Adapun artikel ini bermula sebagai satu
status update di Facebook. Tapi bila dah jadi panjang sangat saya fikir elok diletakkan di
blogspot HIKMAH. Biar yang di FB digantikan dengan status ringkas berserta
link atau pautan ke artikel ini (lihat
sini). Untuk memahami keadaan yang menerbitkan penulisan berikut rujuk artikel
Memecah tempoh rehat dengan bertandang ke Gunung Ledang yang dibuat 2 bulan lalu.
------------------
HIKMAH DI HADAPAN MAKAM SULTAN ALAUDDIN RIAYAT SYAH (MELAKA) DI PAGOH?
Semakin hari saya terasa rancangan untuk mengadakan acara ke-11 HIKMAH di Ledang seperti terhalang. Pada perasaan saya mungkin disebabkan ada beberapa pihak lain terlibat yang mana mengikut apa yang mereka mahu dan rancang acara keseluruhan harus menelan belanja yang besar. Sedangkan konsep HIKMAH sendiri adalah mengadakan acara keilmuan demi merancakkan perjuangan mendaulatkan Melayu dan Islam dengan belanja seminimum mungkin. Namun kami percaya kesannya cukup kuat sambil dapat menggalakkan mereka yang memiliki kepakaran mahupun pengetahuan untuk menabur ilmu secara sukarela juga amal jariah, satu konsep yang susah difahami oleh mereka yang biasa menjadikan acara-acara keramaian sebagai landasan untuk menerbitkan wang juga peluang-peluang perniagaan.
Maaf, saya harus meluahkan rasa ini kerana ia kuat berlegar di dalam fikiran sejak lebih 2 minggu lalu. Tak mengapalah jika luahan ini menjadi asbab HIKMAH dikeluarkan daripada rancangan untuk mengadakan acara di Ledang. Saya percaya reputasi kami sudah cukup kukuh setelah mengadakan 10 acara kedaulatan Melayu dan Islam di merata Semenanjung Malaysia sehingga luar negara ke Aceh. Kami tidak perlu mengejar nama atau merebut apa-apa pengiktirafan. Wujudnya dan terus berdirinya kami terutama diri saya sendiri sebagai peneraju walau sudah setengah tahun tidak aktif adalah untuk membantu pihak-pihak lain agar terus bersemangat meneruskan perjuangan. Hal inilah yang sering disebut kawan-kawan seperjuangan terutama dari Aceh apabila saya menyatakan niat mahu bersara. Maka untuk memenuhi harapan juga rasa tanggungjawab saya kata tidak jadi bersara, cuma mahu berehat menyiapkan penulisan yang tertunda (masih lagi tersangkut sebenarnya) sambil melihat dari belakang tabir sekurang-kurangnya buat suatu masa.
Sebagai seorang penulis saya sering mengikut mood meluahkan rasa apabila perlu. Kalau tak diluahkan apa-apa usaha termasuk penulisan boleh jadi tersangkut. Maka saya luahkan panjang lebar 2 perenggan di atas sebagai mukadimah untuk menyatakan hal seterusnya...
Baru-baru ini kawan-kawan di Aceh telah menyuakan gambar-gambar sambutan haul ke-385 Sultan Iskandar Thani yang diadakan di hadapan makam baginda di Banda Aceh. Untuk pengetahuan, baginda adalah seorang anak raja Pahang yang dijadikan menantu raja Aceh. Baginda sendiri kemudian menjadi Sultan Aceh. Majlis dibuat begitu ringkas dengan sebuah kemah melindungi peserta yang duduk bersila. Ini mengingatkan bagaimana acara ke-10 HIKMAH diadakan di bawah rumah tradisional Aceh. Lihat
Acara kesepuluh HIKMAH di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014.
Seorang kawan lalu mencadangkan agar dibuat penggiliran acara sebegitu, tahun ini tahun genap diadakan di Aceh, tahun ganjil seperti tahun hadapan iaitu 2015 diadakan di Malaysia dan begitulah seterusnya. Saya berkongsi status tersebut lalu menyebut begini : "Subhanallah. Semoga ada kawan2 di Malaysia dapat meneruskan gerak dengan mengadakan acara serupa. Kawan2 kita ramai yang berbakat menganjurkan acara. Buatlah. Semoga Allah SWT membantu dengan syafaat Rasul..."
Sebetulnya saya terasa penat hendak mengadakan apa-apa acara lalu cuba mengajak orang lain melakukannya. Tetapi apabila difikirkan balik berapa ramai sanggup mengadakan acara kecil di hadapan makam kalau tidak ada apa-apa imbuhan seperti duit dan peluang perniagaan, juga melonjakkan nama naik? Sambil itu timbul rasa sedikit bersalah kerana menyedari kawan-kawan di Aceh sangat berharap agar saya melakukannya. Kemudian seorang kawan lama yang pernah beberapa kali turut menjayakan acara demi acara HIKMAH menyatakan sokongan. Beliau malah bercadang untuk mengeluarkan dana sendiri demi mendapatkan sebuah dua khemah juga sistem bunyi atau PA termasuk hailer atau alat pembesar suara agar acara serupa boleh diadakan pada bila-bila masa tanpa terlalu bergantung pada pihak lain.
Tentunya saya amat gembira mendengar sokongan ini. Selain ada alatan sendiri yang memudahkan kami mengadakan acara, ia juga membolehkan kami untuk mengadakan acara di mana-mana ceruk rantau. Kami boleh pergi ke makam-makam raja, para wali dan pahlawan yang terletak jauh daripada kemudahan infrastruktur biasa. Tidak seperti sebelum ini di mana kami memerlukan dewan atau bangunan serupanya untuk berkongsi ilmu, kami boleh bergerak lebih bebas pergi ke tempat-tempat dengan tema tertentu sesuai dengan keadaan persembahan pada sesuatu masa.
Ketika itulah timbul ilham apa kata buat acara di makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja, Pagoh? Untuk pengetahuan ini adalah satu-satunya makam Sultan Melaka yang dipastikan masih wujud di Malaysia, lain sudah hilang jejak atau berada di luar negara. Malah ia bukan pun makam di tempat jin bertandang. Di sebelahnya wujud sebuah masjid yang cukup luas, ada pula bangunan lain yang kalau tak salah saya digunakan untuk menyimpan barangan masjid. Pendek kata sudah cukup infrastruktur untuk mengadakan acara. Tak perlu pun usung khemah ke sana ke mari tapi kalau ada apa salahnya?
Masyaallah, sejak menerbitkan HIKMAH 12 Oktoboer 2012 tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk mengadakan acara di situ. Baru kini timbul walhal letaknya cuma sekitar 25 km dari rumah ibu bapa saya di Muar. Nampaknya inilah hikmah yang muncul daripada cadangan untuk mengadakan acara ke-11 HIKMAH di Ledang tapi hingga kini tak nampak apa-apa perkembangan. Kalau selepas ini tiba-tiba timbul perkembangan hingga acara nenjadi juga maka saya akan mengotakan janji untuk menjayakannya. Tapi kalau tak jadi atau penyertaan HIKMAH dibatalkan lalu acara dijayakan oleh pihak lain, mungkin akibat penulisan ini saya tiada masalah. Sesungguhnya HIKMAH itu diterbitkan dengan konsep sukarelawan yang saya percaya amat mudah supaya ia dapat menjadi wadah perjuangan mendaulatkan Melayu dan Islam yang sejati, bukan lubuk mencari wang, peluang perniagaan mahupun mendapatkan nama untuk menaikkan mana-mana individu mahupun pihak apalagi kepentingan politik.
Untuk melihat keadaan sekitar makam Sultan Alauddin Riayat Syah juga tempat-tempat berdekatan sila rujuk artikel-artikel berikut. Ia pernah dikongsikan dalam
blogspot-blogspot saya,
CATATAN SI MERAH SILU,
BERPETUALANG KE ACEH dan
SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Nampaknya banyak juga artikel telah saya tulis melibatkan makam baginda. Bacalah. Samada HIKMAH di Ledang jadi atau tidak semoga yang di makam Sultan Melaka ini menjadi kenyataan. Amin.
Sultan Alauddin Riayat Shah: Satu-satunya Sultan Melaka yang makamnya masih wujud di Malaysia
Al-Rasyid jejak tanah di makam Sultan Alauddin Melaka...
Laksamana pulang ke Perak: Membuka detik baru di Muar
Makam Sultan Alauddin Melaka, kesan banjir dan ukiran lidah terjulur
Projek buku masjid - perjalanan selatan 3
Cerita projek buku masjid - Pulau Besar membawa ke Muar dan makam Sultan Alauddin
Gambar-gambar di Muar
Dari makam Sultan Alauddin ke Bukit Serindit, Melaka
Jalan-jalan lepas raya... Dari Muar ke Pagoh ke Melaka, entah le nak cari apa!
Salam Ramadhan... semoga berkat bulan mulia menghilangkan H1N1 dan segala macam kekalutan...
Dari Tok Bentayan ke Sultan Alauddin ke Tuanku Tambusai - Latihan awal Johan untuk pengembaraan akan datang
Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Singgah dahulu ke makam Sultan Alauddin
Seputar cuti raya Cina 2013 - Maulud di Pulau Besar, berpanji hitam dan berkeris di makam Sultan Alauddin
Meninjau persekitaran Ledang untuk HIKMAH akan datang
Masjid jamek (Main mosque of) Sultan Alauddin Riayat Shah I
Batu-batu nesan di makam Sultan Alauddin Melaka (Tombstones at the tomb of Sultan Alauddin of Melaka)
\
Nota tambahan (dibuat pada 21 Februari 2017) : Saya tak tahu kenapa dua buah gambar yang dilampirkan dalam artikel ini hilang, tidak dapat dipaparkan. Mungkin kerana saya telah membuat pautan terus pada website yang kini sudah hilang. Harap maaf jika hal ini mengganggu pembacaan...
No comments:
Post a Comment