Terbitnya HIKMAH



Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.


HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.


Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.


Permintaan-permintaan sebegitu terus muncul daripada pihak-pihak lain lalu kami cuba mencari cara untuk melaksanakannya. Begitulah kami di HIKMAH. Siapa sangka acara yang asalnya mahu diadakan sekali sahaja iaitu pada 4 November 2012 boleh bercambah menjadi satu siri jelajah yang ditunggu-tunggu umat Melayu dan Islam serata Malaysia malah dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia? Untuk melihat atau menelaah apa yang telah dibuat HIKMAH sila klik pautan berikut...




















Friday, March 10, 2017

Terbaru tentang HIKMAH Aceh 2017 - Rencong khas peribadi dan hal-hal berkaitan...




Salam petang Jumaat. Semenjak mempersembahkan artikel Rancangan untuk mengadakan acara ke-20 HIKMAH di Aceh 19 Mac 2017 pada 4 Januari saya belum lagi berkongsi apa-apa perkembangan terbaru tentang acara di blogspot ini. Perkembangan setakat dikongsikan di Facebook terutama setelah membuka event page untuk acara pada 10 Februari. Itupun jarang apa lagi selepas itu kawan-kawan di Aceh sebagai penganjur tempatan disibukkan beberapa lama dengan pilihanraya seluruh Indonesia yang menentukan ketua-ketua daerah juga gabernor terbaru Aceh.

Tak sampai 2 minggu lalu baru keadaan kembali normal lalu mereka boleh kembali pada perbincangan bagaimana hendak menjayakan acara. Walaupun masa kelihatan begitu suntuk saya tidak risau kerana yakin dengan kemampuan mereka melaksanakan sesuatu dengan notis pendek. Lihat sahaja bagaimana acara ke-10 HIKMAH dapat dijayakan mereka 3 tahun lalu. Lihat artikel Acara kesepuluh HIKMAH di Muzium Aceh, Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014. Awal tahun 2015 saya pernah datang tanpa dijangka apabila tiba-tiba sahaja seorang kawan mengajak pergi sana lalu menawarkan untuk menaja segala perbelanjaan. Dalam tempoh seminggu setelah mendapat tahu saya akan sampai kawan-kawan Aceh dapat mengatur satu acara ad hoc untuk saya berkongsi ilmu pada khalayak umum. Lihat artikel Perjalanan ke-7 di Aceh - Bincang Sejarah Adat dan Budaya Aceh-Malaysia di blogspot CATATAN SI MERAH SILU
.
Semalam saya bercadang untuk berkongsi beberapa perkembangan terbaru yang diterima dalam tempoh seminggu kebelakangan. Tetapi timbul pula rasa untuk melepaskan dahulu berita terbaru tentang acara lain HIKMAH yang dijadualkan menyusul selepas Aceh. Itu yang ditulis artikel Tentang rancangan mengadakan acara HIKMAH di Istana Bandar, Jugra - Dah dapat tarikh pasti.... Sekarang bolehlah diceritakan tentang perkembangan untuk penganjuran acara ke-20. Biar diberikan menurut point form lalu dipanjangkan dengan penerangan ya...





1. Tentang rombongan dari Malaysia - Hampir 30 orang dijadualkan turut serta

Pada bahagian hampir penghujung artikel Rancangan untuk mengadakan acara ke-20 HIKMAH di Aceh 19 Mac 2017  ada dipaparkan rancangan perjalanan saya dan keluarga sekitar acara. Diberitahu bahawa kami akan bertolak ke Aceh 16 Mac sebelum kembali ke tanah air 23 Mac. Lalu sesiapa sahaja dari Malaysia yang mahu menyertai majlis boleh membeli tiket pergi balik sendiri pada mana-mana tarikh yang mereka suka, sesuai dengan kelapangan dan rancangan perjalanan masing-masing. Alhamdulillah sukacita dimaklumkan pada ketika ini sudah 27 orang telah membuat kepastian (insyaallah) akan bersama. Semoga lebih ramai lagi muncul untuk turut serta.


2. Tentang atur cara - Lawatan lapangan berserta gotong royong membersihkan makam?

Dalam artikel Rancangan untuk mengadakan acara ke-20 HIKMAH di Aceh 19 Mac 2017 juga ada disebut cadangan topik-topik yang mahu diutarakan. Secara rata ia mahu menusuri sejarah Aceh sejak awal kedatangan Islam sehingga zaman-zaman kemudian untuk menunjukkan kenapa wilayah ini boleh dikatakan kunci kepada kebangkitan Islam akhir zaman, Cadangan awal adalah pembentangan ilmu akan mengambil masa penuh pagi hingga petang kerana ada banyak perkara yang mahu diperkatakan. Tetapi apabila difikirkan balik mungkin pembentangan akan dibuat separuh hari sahaja seperti halnya acara ke-10 HIKMAH di Muzium Aceh. Selebihnya akan dibuat lawatan lapangan ke tempat-tempat bersejarah, mungkin ada gotong royong sedikit membersihkan makam.

Cadangan ini terbit apabila penaung HIKMAH, Dato Dr Othman Yatim atau Prof Othman memberitahu memang merancang mahu ke Aceh bulan Mac tapi belum tentu bila. Katanya misi utama beliau adalah untuk menyertai kerja gotong royong NGO anak muda Aceh yang dipanggil MAPESA (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh). Secara sukarela tanpa bantuan dana mana-mana pihak mereka menggunakan duit poket sendiri untuk berkumpul membersihkan makam-makam lama. Mereka juga mendirikan batu-batu nesan yang sudah rebah lalu mengumpul data untuk kajian lanjutan.

Saya sendiri pernah berkesempatan menyertai satu usaha mereka 2 tahun lalu. Gambar yang ditunjukkan di atas diambil ketika bersama mereka. Lihat artikel Perjalanan ke-7 di Aceh - Makam para Merah, punca batu nesan Aceh dan makam Hamzah Fansuri.  Cuma baru tahun ini saya mendapat tahu bahawa usaha gotong royong tersebut cuma dilakukan pada hari Ahad sahaja. Ini disebabkan ahli kumpulan ini rata-rata adalah mahasiswa universiti. Ahad baru ada kelapangan dan gotong royong biasa dilakukan separuh hari.

Dahulu, semasa mengadakan acara ke-10 HIKMAH di Aceh 29 Mac 2014 saya tidak memberitahu Prof Othman kerana tidak mahu menyusahkan beliau. Namun apabila kemudian mendapat tahu, beliau menegur saya kenapa tidak mengajak? Kalau diberitahu awal tentu beliau pergi dengan belanja sendiri. Itu yang saya beritahu awal kali ini. Tetapi beliau pula tidak dapat memberikan komitmen kerana lebih memikirkan rancangan dengan MAPESA.

Oleh kerana acara ke-20 HIKMAH jatuh pada hari Ahad saya pun bertanya kawan Aceh yang terlibat dalam penganjuran jika MAPESA boleh membuat gotong royong berdekatan lokasi HIKMAH di Rumah Chut Nyak Dhien, Kalau dapat biarlah atur cara dirombak untuk memberi ruang bagi Othman menyertai gotong royong juga acara HIKMAH.  Ini cuma boleh dilakukan kalau acara dibuat separuh hari, bukan sepenuhnya Alang-alang dah fikir nak buat begitu biar peserta HIKMAH juga dapat menyertai gotong royong. Paling kurang mereka boleh memeriahkan suasana dengan kehadiran memakai busana tradisional baik cara Melayu Semenanjung mahupun cara Aceh.

Namun saya kemudian diberitahu MAPESA sedang memberikan tumpuan pada Kampung Pande dekat kuala Sungai Aceh, 10 km dari Rumah Cut Nyak Dhien. Dari segi logistik agak susah dan melecehkan juga mahu membawa peserta HIKMAH ke sana apatah lagi MAPESA sedang menangani kawasan berlumpur di tepian laut. Kawan dari Aceh mencadangkan, kalau begitu mungkin kita boleh cari satu kawasan makam lama di darat berdekatan Rumah Cut Nyak Dhien. Kita boleh buat sesama sendiri, tak semestinya melibatkan MAPESA.

Itulah perkembangan paling mutakhir saya terima tentang acara dan ini adalah melalui perbualan telefon yang berlaku 4 hari lalu. Semalam saya terjumpa Prof Othman dalam satu majlis ilmu di Dewan Bahasa Pustaka lalu beliau memberitahu akan bertolak ke Aceh keesokan hari. Nampaknya beliau mahu menyertai gotong royong MAPESA Ahad 2 hari lagi. Sedangkan HIKMAH cuma akan berlangsung Ahad seminggu selepas itu.

Saya tanya bila beliau balik. Jawabnya belum tentu, belum beli tiket lagi. Kalau begitu ada kemungkinan Othman akan hadir, ada kemungkinan tidak. Beliau tidak memberikan kata putus. Yamg pasti beliau mahu menyertai gotong royong Ahad ini. Kalau begitu masih patutkah HIKMAH diadakan separuh hari sahaja untuk memberi laluan pada gotong royong dan/atau lawatan lapangan? Pada ketika ini saya pun belum pasti...


3. Tentang rencong khas peribadi untuk majlis - Dah 80 peratus siap katanya

Yang ini mungkin bersifat peribadi. Tetapi saya merasakan ia sangat terkait dengan persiapan ramai termasuk gabungan NGO-NGO Aceh untuk menjayakan acara HIKMAH itu sendiri. Dua minggu lalu seorang kawan lain dari Aceh berkongsi di FB saya gambar-gambar seorang pandai besi pembuat senjata di Aceh dipanggil Utoh sedang membuat rencong iaitu senjata khas Aceh. Dinyatakan bahawa orang ini adalah yang paling utama di Aceh masih tinggal membuat rencong cara tradisional, bukan cara moden yang dilakukan ramai untuk membuat rencong souvenir yang banyak terjual di kedai-kedai buah tangan. Diberitahu bahawa seperti halnya pandai buat keris cara lama, orang ini boleh membuat rencong sesuai dengan perwatakan kita. Ini harus berdasarkan ilmu firasat yang tidak dimiliki semua orang.

Saya terus tergerak untuk membuat tempahan, Apabila saya memberitahu isteri beliau pun ingin menempah satu buat dirinya. Gambar-gambar kami pun diminta untuk ditelek diri dan perwatakan bagi membentuk rencong yang sepadan. Alhamdulillah, pagi tadi saya menerima berita rencong-rencong kami sudah 80 peratus siap. Biar dikongsikan gambar di bawah sebagai pemangkin semangat. Cukuplah perkongsian perkembangan untuk acara HIKMAH Aceh 2017 buat masa ini...





No comments:

Post a Comment

PERKONGSIAN ILMU YANG TELAH DIBUAT HIKMAH SETAKAT INI

Ramai sudah sedia maklum bagaimana HIKMAH menggabungkan persembahan silat, budaya, pameran koleksi keris malah sesi berkuda juga memanah untuk memeriahkan acara. Namun teras utama acara tetap perkongsian ilmu yang dibuat dalam bentuk pembentangan seperti seminar sebelum diikuti sesi berkumpulan. Dengan ini biar dikongsikan tajuk-tajuk kertas kerja yang telah dibuat setakat ini...

“Suai Kenal HIKMAH” atau HIKMAH I di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Perlembagaan Negara dan Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja – Mohd Faizal Ahmad, peguambela dan peguamcara


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


4. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


5. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


6. Ragam Hias Gunungan Mihrab dan Mimbar di Alam Melayu – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan Idris


7. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


8. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


9. Keris ke arah Penyatuan Alam Melayu – Khairul Azhar Abdul Karim, YDP Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur


10. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


11. Dari Srivijaya ke Batu Bersurat Terengganu : Perjalanan Melayu Merentas Zaman Menggamit Peranan – Mohd Syukri Embong, YDP Persatuan Belia Waja Watan




“Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” atau HIKMAH II di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 November 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


3. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


4. Ragam Hias Gunungan Mihrab di Acheh dan Tanah Melayu (1600-1900) – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan


5. Busana tradisional Melayu sebagai Lambang Jiwa Merdeka – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


6. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Ancaman Terhadap Situs Bersejarah Kerajaan Lama Lamuri : Usaha untuk Memperkasakan sejarah Aceh yang hilang Melalui Pemeliharaan Makam-makam - wakil dari badan NGO Mapesa (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh)


9. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


10. Panji-panji hitam dari Timur : Peranan bangsa Melayu Akhir Zaman – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh


“HIKMAH Berselawat : Menjejak Pendekar, Ahlul Bayt dan Mendaulat Sultan di tanah Gangga Negara” atau HIKMAH III di Marina Hall, Lumut 27 Januari 2013


1. Alter Terahsia Melayu – Srikandi, pengkaji sejarah Melayu dan seorang penulis blog yang agak misteri tetapi diminati ramai terutama melalui blog Mistisfiles


2. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Ahlul Bayt Rasulullah SAW & Warisan Melayu – Tun Suzana Othman, penulis buku tentang Ahlul Bait dan raja-raja Melayu juga ulamak silam


4. Siapakah itu Melayu? – Tuan Haji Halim Bashah, penulis, pengumpul koleksi sejarah negeri Kelantan, wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan


5. Ahlul Bayt sebagai Perisai Agama,Bangsa dan Negara - Habib Abu Aswad ibn Zakaria Al-Kubra, mudir Madrasah Ahbabul Mustafa, Kelantan


6. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Sajak Melayu – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


9. Kebangkitan Panji-panji Hitam Melalui Pembatalan Sihir Perjanjian Pangkor - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”

HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013


1. Motif Langkasuka Dalam Kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR


2. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Abd Arif, calon PhD seni UPSI


3. 'Seni Khat Melayu': Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


4. Sejarah dan Tempat-tempat Signifikan di Kelantan : Langkasuka, Empayar Chermin hingga ke Zaman Raja K'Umar – Mohammad Iddham, Kelab Pencinta Sejarah Kelantan


5. Sejarah Kelantan Membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan Kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong


6. Sheikh Ahmad al-Fathoni dan para Ulamak Pantai Timur : Kenapa Kelantan dipanggil Bumi Serambi Mekah? - Ustaz Zaidi Hassan dari Masjid Salor, Pasir Mas, Kelantan


7. Apa yang Perlu dilakukan untuk Menjayakan Perjuangan Dinar Dirham dan Muamalatnya : Peranan HIKMAH dan Kaitan dengan Cap Mohor Diraja - Ustaz Muhammad Hassan Zaid bin Ramli dari As-Saff Madani Islamic City


8. Praktik Dinar dan Dirham untuk Kesultanan dan Umat Melayu – Mazli Alias dari kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


9. Dari Langkasuka ke Serambi Mekah : Kedaulatan Melayu dan Islam – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH


“HIKMAH Isra’ dan Mi’raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu” atau HIKMAH V di Masjid Makmur Losong, Kuala Terengganu 5-8 Jun 2013


1. Aplikasi Dinar dan Dirham sebagai Wadah Pendaulatan Islam sedunia : Pasar Terbuka Masjid - Puan Norbaini Hassan, Perunding Dinar & Dirham


2. Hubungan Syarif Al-Baghdadi dan Tok Pulau Manis dengan Islam di Nusantara - Fokus Salasilah Tok Syeikh Pulau Manis - Cikgu Najib Badruddin, Pengkaji sejarah dan waris Tok Pulau Manis dari Kelantan


3. Antara Muhammad al-Baghdadi dan Muhammad Nafs al-Zakiyah : Pengalaman Peribadi Menjejak Makna hingga ke Terengganu - Radzi Sapiee, pengasas dan presiden HIKMAH


4. Dinar dan Dirham dan Kesultanan Masa Kini – Umar Azmon Amir Hassan, Penggiat Dinar dn Dirham kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


5. Tasawuf, Tamadun Melayu dan Khilafat Uthmaniyyah – Halit Osmanli An-Naqsyabandi, Sheikh tariqat Naqsyabandiah-Haqqani


6. TokKu Paloh dari aspek Sosiologi Ekonomi Masyarakat - Razi Yaakob, Pensyarah UnisZa (Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu)


7. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 -Mohd Zahamri Nizar, Aktivis seni rupa Melayu


8. Jejak dan Legasi Tok Ku Paloh dan Keluarga - Dr Syed Lutfi bin Syed Umar, Pensyarah Unisza


9. Batu Bersurat Terengganu, Mesej untuk Umat Akhir Zaman - Rashid Hamat, Ketua Bahagian Sejarah, Muzium Negeri Terengganu


HIKMAH Merdeka Raya atau HIKMAH VI di Galeri Shah Alam 7 September 2013


1. Hasil kerja seni sebagai Wadah Memartabatkan Melayu dan Islam - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


2. Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya – Puan Zaharah Sulaiman, penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu - Shamsul Yunos, bekas wartawan Malay Mail dan aktivis media bebas


4. Pernyataan HIKMAH Melaka sebagai blue print kebangkitan Ummah - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH

Festival Ketamadunan Dan Adat Istiadat Melayu Mukmin Nusantara atau HIKMAH VII di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 November 2013


1. Zuriat Nabi SAW dan Islam di Nusantara : Sejarah, Hijrah dan Hikmah - Tun Suzana Othman, penulis buku“Ahlul Bait dan Raja-Raja Melayu” dan Ustaz Mohd Iqbal Parjin dari KEMUDI ((Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam)


2. Fiqh al Adat Muhakkamah dalam Hikayat Raja-raja Melayu oleh Farha Muhammad - Nur Shazwani Sadzali dari Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan



Rumahku Syurgaku @ HIKMAH VIII di Baitul Hikmah, Sungai Buaya, Rawang, Selangor 8 Februari 2014


1. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 oleh Mohd Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu


2. Ruang Mihrab Rumah Rasulullah SAW dan Perkaitannya dengan Falsafah Gunungan bersumberkan Al-Quran oleh Puan Harleny Abd Arif, pengkaji dan calon PhD seni UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris)

Mutiara HIKMAH @ HIKMAH IX di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Februari 2014


1. Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang - Roslan Saadon dari NGO Peradaban


2. Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu - Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos, wartawan dan aktivis media bebas


4. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


5. Ancaman terhadap Akidah Umat Islam - Sheikh Raja Aman bin Raja Mokhtar, pemimpin Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah

HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda @ HIKMAH X di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014



1. Pengenalan HIKMAH – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


2. Sahibul Hikayat Bustanus Salatin - Muammar Farisi dari SILA (Sejarah Indatu Lemuria Aceh)


3. Pelestarian Situs Sejarah dan Budaya di Aceh - Teuku Zulkarnaian dari Dinas Budaya dan Parawisata (Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan) Aceh, juga Raja Nagan, raja bagi negeri kecil Nagan di bawah Aceh Darussalam.