Majlis bermula pada jam 10.30. Saya menyertai melalui Zoom 10 minit lewat. Ketika itu sudah selesai kata-kata aluan oleh Presiden APM Prof. Dato' Sri Dr Daing Mohd Nasir. Beliau telah memberikan pengenalan tentang siri syarahan lalu memberikan latar belakang pendidikan dan kedudukan akademik pemidato atau pemberi syarahan iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Osman adalah penyandang Kursi Al-Ghazali di tempat saya sedang menyambung pengajian pasca-siswazah iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).
Kelihatan dalam gambar moderator Prof Dato' Dr Hassan Basri yang merupakan felo APM dan naib Canselor UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu) sedang memberikan sedikit kata-kata untuk melorongkan perkara. Disebutlah tentang kepentingan falsafah dan relevan tajuk lalu ruang pun diberikan kepada pemidato untuk memulakan bicara.
Osman membuka dengan sedikit kata-kata pengenalan lalu membuka slaid...
Disebutlah terdapat dua teori besar tentang asal usul ilmu falsafah. Dinyatakan ia bermula dengan pertanyaan tentang hidup - Siapakah aku sebenarnya? Dari mana datang? Di mana berada setelah mati? Apakah hakikat wujud yang sebenar? Falsafah bermula apabila manusia mula mengajukan persoalan-persoalan ini. Malah persoalan sama masih diajukan oleh mereka yang berfikir sehingga kini.
Walaupun memiliki banyak pecahan dua teori besar ini harus dapat merangkumi semua perkara. Teori berdasarkan agama bermula dengan risalah samawi. Diberikan contoh Plato (pemikir besar Yunani abad ke-5 dan ke-4 Sebelum Masihi) menerima teori bahawa falsafah berasal dari agama. Ia adalah heavenly message. Dalam Islam pula ia bermula daripada Nabi Adam AS sendiri. Baginda telah diajar nama-nama oleh Tuhan. Hal ini bukan disebut dalam tamadun Islam sahaja. Dalam tamadun Timur pun asal usul falsafah dikesan berasal daripada agama. Misalnya melalui ajaran-ajaran Lao Tze dan Conficius (dua tokoh besar fikiran keagamaan dan kerohanian China yang hidup sekitar 2,500 tahun lalu).
Yang mencabar teori ini adalah pendapat mengatakan falsafah bermula daripada renungan awal pemikiran manusia (tanpa berpandukan risalah daripada langit). Ini berdasarkan teori evolusi antropologi (yang terkait dengan teori manusia wujud akibat evolusi tanpa kewujudan Tuhan). Osman sendiri memilih teori pertama tanpa mengabaikan dapatan-dapatan yang terkumpul dalam teori kedua.
Disebut pula tentang makna falsafah. Al-Kindi (pemikir besar silam Islam abad ke-9 Masihi) yang mengikut tradisi ilmu Aristotle (pemikir besar Yunani abad ke-4 Sebelum Masihi) telah memberikan enam definisi. Osman memberikan empat (rujuk slaid).
Makna pertama adalah berdasarkan etimologi atau asal usul perkataan. Perkataan "Falsafah" berasal daripada bahasa Arab sedangkan itu asalnya diambil daripada bahasa Yunani. Perkataan asalnya dalam bahasa Yunani adalah "Philosopia" yang membawa makna cinta kepada hikmah atau kebijaksanaan. Dalam bahasa Inggeris ini disebut sebagai "love of wisdom".
Hmm. Kalau semua benda hendak disampaikan seperti dalam syarahan jadi panjang sangat artikel ini nanti. Jadi biar diringkaskan berdasarkan nota yang telap ditaip terus ke dalam komputer sambil mendengar syarahan semalam seperti berikut :-
Mengenai perkara 1 dalam slaid - Bagi Barat Plato dan Aristotle adalah sumber utama falsafah. Dalam tamadun lain ada panggilan lain yang membawa makna hikmah.
Mengenai perkara 2 - Bidang yang mengkaji makna falsafah itu sendiri dianggap sebagai falsafah.
Mengenai perkara 3 - Cara berfikir logik yang kita pakai sekarang lebih pada berasal daripada Yunani. Tamadun lain ada cara berfikir logik yang lain seperi di India dan China. Bukan ada satu sahaja cara berfikir tetapi banyak cara.
Mengenai perkara 4 - Dahulu ilmu falsafah meliputi ilmu fizik cara lama bukan seperti sekarang. Ia juga meliputi ilmu metafizik (melangkaui fizik) merujuk pada hal-hal seperti ilmu keTuhanan. Ilmu sains sekarang pula adalah ilmu falsafah amali/praktikal.
OK. Adapun latihan saya sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times tahun 1991-1995 menimbulkan kebiasaan untuk menerangkan semua perkara dan memudahkan bahasa sehingga sampai pada tahap pemikiran awam. Ini adalah prinsip penyebaran maklumat melalui media massa. Sedangkan syarahan-syarahan sebegini yang bersifat akademik sebenarnya adalah khas untuk golongan yang sekurang-kurangnya memiliki suatu tahap celik ilmu. Pun begitu saya tetap berusaha agar setiap penulisan dapat 'dicairkan' ke peringkat awam. Cuma kadangkala ini amat memenatkan dan memakan masa. Jadi terima sahajalah apa yang Allah SWT mudahkan bagi saya dalam perkongsian ini.
Untuk slaid-slaid seterusnya biar diletakkan dalam bentuk point form di mana setiap nombor merujuk pada apa yang ada dalam slaid kecuali dinyatakan berlainan.
1. Falsafah rasional yang menggunakan logik akal selalu dikontrakan dengan falsafah keagamaan menggunakan wahyu. Tetapi hal-hal agama juga ada yang bersifat rasional.
2. Aristotle menekankan teori dan amali ini. Ini dibawa oleh golongan Peripatetic (pengikut ajaran beliau termasuk sejumlah ilmuwan silam Islam).
3. Terma bahasa Inggeris Perennial merujuk pada kebenaran yang selalu benar. Ada kebenaran yang kekal abadi, ada yang benar cuma dalam konteks dan tempoh tertentu sahaja (transient truth). Contoh falsafah abadi adalah intipati tentang Tuhan. Kerana Tuhan tidak berubah (bermakna kebenaran tentang Tuhan adalah abadi, terpakai bagi setiap zaman).
4. Dalam falsafah tradisional agama memainkan peranan penting. Orang zaman moden pula mengeluarkan agama (daripada hidup) lalu menggunakan fungsi akal/analitik (semata-mata).
5. Falsafah analitis (berdasarkan akal semata) di Barat bermula pada abad ke-20 Masihi. Tetapi ia sebenarnya cuma satu cabang. Namun pada banyak ahli fikir ia dianggap sebagai falsafah sebenar
6. Setiap disiplin ilmu memiliki prinsip-prinsip dasarnya sendiri. Itu sendiri membentuk falsafah bagi ilmu berkenaan.
Oh. Tadi saya masih cuba menambahkan penerangan daripada nota. Selepas ini biar dikongsikan setakat apa yang dapat/sempat ditaip secara real time ya. Penerangan cuma akan ditambah kalau terasa ada keperluan sangat.
1. Merujuk pada intipati - Abadi, benar pada setiap zaman. Ia boleh dilupai oleh manusia tetapi suatu masa nanti akan dipulihkan semula. Tapi dalam falsafah tradisional amnya, bukan Islam sahaja ada darjat/hierarki. Ada yang percaya pada keabadian alam tetapi ia tidak sama dengan keabadian Tuhan.
2. Bukan hanya benar bagi suatu kelompok manusia atau tamadun tapi benar bagi semua. Menjadi fungsi ilmu falsafah untuk mengenal apakah yang universal dalam semua tamadun dan agama. Jadi ia bersifat inklusif. Lawannya ekslusif bermakna ada sesuatu yang telah dikeluarkan daripada ilmu itu.
Kemudian Osman menyebut boleh tambah Perkara 3 (tiada dalam slaid) - Kerasionalan ilmu falsafah. Kebenaran itu boleh difahami dan kelihatan rasional bagi akal.
Seterusnya ditambah Perkara 4 - Usefulness of philosophy - Kebergunaan falsafah. Berdasarkan Utilitarianism sahaja ini bermakna berguna, praktikal yang biasanya bersifat kebendaan. Walhal dalam tradisi lain boleh jadi berguna pada jasad, jiwa, akal. Asalkan memenuhi suatu keperluan manusia ia berguna. Tetapi ada yang membataskan pada material sahaja. Ia satu persoalan dalam ilmu falsafah.
1. Ibu ilmu - Pencetus pada ilmu-ilmu lain. Dahulu pada dasarnya agama, falsafah dan sains tidak terpisah - Satu kesatuan. Kemudian baru berpisah.
Peranan falsafah dalam pembahagian ilmu cukup penting
2. Isu integrasi timbul daripada semasa ke sama. Oleh itu di Indonesia disebut falsafah ilmu bukan falsafah sains.
3. Dalam sejarah falsafah memainkan peranan penting untuk mengilhamkan yang lain. Misalnya Charles Darwin (yang membawa teori evolusi sehingga manusia dikatakan berasal daripada beruk itu) membina kesimpulan bukan sekadar berdasarkan data yang dikumpulkannya tetapi dipengaruhi oleh teori pada zamannya. Ia mempengaruhi kajian empirikal.
Hendak melahirkan teori besar perlu melibatkan falsafah.
4. Bidang falsafah secara rata percaya pada unity of knowledge - Kesatuan ilmu pengetahuan. Di Barat dilihat ada persaingan antara cabang-cabang ilmu tetapi itu khusus pada Barat moden. Einstein tak percaya ini kerana beliau mendokong kesatuan ilmu pengetahuan. Sepatutnya tidak wujud konflik/pertentangan/ketegangan antara ilmu-ilmu.
Falsafah Islam sebagai yang termuda (berbanding Hindu dan Buddha misalnya) boleh memainkan peranan penyatuan. Boleh membantu mengenal pasti apakah unsur-unsur kepunyaan bersama yang ada dalam falsafah-falsafah lain. Osman percaya dengan kebangkitan kesedaran agama semua mahu mengkaji falsafah yang wujud dalam agama masing-masing.
Kenapa ilmu falsafah penting untuk Malaysia? Kerana ditakdirkan ia tempat banyak agama, banyak budaya. Dengan ilmu falsafah dapat dikesan kesamaan lalu menjadi penyatu.
Ketika mendengar bahagian ini masuk Perkara 2 tiba-tiba terlihat ada anjing hitam masuk ke halaman rumah. Terpaksalah mengambil masa untuk menghalau kemudian membuat sertu pada bahagian laman yang dipijak anjing. Itulah antara cabaran dalam menghadam ilmu di rumah sendiri. Rindu pula sudah lebih setahun tidak menjejakkan kaki di kampus ISTAC di Bukit Tunku, Kuala Lumpur akibat masalah wabak COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia.
Perkara 1 - Disebut belum institusi berkenaan di Malaysia seperti halnya di Barat. Harus ada tempat bernaung bagi semua ilmu, dapat membawa ahli pelbagai bidang untuk bersama. Kalau Akademi Sains sahaja wujud (seperti sudah ada di Malaysia) seolah-olah membayangkan ilmu-ilmu lain tidak penting. Alangkah baik jika ada satu payung untuk meliputi semua bentuk sains dan cabang ilmu.
Kesimpulannya ilmu falsafah harus dihargai. Universiti harus ada kursus falsafah. Pada peringkat fakulti dicadangkan ada kursus berhubung dengan falsafah. Kalau tiada di fakulti sendiri ambil di fakulti lain. Kalau tiada di universiti sendiri cari di universiti lain.
Kembali pada pemulaan tentang falsafah sebagai cara berfikir. Memandangkan kelemahan cara berfikir pelajar sekarang harus ada kursus falsafah. Walaupun terdapat kursus kreatif thinking dan sebagainya tetapi itu belum sampai tahapnya. Kena belajar cara bagaimana berfikir dengan betul dan secara sistematis supaya memiliki pandangan yang luas. Ilmu falsafah boleh menyumbang pada cara pemikiran, boleh membantu menyelesaikan masalah - Problem solving - Bagaimana hendak menguraikan kebuntuan. Akhir sekali Osman mahu melihat Malaysia maju dalam bidang ilmu, dapat menyelesaikan pelbagai jenis masalah.
Kalau diikutkan rasa letih dalam menyediakan artikel sambil ada perkara-perkara lain menuntut perhatian dan masa mahu sahaja ditamatkan artikel setakat ini lalu meminta pembaca melihat sendiri video rakaman majlis. Tetapi oleh kerana sudah ditaip terus (ya, ke dalam blogger, ke dalam draf artikel di blogspot) maka biar dikongsikan apa yang sempat ditaip daripada sesi seterusnya iaitu maklum balas oleh dua orang pengulas.
Daripada pengulas pertama, Profesor Dato' Seri Dr Md Salleh Yaapar daripada USM (Univesiti Sains Malaysia) juga felo utama di ISTAC :-
Mula dengan istilah dalam bahasa Greek - Philosophia - Cinta terhadap hikmah. Takrifan sangat penting dalam kehidupan. Tanpa ini manusia akan hidup dalam kegelapan/kesesatan. Fungsi ilmu falsafah sangat besar - Memberikan kemahiran berfikir kritis, analitik, logis, memberikan tindakan tepat dalam setiap detik. Kedengaran amat abstrak. Tetapi kemahiran yang dibina amat nyata dan amat berharga. Kemahiran amat dikehendaki oleh pihak majikan. Lalu graduan dapat memberikan analisis yang tepat, mengenali hujah yang kuat atau lemah.
Diulas tentang ilmu falsafah menyokong kesatuan ilmu. Banyak sub-bidangnya, epistemologi etika, estatika (ini jarang orang tahu ada falsafahnya), falsafah pendidikan, falsafah seni lalu masuk bab kesusasteraan bandingan. Diberikan contoh teks Hayy Ibn Yaqzan yang dihasilkan oleh Ibnu Tufayl sebelum meninggal dunia tahun 1185 M. Dalam bahasa Inggeris "Son of the Awake". Amat menarik sehingga diterjemahkan terus ke bahasa Latin menjadi philosopher et reductus. (itu yang saya dengar). Orang yang mengajar dirinya sendiri ilmu untuk hidup. Abad ke-18 ditiru bulat-bulat menjadi Robinson Cruseo (novel Barat yang sangat terkenal itu). Walhal ia tiruan daripada Hayy Ibn Yaqzan.
Melalui karya ini Ibnu Tufayl menonjolkan falsafah hidup kendiri - Sebagai bayi ditinggalkan di sebuah pulau lalu dibesarkan oleh kijang. Tidak mengenal manusia, masyarakat dan ajaran-ajarannya tetapi mengenal ajaran Tuhan. Dengan itu dia amat mengenali alam sekitar lalu memahami Tuhan. Tahu Allah itu wujud. Secara ringkas inilah yang dimaksudkan oleh Osman tadi sebagai kesatuan ilmu. Tanpa masjid, masyarakat dan sebagainya dia dapat mengenal Allah. Faham agama lalu menjadi insan yang kamil.
Dua, dalam keadaan terbuang di pulau tanpa manusia dapat membuat pemerhatian yang dipanggil scientific investigation. Ketiga, dapatan saintifiknya sesuai dengan agama. Karya ini bukan sahaja diminati pada zamannya (zaman kebesaran klasik Andalusia) tetapi terus diterjemahkan ke dalam bahasa Latin lalu ditekuni dunia Barat sehingga mencetuskan apa yang hari ini dipanggil sebagai European Renaissance seterusnya Scientific Revolution.
Tentang kewajaran universiti ada kursus falsafah, Salleh bersetuju. Paling kurang kursus wajib peringkat universiti. Dapat pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kemahiran analitik, estetika. Paling kurang falsafah hidup.
Daripada pengulas kedua Prof Dr Mohd Hazim Shah daripada UUM (Universiti Utara Malaysia) :-
Mulakan dengan berseloroh kata ini pertemuan orang lama kerana mengenali Osman semasa di UM (Universiti Malaya). Ulasannya - Thought provoking lecture. Provide food for thought. Seperti dikejutkan daripada slumber walaupun sudah tahu sesetengah perkara kerana mengenali Osman dan tulisan beliau.
Paling menarik kegunaan falsafah pada budaya dan masyarakat Melayu. Perennial Philosophy. Kebenaran tidak dimakan masa, tidak ketinggalan zaman. Seperti dipersembahkan oleh guru Osman sendiri iaitu Syed Hossein Nasr (ketika membuat PhD di Amerika Syarikat tahun 1980an) tentang esotoric dan exoteric. Exoteric bersifar luaran lalu berlainan. Esoteric bersifat dalaman lalu ada pertemuan.
Falsafah memberi ruang untuk dialog antara budaya dan agama. Hazim sendiri ada mengajar kursus falsafah, sekarang di UUM. Ada diajar metafizik, epistemologi, etika. Paling menarik comparative philosophy. Bukan sekadar falsafah Barat dan Islam tetapi falsafah Timur. Pelajar datang daripada pelbagai latar belakang. Perbincangan boleh diadakan secara terbuka dan rasional. Tidak seperti di luar yang banyak sekatan.
Jelas kegunaan falsafah kerana membenarkan perbincangan intelektual dengan keterbukaan yang tidak mungkin dalam bidang lain. Ini sesuatu yang sihat, harus diteruskan. Kepentingan di negara kita kerana tidak dapat lari daripada hal pelbagai budaya dan agama. Boleh digunakan ilmu falsafah yang sudah ada tradisi ribuan tahun. Diajarkan di kelas kewajaran falsafah Timur. Barat berdasarkan pemikiran analitik menolak gelaran falsafah bagi falsafah Timur. Katanya cuma kata-kata hikmah, bukan analytical thinking. Fahaman Eurocentric ini tidak harus diterima. Di Barat sendiri banyak aliran falsafah yang bukan berdasarkan pemikiran analitis.
Selain daripada itu yang Hazim anggap sebagai masalah intra-budaya adalah cabaran oleh moderniti. Ini merentas semua kaum dan budaya di Malaysia. Kita gunakan falsafah untuk menentukan jati diri suatu tamadun atau bangsa. Kalau tamadun Barat misalnya asasnya falsafah pemikir Barat seperti Plato, Aristotle dan Kant (pemikir Jerman abad ke-18 Masihi). Dalam tamadun Islam ada Al-Ghazali.
Tiba-tiba terdengar bunyi hujan turun lalu kena keluar rumah angkat pakaian basuhan yang disidai. Bila duduk kembali di hadapan komputer kedengaran Hazim menyebut kita masih bergantung pada pemikir-pemikir luar. Pemikir dalam tak ramai, mungkin seperti (Tan Sri) Prof Syed Naquib dan Prof Osman.
Rumusan ringkas beliau - Apa yang telah diketengahkan oleh Osman adalah permulaan penting. Harap APM dapat meneruskan usaha sebegini. Rumusan oleh moderator - Semacam bertautlah ulasan (dua orang pengulas) dengan apa yang diperkatakan Osman. Sila ikuti rakaman video di
sini.
No comments:
Post a Comment