Salam. Perkongsian daripada satu majlis dua dalam satu di Putrajaya siang semalam...
Seminggu lalu saya dan isteri telah menerima undangan untuk menghadiri acara seperti dalam poster. Pihak yang mengundang adalah Persatuan Dunia Seni Silat Melayu (DSSM) Malaysia. Kami suami isteri selalu menghadiri acara-acara anjuran mereka dan begitulah sebaliknya.
Pun begitu saya dan isteri selalu berhubung dan berbincang dengan orang-orang kuat DSSM terutama tentang hala tuju perjuangan anak Melayu. Rumah kami selalu menjadi persinggahan untuk kawan-kawan seperjuangan berehat sambil bertukar-tukar cerita...
Walaupun sudah menonton filem Mat Kilau bersama anak-anak (lihat
Dari ISTAC ke KLCC ke Selayang untuk acara-acara keMelayuan) apa salahnya pergi sekali lagi? Apatah lagi bersama ramai kawan-kawan dan kenalan dalam dunia persilatan. Maka sampai masanya kami pun bergegas ke lokasi iaitu di Kompleks Alamanda di Putrajaya pagi Ahad 17 Julai 2022 iaitu semalam.
Sebuah panggung memuatkan kira-kira 300 orang telah ditempah khas untuk kami. Rakan-rakan persilatan boleh dikatakan datang dari seluruh pelusuk tanah air...
Tidak lama kemudian muncullah tetamu kehormat YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Beliau yang asalnya merupakan seorang ahli fikir muda yang sering terlibat dengan wacana-wacana keilmuan Islam telah diangkat menjadi Senator lalu menjadi Timbalan Menteri selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pertengahan tahun 2018. Dahulu beliau adalah Timbalan Menteri Sukan. Kini sudah dijadikan Timbalan Menteri Perpaduan.
Seorang lagi VVIP yang disebut akan menghadiri majlis adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Namun beliau tidak muncul bagi tayangan filem tetapi untuk sesi petang makan-makan di Hotel Everly yang terletak hampir bersebelahan Alamanda.
Maka bergeraklah kami masuk ke panggung wayang...
Tengok-tengok majlis diberi nama rasmi lain pula iaitu Majlis Silatulrahim Pendekar...
Perubahan baru dimaklumkan siang itu. Sebelum itu kami cuma diberitahu ia adalah majlis apresiasi filem Mat Kilau dan makan tengah hari di Putrajaya bersama VVIP, katanya bersama menteri. Tetapi tidak diberitahu siapakah VVIP tersebut. Mungkin untuk mengelakkan bias kecondongan dalam berpolitik yang sering memecahbelahkan anak Melayu...
Sebagai penggiat warisan saya dan ramai lagi yang memimpin persatuan-persatuan berkenaan telah mengambil pendirian tidak condong kepada mana-mana parti politik. Yang penting adalah perjuangan demi Melayu dan Islam. Kami sedia untuk bersama sesiapa sahaja pemimpin Melayu Islam yang mampu melaksanakan perkara dengan jujur. Tetapi secara realitinya ramai yang bersikap condong terhadap parti-parti politik tertentu kerana sudah dibiasakan begitu. Nampaknya itulah sebab kenapa tidak diberitahu siapakah VVIP yang bakal menghadiri majlis.
Persoalan itu terjawab setelah selesai tayangan. Adapun Wan Fayhsal dan sejumlah hadirin keluar daripada pintu kiri pawagam sementara saya dan sejumlah yang lain keluar dari pintu kanan. Dari pintu kiri VVIP mahu diarak ke Hotel Everly untuk sesi seterusnya lalu perlu melalui luar pintu kanan. Saya pula bersedia untuk mengambil gambar.
Sampai dekat beliau melambai tangan. Kebetulan gambar ini diambil ketika beliau berbuat demikian. Kami pun bersalam lalu bersama-sama berjalan kaki ke arah hotel.
Sambil bertanya khabar sambil itu bercerita tentang pengalaman beliau sejak melibatkan diri dalam dunia politik sehingga dapat menjadi timbalan menteri pada usia begitu muda.
Nampaknya beliau masih memegang idealisma sebagai seorang pemikir yang merupakan antara anak didik Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas. Cuma beliau mengaku tidak mudah mahu melaksanakan idealisma dalam keadaan realiti sebenar dunia politik semasa yang biasa berpuak-puak itu...
Sampai ke lobi hotel VVIP disambut dengan persembahan silat. Oh. Sebagai nota cerita. Kalau hendak bercerita mengenai muda YB Syed Sadiq lagi muda kerana dapat menjadi menteri penuh pada usia kurang 26 tahun iaitu pada tahun 2018 juga. Tetapi beliau sudah terlibat dengan dunia politik sejak 2-3 tahun lebih awal. Berbeza dengan Wan Fayhsal yang dibawa masuk daripada medan dunia fikiran menjadi timbalan menteri dengan harapan dapat memberikan sumbangan idea di luar kebiasaan..
Selepas itu kami naik ke dewan atas melalui tangga...
Masuk ke dewan hadirin dipersilakan mengambil tempat lalu terus boleh makan.
Sambil itu persembahan silat pun berjalan...
Sekitar jam 3 baru muncul VVIP utama iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin muncul menyertai majlis.
Beliau diarak ke meja makan VVIP bersama Wan Fayhsal juga tonggak-tonggak utama DSSM...
Selepas itu Hamzah dan Fayshal duduk di atas pentas bersama Presiden DSSM Malaysia, Cikgu Roslim Abu.
Menonton montaj tentang DSSM dan pelbagai aktiviti yang telah diadakan sejak lebih kurang 10 tahun lalu.
Antara yang pernah saya turut serta (selain anjuran HIKMAH) adalah seperti berikut :-
(Jan 2013)
(Feb 2016)
(Ogos 2016)
(Nov 2016)
(Apr 2017)
(Mei 2017)
(Okt 2019)
(Okt 2019)
(Okt 2019)
Selesai itu Hamzah pun memberikan ucapan tentang semangat perjuangan Melayu berlatarbelakangkan hal filem Mat Kilau itu. Walaupun tidak hadir pada sesi menonton pagi beliau memberitahu telah menonton awal sebelum itu.
Selepas beberapa lama sesi dibuka untuk hadirin melontarkan soalan. Saya pun mengambil kesempatan untuk bertanyakan tiga soalan berikut :-
1. Tentang pemakaian keris di tempat awam sebagai persalinan lengkap berbusana tradisional Melayu dalam majlis. Bolehkah dilebarkan lagi aplikasinya?
2. Tentang kenapa kelihatan apabila berlaku kemalangan melibatkan orang Melayu dengan orang bukan Melayu, misalnya dilanggar pemandu mabuk, nasib orang Melayu seperti mudah diketepikan begitu sahaja, orang bukan Melayu senang terlepas?
3. Tentang nasib arwah Adib iaitu anggota bomba yang terbunuh dalam rusuhan beberapa tahun lalu. Sampai sekarang kelihatan keluarga beliau belum mendapat keadilan. Apakah pihak kerajaan/kementerian akan memastikan harapan keluarga itu tidak sia-sia?
Tengok-tengok isteri ada merekod video berkenaan. Lihat sendiri di
sini apa yang diperkatakan.
Majlis ditutup dengan persembahan silat oleh beberapa orang guru secara serentak di atas pentas seperti tradisinya dalam setiap majlis DSSM. Selepas ini saya akan membuat artikel khas untuk album gambar diikuti satu tentang liputan media terhadap majlis ya. Tunggu.
No comments:
Post a Comment