Namun acara itu ditunda atas sebab berlakunya Pilihan Raya Umum ke-13. Kami pula bertegas dengan tarikh 16 Mac tapi meneruskannya di tempat lain. Sampai kini acara itu masih tak menjadi sedangkan kami di HIKMAH sudah melaksanakan acara ke-7. Siapa sangka kami boleh terus berjalan begini. Sedangkan kami tidak memiliki jentera hebat seperti pihak lain.
Kami juga tidak menerima dana dari apa-apa badan jabatan kerajaan dan kementerian seperti lazimnya dibuat NGO dan persatuan terutama untuk mengadakan acara. Malah HIKMAH bukan pun badan berdaftar. Ia cuma komuniti kawan-kawan dan kenalan di Face Book. Walaupun ada yang menyarankan agar kami mendaftar lalu dengan itu bolehlah memohon peruntukan besar kami lebih selesa dengan cara ini. Selain tidak terikat dengan perlembagaan pendaftaran kami juga tidak mengumpul malah menyimpan apa-apa dana. Kami elakkan ini kerana tidak mahu dilanda penyakit sesetengah persatuan yang berjaya. Bila dah dapat nama, bila dah ada dana membukit mulalah orang main politik berebut jawatan agar dapat menguasai persatuan dan menggunakan semua kemudahan untuk kepentingan diri sendiri.
Selama inipun kami tetap dapat mengadakan acara walau tanpa dana besar. Kami malah tidak memiliki pun ahli rasmi walau pernah dituduh mahu merekrut pengikut untuk melebarkan pengaruh. Yang ada cuma rangkaian kawan-kawan yang boleh dipanggil rakan-rakan atau para sahabat HIKMAH. Merekalah yang menolong memberikan khidmat secara sukarelawan dalam pelbagai hal sehingga kami dapat menjayakan acara demi acara dan terus mendapat permintaan orang ramai.
Walaupun ada yang kata acara kami tidak cukup kemas biarlah begitu daripada nak kemas sangat lalu memerlukan dana besar yang berada di bawah telunjuk pihak yang berkepentingan. Realiti sebenar di luar sana tidak semua orang yang bergerak atas nama kedaulatan Melayu dan Islam itu jujur mahu berjuang. Ramai yang sebenarnya masuk kerana mahu mendapatkan peluang perniagaan, mencari rangkaian, contact, melebarkan pengaruh politik, mencari nama dan sebagainya. Kalau HIKMAH menjadi persatuan berdaftar lambat laun ia akan ditunggang pihak berkepentingan. Kalau mendapat dana ia akan menurut kebiasaan orang mencari peluang... duit digunakan untuk memberi kerja atau job kepada kroni dengan harga barangan, banner, bunting dan sebagainya, sewa dewan, makan kadangkala digandakan kerana bukan bayar dengan duit sendiri pun, dapat duit tajaan yang mungkin berpunca dari cukai orang ramai atau dana kempen politik untuk mempengaruhi orang.
Walaupun begitu kami tidak pernah menghalang pihak yang berkepentingan masuk. Dah namanya manusia ramai yang mahu mencari makan, bukan betul-betul berjuang. Yang penting jangan sampai melanggar prinsip asal HIKMAH ditubuhkan iaitu mahu mendaulatkan Melayu dan Islam. Oleh kerana kami tidak mengambil dana dari mana-mana pihak kecuali sedikit sumbangan kecil yang dibuat individu yang merasa terpanggil untuk menolong, dana yang selalunya datang tanpa dipinta, kalau ada ada, kalau tiada keluarlah duit poket sendiri maka Allah SWT gantikan apa yang kurang. Ini datang dalam bentuk pertolongan sukarelawan untuk menjayakan acara termasuk oleh para pembentang. Ada yang memiliki kerjaya profesyional tinggi yang mana bayaran biasa untuk mereka muncul bercakap di depan orang ramai pun boleh sampai beribu Ringgit satu jam. Tapi untuk bersama kami menyampaikan ilmu dan menjayakan acara mereka sanggup mengeluarkan duit poket sendiri dan mengenepikan apa-apa bentuk bayaran.
Salah satu tujuan asal HIKMAH ditubuhkan adalah agar mana-mana pihak yang memiliki kajian yang sesuai boleh menyuarakannya pada acara kami. Anda tidak perlu menjadi seorang cendekiawan hebat kerana itu adalah perkara biasa di majlis atau seminar besar tajaan pihak yang berduit. Biarkanlah mereka dengan modus operandi yang sudah berlangsung sekian lama, cara yang saya lihat jarang dapat menyentuh orang awam atau orang ramai. Kami mahu memberi peluang agar lebih ramai berkongsi buah fikiran. Yang penting anda harus berani bertanggungjawab atas apa yang dibentangkan dan sudi disoal-siasat para hadirin.
Percaya atau tidak, dalam dunia akademik seorang pemegang PhD pun kadangkala perlu membayar RM200-RM300 untuk membentangkan kertas kerja jika belum mempunyai nama. Kita yang membentangkan kita pulak kena bayar, bukan kita yang dapat bayaran. Sebab apa? Sebab untuk mendapatkan mata atau points supaya naik kedudukan dan reputasi di kalangan para akademik. Lainlah para profesor yang dah ada nama. Kalau mereka membentang memang dibayar malah boleh jadi lumayan. Maka itu tidak hairan kalau pada seminar-seminar besar kita lihat nama-nama atau muka yang sama sahaja sering berulang mengikut bidang. Tu yang ada pihak mengambil kesempatan mengadakan seminar agar boleh membuat duit dari para pengkaji yang belum memiliki nama. Apa yang sepatutnya menjadi perkongsian ilmu yang boleh menguatkan agama, bangsa dan negara cuma tinggal medan menayangkan ilmu, mendapat mata atau sekadar penganjur mendapat belanjawan di mana peruntukan yang diterima boleh digunapakai untuk memberi kerja kepada para kroni.
Alhamdulillah setakat ini HIKMAH berjaya melaksanakan setiap acara mengikut aspirasi asal. Walaupun kami juga mendapat penyertaaan para profesor juga pengkaji yang punya nama besar, kami tetap memberi peluang untuk yang lain berkongsi ilmu asal sesuai bahannya dengan tema sesuatu acara. Kami juga meneruskan polisi memberi peluang untuk sesiapa datang berniaga tanpa perlu membayar tapak, kalau harus membayar pun untuk kerusi meja yang disediakan pihak luar. Dan kami tidak pernah mengenakan bayaran kepada para peserta walaupun kami menyediakan makan pagi, tengah hari dan petang.
Kami tetap meneruskan polisi membuka acara kepada semua walaupun kepada pihak yang tidak senang atau sebulu dengan kami. Pada kami pedulikan hal itu. Semasa acara semuanya adalah tetamu yang perlu dihormati asalkan percaya pada perjuangan mahu mendaulatkan Melayu dan Islam. Semua boleh datang tanpa memaklumkan lebih awal waima untuk berniaga sekali pun. Namun ingatlah menerbitkan acara tetap memerlukan belanja. Ramai yang meminta kami mengadakannya di tempat mereka, menyangkakan kami menerima duit dari pihak tertentu sedangkan hakikatnya jauh panggang dari api.
Sesungguhnya tersilap sungguh bila ada yang mendakwa saya membuat duit dengan HIKMAH. Duit yang saya dapat adalah hasil penjualan buku sendiri, sama sahaja seperti mana-mana orang yang datang berniaga ketika acara. Saya cuma sesekali menerima sumbangan yang mana itulah digunakan untuk menampung makan, perbelanjaan logistik dan sebagainya. Selalu terjadi hasil jualan buku pula digunakan untuk 'menampal' apa yang kurang pada acara.
Namun ada masanya juga kami mendapat bantuan pihak lain yang bertindak sebagai penganjur bersama, penganjur yang merupakan persatuan berdaftar lalu mereka mendapatkan dana. Dari pengalaman ini kami dapati tidak perlu pun HIKMAH sendiri didaftarkan. Biar kami menumpukan perhatian pada pengisian ilmu sementara pihak yang berdaftar boleh mendapatkan dana mengikut saluran kebiasaan untuk menampung acara. Dengan ini biar dibuat senarai perkara yang perlu dibuat mana-mana pihak yang mahu kami bertandang ke tempat mereka.
Keperluan untuk menjayakan acara
1. Sediakan dewan, balai atau seumpama dengannya, boleh memuatkan sekurang-kurangnya 100 orang.
2. Sediakan projektor dan skrin untuk pembentangan berserta rangkaian audio/sistem PA/pembesar suara. Jika dewan tertutup tidak beberapa besar menyebabkan gerai harus didirikan di luar, biar dibuat sambungan audio ke luar sehingga semua orang dapat mengikuti acara. Kalau ada projektor dan skrin lebih diletak di luar untuk memancarkan apa yang berlaku di dalam lagi cantik.
3. Sediakan tapak perniagaan percuma kerana ini memang polisi kami menurut model lama niaga zaman Nabi Muhammad SAW di Madinah. Sewa cuma boleh dikenakan ke atas penggunaan kerusi meja, payung dan sebagainya.
4. Kalau kami harus bertandang jauh di luar pengkalan kami di Lembah Klang maka sediakan tempat tidur untuk urusetia dan pihak pembentang. Tak perlu hotel mahal, berhimpit di homestay malah menumpang tidur rumah ahli dan kawan-kawan pihak pengajur tempatan pun tak menjadi masalah.
5. Sediakan makan minum pagi, tengah hari dan petang untuk peserta. Kalau tidak mampu boleh digantikan dengan mengajak orang kampung/tempatan berniaga makan
6. Tumpuan kami lebih pada perkongsian ilmu menurut tema. Ini akan diputuskan oleh saya sebagai presiden dan pengasas HIKMAH menurut ilham dan rasa yang bergantung pada tempat juga keadaan semasa. Persembahan kebudayaan seperti silat dan kompang adalah satu bonus, jika ada kumpulan bersedia untuk membuat persembahan sukarela. Maka itu digalakkan penganjur tempatan membawa kumpulan dari tempat sendiri untuk memeriahkan acara yang mana ia akan disusun bersama mengambil kira pembentangan ilmu sebagai keutamaan diikuti sesi atau bengkel kumpulan menurut minat yang sudah menjadi semacam identiti HIKMAH.
7. Jika ditakdirkan pihak penganjur tempatan memiliki lebih dana bolehlah diberi cenderamata kepada para pembentang. Mereka selalunya tidak mengharapkan apa-apa kerana sudah sedia maklum dengan konsep sukarelawan HIKMAH. Cuma kalau ada belanja eloklah diambil kira bahawa ada di antara mereka itu golongan profesional yang dibayar mahal semata-mata untuk bercakap kepada umum atau memberi nasihat pakar. Lepas duit minyak pun cukup. Selepas itu kalau ada lebih juga bolehlah diberi sedikit duit kopi kepada urusetia dan mereka yang datang dari luar membuat persembahan.
Yang penting adalah menjayakan acara. Maka itu perkara 1-4 WAJIB ada. Yang lain-lain boleh diabaikan jika pihak penganjur tempatan tidak mampu. Kami sudah menyediakan satu formula atau modul menerbitkan acara kesedaran/kedaulatan Melayu Islam yang boleh tahan besar dan meriah menggunakan belanjawan yang boleh dikatakan paling minimum. Tidaklah kami sesekali mahu menggunakan HIKMAH untuk membuat duit. Kami cuma merasa terpanggil untuk berjuang, selain itu kami cuma mengharapkan keredhaan Allah SWT dan syafat Nabi Muhammad SAW. Wassalam.
No comments:
Post a Comment