Video sekitar acara sulung kami, "Suai Kenal HIKMAH"
di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012 bersamaan 19 Zulhijjah 1433 Hijrah

Terbitnya HIKMAH

Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.

HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.

Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.

Sunday, January 13, 2013

Seminar Memartabatkan Islam Agama Negara di Pusat Islam

Baru dibuat dan diambil dari blogspot CATATAN SI MERAH SILU...



-----------------




Assalamualaikum. Hari ini 13/1/13 bersamaan 1 Rabiuawal, hari pertama bulan Maulidur Rasul biarlah dibuat penceritaan yang sudah 'tertunggak' lebih seminggu ini.


Sabtu minggu lepas iaitu pada 5 Januari 2013 saya pergi ke Pusat Islam bersebelahan Masjid Negara di Kuala Lumpur untuk menghadiri satu seminar.



Dianjurkan oleh MUAFAKAT (Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia) dengan kerjasama JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), difahamkan ia adalah satu daripada rangkaian seminar yang dipanggil SEMAIAN (Seminar Mendaulatkan Islam Agama Negara), rangkaian yang katanya dimulakan tahun 2012.



Saya diberitahu sebelum ini seminar telah diadakan di beberapa tempat pada peringkat negeri. Yang ini baru peringkat nasional. Bertemakan "Memartabatkan Islam Sebagai Agama Negara" ia bermula dengan ucapan aluan oleh Presiden MUAFAKAT, Tuan Ismail Mina Ahmad diikuti ucapan aluan Ketua Pengarah JAKIM, Dato' Othman Mustapha. Kemudian Yang DiPertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar bin Dato' Nika Ujang pun memberikan ucapan perasmian.



Saya sendiri sampai pada sesi selepas itu... ketika ucap utama oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim baru hendak bermula jam 10 lebih.


Menyebut beberapa bahagian perlembagaan negara, beliau memberitahu bahawa kedudukan agama Islam sebagai AGAMA PERSEKUTUAN sebenarnya adalah terjamin malah menurut perlembagaan lagi, kedudukan undang-undang syariah mengatasi undang-undang sivil and jenayah berdasarkan common law  mengikut sistem perundangan penjajah iaitu Inggeris. Itupun yang sudah lapuk iaitu undang-undang tahun 1956...



Disebabkan beberapa hal dengan dua fasal dalam common law dijadikan alasan, secara praktiknya penggunaan undang-undang penjajah di Malaysia mengatasi undang-undang syariah dan ini harus ditangani jika kita betul-betul mahu memartabatkan undang-undang Islam.


Sambil mendengar semua ini saya teringat 10 resolusi yang dibuat HIKMAH sehingga menjadi Pernyataan HIKMAH Melaka yang diumumkan di hadapan Istana Kesultanan Melaka 2 Disember 2012. Lihat artikel  Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman? blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Pada resolusi ke-enam ada disebut begini :- 


6. Memohon undang-undang syariah diangkat mengatasi common law dan muamalat Islam berdasarkan pengunaan dinar dan dirham mengatasi sistem ekonomi konvensyional seperti pada zaman kesultanan Melayu Melaka sebelum 1511.



Perasan le saya sekejap. Mungkin topik-topik untuk seminar ini dipilih dan mahu dikupas sebegitu rupa setelah mendapat tahu tentang isi Pernyataan HIKMAH Melaka. Chewah...

.

Selepas itu ada sesi pembentangan dengan kertas kerja bertajuk "Islam, Raja dan Melayu Sebagai Paksi Keutuhan Negara Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan" oleh Dato' Mohd Noor Abdullah, mantan Hakim Mahkamah Rayuan diikuti "Ancaman Terhadap Kedudukan Islam Agama Negara" oleh Haji Mahamad Naser Disa dari Biro Undang-undang Majlis Agama Islaam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Tapi saya pula harus berlepas ke KLCC untuk memenuhi satu jemputan di Petronas Gallery. Lihat artikel  Taman Nurani, Garden of the Heart dan Taman Nurani selected works di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Kemudian KL dilanda hujan lebat sedangkan saya keluar dari rumah menaiki motosikal. Selepas menunggu sehingga jam 2.30 petang begitu nak tak nak saya terpaksa juga meredah hujan yang ketika itu sudah renyai. Terus meletakkan motosikal di pintu masuk luar dewan.



Saya sudah tertinggal satu tayangan khas yang kalau tak salah menunjukkan taktik halus sesetengah pihak mengancam kedaulatan agama Islam dalam usaha mahu memurtadkan orang Melayu di Malaysia. Tapi saya masih sempat mengikuti sesi pembentangan petang yang bermula dengan kertas kerja bertajuk "Kedaulatan Islam Sebagai Agama Negara - Peranan Raja-raja Melayu Berpaksi Perlembagaan Perseketuan" oleh Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, pensyarah undang-undang UIA dan "Islam Agama Negara : Antara Tuntutan HAM Sejagat dan Kedaulatan Islam Dalam Perlembagaan" oleh Azril Mohd Amin, Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM).


Ketika itulah saya menyedari bahawa saya duduk di belakang barisan kerusi yang mana satu di hadapan kanan saya bernombor 131, satu nombor yang ada makna home sweet home buat saya. Kebetulan pula artikel ini baru ditulis 13 Januari iaitu 13/1. Hmm...


OK. Sebelum ini saya ada menulis artikel bertajuk Majlis perjumpaan Dunia Seni Silat Melayu di Taman Tasik Titiwangsa walhal majlis tersebut berlangsung sehari selepas seminar di Pusat Islam. Artikel tentang seminar ditulis kemudian kerana saya bercadang mahu mengupas banyak perkara berkaitan peruntukan perlembagaan dan undang-undang. Namun setelah difikirkan balik tidak perlulah saya bersusah-payah bercerita secara mendalam. Cukuplah disebut bahawa boleh dirumuskan, seminar menyebut perlembagaan Malaysia sudah cukup memberi jaminan demi mendaulatkan agama Islam sebagai AGAMA PERSEKUTUAN. Kedudukan raja-raja sebagai ketua agama Islam turut terjamin. Cuma persoalan yang timbul, kalau begitu kenapa kedudukan Islam dan raja-raja kini terancam? 

Kesimpulan yang dapat saya lihat, selain ada peruntukan lapuk undang-undang Inggeris mengacau lalu memberi kesempatan kepada pihak bukan Islam memainkan peranan mengancam dan memperkecilkan Islam kelihatannya raja-raja seperti tidak berani ke hadapan atas sebab-sebab tertentu. Habis sahaja sesi seminar, dewan pun dibuka untuk peserta memberi soalan dan melontarkan pandangan. Kalau ikutkan saya mahu bercerita sedikit tentang HIKMAH tetapi disebabkan beberapa penyoal sebelum saya sudah banyak memakan masa, saya harus terus mengemukakan soalan. Saya letak di sini seperti yang saya ingat.

1. Apakah yang menyebabkan raja-raja kelihatan tidak dapat bertindak untuk mempertahankan Islam? Apakah kerana mendapat nasihat yang salah dari para ahli politik yang berkepentingan? Saya tanya ini kerana saya pernah mendengar dari mulut beberapa orang politik bahawa raja-raja kini tidak lebih dari rubber stamp. Tugasnya cuma mengesahkan apa yang telah diputuskan ahli politik...

2. Jaminan terhadap kedudukan Islam sebagai agama persekutuan sekarang wujud dalam perlembagaan seperti disebut dalam seminar. Namun katakan satu hari nanti pihak bukan Islam berjaya mendapatkan undi majoriti 2/3 ahli parlimen untuk mengubah perlembagaan. Apakah jaminan yang tinggal demi memartabatkan Islam dan untuk memastikan kedudukan orang Melayu dan raja-rajanya tidak terancam?

Jawaban yang saya dapat tangkap untuk soalan pertama (saya ingat-ingat lupa ya dan jawaban diberikan setelah dikupas beberapa sudut lain) raja-raja harus menunjukkan keperibadian yang tinggi agar dapat dicontohi dan diikuti. Teringat pula perkara kedua dalam Pernyataan HIKMAH Melaka...

2. Memohon raja-raja menonjolkan peranan sebagai ketua agama dan bangsa melalui contoh keperibadian yang tinggi sesuai dengan kedudukan mulia baginda sebagai punca kuasa negeri dan negara yang berdaulat.

Untuk soalan kedua pula jawaban yang diterima adalah dalam perlembagaan ada perkara tidak bertulis yang secara prinsipnya boleh digunakan untuk mempertahankan kedudukan Islam juga hak orang Melayu dan raja-raja. Namun kalau sudah berlaku perlembagaan diubah untuk meminggirkan semua ini adalah elok umat Melayu dan Islam dapat bangkit bersatu untuk sama-sama mempertahankannya. Cukup.



No comments:

Post a Comment