Hampir jam 9.30 pagi baru kehadiran peserta kelihatan cukup memberangsangkan.
Sudah disebut dalam artikel
HIKMAH Janda Baik - Mukadimah awal pagi Sabtu, bahawa mengikut atur cara, peserta dijangka datang bermula jam 8 pagi. Sedangkan acara mahu dimulakan dengan Maulud jam 9. Sekarang dah jam 9.30. Baru nampak macam acara boleh bergerak. Takkan nak mulakan majlis dengan setakat 30-40 orang? Nak mulakan Maulud pun kumpulan yang diminta membawanya baru sahaja sampai...
Tak mengapa. Kami sudah biasa memulakan acara sehingga lebih sejam lewat daripada apa yang dijadualkan. Jadi, walaupun kehadiran selepas jam 9,30 sudah cukup ramai untuk memulakan majlis saya membiarkan lagi sehingga lebih ramai datang. Lagipun ketika itu saya sendiri belum bertukar pakaian. Saya masih perlu memastikan beberapa perkara lancar sebelum sendiri dapat bersiap...
Hampir jam 10.15 baru majlis betul-betul dapat dimulakan.
Ketika itu sejumlah pelajar agama dan tahfiz daripada sekolah berdekatan sudah muncul untuk memeriahkan acara.
Maulud dimulakan oleh satu kumpulan yang dibawa oleh seorang kawan lama saya saudara Zafir Zakaria. Mereka ini adalah sebahagian daripada kumpulan Haqqani Maulud Ensemble, dahulunya di bawah selian almarhum Sheikh Raja Ashman, adinda kepada Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak sekarang. Kumpulan ini pernah bermain di merata pentas keliling Malaysia dan luar negara, beberapa kali di istana Sultan Perak, pernah juga di istana Sultan Brunei kalau tak salah. Kebetulan Zafir menetap di Janda Baik, rumahnya sekitar 6 km sahaja dari rumah Pak Habib. Dia pun membawa sejumlah kawan/ahli kumpulan yang turut menetap di kawasan kampung di pergunungan Banjaran Titiwangsa ini.
Para pelajar agama dan tahfiz pula datang dari Maahad An-Noer yang terletak cuma sekitar 300 meter daripada rumah Pak Habib. Saya diberitahu Maahad tersebut baru mendapat rupa baru yang sangat menyegarkan di bawah pimpinan ulamak terkenal dari Indonesia, Sheikh Nuruddin al-Banjari bulan September tahun lepas. Lihat artikel
Looking at Maahad An-Noer in Janda Baik di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Sungguh, alunan Maulud, Salawat dan Qasidah yang terhasil daripada gabungan kumpulan Haqqani dengan para pelajar (mereka disebut sebagai santri, panggilan untuk pelajar sekolah agama tradisional di Indonesia) sangat sangat memberangsangkan, menyentuh hati, jiwa dan menaikkan semangat. Saya pun duduk sama di atas pentas diikuti beberapa orang peserta yang datang berbusana tradisional Melayu penuh.
Cuma mereka yang berada sama di situ sahaja dapat merasakan betapa hebatnya majlis Maulud yang berlaku pagi itu. Entah berapa orang sahaja yang tahu ia hampir-hampir tak menjadi. Entah berapa orang sedar bahawa kehebatan yang muncul memang langsung tidak dirancang. Sekarang barulah boleh dibuka cerita di sebalik apa yang berlaku...
Adapun rancangan untuk mengadakan Maulud pada acara ke-16 HIKMAH ini telah disuarakan oleh pemilik tempat/rumah iaitu penulis buku politik terkenal, Pak Habib @ S.H.Alattas, dalam pertemuan yang sama dia meminta saya mengadakan acara HIKMAH di tempatnya iaitu pada 3 Januari lalu. Lihat artikel
HIKMAH Janda Baik di rumah Pak Habib 30-31 Januari 2016. Beliau memberitahu akan mengundang mana-mana Habaib (ulamak berketurunan Nabi Muhammad SAW) untuk memimpin majlis. Saya percaya ini kerana Pak Habib sendiri berasal daripada keluarga tersebut. Datuknya Syed Hassan al-Attas pernah menjadi mufti negeri Pahang kemudian Johor awal abad ke-19. Saya tahu rumah beliau juga sering dikunjungi para Habaib lalu diadakan Maulud.
Dan lagi, sekurang-kurangnya seorang anak beliau mampu memimpin majlis. Saya diberitahu (bukan oleh Pak Habib) seorang lagi anak beliau boleh membawa Qasidah dengan baik. Atas kepercayaan ini saya pun meninggalkan hal Maulud 100 peratus kepada beliau. Biar saya sendiri memberikan penumpuan kepada perkara-perkara lain terutama pengisian untuk sesi-sesi pembentangan ilmu bagi majlis yang Pak Habib minta agar berlangsung selama 2 hari...
OK. Sambil bercerita ini biar ditunjukkan juga gambar-gambar yang diambil ketika saya meninjau keadaan sekeliling sambil Maulud sedang berjalan...
Maka saya pun membiarkan sahaja Pak Habib mengatur siapakah yang akan memimpin Maulud dan bagaimana ia mahu dilaksanakan. Cukuplah sekadar dapat memenuhi jadual yang saya atur iaitu Maulud harus berlangsung pagi Sabtu 30 Januari jam 9-10... sebelum pembukaan yang mengandungi kata-kata aluan daripada Pak Habib sebagai tuan rumah, saya sebagai pengasas dan presiden HIKMAH diikuti tokoh akademik , Profesor Dato' Dr Othman Yatim sebagai perasmi diadakan jam 10-11. Bila orang tanya siapa yang akan membawa Maulud saya cuma cakap Pak Habib akan membawa seorang Habaib yang sesuai untuk memimpin. Saya sendiri tak tahu siapa. Setakat menunggu apa yang Pak Habib dapat.
Nak berhubung selalu dengan beliau saya segan kerana menghormati kedudukannya sebagai seorang penulis buku politik terkenal yang sering sibuk dengan penulisannya. Walaupun beliau ayah angkat saya ini tidak bermakna saya boleh suka-suka hati berhubung bertanyakan hal. Saya cukup faham kerana saya sendiri seorang penulis. Saya tidak suka diganggu kecuali kalau betul-betul ada hal penting. Anak-anak kandung Pak Habib pun bukan boleh senang-senang nak menghubunginya. Beliau sebagai orang lama yang berpendirian old school pula tidak suka menggunakan Internet lalu tidak dapat mengikuti perkembangan yang disajikan melalui blogspot dan Facebook, apa lagi memberikan atau menerima maklum balas cepat...
Masa pun berlalu tanpa saya tahu siapakah yang akan memimpin Maulud. Walhal ada seorang dua kawan bertanyakan khabar lalu menawarkan diri untuk menjayakan sesi. Saya jawab kena hormat pilihan Pak Habib sebagai tuan rumah. Dah masuk pagi Jumaat 29 Januari iaitu sehari sebelum majlis baru saya menalifon untuk mendapatkan kepastian siapakah yang akan memimpin majlis.
Alangkah terperanjatnya saya apabila beliau bertanya balik kepada saya, siapakah yang akan dibawa untuk memimpin Maulud. "Aku ingat engkau yang akan bawak orang!". Rupa-rupanya beliau terlupa kerana sibuk dengan projek penulisan buku baru. Allah! Tinggal sehari lagi sebelum majlis. Mana nak dapat orang?
Beberapa minit kemudian beliau menalifon saya lalu memberitahu tidak dapat mencari orang. Ini kerana semua orang termasuk anaknya sendiri, anak yang mampu membawa Maulud ada hal masing-masing pada tarikh dan masa yang dijadualkan. Beliau pun meminta agar saya menundakan Maulud ke penghujung acara iaitu lewat petang Ahad 31 Januari. Insyaallah boleh dapat orang untuk waktu itu katanya.
Saya jawab tak boleh. Ini kerana dalam kalangan pembentang pun masing-masing ada kesibukan. Tak semua dapat muncul pada kedua-kedua hari malah duduk menghadiri majlis buat satu hari penuh pun ada yang tak boleh. Jadual telah diatur mengambil kira semua ini. Kalau diubah nanti semua orang boleh jadi kelam-kabut lalu ada pembentang tidak dapat menghadiri majlis. Saya cakap Maulud harus diadakan pada waktu yang ditetapkan juga. Biar saya cuba cari dahulu orang yang boleh memimpin...
Beberapa minit kemudian Allah SWT turunkan ilham. Saya teringat bahawa ada sahabat lama, si Zafir, ahli kumpulan Haqqani Maulud Ensemble memang menetap di Janda Baik. Saya pun terus menghubungi beliau bertanyakan jika dapat mengumpul orang untuk mengadakan Maulud. Saya cakap ini
emergency disebabkan ada
miscommunication antara saya dan Pak Habib.
Beliau bersetuju malah memberikan jaminan akan muncul pada waktunya. Untuk memastikan agar sesi Maulud lebih meriah saya juga mengundang para pelajar Maahad
An-Noer untuk bersama. Saya sendiri datang ke tempat mereka uhtuk membuat undangan sebaik sahaja sampai ke rumah Pak Habib malam sebelum majlis. Lihat HIKMAH Janda Baik - Menggamit keindahan malam sebelum acara. Kalau tak salah ingatan, saya masuk ke tempat mereka jam 10 malam.
Kebetulan ketika sampai kedengaran alunan Maulud dan Qasidah dari dalam sekolah. Rupa-rupanya para pelajar sedang membuat latihan di sebuah bangunan besar yang kelihatan seperti surau. Saya masuk ke dalam lalu menunggu mereka selesai. Saya terus berdiri apabila mereka meneruskan dengan tazkirah dan perbincangan. Setelah beberapa lama melihat saya begitu, baru saya dijemput untuk bercakap dengan ustaz muda dari Bogor, Indonesia yang sedang menjaga sekolah.
Pada ustaz muda itulah saya memanjangkan undangan agar kakitangan dan pelajr maahad hadir pada majlis Maulud di rumah Pak Habib jam 9 pagi Sabtu. Saya cuma memberitahu kepada beliau, para pelajar tidak mendengar. Pagi tersebut, apabila belum melihat kelibat mereka jam 9 saya sekali lagi datang ke Maahad untuk memastikan kehadiran. Ternyata mereka memang mahu ke majlis, cuma ada kelas pagi yang perlu diselesaikan. Ketika mahu keluar ke tempat merekalah saya terserempak dengan kumpulan Haqqani baru sampai. Mereka juga terlewat. Tak mengapalah. Yang penting dapat juga datang...
Pak Habib memberikan ucapan alu-aluan kepada semua selepas Maulud selesai. Ketika ini sudah jam 11.06, sudah lebih sejam lewat berbanding atur cara yang dirancang iaitu pembukaan yang mengandungi kata-kata aluan harus dibuat jam 10-11. Jam 11-11.15 adalah rehat sebelum sesi pembentangan ilmu.
Sungguh, anak-anak muda, para pelajar agama dan tahfiz ini telah mengangkat martabat majlis ke satu tahap yang saya sendiri tidak pernah fikirkan. Walaupun saya tahu mereka mampu membawa alunan Maulud, Salawat dan Qasidah dengan baik, saya malu untuk meminta mereka berbuat begitu kerana tidak mampu memberikan apa-apa bayaran mahupun saguhati. Takkan le senang-senang nak mintak orang buat secara percuma ya tak? Kenal pun tidak, setakat baru berjumpa memanjangkan undangan lewat malam sebelumnya...
Siapa sangka mereka akan begitu seronok terlibat dalam sesi yang dipimpin oleh kumpulan Haqqani Maulud Ensemble? Pada awal majlis saya sebenarnya risau apabila ada beberapa orang pelajar tiba-tiba berdiri lalu meninggalkan pentas. Tak suka ke bagaimana fikir saya? Ada hal lain ke kena tinggalkan majlis? Rupa-rupanya mereka kembali ke sekolah untuk menarik lebih ramai pelajar datang. Bukan itu sahaja, mereka membawa alatan seperti gendang-gendang sendiri untuk menyerikan lagi Maulud...
Dipimpin oleh ustaz muda dari Bogor, mereka juga menyanyikan alunan Maulud sendiri. Antara para pelajar Maahad An-Noer dengan kumpulan Haqqani Maulud Ensemble muncul keserasian semulajadi lantaran cinta yang sama terhadap junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Mereka seperti saling sambut menyambut mengalunkan bait-bait pujian dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW. Kami para hadirin dan peserta lain cuma mengikut sambil sesekali tenggelam ke dalam kefana'an yang terbit akibat kehebatan hati-hati yang bertaut dalam kecintaan Rasul sambil mengharapkan limpahan kebaikan daripada Ilahi. Masyaallah!
Ini pula adalah Prof Othman Yatim memberikan kata-kata aluan sebelum merasmikan majlis. Antaranya beliau mengulangi apa yang telah saya nyatakan kepada umum juga kepada beliau bahawa ada sesuatu yang istimewa tentang penglibatannya dalam acara HIKMAH kali ini. Ini kerana Prof Othman pernah merasmikan acara pertama (ke-1) HIKMAH kemudian acara ke-6. Lihat artikel lama
Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012 diikuti
Acara keenam HIKMAH di Galeri Shah Alam 7 Sept 2013. Nah sekarang beliau merasmikan acara ke-16, gabungan nombor 1 dengan 6. Saya tak rancang ini namun ia terjadi. Nampak tak ada sesuatu?
Sebelum Prof Othman menaiki pentas, saya telah memberikan ucapan alu-aluan dengan sedikit pengenalan tentang HIKMAH. Tapi saya tidak memiliki gambar diri sendiri berucap. Nasib baik ada yang mengambilnya namun biar dipersembahkan dalam satu artikel lain nanti, insyaallah.
Perasmian majlis ditambah seri dengan persembahan silat daripada perguruan Silat Hamboran Rimao Puteh...
Penyertaan mereka juga penyertaan beberapa perguruan lain untuk persembahan diatur oleh tuan Mass Kamal atau lebih dikenali sebagai Lang Indah, yang dipertua Armada Malaiu Malaysia. Untuk pengetahuan NGO warisan ini adalah pengajur bersama acara ke-16 HIKMAH.
Hadirin mengikuti persembahan daripada pelbagai sudut taman...
Persembahan dipimpin oleh guru Akmal. Untuk melihat lebih banyak gambar persembahan daripada pihak beliau sila masuk
sini.
Assalamualaikum. Maaf bertanya, maahad annoer ni tak ambil pelajar muslimat ye?
ReplyDeleteWassalam. Rasanya tak sebab tak nampak pun pelajar perempuan. Kalau ada mungkin diasingkan di tempat lain...
ReplyDelete