sedunia : Pasar Terbuka Masjid - Puan Norbaini Hassan, Perunding Dinar & Dirham


2. Hubungan Syarif Al-Baghdadi dan Tok Pulau Manis dengan Islam di Nusantara - Fokus Salasilah Tok Syeikh Pulau Manis - Cikgu Najib Badruddin, Pengkaji sejarah dan waris Tok Pulau Manis dari Kelantan


3. Antara Muhammad al-Baghdadi dan Muhammad Nafs al-Zakiyah : Pengalaman Peribadi Menjejak Makna hingga ke Terengganu - Radzi Sapiee, pengasas dan presiden HIKMAH


4. Dinar dan Dirham dan Kesultanan Masa Kini – Umar Azmon Amir Hassan, Penggiat Dinar dn Dirham kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


5. Tasawuf, Tamadun Melayu dan Khilafat Uthmaniyyah – Halit Osmanli An-Naqsyabandi, Sheikh tariqat Naqsyabandiah-Haqqani


6. TokKu Paloh dari aspek Sosiologi Ekonomi Masyarakat - Razi Yaakob, Pensyarah UnisZa (Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu)


7. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 -Mohd Zahamri Nizar, Aktivis seni rupa Melayu


8. Jejak dan Legasi Tok Ku Paloh dan Keluarga - Dr Syed Lutfi bin Syed Umar, Pensyarah Unisza


9. Batu Bersurat Terengganu, Mesej untuk Umat Akhir Zaman - Rashid Hamat, Ketua Bahagian Sejarah, Muzium Negeri Terengganu


HIKMAH Merdeka Raya atau HIKMAH VI di Galeri Shah Alam 7 September 2013


1. Hasil kerja seni sebagai Wadah Memartabatkan Melayu dan Islam - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


2. Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya – Puan Zaharah Sulaiman, penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu - Shamsul Yunos, bekas wartawan Malay Mail dan aktivis media bebas


4. Pernyataan HIKMAH Melaka sebagai blue print kebangkitan Ummah - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH

Festival Ketamadunan Dan Adat Istiadat Melayu Mukmin Nusantara atau HIKMAH VII di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 November 2013


1. Zuriat Nabi SAW dan Islam di Nusantara : Sejarah, Hijrah dan Hikmah - Tun Suzana Othman, penulis buku“Ahlul Bait dan Raja-Raja Melayu” dan Ustaz Mohd Iqbal Parjin dari KEMUDI ((Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam)


2. Fiqh al Adat Muhakkamah dalam Hikayat Raja-raja Melayu oleh Farha Muhammad - Nur Shazwani Sadzali dari Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan



Rumahku Syurgaku @ HIKMAH VIII di Baitul Hikmah, Sungai Buaya, Rawang, Selangor 8 Februari 2014


1. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 oleh Mohd Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu


2. Ruang Mihrab Rumah Rasulullah SAW dan Perkaitannya dengan Falsafah Gunungan bersumberkan Al-Quran oleh Puan Harleny Abd Arif, pengkaji dan calon PhD seni UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris)

Mutiara HIKMAH @ HIKMAH IX di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Februari 2014


1. Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang - Roslan Saadon dari NGO Peradaban


2. Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu - Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos, wartawan dan aktivis media bebas


4. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


5. Ancaman terhadap Akidah Umat Islam - Sheikh Raja Aman bin Raja Mokhtar, pemimpin Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah

HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda @ HIKMAH X di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014



1. Pengenalan HIKMAH – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


2. Sahibul Hikayat Bustanus Salatin - Muammar Farisi dari SILA (Sejarah Indatu Lemuria Aceh)


3. Pelestarian Situs Sejarah dan Budaya di Aceh - Teuku Zulkarnaian dari Dinas Budaya dan Parawisata (Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan) Aceh, juga Raja Nagan, raja bagi negeri kecil Nagan di bawah Aceh Darussalam.