Setakat di blogspot ini, HIKMAH Aceh yang akan berlangsung penghujung Mac cuma pernah disentuh 2 sekali sahaja - melalui artikel Membawa HIKMAH ke Aceh yang dibuat penghujung tahun lepas dan 3 acara HIKMAH akan datang dan Maulidur Rasul yang dibuat 2 bulan lalu. Sejak itu tumpuan diberikan pada acara yang diadakan di rumah baru saya di Sungai Buaya, Rawang (lihat Acara kelapan HIKMAH di Sungai Buaya, Rawang 8 Feb 2014) diikuti acara Pulau Pinang (lihat Acara kesembilan HIKMAH di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Feb 2014). Namun di Facebook saya ada memberikan beberapa perkembangan tentang acara di Aceh. Maka biarlah dimaklumkan di sini...
1) Acara telah mendapat kelulusan pihak berkuasa untuk dilangsungkan penghujung Mac - Ini telah dimaklumkan oleh Duta Muzium Aceh, Ustaz Mujibburizal sebelum acara ke-8 HIKMAH berlangsung lebih sebulan lalu. Sebelum itu ada kerisauan acara tidak dapat dilakukan lalu perlu ditukar menjadi sesi pertemuan dan jalan-jalan santai. Ini disebabkan pilihan raya umum akan diadakan di seluruh Indonesia 9 April dan Aceh terlibat sama. Beberapa hari sebelum pilihan raya penduduk dilarang mengadakan apa-apa acara keramaian kecuali kempen....
2) Lokasi pusat acara adalah di bawah Rumoh Aceh di Muzium Aceh, sebuah rumah kayu tradisional besar yang berdiri di atas tiang-tiang tinggi - Ini adalah cadangan sejak awal lagi lalu disebut dalam Membawa HIKMAH ke Aceh dan pihak muzium sudah bersetuju.
3) Acara boleh dan akan diadakan sepenuh hari Sabtu 29 Mac - Sebelum ini acara pernah mahu ditukar ke hari Jumaat 28 Mac. Ini disebabkan rombongan dari Malaysia yang diatur sahabat kami, Ustaz Mahyuddin dari Anjung Hikmah ketika itu katanya cuma dapat berada di Aceh 26-29 Mac, tidak sempat mengikut acara kalau ia diadakan hari Sabtu. Lalu Jumaat 28 pun dipilih. Tetapi ini menyebabkan ia boleh diadakan separuh hari sahaja kerana muzium sebelum waktu solat Jumaat dan terus ditutup hari itu.
Namun berlaku hal yang menyebabkan tarikh kedatangan rombongan diubah menjadi 27-31 Mac. Ini disebabkan harga tiket untuk pergi 26 dan kembali 29 Mac telah melonjak naik sedangkan tiket pergi 27 dan kembali 31 lebih ekonomikal. Maka itu acara boleh dibuat pada 29 Mac. Untuk pengetahuan saya dan keluarga sendiri akan berada di Aceh 23-30 Mac kerana telah membeli tiket tambang murah sejak beberapa bulan lepas. Sekarang bolehlah diterangkan kenapa tajuk artikel ini menyebut "bermalam Jumaat di makam Sultan Malikus Saleh."
Dengan takdir Allah SWT rombongan harus memilih 27-31 Mac untuk berada di Aceh. Dengan itu bukan sahaja acara dapat diadakan pada tarikh cadangan asal Sabtu 29 Mac, keadaan malah menggalakkan agar rombongan terus ke makam Sultan Malikus Saleh malam Jumaat! Ini disebabkan penerbangan ke Aceh Rabu 27 Mac adalah pada waktu petang. Rombongan dijangka sampai ke Banda Aceh sekitar 4.25 petang, siap segala hal termasuk pemeriksaan imigresyen di lapangan terbang sekitar jam 5. Maka adalah elok dan lebih ekonomikal untuk terus ke makam Sultan Malikus Saleh dari lapangan terbang. Cadangnya tidur sahaja di madrasah bersebelahan makam kerana saya dan keluarga sendiri pernah bermalam di situ. Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : 3 x 11 dan jejak warisan Bugis Aceh. Esoknya pagi Jumaat boleh kembali ke Banda Aceh, singgahlah beberapa tempat dalam perjalanan.
Adapun kenderaan sewa dikira sehari bersamaan 24 jam. Jika sewa bermula jam 5 petang Khamis dari lapangan terbang, insyaallah sempat kembali ke Banda Aceh malah berhenti di beberapa tempat termasuk bersolat Jumaat sebelum 5 petang Jumaat. Dengan ini penggunaan kereta sewa dapat dimaksimakan. Tidor di madrasah juga dapat menjimatkan banyak belanja berbanding di hotel. Cukuplah cerita buat masa ini. Sebagai renungan dan kena pun pada masanya, disarankan anda membaca artikel Mutiara HIKMAH sebagai jambatan ke Aceh dan penyatuan Alam Melayu? yang ditulis 2 hari sebelum HIKMAH bertandang ke Pulau Pinang...
No comments:
Post a Comment