Gambar hiasan - Daripada acara pertama HIKMAH di Shah Alam 4 November 2012...
Salam semua. Adapun sejak membuka event page acara ke-17 HIKMAH iaitu pada 12 Ogos 12 hari lalu saya belum berkongsi apa2 perkembangan kerana disibukkan dengan pelbagai perkara. Malam ini 24 Ogos yang saya lihat bersamaan 21 Zulkaedah baru timbul gerak yang cukup mantap untuk dikongsikan. Dengan ini biar diwar2kan, untuk majlis ini kami bercadang untuk memperkenalkan 6 buah topik ilmu. Seperti biasa pada setiap acara HIKMAH setiap satu akan ditangani oleh mereka yang cukup berpengetahuan. Untuk majlis kali ini mereka diberi sehingga sejam seorang untuk membentang.
Buat masa ini biarlah disebut 6 topik itu akan bersekitar pada 6 perkara ini :-
1. Menggali kehebatan sebenar Kota Melaka semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka berdasarkan satu usaha ekskavasi yang sedang berlangsung di Bukit St Paul/Bukit Melaka
2. Teknologi Alam Melayu berdasarkan kajian2 lapangan di merata lokasi di Alam Melayu/Nusantara ini
3. Hubungan sebenar Nabi Adam AS dengan orang Melayu purba yang menurut kajian DNA sudah wujud seawal 60,000 tahun lalu
4. Ulamak dan persilatan dalam sejarah Alam Melayu iaitu ulamak2 yang turut mengamalkan silat dalam kehidupan seharian mereka
5. Dalil-dalil bertanjak dalam Islam, sanad serban dan imamah, amalan melangir keris, dan berapa hal lain mengenai Melayu dan Islam
6. Tentang dinar dan dirham berlatarbelakangkan persaingan sengit antara pengaruh blok Amerika dengan pengaruh blok China
Atur cara ringkas majlis adalah seperti berikut :-
Sabtu 17 September 2016
8 - 9 : Kedatangan tetamu dan peserta
9 - 9.30 - Pembukaan – Ucapan-ucapan aluan dan sebagainya
9.30-11.30: Sesi pembentangan pagi
11.30 – 1.30 : Sesi pembentangan tengah hari
1.30-2.30 - Rehat makan tengah hari/Zohor
2.30 - 4.30 : Sesi pembentangan petang
4.30-5 : Rehat minum petang/Asar
5 : Sesi perbincangan berkumpulan diikuti taklimat penutup
Seperti biasa pada mana2 acara HIKMAH majlis adalah terbuka dan percuma kepada semua yang sayangkan Melayu dan Islam. Makan minum disediakan secara percuma oleh pihak kami. Cuma diharap dapat datang berbusana tradisional Melayu penuh, bersampin, bertanjak dan berkeris. Paling kurang pun berbaju Melayu, bersampin, bersongkok. Sila nyatakan kedatangan dengan cara mengklik going pada event page HIKMAH 17 agar mudah kami membuat persediaan yang patut. Page boleh diakses melalui pautanhttps://www.facebook.com/
Berikutnya saya telah membuat satu update tentang rancangan mengadakan satu acara HIKMAH pada penghujung tahun di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang. Update dibuat pada 26 Ogos. Walaupun ia bukan berkenaan HIKMAH Seremban ia penting sebagai satu rantaian atau rentetan peristiwa yang berkaitan.
Salam pagi Jumaat. Merujuk pada artikel yang dipautkan, artikel yang dipersembahkan dalam blogspot HIKMAH 10 hari lalu. Saya ada menyebut mahu mengadakan satu acara HIKMAH di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang pada penghujung tahun ini. Semalam, malam Jumaat, saya, isteri dan anak2 telah bermalam di lokasi cadangan itu. Tuan punya tempat telah bersetuju dengan cadangan bahawa acara diadakan pada hari Ahad 11 Disember.
Adapun tarikh itu adalah hari keputeraan Sultan Selangor, maka orang Selangor harus dapat cuti tambahan nanti. Saya lihat kalendar juga menunjukkan esoknya Isnin 12 Disember adalah bersamaan 12 Rabiulawal 1438 Hijriah. Maka saya cadangkan agar pagi itu dibuat sambutan Maulud sekali.
Memandangkan lokasi ini agak terpencil kerana terletak di atas kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa dan ia memiliki sejumlah rumah2 kecil seperti chalet juga dormitory atau asrama yang boleh menempatkan ramai orang biarlah peserta boleh bermalam sambil menikmati suasana. Hal ini lebih kurang sama seperti pada acara ke-16 HIKMAH yang diadakan di Janda Baik, masih dalam kawasan pergunungan yang sama tapi berjarak sekitar 20-30 km ke arah lain. Cuma lokasi di Bukit Tinggi ini lebih terpencil dan terasing daripada orang lain. Anggaplah ini peluang untuk beruzlah bersama mereka yang sealiran arah perjuangan hidup selain menimba ilmu dan bersilaturrahim seperti pada mana2 acara HIKMAH.
Maka itu saya cadangkan acara diadakan begini...
Petang Sabtu 10 Disember 2016 ; Peserta dah boleh mula masuk untuk bermukim. Malamnya diadakan tahlil arwah terutama untuk seorang sahabat baik kita, seorang penyokong tegar HIKMAH yang telah kembali ke rahmatullah sekitar 3 minggu lalu. Untuk makluman lokasi ini adalah milik kakak beliau. Memang sesuailah diadakan tahlil arwah untuk sahabat kita ini selain diniatkan kepada semua saudara mara/kenalan kita yang sudah pergi.
Ahad 11 Disember pagi hingga petang - Acara ilmu HIKMAH berjalan seperti biasa
Isnin 12 Disember pagi - Sambutan Maulidur Rasul.
Cadangan ini telah dipersetujui oleh tuan rumah. Peserta boleh bermalam dan menginap secara percuma di lokasi sepanjang tempoh tersebut. Sekian buat masa ini.
Salam. Sebelum berlepas untuk keluar berkelana lagi, kali ini ke Pantai Timur buat beberapa hari ini ingin saya meninggalkan pesan daripada penganjur bersama acara ke-17 HIKMAH di Seremban pada 17 September nanti iaitu Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara. Adapun segala keperluan logistik majlis termasuk makan minum percuma untuk peserta akan disediakan oleh pihak mereka. Pihak saya bertanggungjawab untuk mengatur pengisian ilmu. Oleh itu mereka mendambakan sedikit bantuan samada dalam bentuk kewangan mahupun tulang empat kerat untuk menjayakan majlis. Harap ada yang dapat memberikan sumbangan. Untuk maklumat lanjut sila hubungi pengarah maktab Ustaz Hasanuddin Yusof� melalui FB beliau seperti di bawah...
Salam semua. Sukacita dimaklumkan saya dan keluarga baru selamat kembali daripada satu perjalanan di Pantai Timur. Perjalanan dimulakan tengahari Selasa minggu lepas apabila saya bertolak bersama seorang sahabat dan 2 orang anaknya menuju ke Tumpat, Kelantan untuk mengutip ilmu daripada seorang sheikh di sekolah pondok. Kami berada di sana 3 hari 3 malam dengan disertai beberapa orang lagi sahabat aktivis kedaulatan Melayu dan Islam, semuanya pernah menyertai majlis2 HIKMAH.
Tengah hari Jumaat saya dan sahabat yang mula2 bersama itu bertolak pula ke Kuala Terengganu untuk menyertai majlis hol almarhum Tokku Paloh dan Tokku Tuan Besar hari Sabtu. Isteri2 kami juga 2 orang anak saya turut menyertai majlis apabila bertolak dari Kuala Lumpur ke KT petang Jumaat. Kami berada di sana 2 malam sebelum bertolak ke Kemaman di mana kami berpecah haluan. Semalam saya dan keluarga bermalam di Kuantan sebelum singgah di Temerloh, tengah hari tadi, petang baru bertolak kembali ke rumah.
Sepanjang tempoh perjalanan iaitu sejak Selasa minggu lepas saya tidak ada akses malah tidak menggunakan Whatsapp, Facebook mahupun Internet. Oleh itu maafkan saya kerana tidak dapat dihubungi atau tidak tahu apa2 perkembangan terbaru mahupun berkongsi apa2 cerita termasuk perkembangan terkini penganjuran acara ke-17 HIKMAH yang dijadualkan akan berlangsung di Seremban 17 Sept ini. Sekarang baru saya nak semak balik apa2 yang tertinggal. Apabila ada kelapangan nanti insyaallah saya akan kongsikan cerita perjalanan 7 hari 6 malam di Pantai Timur ini dalam blogspot. Buat masa ini cukuplah disajikan gambar bawah. Ia menunjukkan koleksi terbaru ukiran2 kayu yang baru diperolehi di Pahang tengah hari tadi.
Salam semua. Baru2 ini ada sahabat menghantar Whatsapp bertanyakan apakah acara ke-17 HIKMAH di Seremban yang dijadualkan berlangsung 17 Sept jadi atau bagaimana. Beliau bertanyakan ini kerana mendapati saya telah seminggu menyepi tanpa berita. Sebenarnya saya pergi keluar berkelana menimba ilmu di Pantai Timur selama 7 hari 6 malam. Dalam tempoh itu saya tidak menggunakan Whatsapp, Facebook malah Internet lalu memang tidak dapat dihubungi, tidak tahu apa2 perkembangan atau berkongsikan apa2 cerita terkini termasuk tentang HIKMAH.
Petang semalam saya sudah selamat kembali ke rumah di Rawang lalu mula menelaah apa2 perkembangan yang saya tertinggal di Intenet seminggu kebelakangan.Dua minggu lalu saya ada membuat posting ,memberikan gambaran tentang 6 topik atau tajuk yang mahu dipersembahkan pada HIKMAH Seremban. Malam ini biar dinyatakan tajuk2 tentatif berserta senarai pembentang.
1. Menggali Kehebatan Sebenar Kota Melaka semasa Zaman Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka - En. Nurman bin Mohd Baroldin, Kurator, Perbadanan Muzium Melaka
2. Red Indian telah DiIslamkan lebih 1,000 Tahun Lalu : Jejak Lama Pendakwah Islam juga Orang Melayu di Amerika – Ustaz Hasanuddin Yusof, pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara, penulis buku “Sultan-Sultan Soleh Di Nusantara”
3. Nabi Adam AS dan Orang Melayu purba 60,000 Tahun yang Lampau : Menyeleraskan Tempoh Kewujudan Manusia Dalam Sains Berbanding Kitab - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”.
4. Ulamak dan Persilatan dalam Sejarah Alam Melayu - Tun Suzana Othman, pengasas dan pengerusi Kemudi (Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam) juga penulis buku “Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu”
5. Dalil-dalil Bertanjak dalam Islam, Sanad Serban dan Imamah serta beberapa Hal tentang Melayu dan Islam dalam Kitab – Wan Ahmad Faris, aktivis busana Melayu daripada PERDAM, Persatuan Destar Alam Melayu
6. Dinar dan Dirham : Perkembangan Terbaru dalam keadaan Malaysia Tersepit antara Pengaruh Blok Amerika dengan Pengaruh blok China - Norbaini Hassan, jururunding kewangan Islam, aktivis dinar dan dirham
Nota :Gambar hiasan adalah daripada acara pertama HIKMAH di Shah Alam 4 Nov 2012. Semoga ini cukup menarik untuk kawan2. Sila nyatakan kedatangan pada event page HIKMAH Seremban... masuk melalui pautanhttps://www.facebook.com/
Adapun gambar yang dimaksudkan adalah gambar yang mula-mula diletakkan pada artikel ini iaitu gambar paling atas. Dengan ini cukuplah dikongsikan sedikit perkembangan melibatkan acara ke-17 HIKMAH di Seremban dalam tempoh sekitar 3 minggu kebelakangan. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-252 di blogspot ini. Pada masa ini saya lihat tidak perlu lagi dikongsikan apa-apa perkembangan kecuali mungkin untuk menyatakan lokasi tepat acara menggunakan Google Map dan sebagainya juga persiapan-persiapan akhir nanti. Sekian buat masa ini.
No comments:
Post a Comment