Lagi berkenaan dirham HIKMAH.
Sahabat saya Amirul yang bertanggungjawab menerbitkan dirham HIKMAH menerima pertanyaan tentang peta yang tertera pada sampul dirham. Saya pun memberi sedikit jawaban ringkas lalu beliau meminta saya menambah dengan penerangan tentang lain-lain lambang dan simbol yang ada pada hasil terbitan kami ini. Untuk penerangan yang lebih elok dan menyeluruh biar dibuat satu artikel khas mengenai perkara...
Ini adalah design atau reka bentuk dirham HIKMAH. Di bahagian tengah muka hadapan adalah mushaf al Quran. Di bahagian belakang adalah tulisan Arab untuk kalimah "La ila ha illaallahu wahdahu la sharikalah" seperti terdapat pada duit dinar dan dirham lama kerajaan Islam di Timur Tengah. Google perkataan "dirham lama Umaiyah" untuk melihat beberapa contoh.
Ini pula reka bentuk sampul depan dan belakang. Pada sampul hadapan nampak kan perkataan HIKMAH dengan suatu macam logo di sebelah kanan? Sebenarnya saya telah meminta agar logo sebelah kanan itu ditiru untuk dijadikan reka bentuk bahagian tengah duit dirham HIKMAH. Tetapi saya diberitahu agak susah untuk membuatnya kelihatan dengan terang dan cantik pada dirham yang saiznya lebih kecil daripada duit syiling 50 sen lama Malaysia. Oleh itu cukuplah digantikan dengan satu reka bentuk mushaf Quran terbuka meniru sedikit mushaf yang kelihatan dalam logo. Mushaf dalam logo itu ada keluar api menjulang. Sekarang biar diterangkan tentang logo.
Logo tersebut sebenarnya adalah sebahagian daripada rekabentuk
bunting atau sepanduk yang digunakan untuk menghiasi majlis-majlis HIKMAH. Sepanduk berkenaan telah dibawa ke merata Semenanjung Malaysia juga keluar negara di Aceh sebelum di'rehat'kan seperti diceritakan dalam artikel
Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini?. Reka bentuk sepanduk dibuat secara sukarela oleh seorang penyokong HIKMAH, saudara Fairus Azian Ismail. Beliau yang memiliki perniagaan grafik dan percetakan turut menghadiahkan sepanduk bersaiz 4 x 10 kaki gitu malah menghadiahkan satu lagi yang serupa tetapi dengan perkataan "Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman" diubah menjadi "Wacana Keilmuan Melayu Islam". Ini disebabkan perkataan "Himpunan"ditolak oleh Universiti Malaya (UM) kerana dianggap memiliki konotasi perhimpunan politik yang negatif. Ketika itu kami sedang bersedia untuk mengadakan acara pertama HIKMAH di Akademi Pengajian Melayu sana,.
Tentang reka bentuk sepanduk. Tanpa dipinta Fairus menawarkan untuk membuatnya bagi kegunaan majlis HIKMAH pertama lalu meminta maklum balas. Saya menjawab, terpulanglah kepada dia hendak buat bagaimana. Yang penting mesti ada elemen-elemen berikut :-
1) Perkataan HIKMAH dan maknanya iaitu "Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman"
2) Ayat "Menjana Kebangkitan Ummah" sebagai slogan
3) Ada keris sebagai lambang kedaulatan Melayu
4) Ada Batu Bersurat Terengganu sebagai satu lambang kedatangan awal Islam di Tanah Melayu
7) Ada Al-Quran untuk melambangkan sumber pedoman, rujukan dan ilmu
Maka terbitlah sepanduk seperti yang kelihatan. Diletakkan satu bulatan ke kanan perkataan HIKMAH dengan al-Quran di tengah terkeluar api daripada mushafnya yang terbuka sebagai lambang semangat membara ilmu, rujukan dan pedoman. Dikelilingi oleh tanjak Yang di-Pertuan Agong di bahagian atas (saya tak minta tanjak jenis apa), keris berhulu tajong di kanan (saya juga tak minta keris jenis apa), Batu Bersurat Terengganu di bawah dan mahkota yang dipercayai pernah dipakai Sultan Malikus Salih di kiri.
Bulatan dengan segala macam isi di tengah dan tepian itu membentuk suatu macam logo yang kemudian saya minta untuk diletakkan pada tengah muka hadapan dirham HIKMAH. Tetapi seperti disebut lebih awal susah nak buat dan bagi kelihatan dengan baik atas duit dirham yang besarnya tak sampai pun saiz duit syiling 50 sen lama. Maka itu digantikan dengan mushaf al-Quran tanpa api terkeluar. Menariknya kemudian ada yang memberitahu ia kelihatan seperti jata kerajaan Uthmaniyah...
Namun reka bentuk keseluruhan sepanduk tetap dihidupkan juga melalui bahagian bawah sampul dirham. Untuk memenuhi keseluruhan sampul maka diminta satu peta klasik memandangkan pada reka bentuk pun sudah ada peta klasik. Cuma peta klasik pada sepanduk yang diletakkan sendiri oleh saudara Fairus adalah daripada sumber Barat. Untuk sampul dicari satu peta yang lebih 'keMelayuan'...
Maka dicari lalu dapatlah peta bertulisan Jawi dengan tajuk "Melayu Raya" ini. Secara rata ia menunjukkan Semenanjung Tanah Melayu dan pulau-pulau yang membentuk Alam Melayu di Asia Tenggara, boleh juga dipanggil sebagai Kepulauan Melayu atau bahasa Inggerisnya, Malay Archipelago. Saya sendiri tidak tahu cerita sebenar dan asal usul peta, Yang saya tahu ia kelihatan cukup sesuai dan menarik untuk menghiasai sampul dirham HIKMAH. Dengan ini cukuplah penerangan tentang lambang-lambang dan simbol yang ada pada dirham kami.
No comments:
Post a Comment