Assalamualaikum. Setelah lebih setengah hari meletakkan gambar-gambar iaitu selepas jam 3 petang, setelah 3 hari ia berlalu baru saya dapat gerak untuk bercerita tentang kelangsungan acara ke-3 HIKMAH. Kiranya bersambung dari
HIKMAH III - Bersedia untuk memacu kebangkitan ummah.
Pagi hampir 8.50 pagi Ahad 27 Januari 2013 bersamaan 15 Rabiulawal 1434 Hijrah saya berjalan kaki dari hotel berdekatan ke dewan.
Sebenarnya saya sudah ke situ sebelum jam 8.30 pagi menaiki kereta untuk mengangkut sejumlah buku terutama siri "Berpetualang ke Aceh" masuk ke bahagian pameran dan jualan. Kemudian meletakkan kereta kembali di hotel sebelum berjalan kaki.
Dewan sudah dibuka seawal 7.30 untuk persiapan akhir diikuti pendaftaran peserta, bermula 8 pagi. Nampaknya masih banyak ruang kosong ketika ini, masih terlalu sedikit yang dapat menduduki 1,000 kerusi yang disediakan. Saya mendapat tahu ramai juga peserta diuji dengan kesulitan ketika mahu melangkah datang. Saya juga mendapat tahu ada yang berjanji akan datang tetapi tidak muncul akibat berlaku beberapa gangguan saat akhir seperti kereta rosak, jatuh demam dan sakit mata.
Sesungguhnya perjuangan pada jalan Allah bukanlah perkara yang mudah. Kamu tidak boleh mengatakan diri kamu beriman selagi belum diuji secukup-cukupnya. Selain masalah-masalah tersebut saya mendapat tahu ada pihak memboikot majlis malah mahu menggagalkannya.
Di satu sisi ada yang menuduh HIKMAH adalah alat satu parti politik untuk meraih undi atas pagar. Ada pula menuduh ia kenderaan peribadi saya untuk menaikkan nama sebagai penulis. Malah lebih teruk lagi, ada yang menabur fitnah saya mengasaskan HIKMAH untuk menuntut hak menaiki takhta sebuah kerajaan. Masyaallah!
Berita-berita tentang ini telah disampaikan oleh kawan-kawan dan mereka yang setia sejak beberapa minggu lalu. Saya diberitahu ada kawan-kawan kami didekati pihak tertentu dengan harapan mereka akan bermufarakah atau mengasingkan diri daripada saya. Dalam keadaan ini tidak hairanlah jika ada pihak bergerak menghubungi pelbagai pihak lain agar membatalkan komitmen untuk menyertai HIKMAH III. Punyalah kami diuji dan acara mahu digagalkan, sampai kuda kesayangan seorang pemilik ladang kuda di Teluk Intan mati diracun 4-5 hari sebelum acara. Sehingga beliau yang berminat membawa sejumlah kuda untuk tunggangan kami secara percuma terpaksa membatalkan rancangan itu!
Selain itu kelihatan ada unsur-unsur ghaib seperti mahu menggagalkan acara dan penyertaan terhadapnya. Sudah disebut tadi ada yang dilanda demam dan sebagainya, namun ada juga yang bertahan untuk datang. Teringat bagaimana 2-3 hari sebelum acara pertama HIKMAH di Shah Alam bermula 4 Nov 2012 seorang sahabat kami yang sepatutnya menjadi MC, Dr Hapiza, pensyarah di UiTM tiba-tiba diserang penyakit angin ahmar ataupun stroke hingga lumpuh sebelah badan. Beliau masih berusaha untuk memulihkan diri. Setelah beberapa lama tinggal tangan kanan sahaja kurang berfungsi.
Seorang lagi sahabat kami, pelakon veteran terkenal Maimon Muttalib dapat datang ke Shah Alam lalu menjadi moderator budaya bagi sesi berkumpulan. Namun ketika menuruni tangga meninggalkan dewan selepas acara kaki beliau terseliuh. Apabila kembali ke rumah mata pula asyik mengenyit tanpa boleh dikawal dan lama kelamaan jadi seperti mengecil sebelah. Setelah beberapa lama keadaan tidak pulih baru Kak Maimon dibawa kawan-kawan lain dari dunia lakonan menemui doktor lalu didapati menghidap penyakit barah peringkat ketiga yang sudah menganggu saraf dan tulang belakang sejak sekian lama. Tak dapatlah menghadiri acara HIKMAH kedua di Melaka 25 Nov walhal beliaulah antara orang yang berusaha keras untuk menjayakannya - dengan cara mendapatkan tajaan makan minum pagi dan tengah hari untuk 500 orang.
Saya dan isteri sendiri asyik dilanda demam dan sakit-sakit badan sebelum acara. Jangankan itu. Pakaian kami suami isteri untuk majlis sepatutnya ditaja oleh sebuah butik milik kawan. Tapi sampailah ke hari Jumaat pakaian masih tak sampai-sampai. Kemudian kami mendapat tahu tukang jahit sendiri jatuh demam sedangkan setiap jarum yang mahu digunakan patah. Perkara ini tidak pernah berlaku pada mereka lalu pakaian tidak dapat disiapkan. Nasib baik kami sudah bersedia dengan koleksi sendiri di rumah.

Sungguh, misi dan arah tujuan yang kami bawa bukanlah mudah. Nasib baik ada berkat doa para masyaikh dan guru-guru Tasawuf mengiringi acara. Kebetulan Allah gerakkan HIKMAH III yang secara rasminya dipanggil "HIKMAH Berselawat : Menjejak Pendekar, Ahlul Bayt dan Mendaulat Sultan di tanah Gangga Negara" ini agar diadakan 3 hari selepas jatuh tarikh sambutan Maulidur Rasul. Maka majlis pun mendapat keberkatan apabila dibuka 9 pagi dengan bacaan selawat oleh kumpulan Hadrah dari Madrasah Islamiah Ahbabul Mustafa di Tumpat, Kelantan, dibimbing mudirnya Habib Abu Aswad ibn Zakaria Al-Kubra.
Selawat daripada kumpulan yang mendalami Tasawuf dan ada itrah sambungan Ahlul Bait membuka talian pancaindera dan kerohanian agar hadirin lebih peka terhadap misi dan arah tujuan majlis juga HIKMAH itu sendiri. Selain itu kami disokong beberapa persatuan persilatan dari berbagai tempat di tanah air. Mereka sanggup mengharungi rintangan untuk bersama mendaulatkan Melayu dan Islam.

Antara yang paling terserlah adalah satu kumpulan yang duduk di barisan paling hadapan kiri dewan (ke kanan jika dilihat dari pentas). Pakaian mereka begitu seragam menampakkan kesatuan (walaupun pakaian beragam lain dan macam-macam tidaklah bermakna tidak ada kesatuan). Pada mulanya saya menyangkakan mereka adalah ahli persatuan dari Manjung atau sekitarnya, mungkin Persatuan Pencak Silat Daerah Manjung (PESADA) yang merupakan penganjur bagi majlis HIKMAH kali ini. Kemudian baru dapat tahu mereka adalah ahli satu kumpulan yang dipanggil Hulubalang Melayu Kuala Langat dari Banting, Selangor, dekat kampung isteri saya.

Di barisan paling hadapan tengah dewan pula terdapat sejumlah kerusi empok untuk tetamu VIP/VVIP. Kelihatan pada waktu ini ia dikosongkan. Asalnya pihak penganjur di Perak mahu mendapatkan kehadiran Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah juga Menteri Besar, Dato' Seri Zambry Abdul Kadir. Kemudian kami diberitahu baginda tidak dapat berangkat atas sebab tertentu dan wakil pun tidak dihantar. MB juga tidak dapat datang walhal beliau adalah wakil rakyat bagi kawasan Pangkor yang melingkungi pulau buatan di mana terdapat dewan ini. Pada malam hari, apabila menonton berita di televisyen baru tahu Zambry lebih suka menghadiri sambutan perayaan Thaipusam daripada menyokong HIKMAH yang mahu menyatukan umat Melayu.

Sambil berjalan ke belakang melihat kawasan pameran saya memikirkan betapa semuanya tetap ada HIKMAH. Ya. Kalau sultan berangkat, MB juga harus datang. Acara dapat dibawa naik ke persada yang lebih tinggi menurut kebiasaan orang ramai menilai keadaan dan apa yang ingin kami perjuangkan bolehlah mendapat perhatian pihak paling atas. Namun kalau ada mereka, majlis pada saya akan jadi kaku dan 'kejung' diikat protokol. Dengan ketidakhadiran mereka kami lebih santai dan bebas mengikuti acara. Saya pula boleh berjalan-jalan ke mana-mana suka, dengan gaya kebiasaan sendiri tanpa perlu risau pandangan istana dan pegawai protokol.

Mungkin penganjur sini mengharapkan pengiktirafan sama seperti yang diperolehi acara kedua HIKMAH di Melaka yang mendapat sokongan rasmi Ketua Menteri, Dato' Seri Ali Rustam sehingga acara diisytiharkan masuk menjadi program tahunan negeri. Mungkin. Bagi kami terutama saya sendiri, alhamdulillah... acara diiktiraf dan ini memberi peluang untuk kami melangkah lebih maju ke hadapan. Tetapi itu juga telah menimbulkan persepsi negatif dan fitnah bahawa kami kononnya adalah alat satu parti.
Jika di Melaka pandangan serong ini masih boleh dikekang, di Perak ia boleh menjadi barah. Ini kerana kenaikan MB Perak penuh dengan kontroversi yang sehingga kini masih menimbulkan kemarahan sebuah parti bertentangan dan sekutu mereka. Biar diberitahu, jangkaan awal MB tersebut akan datang ke HIKMAH III menyebabkan sesetengah pihak memboikot acara sambil cuba mempengaruhi pihak lain agar tidak menyokong.
Dalam keadaan santai tidak terikat oleh protokol, saya tidak ada kekangan untuk menurut gerak hati. Apabila bacaan/nyanyian selawat sampai kepada lagu yang sangat diminati, lagu yang bermula lebih kurang begini ; "Tolama asykur ghuromi" saya tidak dapat bertahan daripada menyertai. Terus bergegas ke hadapan dan dengan selambanya naik ke pentas duduk bersama kumpulan.
Lama juga saya duduk bersama melagukan pujian-pujian terhadapan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Sampai satu ketika kami semua berdiri melagukan bacaan seterusnya.
Terasa sungguh getaran ukhuwah cinta kasih sayang suci dan kerinduan terhadap Rasulullah SAW bergema mengisi seluruh dewan yang boleh memuatkan lebih 2,500 orang ini.
Hampir 10 pagi masuk waktu berehat. Orang ramai pun mengambil peluang melihat segala macam pameran.
Ruang tengah pameran sepatutnya diisi oleh barangan dari pihak Muzium Beruas. Namun saya mendapat tahu mereka membatalkan penyertaan pada saat-saat akhir. Mungkin akibat sultan tidak dapat berangkat. Namun HIKMAHnya ia memberi ruang untuk pameran seni dan khat yang dibawa sejumlah pendokong HIKMAH dari Lembah Klang.
Sambil sesetengah sibuk melihat pameran, yang lain beratur untuk sarapan.
Penyertaan ramai golongan agamawan memberikan suasana yang terasa begitu aman dan permai. Begitulah HIKMAH. Dalam tenang kami sebenarnya berniat untuk membawa perjuangan yang sangat besar.