Salam Maal Hijrah. Hari ini Sabtu 25 Oktober 2014 masuklah tahun baru Hijrah yang ke 1436. Genap 2 minggu lagi akan diadakan acara ke-11 HIKMAH di masjid dan makam Sultan Alauddin Riayat Shah I di Kampung Raja, Pagoh, Muar iaitu pada 8 November bersamaan 15 Muharram. Biar dimaklumkan lagi makam ini adalah satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih terpelihara di Malaysia hingga kini. Lain-lain makam Sultan Melaka tidak dapat dipastikan lagi letaknya di mana, sudah hilang tanda dirosakkan Portugis selepas masuk menjajah kota Melaka tahun 1511 Masihi.
Seperti biasa pembentangan ilmu berteraskan sejarah kajian anak Melayu akan diketengahkan untuk meningkatkan semangat perjuangan demi kedaulatan Melayu dan Islam. Acara kali ini akan turut menyaksikan majlis hol atau ulang tahun kemangkatan almarhum yang ke-550 menurut kiraan Hijrah, berdasarkan perkiraan baru Melaka diasaskan tahun 1262 Masihi. Difahamkan ini adalah kali pertama hol diadakan untuk Sultan Alauddin sekurang-kurangnya dalam sejarah moden. Baginda boleh dikatakan simbol kekuatan dan kedaulatan Kesultanan Melayu Melaka berdasarkan kealiman dan kesolehan sehingga tertulis pada batu nesan sebagai seorang wali Allah yang terpilih.
Dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ada beberapa perkembangan yang memberangsangkan tentang acara. Satu, seorang pencari dan pengumpul matawang dari Kota Tinggi, Johor, Yang Mulia Raja Kamarazaman telah bersetuju untuk membentang bersama kertas kerja bertajuk "Kehilangan dinar Melaka - Usaha Meminggirkan Kuasa Ekonomi Sebenar Melayu?". Kurang 2 minggu lalu beliau berjaya menemukan berpuluh matawang lama dinar, dirham dan keton (syiling timah) kerajaan Johor Lama, pewaris empayar Melayu Melaka. Matawang tersebut meliputi tempoh 1528-1760 Masihi dan ia akan dipamerkan semasa acara nanti.
Selain itu kami diberitahu, insyaallah satu rombongan dari Aceh akan datang menyerikan majlis. Ini diberitahu oleh Yang Mulia Teuku Raja Zulkarnain dari Dinas (pejabat) Kebudayaan dan Parawisata (pelancongan) Aceh beberapa hari lalu. Beliau yang turun memegang jawatan adat raja Nagan, sebuah negeri kecil bawahan Kesultanan Aceh tetapi meliputi wilayah lebih 2 kali ganda keluasan negeri Melaka pernah mewakili Gabernor Aceh menyambut rombongan dari Malaysia semasa acara ke-10 HIKMAH diadakan di Muzium Aceh, Banda Aceh 29 Mac lalu. Pada majlis makan malam di kediaman rasmi gabernor beliau memberitahu akan berusaha membawa rombongan 50 orang Aceh ke Malaysia jika ada lagi majlis seperti itu. Lihat artikel lama
HIKMAH Aceh @ HIKMAH X - Diraikan Gabernor di kediaman rasmi.
Selain mengatur acara seperti dibincangkan pada artikel
Mesyuarat penganjuran di Masjid Sultan Alauddin - Bersedia untuk menjayakannya saya juga dijadualkan membentang 2 tajuk kertas kerja. Sukacita dimaklumkan set slaid untuk satu kertas kerja berjaya disiapkan 2 hari lepas, tinggal sedikit kemas kini dari segi teks dan isi. Pembacaan/kajian yang perlu dibuat untuk kertas kerja lagi satu pula baru selesai sehari lalu, tinggal diterjemahkan menjadi slaid untuk ditambah pada sejumlah slaid yang sudah tersedia lebih awal. Lebih kurang sejam tadi pula baru saya mendapat ilham bagaimana mahu mengatur 6 tajuk kertas kerja pembentangan untuk mengisi dua sesi, tengah hari dan petang. Dengan itu biar ditunjukkan atur cara yang boleh dikira cukup lengkap...
8 – 9 - Kedatangan peserta/tetamu
9 - 10 - Majlis hol almarhum Sultan Alauddin Riayat Syah yang ke-550
10 - 10.20 - Rehat/sarapan
10.20 – 11 - Pembukaan :-
- Ucapan aluan oleh pengerusi jawatankuasa Masjid Sultan Alauddin Riayat Syah I,
Tuan Haji Hamzah Ali
- Ucapan aluan oleh ketua Kampung Raja, Tok Rahmat
- Ucapan aluan oleh presiden dan pengasas HIKMAH, Radzi Sapiee
11 – 1 -
Sesi pembentangan tengah hari -
a. "Sultan Alauddin Riayat Syah - Wali Allah yang Terpilih" - Hasan Yusof, penulis buku "Sultan-sultan Soleh di Nusantara"
b. "Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang" - Radzi Sapiee, penulis trilogi novel "Berpetualang ke Aceh"
c. "Kehilangan dinar Melaka - Usaha Meminggirkan Kuasa Ekonomi Sebenar Melayu?" - Raja Kamarazaman, pencari dan pengumpul matawang lama dan Norbaini Hassan, perunding dinar dan dirham
1 – 2 - Rehat Zuhur/makan tengah hari
2 - 4 -
Sesi pembentangan petang :-
a. "Malim Dewa dan Dinasti al-Kamil - Sambungan Aceh ke Muar" - Radzi Sapiee, penulis trilogi novel "Berpetualang ke Aceh"
b. "Raja Temenggung Muar : Satu kaitan Aceh, Melaka lama dan beberapa kesultanan sekarang" - TunSuzana Tun Hj Othman, penulis buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu"
c. "Sistem Pentadbiran Islam Moden di bawah Pemerintahan Raja-Raja Melayu" - Pelita Di Dalam Kaca, penulis novel Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafur
4 - 4.45 - Rehat Asar/minum petang
4.45 - 5.15 - Sesi berkumpulan – “Mengangkat kembali kegemilangan Melayu Islam melalui contoh yang ditinggalkan oleh Sultan Alauddin Riayat Syah, wali Allah yang terpilih”
Hadirin boleh memilih untuk bersama salah satu daripada 10 kumpulan menurut minat untuk berbincang dan memberi maklum balas tentang topik. Setiap kumpulan dipimpin seorang moderator yang memiliki pengetahuan dan pengalaman dalam bidang. Kumpulan-kumpulan itu ialah :-
a.
Perkerisan dan Persenjataan
b.
Perubatan dan Pemakanan
c.
Persilatan dan Siasah Perang
d.
Busana Tradisional Melayu
e.
Kebudayaan,Tarian dan Wayang
f.
Seni Ukiran/Khat
g.
Kitab/Buku/Sastera
h.
Keagamaan
i.
Keluarga dan Salasilah
j.
Ketamadunan dan Kerajaan
5. 15 - Penutup - Setiap kumpulan diminta memberikan ringkasan maklum balas/dapatan sebelum presiden dan pengasas HIKMAH memberikan kata-kata akhir untuk menutup acara.
Assalammualaikum tuan. Saya bernama M.Johar bin M.Said dan menetap di Tangkak, Ledang. Sudah lama saya menanam impian mahu menyertai HIKMAH. Bolehkah orang biasa seperti saya menghadirinya? Bagaimanakah pendaftarannya dan berapakah bayarannya? Terima kasih
ReplyDeleteWassalam. Datang saja tuan. Tiada apa2 bayaran, pendaftaran pun tak perlu. Yang penting ada penghayatan Melayu. Pakai baju Melayu, kalau pakai busana bertanjak, bersampin, berkeris lagi bagus. Bawa kawan2...
ReplyDelete