Merujuk pada artikel
Sedikit laporan selepas tamatnya acara ke-20 HIKMAH di Aceh 19 Mac 2017 yang dipersembahkan 8 hari lalu iaitu 2 hari selepas saya dan keluarga selamat kembali daripada perjalanan di Aceh 16-23 Mac. Sukacita dimaklumkan cerita-cerita sekitar hari pertama hingga ke-3 perjalanan sudah selamat dikongsikan dalam
blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Pada hari ke-4 berlakulah acara ke-20 HIKMAH. Sekarang bolehlah saya mula bercerita panjang lebar tentangnya...
Pagi Ahad 19 Mac 2017. Kawan-kawan dari Malaysia dikumpulkan dalam satu bas agar kami dapat bersama bergerak dari Banda Aceh ke lokasi acara sekitar 10 km ke barat. Bas mula mengambil kami seawal jam 7.30 kerana menginap di lain-lain tempat. Ia disediakan oleh kawan-kawan Aceh untuk memudahkan perjalanan selain memastikan kami selamat sampai.
Tetapi kami tidak terus ke lokasi sebaliknya dibawa melihat sebuah rumah di pinggir Banda Aceh. Dikatakan di situlah seorang ahli rumah menjadi orang pertama di Aceh merekodkan peristiwa ombak besar Tsunami 26 Disember 2004 yang telah mengorbankan sekitar 200,000 nyawa rakyat bumi Serambi Mekah itu. Diceritakan bagaimana ahli tersebut yang sebenarnya sedang bersedia umtuk menghadiri satu majlis selamat setelah menaiki tingkat atas rumah. Kebetulan beliau sedang merakamkan keadaan ahli keluarga berpakaian cantik sebelum keluar rumah dengan videocam. Apabila Tsunami datang menerjah rakaman pun disambung sambil mencari tempat selamat...
Apabila Tsunami surut beliau yang dikenali sebagai Cut Puteri dikatakan mengambil penerbangan ke Jakarta dalam keadaan lupa diri. Dari rumah yang terletak sekitar 2-3 kilometer dari tepian pantai (kalau tak salah) beliau berjalan kaki seorang diri hampri 20 km (anggaran saya berdasarkan peta satelit Google Earth) ke lapangan terbang yang terletak jauh di kawasan pendalaman. Peliknya tiada siapa menahan walaupun beliau tidak membeli tiket. Mungkin keadaan Cut Puteri memakai baju berlumut kotor setelah mengharungi tinggalan kebinasaan ombak besar membuat semua orang terpana.
Dikatakan sepanjang perjalanan itu beliau tidak melepaskan videocam dari tangan. Hasil rakaman disampaikan kepada sebuah stesyen television. Rakaman itulah yang pertama kali menyedarkan dunia tentang musibah besar yang berlaku di Aceh ketika itu. Ia menjadi asbab pelbagai negara datang menghantar bantuan sehingga Aceh dapat dibina kembali dalam tempoh beberapa tahun...
Sekitar jam 8.45 pagi waktu tempatan baru kami sampai ke lokasi...
Ia adalah rumah atau muzium Cut Nyak Dhien...
Rumah ini menghadap jalan utama menghala ke pantai barat Aceh.
Rombongan dari Malaysia berlegar-legar di hadapan rumah mengambil gambar setelah menerima sambutan...
Pihak Aceh memanggil acara sebagai "Majelis Silaturrahim Muhibbah Sejarah & Budaya Tamaddun Dunia Islam Aceh-Malaysia".
Memang polisi kami di HIKMAH sejak dahulu lagi membenarkan setiap tuan rumah atau pihak penganjur tempatan memanggil acara mengikut kesukaan dan kesesuaian mereka. Kami pula akan memanggil mengikut kesukaan dan kesesuaian kami sekurang-kurangnya untuk tujuan promosi selain mengikut angka bilangan acara yang ke-berapa. Ini kerana penganjur tempatan melihat majlis dalam konteks lingkungan keberadaan mereka. Kami pula melihat dalam lingkungan keseluruhan yang mengambil kira kesinambungan majlis-majlis lain anjuran kami yang telah meliputi merata Semenanjung Malaysia selain bergerak ke luar negara sampai ke Aceh. Lihat contoh seperti berikut :-
Acara kedua HIKMAH di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 Nov 2012
Acara ketiga HIKMAH di Marina Hall, Lumut 27 Jan 2013
Acara ketujuh HIKMAH di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 Nov 2013
Acara ke-10 yang penganjur tempatannya adalah kawan-kawan dari Aceh juga pernah menggunakan tajuk hampir serupa seperti pada majlis kali ini. Lihat artikel
HIKMAH Aceh @ HIKMAH X - Acara pun bermula. Kelihatan keadaan bawah rumah sebelum acara ke-20 ini bermula. Kami harus menunggu lebih ramai warga tempatan muncul termasuk orang-orang penting ataupun VIP mereka.
Keadaan di bawah setelah saya sendiri puas melihat ke dalam atau lebih tepat, bahagian atas rumah. Jam kamera menunjukkan waktu 9.08 pagi ketika ini...
Keadaan sudah cukup meriah.
Cuma menunggu masa sahaja untuk acara dimulakan...
No comments:
Post a Comment