Sebaik sahaja selesai majlis pembukaan, sesi pembentangan ilmu dimulakan dengan moderator dipanggil terus naik ke atas pentas. Saya pula keluar dari auditorium lalu naik ke dataran. Saya harus menemai VVIP dan dif-dif kehormat menikmati kudapan di hadapan pentas dataran.
Sambil itu persembahan silat dimulakan. Memang dataran ini dipakai khas untuk kawan-kawan pesilat terutama daripada persatuan Dunia Seni Silat Melayu (DSSM) Selangor berpencak hingga ke petang.
Gambar dari Whatsapp menunjukkan keadaan di dataran.
Ketika ini saya masih di meja makan VIP menikmati kudapan.
Seorang kawan lama dari zaman belajar di Sekolah Menengah Sains Johor 1983-1986 (saya meninggalkan sekolah ketika penghujung Tingkatan 4) telah mengambil gambar ini lalu dikongsikan dalam grup Whatsapp bekas pelajar. Saya tidak tahu pun beliau datang ke majlis. Beliau cuma memberitahu kepada grup kemudian. Ketika ini saya hendak melangkah masuk ke auditorium bagi memerhatikan sesi pembentangan ilmu juga memastikan kelancaran majlis. Saya berhenti sejenak bercangkung di meja VIP untuk memberitahu MC dataran agar sesekali mengumumkan pada hadirin sini bahawa sesi ilmu sedang berjalan secara serentak di belah bawah.
Masuk ke auditorium, kembali pada gambar-gambar saya yang kabur. Kelihatannya keadaan tidak semeriah di atas. Walaupun sudah menjangkakan ini akan berlaku saya tetap meneruskan cadangan yang terbit secara ilham agar aktiviti dalam auditorium dijalankan serentak dengan aktiviti di dataran sebaik sahaja majlis pembukaan tamat. Tak boleh salahkan orang ramai kerana kurang mahu memakmurkan majlis ilmu. Sesungguhnya memang lebih mudah menikmati persembahan silat juga berpencak berbanding mencerna ilmu yang memaksa kita untuk berfikir sehingga perlu memeras otak.
Ketika itu pembentang pertama. puan Rosidah Abdullah, kurator Muzium Tekstil, Kuala Lumpur sedang bercakap tentang teknologi alat tenun Melayu
Naik balik ke dataran untuk melihat perkembangan majlis di sana...
Alhamdulillah, saya dapati DSSM Selangor yang diamanahkan menjaga gelanggang juga giliran persembahan antara pelbagai perguruan silat sedang menangani perkara dengan baik.
Masuk kembali ke auditorium.
Terus terang cakap saya pun tak pasti siapakah yang sedang bercakap atas podium ketika ini sebab kurang ingat dan gambar pun kabur. Nak kata Rosidah macam bukan. Yang pasti saya ingat siapakah yang membentang selepas beliau...
Naik lagi ke dataran. Selagi ada kelapangan dan kudrat biar saya bergilir melihat keadaan antara sini dan di dalam auditorium.
Sebetulnya antara dua tempat itu ada jarak sekitar 40 meter dan perlu turun naik tangga yang bersamaan ketinggian 3-4 tingkat. Tetapi itulah saya. Walaupun kekurangan tidur dan rehat seminggu dua kebelakangan akibat sibuk membuat persediaan untuk acara juga beberapa hal berkaitan semangat berkobar-kobar menyebabkan saya mampu berulang-alik memantau keadaan tanpa sedikit pun merasa lelah.
Kembali ke auditorium saya sempat melihat pembentang seterusnya, saudara Mohd Emil Azril, aktivis budaya dan naib pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kuala Lumpur naik ke pentas. Sedangkan ikut atur cara yang saya sediakan, sepatutnya Cikgu Azlan Ghanie, pengasas MAGMA iaitu persatuan guru-guru seni bela diri dan pengasas majalah Seni Beladiri yang naik membentang. Tetapi Azlan memilih untuk mendahulukan Emil. Kata beliau, biar orang muda bercakap dahulu...
Ambil sat gambar ke belakang tempat saya duduk. Emil memberikan pembentangan yang agak menarik apabila banyak mengupas menggunakan dalil-dalil ayat Al-Quran.
Seterusnya naik Azlan membawa tajuk pilihan. Gambar agak cantik ini saya dapat melalui Whatsapp, dah lupa siapa yang letak dan dalam grup mana.
Balik pada gambar saya yang diambil secara zoom-in. Ia kurang jelas tapi harus nampak le tajuk tu "Pakaian Silat Melayu".
Azlan memulakan dengan menjelaskan apakah itu makna pakaian, apa itu silat dan apa itu Melayu. Pakaian diceritakan ada luar dan 'dalam'. Yang luar itu baju, seluar dan sebagainya. Yang dalam lebih pada amalan yang dapat membentuk peribadi dan pembawakan seseorang. Lalu pakaian luar pun sesuai harus dapat menggambarkan apa yang terdapat di 'dalam'...
Snap gambar songket sat. Elok pulak kamera boleh fokus...
Tapi tu le, nampak macam nasib-nasib. Ada masa agak ok, ada masa memang kabur habis...
Penerangan tentang apa itu silat. Baca aje le apa yang dapat...
Azlan kemudian menunjukkan beberapa langkah berdasarkan apa yang dipanggil sebagai Tapak 3, Tapak 4 dan Tapak 5. Secara praktikalnya pakaian silat Melayu haruslah dapat memudahkan pergerakan seseorang. Busana tradisional Melayu yang sesuai pula harus dapat menyerikan majlis sambil membenarkan si pemakai berpencak dengan lancar...
Pembentang ke-4 dan terakhir sesi pembentangan pagi/tengah hari, saudara Tengku Ahmad Ridhaudin, aktivis budaya dan kolektor keris naik ke pentas untuk membawa tajuk "Keris : Pakaian Ketamadunan Melayu".
Sayangnya beliau tidak dapat memaparkan slaid yang telah disediakan buat beberapa waktu kerana masalah compatibility atau kesesuaian perisian. Ini kerana slaid dibuat menggunakan komputer Mac yang memiliki sistem operasi tersendiri. Komputer di podium pula menggunakan Windows, Setelah beberapa minit berusaha untuk mengatasi masalah tetapi tidak berjaya, beliau meneruskan pembentangan tanpa slaid.
Beliau setakat dapat merujuk pada komputer sendiri tanpa paparan dapat dilihat orang ramai. Untuk makluman Tengku Ahmad bertanggungjawab mengatur perhubungan dengan Jabatan Muzium Malaysia sehingga acara ke-18 HIKMAH dapat diadakan secara anjuran bersama. Kami juga sempat bersama menuntut ilmu tentang keris juga beberapa ilmu lain Melayu daripada seorang guru sekolah pondok di Kelantan. Untuk cerita tentang itu rujuk artike-artikel berikut yang telah dipersembahkan di
blogspot CATATAN SI MERAH SILU
Beruzlah ke Pantai Timur - Memantapkan Tauhid dan Syahadah?
Beruzlah ke Pantai Timur lagi - Bertalaqqi ilmu keris
Beruzlah ke Pantai Timur lagi - Membuka tentang peranan akhir zaman...
No comments:
Post a Comment