Salam semua. Malam ini ingin saya memulakan proses memperincikan sedikit sebanyak isi pembentangan yang dibuat pada acara ke-17 HIKMAH di Seremban. Mari...
Pada artikel pertama tentang perjalanan acara iaitu
HIKMAH Seremban - Persediaan selepas Subuh, ulamak silat dan geopolitik Laut Cina Selatan ada disebut bahawa pembentangan pembukaan yang diberi tajuk "Dalil-dalil Bertanjak dalam Islam, Sanad Serban dan Imamah serta beberapa Hal tentang Melayu dan Islam dalam Kitab." ditangani oleh saya. Ini kerana pembentang asal tidak dapat muncul disebabkan hal tertentu. Oleh kerana tahu sedikit apa yang mahu dibentangkan saya pun masuk sebagai pengganti.
Saya tahu tentang pembentangan kerana ia dibuat berdasarkan sedikit ilmu yang ditimba di sebuah sekolah pondok di Kelantan 3 minggu lalu. Saya ada di sana bersama pembentang asal dan di situlah sebenarnya seorang sahabar kami meminta pembentang tersebut agar menangani tajuk untuk HIKMAH Seremban nanti. Rujuk artikel-artikel berikut di
blogspot CATATAN SI MERAH SILU...
Pembentang tersebut iaitu saudara Wan Ahmad Faris, aktivis busana Melayu daripada PERDAM, Persatuan Destar Alam Melayu telah menyatakan persetujuan lalu nama beliau dan tajuk mula dirangka dalam senarai pembentangan sebelum diwar-warkan kepada umum. Namun 2-3 hari sebelum acara tiba-tiba saya diberitahu beliau terpaksa bekerja pada hari acara lalu tidak dapat datang. Apabila tiada pengganti yang tahu perkara dapat muncul bagi pihak beliau saya pun mengambil alih menerangkan.
Cuma saya mengingatkan para hadirin bahawa pembentangan gantian daripada saya lebih merupakan ringkasan perkara. Jika pembentang asal sepatutnya ada dalil-dalil daripada Quran dan Hadis juga kitab-kitab lama yang boleh dikongsikan seperti yang kami dengar bersama ketika menadah ilmu di sekolah pondok Kelantan saya setakat boleh menyebut semuanya ada dalil tapi tak ingat apa. Saya setakat mencerna ilmu tanpa membuat apa-apa catatan ibarat memakan buah yang apabila sudah dihadam tidak ada lagi rupa buah. Namun zatnya tetap meresap ke dalam badan. Secara ringkas apa yang saya kongsikan boleh disenaraikan seperti berikut...
1. Bahawa busana tradisional Melayu menepati sunnah Nabi Muhammad SAW daripada segi maknawi perkara. Yang dikatakan sunnah itu bukan sangat pada jubah dan serban kerana ia sedia asal pakaian orang Arab tapi pada ciri-ciri pakaian, misalnya longgar dan selesa sambil menutup aurat, ada ikatan kepala yang Nabi sebut sebagai imamah, kenalah dengan tanjak.
2. Tentang persoalan jenis-jenis tanjak yang kini ramai dipakai orang, tentang ada tuduhan bahawa para aktivis budaya memandai-mandai apabila memakai tanjak yang katanya milik raja dan kerabat sahaja guru kami memberitahu beliau biasa berurusan dengan Istana Kelantan. Sekolah pondok beliau, Madrasah Ahbabul Mustafa sudah beberapa tahun menggalakan anak murid dan pengikut memakai busana tradisional Melayu. Pada hari raya Aidil Fitri baru-baru ini seorang anak muridnya malah berpakaian begitu ketika membaca khutbah hari raya. Lihat gambar berkenaan dalam artikel
Ledakan busana tradisional Melayu di masjid-masjid pagi raya
Antara tanjak yang biasa dipakai anak murid dan pengikut beliau adalah jenis yang dipanggil Getam Budu. Ini diketahui umum sebagai tanjak rasmi Sultan Kelantan. Guru yang dikenali sebagai Syaikhuna Abuya Abu Aswad Bin Yah Al Kubra berkata (dan saya kongsikan cerita pada HIKMAH Seremban) bahawa satu hari baginda Sultan Kelantan bertanya berapa orangkah ahli madrasah yang memakai tanjak Getam Budu? Jawab Sheikh, 10 orang. Terus Sultan bertitah, tempah 10 buah tanjak Getam Budu baru berserta persalinan pakaian setiap satu. Tempah yang terbaik, baginda sanggup bayar. Kenapa Sultan sanggup berbuat begitu, Sheikh bertanya pada kami yang hadir di sekolah pondok? Kerana baginda seronok melihat rakyat meraikan pakaian raja, jawab beliau sendiri. Bukankah itu tanda sayang rakyat pada raja? Maka raja pula mahu menyatakan rasa sayang kepada rakyat...
3. Tentang amalan-amalan tertentu orang Melayu termasuk dalam ilmu persilatan yang dilihat sesetengah pihak sebagai syirik, tahyul, panggil jin dan sebagainya. Untuk ini saya mengulangi contoh ilmu besi seperti diterangkan oleh Sheikh. Bahawa menurut Al-Quran dan Hadis lalu dipanjangkan dan disyarahkan oleh ulamak-ulamak besar Melayu terutama dari Patani (Sheikh berketurunan sana) ada disebut tentang asal usul besi. Bahawa besi bukan sahaja berasal daripada langit seperti disebut dalam Surah al-Hadid malah asal paling awalnya adalah di kaki tiang Loh Mahfuz, tempat tercatat segala takdir dan qada' qadar makhluk, Besi kemudian diturunkan ke langit ke-7 seterusnya ke-6 seterusnya ke-5 peringkat demi peringkat sehingga sampai ke dalam bumi. Pada setiap peringkat ada malaikat tertentu menggalas tugas membawa besi ke bawah.
Jika kita tahu asal usul, nama setiap malaikat yang membawa turun besi malah nama besi yang kata Sheikh berlainan pada setiap peringkat maka kita boleh menyeru besi. Besi itu bernafas dan semangatnya boleh dihidupkan. Tak perlu panggil jin untuk masuk memberi ia kuat. Cukup tahu tentang cara menaikkan semangat besi berdasarkan ilmu daripada Al-Quran.
Kesimpulannya, semua perkara-perkara ini dan banyak lagi perkara berkaitan sebenarnya sudah dibahaskan disyarahkan para ulamak kita sehingga nyata mana yang syirik mana yang dibenarkan malah berlandaskan Al-Quran dan Sunnag. Bahawa banyak yang disangkakan tahyul oleh orang yang kurang berkepengetahuan sebenarnya sah. Ada dalil dan nas menyokong jika sahaja kita rajin mencari dan mengkaji kitab-kitab lama tulisan ulamak-ulamak Melayu kita. Cukuplah perkongsian saya tentang pembentangan ini.
Nota : Gambar-gambar di atas sebenarnya diambil ketika saya sebagai pengerusi majlis juga MC merumuskan sedikit pembentangan ketiga HIKMAH Seremban, sebelum menangguhkan acara untuk rehat makan tengah hari dan solat Zohor. Saya gunakan gambar-gambar ini kerana tidak memiliki gambar ketika membuka sesi pembentangan dengan tajuk tentang busana Melayu dan perkara-perkara berkaitan itu.