Video sekitar acara sulung kami, "Suai Kenal HIKMAH"
di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012 bersamaan 19 Zulhijjah 1433 Hijrah

Terbitnya HIKMAH

Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.

HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.

Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.

------------------------

Nota (ditulis 2 Jun 2013) : Adapun penulisan di atas dibuat ketika HIKMAH sedang bersedia untuk mengadakan acara keduanya iaitu di Melaka 25 Nov 2012. Selepas itu acara ketiga telah diadakan di Lumut, Perak 27 Jan 2013, acara keempat pula di Kandis, Bachok, Kelantan 16 Mac. Kini kami sedang bersiap-sedia untuk mengadakan acara kelima di Kuala Terengganu 5-8 Jun, kali pertama acara HIKMAH diadakan melebihi 1 hari.

Biar diberitahu kemungkinan besar ia adalah acara terakhir HIKMAH sebelum hujung tahun. Selain penat mengatur acara, pengasas HIKMAH iaitu Radzi Sapiee perlu berehat menanti penyembuhan kecederaan agak serius kaki yang dialami mula sebulan lalu. Beliau juga ingin kembali pada satu usaha penulisan buku yang tergendala setahun lalu, usaha tergendala yang tanpa diduga boleh membawa pada penubuhan HIKMAH 12 Okt 2012. Harap maklum...

Tuesday, December 25, 2012

Keris yang sesuai untuk majlis

Jika awal pagi buta tadi gerak hati saya menyuruh membuat artikel Berselawat menaiki kapal perang di perairan Pangkor, petang ini pula saya terasa mahu berkongsi tentang keris.


Adapun sejak menganjurkan acara pertama HIKMAH di Shah Alam 4 November 2012 (rujuk HIKMAH 4 Nov - Dari pagi ke Zuhur berkongsi ilmu dan HIKMAH 4 Nov - Lepas Zuhur hampir ke Maghrib masih tak balik-balik!) saya terasa perlu memakai keris sebagai lambang jati diri orang Melayu. Namun saya sendiri tidak pernah memiliki keris walaupun keluarga saya berasa daripada nasab diraja yang pernah memerintah kerajaan kemudian lebih berperanan menjadi pahlawan. Dahulu saya langsung tidak pernah mempedulikan hal tersebut lantaran berfikiran liberal berkiblatkan Barat. Kemudian apabila saya mula mengambil tahu  bab salasilah keluarga penghujung tahun 2001, almarhum Nenek saya memberitahu ketika atau selepas perang Perak dengan British 1875-1877 keluarga moyang saya membuang dua tong senjata termasuk keris-keris pusaka ke dalam Sungai Perak. Alasan yang diberikan... mereka mahu melupakan hal-hal ilmu keduniaan dan menumpukan pada ilmu akhirat.


Peranan sebagai presiden dan pengasas HIKMAH menyebabkan saya harus akur bahawa untuk majlis-majlis rasmi akan datang saya harus berpakaian tradisional Melayu siap dengan keris. Oleh kerana saya tidak tahu keris apakah yang sesuai buat diri saya, saya telah meminta pandangan seorang rakan lalu dipinjamkan sebuah keris sepokal Bugis Terengganu dengan bilah sepanjang 13.5 inci yang katanya berumur 160 tahun. Keris itulah yang dipakai semasa HIKMAH II di Melaka 25 Nov (rujuk Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Dari pembukaan ke makan tengah hari dan Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka) juga semasa mengisytiharkan Pernyataaan HIKMAH Melaka di hadapan Istana Kesultana Melaka 2 Dis (lihat Pertemuan busana dan pendekar di Istana Kesultanan Melaka sebagai lancutan wacana yang dilaksanakan HIKMAH 25 Nov dan Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman?). Malah keris itu sentiasa tersisip dipinggang dibawa ke merata tempat termasuk bukit A Famosa di Melaka dan Masjid India serta Bukit Bintang di Kuala Lumpur sejak ia diambil 2-3 hari sebelum HIKMAH II, sehingga ia dipulangkan selepas menghadiri majlis permasyhuran Pusaka KL 15 Dis. Lihat Sekitar Majlis Permasyhuran Persatuan Perkerisan Kuala Lumpur di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


Ahad malam Isnin, atas jasa baik seorang rakan yang merupakan senior dalam dunia seni, saya akhirnya dapat memiliki sebilah keris yang cukup sajak dibawa ke majlis. Kebetulan ia juga jenis Bugis Terengganu yang mungkin berumur ratusan tahun, cuma bezanya dengan yang dipinjam dahulu ia berlok 7 dan panjang bilah 14.5 inci. Selepas ditukar hulu asalnya dengan hulu lain yang berukir halus baru saya rasa ia kelihatan cukup bermartabat untuk dibawa ke majlis yang dihadiri sultan. Insyaallah jumpa kita di Perak, negeri kelahiran ayahanda saya dan tempat susur-galur keluarga yang berdarah diraja Aceh-Bugis-Melaka. Lihat HIKMAH acara ketiga diadakan di Lumut 27 Januari.


5 comments:

  1. Bang,

    Carilah kesembatan, belajar ADAT DAN ADAB 'MENGANGKAT' KERiS. DALAM kata lain,"SEMBAH KERIS".

    Terima kasih.

    :)




    sepuluh
    http://www.harmoni-my.org/forum/index.php?topic=1964.msg183438;topicseen#msg183438

    (^_^)v

    ReplyDelete