Gambar hiasan : Satu rombongan memakai baju adat Aceh di hadapan rumah @ muzium Cut Nyak Dhien...
Petang Jumaat lalu 10 Mac 2017 saya telah membuat satu artikel bertajuk
Terbaru tentang HIKMAH Aceh 2017 - Rencong khas peribadi dan hal-hal berkaitan... lalu mewar-warkannya di Facebook. Antara perkara yang disebut dalam artikel adalah rancangan untuk mengadakan aktiviti lapangan di makam lama, buat gotong royong membersihkan makam juga menegakkan batu-batu nesan yang sudah rebah atau condong. Tetapi disebabkan suatu hal saya pun tak pasti apakah patut diteruskan rancangan tersebut. Malam itu juga kawan-kawan di Aceh memberikan jawaban melalui FB, Mereka telah memaparkan gambar-gambar satu tempat cadangan untuk aktiviti lapangan.
Gambar yang dipaparkan adalah seperti di atas. Tempatnya ternyata cantik dan menyamankan. Letaknya dalam satu kawasan bernama Ulee Tuy, sekitar 8 km ke timur lokasi acara ke-20 HIKMAH pada 19 Mac 2017 di Rumah Cut Nyak Dhien, Saya terus tertarik dengan gambar-gambar lalu membuat perkongsian (share) di akaun FB peribadi saya juga akaun HIKMAH.
Selain itu saya bertanya pada kawan-kawan di Aceh apakah ia terletak dekat makam seorang ulamak besar abad ke-12 dan 13 Masihi yang dikenali sebagai Sheikh Abdullah Kanaan. Esok petang mereka berkongsi gambar-gambar seperti di atas pula. Ia adalah untuk lokasi cadangan kedua yang katanya lebih dekat dengan makam Sheikh Abdullah.
Lokasi cadangan sebelum ini tidak dinyatakan terdapat makam siapa. lokasi kedua ini baru disebut nama. Kata mereka ini adalah kompleks makam Eumpee Blieng atau dikenal dengan nama Putroe Blieng Indra Kesuma. Beliau adalah isteri kepada Sultan Johan syah (1205-1234) yang mendirikan kerajaan awal Aceh Darussalam yang berpusat di Kandang Aceh.
Gambar hiasan : Daripada acara ke-10 HIKMAH di Muzium Aceh 29 Mac 2014...
Kedua-dua lokasi cadangan cukup menarik. Cuma lokasi kedua saya dapati lebih menyerlahkan sejarah kegemilangan lama Aceh lalu lebih sesuai dengan tema acara. Apapun, selepas berkongsikan gambar-gambar lokasi cadangan pertama saya mendapat satu maklum balas penting daripada seorang kawan lain di Aceh. Ia adalah berkenaan atur cara majlis. Saya copy paste bulat-bulat, cuma nama saya yang tersilap eja jadi "Razhi Safie" sahaja dibetulkan...
"Muhibbah Tamaddun Islam Aceh - Malaysia"
o PEMBACAAN AL QURAN & SHOLAWAT BADAR
o SAMBUTAN KETUA PANITIA
o SAMBUTAN KETUA GAMPONG
o PEMBUKAAN OLEH KADISBUDPAR
o Pembukaan
o Coffee Break
o ACARA Selingan: PEMBACAAN HIKAYAT
PEMBACAAN PUISI CUT NYAK DHIEN
PENGELARAN MINI SILAT ACEH
PERSEMBAHAN TARIAN TRADISIONAL ACEH
o PRESENTASI OLEH TUAN Radzi Sapiee (President Hikmah Malaysia)
Materi : Sejarah Aceh Malaysia
o PRESENTASI OLEH ABU RAHMAN KAOY
Materi : Aceh Pusat Tamaddun Islam ASEAN
o PRESENTASI OLEH ABU TAQIYUDDIN MUHAMMAD Lc.
Materi : Ragam Batu Nisan Aceh sebagai Bukti Tamaddun Islam
o PRESENTASI OLEH TUAN HERMAN SYAH M.Th MA. (Dosen Filologi Aceh)
Materi : Manuskrip Aceh Khazanah Tamaddun Islam
o Presentasi oleh tuan Azhari Ilyas. SE.
Materi : Songket Aceh
o MAKAN SIANG
Tentang tajuk majlis yang disebut sebagai "Muhibbah Tamaddun Islam Aceh - Malaysia" ini adalah perkara biasa pada acara-acara HIKMAH. Pihak penganjur tempatan ada hak untuk memanggil majlis menurut kesukaan dan kesesuaian mereka, kami pula mempromosinya atas nama HIKMAH menurut tema yang dipersetujui tetapi mungkin lain cara sebutan.
Atur cara ini tidak menyebut masa. Tapi ramai sedia faham ia harus bermula sekitar jam 8-9 pagi dan berlanjutan sehingga tengah hari. Selepas makan kita akan buat lawatan lapangan seperti dinyatakan di atas. Sesiapa sahaja yang hendak menyertai majlis boleh datang ke rumah Cut Nyak Dhien, kira-kira 10 km ke barat Banda Aceh pada hari Ahad 19 Mac jam 8 pagi hingga tengah hari, seeloknya berbusana tradisional Melayu tak kiralah cara Aceh atau pun Semenanjung.
Semalam saya telah bertemu seorang kawan lain Aceh yang sedang berada di Kuala Lumpur untuk satu urusan. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengatur majlis di Aceh melalui gabungan NGO-NGO aktivis budaya dan sejarah sana. Secara rata semua pihak yang terlibat telah bersedia untuk menjayakan acara. Doakan ia berjaya dan semua orang mendapat kebaikan dunia dan akhirat.