Selesai makan tengah hari kami meninggalkan Rumah Cut Nyak Dhien dengan menaiki bas untuk aktiviti seterusnya - Lawatan lapangan melihat anak-anak tempatan menyelamatkan situs atau tapak bersejarah.
Selepas singgah bersolat di sebuah masjid di pinggir barat Banda Aceh kami meneruskan perjalanan sampai ke satu tempat bernama Kampung Pande.
Letaknya di bahagian utara Banda Aceh. Semakan dengan Google Map menunjukkan jaraknya sekitar 10 km dari Rumah Cut Nyak Dhien. Kami berhenti di tempat paling hujung dapat dimasuki bas. Selepas itu kami perlu berjalan kaki.
Makam yang kelihatan dalam gambar atas tadi adalah penanda tempat. Bas diletakkan di hadapan kawasan makam. Selepas itu kami harus mengambil satu denai. Jalan masuknya terletak di sisi kawasan makam...
Oh. Sebelum ini saya selalu menyebut Rumah Cut Nyak Dhien terletak sekitar 10 km ke barat Banda Aceh. Sebenarnya ini tidak tepat. Semakan melalui Google Map menunjukkan yang 10 km itu adalah dari Kampung Pande. Kalau dari Masjid Baiturrahman yang boleh dikatakan penanda kawasan pusat kota, jaraknya sekitar 7 km. Kalau dari pinggir barat kota cuma 4 km.
Apapun bergeraklah kami ke lokasi lawatan lapangan melalui denai yang bermula di tepian kawasan makam. Ada bahagian yang agak mencabar bagi kami yang datang berbusana cantik tradisional Melayu terutama orang perempuan...
Sambil menyusuri denai boleh kelihatan batu-batu nesan yang telah didirikan. Biar dimaklumkan batu-batu nesan di sini rata-rata telah rebah malah tenggelam ke dalam paya, air dan tanah akibat terjahan ganas ombak besar Tsunami yang membinasakan beberapa tempat di Aceh sehingga membunuh sekitar 200,000 jiwa pada 26 Disember 2004.
Kawasan yang kelihatan termasuklah makam tadi terletak di dalam jajaran kawasan besar apa yang dipanggil sebagai Kampung Pande.
Dahulu, bermula sekitar 800 tahun dahulu ia pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Aceh awal.
Sekitar abad ke-16 Masihi kalau tak salah baru pusat pemerintahan dialihkan 2-3 km lagi ke dalam.
Setelah berjalan kaki sekitar 10 minit kelihatanlah lokasi lawatan lapangan. Ketika gambar ini diambil jam kamera menunjukkan waktu 3.13 petang.
Di perairan yang kelihatan sejumlah anak-anak muda tempatan di bawah satu NGO bernama MAPESA (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh) sedangkan melakukan kerja-kerja mendirikan kembali batu-batu nesan yang telah rebah dan tenggelam.
Kami, rombongan dari Malaysia yang datang untuk memeriahkan acara ke-20 HIKMAH di Rumah Cut Nyak Dhien diajak menyaksikan sendiri kerja-kerja mereka di lapangan.
Sebenarnya kawasan yang kelihatan ini dahulu adalah daratan.
Tetapi ombak besar Tsunami yang menerjah ganas hampir 13 tahun lalu telah mengundurkan garisan pantai iaitu menyebabkan laut memakan daratan sehingga 3 km ke dalam!
Ditunjukkan juga sebuah batu nesan yang tertimbus di dalam satu tanah tinggi tebing. Tanah yang meliputinya sudah dikorek oleh mereka...
Untuk makluman MAPESA membuat kerja-kerja pembersihan, pemugaran dan penyelamatan makam juga batu-batu nesan lama sejak 5 tahun lalu. Terdiri rata-rata daripada mahasiswa atau para pelajar universiti sekitar Banda Aceh, mereka melakukan kerja-kerja ini setiap hari Ahad iaitu waktu mereka bercuti...
Seminggu sebelum kami bertandang mereka telah menerima kedatangan ahli akademik terkemuka dari Malaysia, Dato Dr Othman Yatim.
Othman yang kami panggil sebagai Prof Othman adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan apa yang dipanggil sebagai batu nesan Aceh kepada dunia. Beliau adalah penaung HIKMAH dan sudah beberapa kali merasmikan majlis-majlis kami.
Cuma beliau tidak dapat bersama pada acara ini kerana ada komitmen di tempat lain. Beliau datang lebih awal untuk menyertai dan merasai kerja-kerja penyelamatan yang dibuat oleh MAPESA.
Anak-anak muda yang gigih membuat kerja-kerja penyelamatan secara sukarelawan ini sanggup mengeluarkan duit sendiri bagi menjalankan aktiviti.
Mereka sudah menyelamatkan banyak kawasan makam di merata Banda Aceh membawa ke luar daerah. Selain menyelamatkan mereka juga mengumpul data tentang taburan makam yang menandakan tempat-tempat bersejarah juga membaca dan menafsirkan tulisan-tulisan Khat yang seringkali rumit untuk dibaca pada batu nesan. Ini dapat memberikan banyak maklumat tentang perjalanan hidup dan kerajaan zaman dahulukala. Ia menjadi bukti konkret akan kehebatan ilmu serta peradaban masyarakat lampau.
Sejak beberapa bulan kebelakangan mereka memberikan tumpuan pada Kampung Pande. Kedatangan Prof Othman seminggu sebelum HIKMAH memberikan nafas baru apabila kehadirannya menarik perhatian Gabenor Aceh untuk bersemuka lalu satu gerak kerja penyelamatan melibatkan kerajaan pun mahu dirangka, antaranya adalah untuk mendaftarkan batu nesan Aceh ke UNESCO...
Difahamkan penyertaan mereka pada majlis kedua HIKMAH di mana seorang lagi anak Aceh turut datang tetapi dengan belanja sendiri menimbulkan impak yang sangat besar. Untuk makluman, dengan bantuan kawan-kawan persatuan guru silat Melaka yang dipanggil MAGMA Melaka, (kini SIGMA) majlis mendapat sokongan kerajaan Melaka dan ketua menteri ketika itu, Tan Sri Ali Rustam. Ini meninggikan status majlis sehingga penyertaan MAPESA mendapat perhatian kerajaan pusat Indonesia di Jakarta. Perkara utama pembentangan mereka iaitu usaha menyelamatkan tapak sejarah Lamuri yang diancam rancangan mahu mendirikan lapangan golf dilihat mendapat sokongan antarabangsa lalu Jakarta harus campur tangan memberhentikan projek,
Dengan itu tapak sejarah tersebut pun terselamat sehingga kini, Dalam tempoh setahun dua selepas pembentangan penghujung tahun 2012 itu ia ,mendapat perhatian lebih ramai pengkaji berwibawa termasuk Profesor Dato' Dr Mokhtar Saidin dari USM (Universiti Sains Malaysia) yang sanggup berkampung beberapa hari di sana, . Anak muda yang menyertai acara kedua HIKMAH itu pula terinspirasi melihat majlis didatangi ramai orang berbusana tradsional Melayu. Ini menjadi asbab untuk tertubuhnya satu persatuan pemakai busana tradisional Aceh yang mungkin adalah yang pertama di bumi Serambi Mekah itu sekurang-kurangnya ;pada zaman moden.
Timbullah apa yang dipanggil sebagai Komunitas Pakaian Adat Aceh yang berpusat di Sigli sekitar 1 jam setengah perjalanan dari Banda Aceh. Ketika HIKMAH pertama kali bertandang ke Aceh melalui acara ke-10 kami yang berlangsung di Muzium Aceh 3 tahun lalu, mereka adalah kumpulan utama menjayakan majlis sehingga kami dipanggil makan malam di rumah rasmi Gabernur. Rujuk artikel kompilasi
Acara kesepuluh HIKMAH di Muzium Aceh, Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014. Sukacita dimaklumkan penulisan tentang lawatan lapangan ke Kampng Pande ini membentuk artikel ke-323 di
blogspot HIKMAH.
No comments:
Post a Comment