Salam 27 Rejab, lewat malam Isra' Mi'raj. Sudah lama blogspot HIKMAH tidak dikemaskinikan. Biar dibuat satu perkongsian.
Semalam pagi Jumaat 16 Januari 2026 saya dan isteri pergi ke Kompleks MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) di Shah Alam.

Kami diberitahu ada bantahan rasmi mahu dibuat oleh sekumpulan NGO Melayu Islam terhadap usaha normalisasi LGBT yang kelihatan semakin galak sejak kebelakangan.
Sebetulnya usaha jahat itu sudah lama berjalan.
Cuma baru ini muncul usaha satu kumpulan mahu mengadakan acara yang didapati terang-terang bersifat LGBT bahkan mengiklankan kepada umum tanpa rasa segan.
Ini menimbulkan kemarahan orang Melayu Islam, sehingga Sultan Selangor sendiri terpaksa bersuara bertitah agar acara dibatalkan.
Entah benar akan dibatalkan atau kumpulan berkenaan sedang mencari helah hendak terus melakukan, mungkin bertukar tempat dan corak persembahan, yang pasti ia adalah usaha normalisasi LGBT yang mencabar maruah dan kewarasan.
Demi menjunjung tinggi titah baginda Sultan NGO-NGO yang terlibat pun menzahirkan bantahan.
Memo disampaikan kepada pengurusan tertinggi MAIS kemudian dibuat sidang media di perkarangan bangunan.
Selepas solat Jumaat di masjid negeri bergerak pula ke bangunan SUK, Setiausaha Kerajaan negeri Selangor.
Kali ini untuk membantah usaha untuk membuat penternakan babi secara besar-besaran.
Pada mulanya hendak dibuat di Tanjung Sepat yang mana memang sudah ada ladang ternakan babi yang bau busuknya sudah cukup untuk menganggu ketenteraman awam. Apatah lagi kalau diadakan secara besar-besar, di atas tanah seluas 500 ekar.
Yang menimbulkan kemarahan adalah ia mahu dibina dekat, malah dalam kawasan penempatan orang Melayu-Islam yang mana babi adalah najis berat. Selain mengganggu dengan bau, menimbulkan pencemaran alam sekitar dengan najis meresap masuk ke dalam sistem pengairan sungai dan pantai ia dilihat sebagai usaha halus mencabar kewarasan umat Islam.
Sultan pun bertitah agar ia dibatalkan. Tapi pihak berkenaan mahu mengalihkan ke Bukit Tagar.
Inipun melibatkan penempatan-penempatan umat Melayu-Islam.
Seharusnya kalau hendak sangat menternak babi buatlah dalam kawasan sendiri.
Kenapa tidak di kampung-kampung baru Cina atau kawasan majoriti pemakan babi? Kenapa mesti mengacau ketenteraman orang Melayu dan Islam?