Anak tempatan Aceh kedua membentang pada majlis adalah saudara Azhar Ilyas. Beliau kelihatan 10 tahun lebih muda berbanding pembentang sebelumnya tetapi difahamkan sudah memiliki ijazah sarjana atau Masters dalam bidang ekonomi.
Beliau kini giat mahu mempromosikan industri songket Aceh. Saya sendiri baru mendengar tentang kewujudan industri ini di bumi Serambi Mekah apabila mendapat tahu tajuk-tajuk pembentangan yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa penganjuran majlis sekitar dua minggu sebelum majlis...
Songket Aceh rupa-rupanya sudah wujud sejak ratusan tahun yang lampau. Ini dipercayai lebih lama daripada songket terkenal di beberapa tempat, antaranya songket Palembang. Sejarah tenunan songket Aceh dikaitkan dengan sejarah penghasilan sutera. Menurut Azhar, catatan kitab Sung abad ke-10 dan ke-11 Masihi (merujuk pada Dinasti Song yang memerintah benua Cina ketika itu) ada menyebut tentang industri sutera di Pidie, satu kawasan dalam satu setengah jam perjalanan dari Banda Aceh.
Songket Aceh menjadi satu komoditi utama perdagangan yang dieksport ke luar Aceh pada abad ke-16 dan 17 Masihi. Sutera yang dihasilkan di Aceh dikatakan lebih bermutu tinggi dan mahal berbanding sutera yang diimport dari India. Industri songket berkembang di pantai Barat Aceh abad ke-19 namun masih berpusat di Pidie dan Aceh Besar (daerah sekeliling di luar Banda Aceh).
Sutera Aceh dikatakan banyak mendapat pengaruh Parsi. Perlu diingatkan di sini, sutera Aceh juga merujuk pada songket Aceh. Sutera adalah bahan sedangkan songket sebenarnya merujuk pada teknik menyongket untuk memasukkan benang terutama benang emas dalam membentuk motif. Motif-motif Aceh lebih pada bentuk flora dan fauna atau tumbuh-tumbuhan, tidak mengikut binatang seperti dilakukan di India dengan pengaruh Hindu misalnya.
Hadirin kemudian dihidangkan dengan profil beberapa orang penggiat songket tradisional yang masih wujud di Aceh...
Ditunjukkan juga tentang komuniti "I Love Songket Aceh" yang baru setahun lebih diwujudkan untuk mempromosi dan menghidupkan kembali industri songket Aceh.
Matlamat mereka mahu anak-anak muda tempatan sedar tentang budaya dan kearifan tempatan ini selain berusaha untuk membangkitkan industri...
Aktiviti-aktiviti mereka pun dikongsikan...
Azhar kemudian menunjukkan contoh beberapa helai songket Aceh dengan motif-motif tradisional tertentu, Sekarang biar ditambah perkongsian saya sendiri tentang perkara...
Merujuk pada artikel
Misi HIKMAH Aceh 2017 - Jumaat di sekitar Baiturrahman sebelum masuk ke Pulau Sabang di
blogspot CATATAN SI MERAH SILU yang menunjukkan aktiviti saya bersama keluarga dan beberapa orang kawan Malaysia di Aceh pada hari Jumaat 17 Mac iaitu 2 hari sebelum HIKMAH di Rumah Cut Nyak Dhien. Pagi Jumaat itu menyaksikan saya pertama kali berjalan membeli belah di Aceh setelah 8 kali ke sana Ini disebabkan ramai orang perempuan ada bersama. Maka saya pun ikut kerenah mereka mahu membeli belah di sekitar Pasar Aceh.
Di sebuah kedai kami ditunjukkan songket Aceh buatan Montasik, satu kawasan sekitar 20-30 minit ke luar Banda Aceh, Saya lihat dengan mata kasar dan pegang, kualitinya terasa sama dengan songket yang saya lihat di Pandai Sikek, satu tempat yang terkenal dengan kerajinan tempatan dalam wilayah Minangkabau iaitu hampir ke Bukit Tinggi, dalam satu perjalanan pada bulan Januari. Lihat
Jejak kerajaan lama tengah Sumatera - Sekitar Pagaruyung lagi sebelum ke Pariangan dan lain tempat. Kualitinya kelihatan sama dan memang cantik sedangkan harga cuma 1/3 daripada yang di Pandai Sikek. Terus dibeli sepasang untuk isteri.
Malam selepas acara ke-20 HIKMAH pembentang topik songket iaitu saudara Azhar muncul bersama dua orang kawan di lobi hotel tempat saya menginap mahu bertemu saya dan isteri. Mereka sangat teruja dengan acara lalu mahu mengetahui lebih lanjut tentang HIKMAH. Masuk bab songket saya pun tergerak untuk memberikan sedikit cadangan demi menghidupkan kembali industri songket Aceh. Nampaknya ia sudah lama pudar akibat perang yang lama berlanjutan. Ini bermula dengan pencerobohan Belanda tahun 1873 yang perangnya berlanjutan sehingga Aceh merdeka bersama Republik Indonesia tahun 1945. Selepas itu pula perang dengan askar yang dihantar kerajaan pusat Indonesia di Jakarta akibat berbeza hala tuju pentadbiran, Yang ini berlanjutan hinggalah berlaku terjahan ganas ombak Tsunami 26 Disember 2004 yang membinasakan banyak infrastruktur di Aceh selain meragut nyawa lebih 200,000 orang.
Biar cadangan saya dibuat secara point form :-
1) Industri songket harus dihidupkan pada 3 peringkat kualiti dan harga barangan
a) Kualiti ekonomi yang harganya boleh dicapai semua orang
b) Kualiti menengah yang lebih mahal dan baik kualiti namun tidak terlalu mahal. Boleh dibeli oleh orang biasa setelah mengumpul duit dan sebagainya.
c) Kualiti tinggi - Yang ini dah tentu harganya terlebih mahal lalu cuma mampu dibeli segelintir orang.
2) Kenapa begitu?
Setiap industri yang mahu bertahan lama harus ada bahagian yang dapat dicapai orang ramai. Bahagian berkualiti tinggi pula menjadi penentu sebenar tahap yang boleh dicapai namun berada di luar jangkauan orang biasa.
Misalnya kereta Ferrari buatan Itali. Tak ramai orang dapat membelinya kerana mahal akibat tinggi kualiti buatan.. Ia menjadi penanda aras kehebatan teknologi kejuruteraan kereta Itali. Namun kalau berharap pada itu sahaja industri kereta di Itali tidak akan dapat bertahan lama kerana tak ramai orang mampu membeli kereta Ferrari. Yang ramai orang mampu beli adalah kereta Fiat buatan Itali juga tetapi dapat dijangkau orang ramai,
Maka untuk kebangkitan industri dan dapat bertahan jangka panjang harus diadakan barangan pada peringkat ekonomi, pertengahan dan tinggi.
3) Penerbitan dan pengagihan tenaga kerja/kerajinan dari peringkat bawah sehingga tertinggi
Dalam membentuk suatu industi yang boleh bertahan lama harus dibentuk pelapis baru untuk menggantikan generasi sebelumnya. Proses ini harus berterusan yang mana seorang bertaraf mahaguru membentuk guru-guru dan para guru membentuk murid yang menjadi pelapis baru. Hasil kerja pelapis boleh menjadi songket yang rendah sedikit kualiti dan harganya ekonomi, hasil kerja guru kelas menengah dan hasil kerja mahaguru kualiti tinggi.
Setelah pelapis semakin meningkat kemahiran dia boleh menjadi guru yang membentuk songket kualiti menengah. Guru yang semakin meningkat akhirnya boleh menjadi mahaguru yang membentuk kualiti tinggi. Mahaguru pula apabila semakin tua secara logiknya sampai masanya dia akan pergi meninggalkan kita semua. Nampak tak bagaimana susunan ini dapat membantu industri berterusan sambil membentuk lapisan baru juga hasil kerja dengan harga yang sesuai dengan kualiti lalu boleh dicapai oleh semua peringkat masyarakat.
4) Melonjakkan industri songket Aceh melalui penyertaan orang ternama yang berwibawa
Dalam perbincangan itu tiba-tiba saya teringat tentang Tengku Puan Muda Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah ibni almarhum Sultan Iskandar (Johor) isteri kepada Tengku Mahkota Pahang, bakal Sultan Pahang. Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat sayangkan songket, tahu mengenal dan menilai pelbagai jenis buatan. Kebetulan HIKMAH tanpa dirancang pernah terlibat dalam satu majlis besar songket bertaraf antarabangsa yang dirasmikan beliau. Lihat artikel-artikel berikut :-
Adapun Tengku Puan Pahang ini diketahui berjaya menghidupkan kembali industri songket Pahang yang telah lama mati apabila menjadi penaung songket Pahang sejak beberapa tahun lalu. Melalui kedudukan dan kelebihan beliau industri ini kembali mendapat penghormatan sedangkan pelapis baru pembuat songket berkualiti dibentuk atas cadangan beliau agar penjara-penjara di Pahang digunakan untuk membuat songket. Caranya bawa guru mengajar banduan yang berminat sampai jadi dan hal ini diteruskan sehingga kini. Banduan mendapat kemahiran yang berguna sambil songket baru dapat dibentuk.
Mungkin kawan-kawan di Aceh boleh mengundang Tengku Puan Pahang untuk datang ke sana berkongsi pengalaman bagaimana menghidupkan industri. Ini bersesuaian dengan sejarah lama Aceh di mana raja yang sering disebut sebagai Sultan Aceh paling hebat, Sultan Iskandar Muda (memerintah 1607-1636) memiliki permaisuri bernama Puteri Kamaliah, seorang anak Raja Pahang. Seorang anak Raja Pahang yang lain pula menjadi menantu Iskandar Muda lalu dapat menaiki takhta Aceh. Beliau dikenali sebagai Sultan Iskandar Thani, memerintah 1636-1641.
Kedatangan Tengku Puan Pahang sendiri harus dapat menimbulkan minat dan perhatian yang boleh membuat orang ramai melihat kembali songket Aceh. Selain itu beliau cukup mampu untuk membeli songket-songket berkualiti tinggi. Ini dapat secara langsung membantu pendapatan orang-orang lama pembuat songket Aceh yang tinggal beberapa orang sahaja. Sambil itu, kedatangan Tengku Puan Pahang dapat meningkatkan penghormatan terhadap diri mereka dan indusri songket Aceh itu sendiri...
5) Boleh dapatkan penyertaan Tengku Puan Pahang melalui Tuanku Raja Yusuf ibni Tuanku Raja Ibrahim ibni Sultan Muhammad Daud, sultan terakhir Aceh
Nak dapatkan orang berprofil tinggi seperti Tengku Puan Pahang datang tentu bukannya senang. Namun seketika itu juga saya nampak jalannya. Saya teringat beberapa tahun lepas keluar berita dari Aceh tentang lawatan beliau sambil mencari waris Sultan Aceh lalu bertemulah beliau dengan penama di atas. Tengku Puan Pahang malah dikatakan pernah mengajak Tuanku Yusuf datang ke Pahang untuk menerima layanan selayaknya sebagai cucu sultan terakhir Aceh. Tetapi Tuanku Yusuf menolak kerana katanya sudah lebih selesa hidup sebagai orang biasa.
Adapun Tuanku Yusuf ini saya sudah kenal secara peribadi sejak tahun 2014. Pada acara ke-20 HIKMAH tahun 2017 pula beliau menjadi perasmi. Lihat
HIKMAH Aceh 2017 - Pembukaan pelbagai ragam dan perkongsian ilmu dari Malaysia. Anak beliau, Tuanku Warol pula saya kenali ketika lawatan ke Aceh awal tahun 2015. Tuanku Warol turut hadir pada acara ke-20 HIKMAH malah menurut Azhar beliau yang mengajaknya membentang tentang songket pada acara.
Kalau begitu bolehlah diajak Tuanku Yusuf supaya mengundang Tengku Puan Pahang membantu menaikkan songket Aceh di mata dunia. Cadangan-cadangan ini saya tulis di sini supaya kawan-kawan Aceh dapat bersama membantu menjayakan ia.
6) Buat pameran songket Aceh, mungkin di Muzium Aceh
Cadangan ini baru timbul ketika menyemak kembali perenggan-perenggan di atas. Nak undang Tengku Puan Pahang pun elok ada acara dan sebab yang jelas bukan? Kalau begitu mintalah beliau datang sebagai tetamu kehormat jika tidak pun perasmi pada satu pameran songket. Tapi kena usahalah buat pameran songket yang berkaliber. Saya rasa Muzium Aceh boleh memberikan jalan dan tempat.
Saya terfikir ini kerana baru teringat tentang pameran Batu Nisan Aceh yang mahu diadakan di Muzium Aceh pada pertengahan bulan Mei. Saya akan menyentuh tentang ini lebih lanjut pada artikel seterusnya. Ini kerana artikel itu adalah mengenai pembentangan tentang usaha menyelamatkan batu-batu nesan Aceh...
No comments:
Post a Comment