Adapun sejak 2-3 bulan ini saya ada menyimpan hasrat untuk bersara daripada apa-apa aktiviti umum kedaulatan Melayu dan Islam. Saya tidak ingin lagi kelihatan seperti berada di barisan hadapan, saya ingin bergerak atau melihat dari balik tabir di belakang. Ada sebab tertentu untuk berbuat itu, Allah SWT sahaja yang tahu. Tetapi apabila dipujuk oleh beberapa orang selain beberapa lagi menyatakan harapan agar saya terus berjuang demi memberikan mereka sendiri sokongan semangat untuk berbuat sama, maka biarlah bersara itu ditukar menjadi berehat.
Saya tak tahu mahu berehat berapa lama. Yang pasti sekurang-kurangnya 3-4 bulan untuk bersendiri antaranya untuk menyambung kembali penulisan sebuah buku yang sudah agak lama terbengkalai. Sesungguhnya HIKMAH itu sendiri bermula apabila saya mengalami masalah writer's block atau tersekat pemikiran/aliran ilham/pengaturan ayat dalam penulisan buku tersebut. Fikir saya untuk menghilangkan gangguan dan halangan biar dibuat satu acara ilmu. Lihat HIKMAH - Bagaimana ia bermula.

Paparan dari Facebook. Sila klik sini. Dari situ anda boleh masuk ke Page yang patut untuk melihat persediaan, perkembangan juga perlaksanaan dan ulasan setiap acara...
Acara di Kelantan dan Terengganu pula menyusul diikuti sekali lagi di Shah Alam seterusnya Melaka, kemudian di Rawang diikuti Pulau Pinang. Setelah beberapa lama HIKMAH dibawa ke luar negara iaitu di Aceh, bumi Serambi Mekah, tempat bermulanya dakwah Islamiah ke seluruh Alam Melayu. Sambil itu penulisan buku terus terabai kerana kesibukan mengadakan acara demi acara. Maka sudah sampainya tumpuan diberikan kembali pada buku.
Tidaklah sesekali HIKMAH itu dibuat untuk saya menonjolkan diri sendiri mahupun mendapat apa-apa keuntungan duniawi seperti disangka sesetengah orang. Saya cuma menurut gerak yang muncul dalam menangani satu fasa kehidupan. Seharusnya fakta bahawa 10 acara dapat dilaksanakan dengan jayanya di merata tempat dalam tempoh satu setengah tahun setelah HIKMAH diasaskan adalah bukti, saya dan mereka yang betul-betul jujur terlibat bergerak di atas landasan yang benar. Natijah dari HIKMAH dan penyertaan dalam acara-acara kami menyaksikan kemunculan banyak kumpulan baru atas nama kedaulatan agama, bangsa dan negara, ada di antaranya kelihatan lebih tersusun dan lebih berwibawa untuk bergerak lebih jauh ke hadapan.
Pengumuman rasmi untuk berehat dari aktiviti memang mahu dibuat selepas selesai segala yang perlu diceritakan mengenai acara ke-10 HIKMAH di Aceh. Dengan itu jadilah artikel pengumuman ini yang ke-131 di blogspot ini, nombor yang mempunyai makna home sweet home atau rumahku syurgaku buat diri saya. Lihat artikel Nombor 131 dan makna satu pernikahan... di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Cuma mungkin hujung minggu ini saya akan menghadiri satu acara di Melaka kemudian masuk ke Pulau Besar. Selain itu HIKMAH Aceh boleh dikira acara terakhir dan kemuncak pada satu perjalanan perjuangan seorang insan yang dhaif. Saya mahu mengambil keberkatan bulan Rejab, bulan Allah untuk memulakan rehat, bulan yang bakal disusuli Sya'aban, bulan Nabi Muhammad SAW seterusnya Ramadhan, bulan umat Islam.