Pembentangan dibuat oleh saya sendiri sebagai presiden HIKMAH juga penulis buku dengan tajuk di atas. Sebetulnya yang dipaparkan ini adalah kulit hadapan buku yang merupakan ke-14 hasil tulisan saya. Ia siap terbit dari kilang sehari sebelum pelancaran 13 Mei 2023 setengah tahun lalu. Sejumlah artikel telah ditulis di
blogspot CATATAN SI MERAH SILU tentang buku dan aktiviti-aktiviti sekitarnya. Lihat artikel-artikel berikut :-
Walaupun buku turut menceritakan kisah datuk kepada datuk saya yang dikenali sebagai Orang Kaya Arshad penumpuan dalam pembentangan diberikan sepenuhnya pada kisah ketokohan dan perjuangan ayahandanya, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Tokoh ini adalah Laksamana negeri Perak pada separuh abad ke-19 Masihi. Beliau pernah berkhidmat di bawah 4 orang Sultan Perak, namun akhirnya dibuang negeri ke Pulau Seychelles di perairan benua Afrika pada tahun 1877.
Beliau kemudian dipindahkan ke Singapura tahun 1895 di mana beliau meninggal dunia lalu dimakamkan 1904. Turut dibuang ke Seychelles kemudian meninggal dan dimakamkan di Singapura adalah menantunya Menteri Ngah Ibrahim. Setelah lebih 100 tahun kemudian baru dilakukan usaha untuk membawa jasad mereka kembali ke Perak lalu disemadikan kembali pada 9 September 2006.
Menariknya jasad kedua-dua tokoh dibawa kembali dengan kapal perang milik TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) bernama KD Laksamana Muhammad Amin. Dalam pembentangan diceritakan satu kisah menarik tentang kapal. Ia asalnya adalah antara 4 buah kapal sekelas yang ditempah oleh tentera laut Iraq daripada satu limbungan di Itali. Tetapi kemudian dilarang daripada diambil mereka kerana perang melawan Iran tahun 1980an. Setelah beberapa lama tersadai Malaysia membelinya. Empat buah kapal yang asalnya ada nama lain itu pun diubah nama sempena 4 orang Laksamana di Tanah Melayu. Dua daripadanya adalah Laksamana negeri Perak iaitu Tan Pusamah (berkhidmat pertengahan abad ke-18) dan Muhammad Amin.
Dipaparkan sejumlah gambar yang saya ambil sendiri ketika menghadiri majlis pengkebumian kembali jasad Laksamana Muhammad Amin di kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Rujuk artikel-artikel lama berikut :-
Ditunjukkan pula kulit belakang buku. Kemudian ditumpukan pada bahagian atas kulit di mana terdapat teks yang kelihatan.
Dinyatakan bahawa kisah Laksamana Muhammad Amin kurang diketahui umum. Beliau tidak dikenali ramai seperti halnya Dato' Maharajalela dan Dato' Sagor. Walhal peranan beliau di Perak sebenarnya lebih besar dan meliputi tempoh masa yang jauh lebih panjang berbanding 2 tokoh tersebut. Mereka menjadi sangat terkenal kerana terlibat secara berhadapan dalam pembunuhan Residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch pada 2 November 1875, kemudian peperangan dengan tentera British sebelum dikalahkan lalu ditangkap awal 1876. Sedangkan di sebalik perjuangan itu ada peranan Laksamana di sebalik tabir sambil beliau menjaga keselamatan Sultan Perak ketika itu, Sultan ke-26, Sultan Abdullah Muhammad Syah II (bertakhta 1874-1877).
Antara yang tidak diketahui ramai lalu dinyatakan dalam pembentangan adalah ketokohan Muhammad Amin telah dikenali dan diperhatikan British sejak jauh lebih awal. Sehingga ada laporan surat khabar lama menyatakan bahawa ketika berlaku perang saudara tahun 1850an antara Sultan ke-22 Perak, Sultan Abdullah Muhammad Syah I (1851-1857) dengan Raja Muda ketika itu Raja Ja'afar dua orang tokoh muncul paling menonjol iaitu Muhammad Amin (ketika itu belum menjadi Laksamana) dan Raja Yusuf (anakanda Sultan Abdullah I). Muhammad Amin telah menolong Raja Ja'afar memenangi peperangan lalu diakui sebagai pahlawan yang terserlah. Raja Yusuf, walaupun kalah, dinyatakan sebagai seorang pahlawan yang berani, kuat dan harus dipandang.
Hal sama turut diceritakan dalam satu kertas kerja bersifat akademik oleh pengkaji Barat J.M. Gullick. Turut diceritakan beliau bahawa Sultan Ja'afar (Raja Muda Ja'afar secara rasminya menaiki takhta Perak selepas Sultan Abdullah I mangkat tahun 1857) kemudian memecat Laksamana lama lalu menggantikan dengan Muhammad Amin. Ditambah bahawa Muhammad Amin mungkin adalah pemodal paling berkebolehan dalam kalangan orang Melayu Perak pada zamannya. Ini adalah satu lagi sisi besar ketokohan beliau yang tidak diketahui umum. Bahawa, selain kepahlawanannya telah diakui selewat tahun 1850an beliau adalah orang yang berduit dan berharta lalu ada mengusahakan lombong-lombong bijih timah secara berkongsi dengan Sultan. Sedangkan umum cuma mengenali nama Long Ja'afar sebagai usahawan Melayu hebat diikuti anaknya Ngah Ibrahim (yang kemudian menjadi menantu Laksamana).
Ditunjukkan salinan surat kuasa dalam tulisan Jawi yang diberikan oleh Sultan Ja'afar kepada Laksamana Muhammad Amin. Kemudian ditunjukkan transliterasi Rumi...
Dipaparkan salasilah keluarga Laksamana seperti diperolehi oleh pengkaji Barat R.O. Windstedt daripada tokoh kesusasteraan Melayu bernama Raja Haji Yahya. Dinyatakan Laksamana pertama adalah seorang kerabat diraja Bugis yang dipercayai terkait juga dengan kerabat diraja Aceh.
Ditunjukkan bagaimana Laksamana Muhammad Amin sebenarnya adalah saudara tiga pupu kepada Sultan Ja'afar. Namun ada lagi perhubungan melalui salasilah tidak rasmi berdasarkan sumber-sumber tertentu meletakkan hubungan kekerabatan mereka lebih rapat...
Berdasarkan salasilah atas, Sultan Abdullah II adalah anak saudara kepada Laksamana Muhammad Amin. Ini sesuai dengan fakta bahawa pada tahun 1870an Sultan berumur sekitar 30 tahun sedangkan Laksamana berumur sekitar 70 tahun. Namun daripada belah ibu Sultan pula, Laksamana berpangkat saudara tiga pupu. Apapun hubungan kekerabatan selain jawatan Laksamana itu sendiri harus menjadi asbab kenapa beliau menyokong kenaikan anakanda Sultan Ja'afar itu sebagai Sultan Perak ke-26 Perak.
Ada cerita perebutan takhta yang berlaku daripada tahun 1871 hingga 1874 tidak sempat dikongsikan dalam pembentangan disebabkan saya harus membataskan pada tempoh 15-20 minit kerana satu, sesi pembentangan acara ke-23 HIKMAH itu sendiri bermula lewat daripada yang dijadualkan. Kedua kerana pembentang-pembentang sebelum itu telah melebihi had masa namun saya membiarkan supaya lepas apa yang ingin disampaikan mereka. Rujuk balik cerita berkenaan dalam artikel
HIKMAH ke-23 di Sarang Art Hub - Dari seni rupa ke perjuangan Melayu dan Islam.
Ditunjukkan gambar atas ini yang agak terkenal dalam kalangan pengkaji dan peminat sejarah. Apa yang tidak atau kurang diketahui umum, gambar diambil dalam kota milik kerabat Laksamana. Kota adalah milik seorang bernama Haji Musa, sepupu kepada Laksamana Muhammad Amin. Seperti Muhammad Amin beliau juga adalah saudara tiga pupu Sultan Ja'afar. Isteri beliau Hajah Hawa pula berbapakan Muhammad Taib, adik beradik kepada Wan Mahtra iaitu ibu Sultan Abdullah II (duduk di tengah dalam gambar). Maka Hawa dan Sultan adalah sepupu.
Hubungan kekeluargaan ini dapat menerangkan kenapa Sultan Abdullah II bersemayam dalam kota milik kerabat Laksamana yang terletak di Batak Rabit, Teluk Intan itu. Untuk pengetahuan, zaman itu belum ada nama Teluk Intan. Penempatan terkenal di sekitar itu adalah Batak Rabit diikuti Sungai Durian di seberang Sungai Perak kemudian Durian Sebatang (ke barat bandar Teluk Intan sekarang). Namun umum tidak tahu semua ini. Bahkan umum tak tahu pun apakah peranan Laksamana. Sehingga ke peringkat ada yang mewar-warkan gambar atas sebagai menunjukkan Dato' Sagor dalam gambar. Padahal beliau tiada di situ ketika gambar diambil 12 April 1874.
Sebetulnya yang ada dalam gambar adalah Sultan Abdullah duduk di hadapan, Laksamana Muhammad Amin berdiri ke kanan baginda, Syahbandar Uda Ma'amor yang merupakan seorang lagi menantu Laksamana di belakang Sultan dan seorang bernama Haji Muhammad Syed ke kiri Sultan. Terselit sedikit muka di bahu kiri Laksamana mungkin adalah datuk kepada datuk saya yang dikenali sebagai Orang Kaya Arshad. Turut berada dalam gambar adalah Birch tetapi terkeluar daripada gambar
blow up di atas, juga Frank Swettenham yang jauh lebih muda tetapi akan menjadi pegawai British yang jauh lebih tinggi dan terkemuka kedudukan. Namun sekali lagi, umum tidak tahu betapa pentingnya kedudukan dan peranan Laksamana di Perak terutama di samping Sultan. Sehingga ada membuat persembahan teater menunjukkan Dato' Maharajalela dan Dato' Sagor sentiasa mendampingi Sultan. Padahal yang sebenarnya selalu bersama baginda adalah Laksamana dan Syahbandar. Lihat
Teater syair Redap Duka Pulau Seychelles di Pulau Misa Melayu.
Seterusnya diceritakan peranan Laksamana Muhammad Amin dalam menaikkan Sultan Abdullah II menjadi Sultan ke-26 Perak dengan bantuan Inggeris lalu termetrailah Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Ditunjukkan salinan rekod perbincangan yang boleh menunjukkan dengan jelas bahawa tanpa kata-kata tegas Laksamana dan penerangan berkaitan daripada beliau besar kemungkinan Raja Muda Abdullah ibni almarhum Sultan Ja'afar tidak dapat menaiki takhta, kerana ada pihak yang cukup kuat membantah. Tetapi pihak berkenaan tidak dapat menentang apabila Laksamana berkata-kata atas sebab-sebab tertentu.
Pun begitu Laksamana dan para pembesar bersetuju menandatangani Perjanjian Pangkor yang menaikkan Sultan Abdullah II dengan pemahaman bahawa British akan membantu mentadbir dan memajukan Perak di bawah Sultan. Tidak disangka sebaliknya yang akan berlaku adalah British semakin mencengkam mengatur siasah lalu secara efektifnya mula menjajah. Tetapi menggunakan nama Sultan apabila mengisytiharkan suatu polisi baru.
Dalam banyak-banyak perkara yang dinyatakan dalam Perjanjian Pangkor, Perkara 6 yang pada awalnya kelihatan innocent menjadi alasan paling kuat bagi mencengkam Sultan. Percaya atau tidak perkara inilah yang menjadi asas sehingga terbentuknya Perlembagaan Malaysia hari ini. Walaupun iya Perlembagaan memberikan hak istimewa kepada orang Melayu dan agama Islam tetapi secara efektifnya?
Lihat sahaja beberapa banyak hal yang mahu ditegaskan untuk orang kita tetapi boleh dibantah oleh orang bukan Islam. Lihat bagaimana terdapat kes di mana ada orang Melayu sendiri mencabar di mahkamah sivil agar sejumlah undang-undang syariah dimansuhkan.
Untuk pembentangan dalam acara ke-23 HIKMAH ditambah lagi 5 buah slaid. Empat daripada itu bertujuan untuk menunjukkan kaitan dengan perjuangan pihak saya sendiri atas nama HIKMAH, satu yang sekadar menyatakan "Terima kasih" bagi menutup pembentangan dengan jelas. Perjuangan HIKMAH ini boleh disimpulkan melalui satu kumpulan pernyataan yang terhasil daripada maklum balas hadirin dalam acara pertama dan kedua HIKMAH yang berlangsung pada penghujung tahun 2012. Dikongsikan sedikit hal berkaitan dalam pembentangan kali ini. Ia boleh ditelaah melalui artikel lama
Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman?
Sesungguhnya sejak menyedari bahawa apa yang difahami oleh orang Melayu tentang Perjanjian Pangkor telah dilanggar oleh British, Laksamana Muhammad Amin dan para pejuang Melayu telah menentang lalu berusaha untuk membatalkannya. Kemuncak penzahiran penentangan adalah pembunuhan Birch yang mana Laksamana adalah antara yang merancang (jika pun bukan perancang utama) di balik tabir. Namun akhirnya orang Melayu kalah lalu Laksamana dibuang negeri.
Saya sebagai anak cucu ada rasa tanggungjawab untuk menentang kesan-kesan negatif yang terbit daripada perjanjian, kesan-kesan yang menimbulkan keadaan sosio-politik sekarang yang mana orang bukan Islam kelihatan begitu mudah mencampuri urusan orang Islam tanpa takut dan segan silu. Diakui ada kesan positif, misalnya apabila diperkenalkan sistem perkhidmatan awam cara British yang cekap. Namun kesan negatif menjadi semakin ketara apabila orang bukan Melayu/bukan Islam semakin meningkat kuasa politik sedangkan mereka sudah lama menguasai ekonomi negara, sebenarnya atas dan melalui bantuan British sejak berjaya menundukkan Perak sepenuhnya selepas kalah perang tahun 1876.
Maka penekanan diberikan kepada Perkara 6 Pernyataan HIKMAH seperti kelihatan di atas. Harus dimaklumkan, ketika dibuat 11 tahun lalu saya tidak tahu pun rupa-rupanya sangat kena mengena dengan Perkara 6 Perjanjian Pangkor. Untuk menonton sendiri perkongsian semasa majlis sila lihat video bawah...