Terbitnya HIKMAH



Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.


HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.


Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.


Permintaan-permintaan sebegitu terus muncul daripada pihak-pihak lain lalu kami cuba mencari cara untuk melaksanakannya. Begitulah kami di HIKMAH. Siapa sangka acara yang asalnya mahu diadakan sekali sahaja iaitu pada 4 November 2012 boleh bercambah menjadi satu siri jelajah yang ditunggu-tunggu umat Melayu dan Islam serata Malaysia malah dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia? Untuk melihat atau menelaah apa yang telah dibuat HIKMAH sila klik pautan berikut...




















Thursday, January 31, 2013

HIKMAH IV di Kelantan satu setengah bulan lagi?

Sempena hari ini ada tarikh yang cantik iaitu 31/1/31 saya tergerak untuk mengumumkan rancangan baru apalagi ketika ini sudah masuk malam Jumaat. (Tapi saya letak gambo je dulu ya...). 

------------ (setelah beberapa lama) --------------

Ingatkan nak sambung cerita selepas Isyaq, tak pun tengah malam. Tapi entah kenapa saya tak tahan penat lalu tertidur lama. Pagi Jumaat 1 Februari 2013 baru dapat menyambung cerita.



OK. Sebelum HIKMAH III diadakan di Lumut 27 Januari 2013, satu mesyuarat kecil melibatkan beberapa pendokong HIKMAH telah diadakan di Tasik Titiwangsa sejurus sebelum satu acara silat (lihat Majlis perjumpaan Dunia Seni Silat Melayu di Taman Tasik Titiwangsa). Antara perkara dibangkitkan adalah bagaimana telah wujud perspektif negatif tentang arah tujuan HIKMAH dan siapa di belakangnya. Kami mendapat tahu ada beberapa pihak menganggap HIKMAH adalah alat sebuah parti politik... kerana acara kedua kami di Melaka 25 November 2012 disokong Ketua Menteri Melaka sementara Menteri Besar Perak pula dijangka akan menghadiri HIKMAH III. Untuk menepis pandangan serong ini, acara HIKMAH seterusnya dicadangkan harus diadakan di Kelantan, kalau boleh sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Ini kerana Kelantan dikaitkan dengan parti politik yang tak sebulu dengan yang di Melaka, juga di Perak.

Polisi kami di HIKMAH sejak mula, tidak akan menyebut nama mana-mana parti politik juga para pemimpin mereka kecuali dalam kapasiti rasmi dan jawatan bukan parti seperti ketua menteri. Kami juga cuba mengelakkan untuk menyindir mana-mana pemimpin kerana tidak mahu menyinggung ahli parti politik yang berkaitan. Polisi kami adalah penyatuan umat Melayu dan Islam tanpa mengira kencenderungan dan latar-belakang politik. Alhamdulillah, setakat ini acara-acara kami telah berjaya membawa ramai antara mereka duduk bersama. Malah ia turut dihadiri ahli persatuan persilatan juga kumpulan keagamaan daripada pelbagai aliran yang kadangkala ada di antara mereka tidak sebulu, semuanya atas nama mahu mendaulatkan Melayu dan Islam.

Lagipun cadangan untuk mengadakan acara di Kelantan memang kena pada tempat dan masanya. Sebenarnya selepas acara pertama HIKMAH diadakan di Shah Alam 4 November 2012 sudah ada orang Kelantan menyatakan mahu membawa acara ke tempat mereka. Lebih seminggu selepas itu baru kami mendapat permintaan agar acara diadakan di Perak. Perkara ini disebut pada atas blogspot di bawah tajuk "Terbitnya HIKMAH". Ayat pada perenggan akhir tajuk disebut begini :-


Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.  


Sekarang yang diperlukan adalah lokasi dan pengaturan logistik. Bagaimana mahu mengadakan majlis? Bagaimana kewangan dan belanjanya?

Biar dimaklumkan walaupun HIKMAH sudah berjaya mengadakan 3 acara boleh tahan besar dalam tempoh 3 setengah bulan ini bukan bermakna kami memiliki banyak sumber kewangan. Ingat. Kita bermula dengan HIKMAH I di Shah Alam sebagai acara sukarela di mana seorang pendokong membelanjakan wang sendiri untuk mendapatkan tempat, seorang pendokong lain memastikan tempat itu dapat. Lain-lain adalah sumbangan peribadi pendokong lain seperti tajaan makanan, juga pertolongan sukarelawan untuk menjayakan acara. Tidak seorang pembentang mahupun moderator menerima bayaran. Semuanya sanggup datang dengan duit poket sendiri.

Untuk acara kedua HIKMAH di Melaka kami lebih bernasib baik kerana disokong persatuan sana yang dapat membawa penyertaan kerajan negeri. Maka itu kami mendapat dewan percuma, pembentang, moderator dan urusetia diberi penginapan. Sarapan pagi dan tengah hari kami pula ditaja seorang pengusaha makanan atas dorongan seorang pendokong kami yang merupakan pelakon veteran terkenal. Apabila acara sampai di Perak, kami diduga sudah mampu membuat acara secara besar-besaran. Walhal kami cuma bernasib baik kerana pendokong merangkap ketua pihak penganjur di Perak berani mengeluarkan duit sendiri untuk menjayakan acara. Sekurang-kurangnya beliau berduit dan datang dari keluarga yang berada.

Acara akan datang di Kelantan belum nyata bagaimana mahu mendapatkan belanja dan sebagainya. Selepas beberapa lama cadangan dibuat saya dapati belum ada di antara pihak kami dapat mengatur sesuatu yang kukuh. Sesungguhnya membuat cadangan itu mudah. Tetapi melaksanakannya? Sebab itu kadangkala saya naik angin dan bersikap skeptik apabila orang mencadangkan macam-macam tentang acara kami di Internet. Sungguh senang betul bercakap itu dan ini kemudian terasa diri sebagai orang yang terkehadapan mengatur perkara. Lainlah kalau lepas beri cadangan terus buat follow-up. Terus mengambil inisiatif menghubungi mana-mana pihak yang patut agar cadangan dapat dizahirkan.





Ditakdirkan Allah, selepas makan pagi di sebuah restoran saya telah membaca salah satu akhbar yang disediakan. Tertarik saya pada satu artikel menyebut satu acara besar kuda akan diadakan. Acara itu turut dimeriahkan dengan beberapa perkara yang terkait dengan budaya keMelayuan, lokasinya berdekatan kuala Sungai Kelantan saya kenal malah kami sekeluarga pernah bermalam di sebuah masjid berdekatan, pada malam tahun baru 2011. Apa yang dikemukakan terasa sesuai dengan matlamat penubuhan HIKMAH mendaulatkan Melayu dan Islam.

Terus terbit ilham, alangkah baiknya kalau dapat menumpang majlis ini untuk HIKMAH IV. Namun apabila melihat websitenya saya dapati ia kelihatan agak komersial. Kemungkinan untuk mendapatkan ruang tanpa bayaran atau kadar yang murah terasa tipis. Tidak mengapa. Pada saya HIKMAH IV tidak perlu lagi dibuat secara besar-besaran seperti Perak. Pada saya buat di masjid pun boleh, buat di dewan sekolah pun boleh. Malah antara tempat yang saya fikirkan adalah sebuah medan makan atau medan selera tepi Sungai Kelantan yang terletak sekitar 4.7 km dari kuala. Walaupun tak cukup kemudahan, tidak ada slaid seperti pada HIKMAH I, II dan III kita masih boleh mengadakan satu acara yang bermakna. Yang penting kita dapat berkumpul dengan suasana penuh ukhuwah seperti pada acara terdahulu dan dapat berkongsi ilmu dan rasa.

Kita tak perlu buat acara sepenuh hari. Cukuplah acara separuh hari yang dapat menerbitkan rasa perjuangan misi bersama kemudian kita pergi sekumpulan sehati sejiwa sematlamat sebagai tetamu ke acara berkuda. Walaupun acara itu dijangkakan bermula 13 Mac 2013, tarikh sasaran saya adalah Sabtu 16 Mac. Menurut keratan surat khabar di atas, ketika itu Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V akan berangkat mencemar duli. Adalah menjadi harapan kami resolusi yang dibuat berdasarkan maklum balas dari acara berkumpulan HIKMAH I dan HIKMAH II, resolusi 10 perkara yang diumumkan di hadapan Muzium Istana Kesultananan Melaka 2 Disember 2012 dapat disampaikan kepada sultan untuk tatapan dan tindakan Majlis Raja-raja.

Lihat Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman? Resolusi ini telah diangkat ke pejabat Ketua Menteri Melaka pada acara di hadapan muzium istana. Untuk langkah seterusnya kami mahu mengangkatnya ke hadapan Tuanku Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tetapi baginda tidak dapat berangkat untuk HIKMAH III. Sesi berkumpulan semasa acara pula digunakan untuk mendapatkan cadangan cara-cara untuk melaksanakan setiap perkara, Namun ada kumpulan yang belum memberikan maklum balas penuh.

Adalah menjadi harapan saya semasa acara berkuda di Kelantan nanti, penganjur dapat memberikan ruang 5-10 minit untuk saya mengulangi isi perkara kemudian menyampaikan resolusi bertulisan Jawi kepada baginda sultan. Sekarang rancangan kami tentang HIKMAH IV di Kelantan sudah dibuka kepada umum diharap ada pihak terutama dari sana dapat menawarkan pertolongan. Mungkin ada yang boleh berhubung dengan pihak penganjur acara berkuda agar sesuatu dapat diatur untuk kita mencapai matlamat bersama. Mungkin ada yang sudi menawarkan tempat yang lebih sesuai kalau tak pun mengatur penggunaan masjid, dewan atau medan makan berdekatan?

Mungkin juga akan ada mereka yang sudi menaja makanan untuk peserta juga keperluan lain seperti tempat penginapan untuk pembentang, moderator dan urusetia. Saya, isteri dan anak-anak sendiri tiada masalah kerana sudah biasa bermalam di tempat-tempat umum di Kelantan seperti Masjid Kampung Laut, Masjid Tok Kenali dan Masjid Kampung Che Latif, masjid yang terletak berdekatan kuala Sungai Kelantan tempat saya dan keluarga pernah bermalam. Seterusnya saya berniat mengajak kawan-kawan, kenalan dan peserta yang mahu. Selepas HIKMAH IV nanti apa kata kita bermalam di Masjid Brunei Darussalam di Danau Tok Uban? :]



Wednesday, January 30, 2013

Kemuncak HIKMAH III - Perarakan Maulidur Rasul dan pembatalan sihir Perjanjian Pangkor 1874



Selepas jam 6 bermulalah acara yang boleh dikatakan membawa kepada kemuncak HIKMAH III.


Majoriti peserta yang masih mengikuti majlis hingga ke petang ikut sama membuat perarakan Maulidur Rasul. 


Golongan agamawan mengalunkan selawat dan pujian-pujian disertakan paluan gendang dan sebagainya.


Bendera yang boleh dikatakan panji-panji hitam, panji-panji yang dibawa untuk diserahkan kepada saya diarak sama.


Pada mulanya saya melangkah seiring barisan para pemimpin tariqat dan agamawan lalu dipayung juga.


Namun perangai saya yang suka mencari pelbagai sudut mengambil gambar melihat keadaan menyebabkan saya harus lebih bebas bergerak ke mana-mana.


Tidak lama kemudian sampailah kami ke tempat tujuan.


Selamat datang ke pantai Marina Island yang menghadap ke perairan Pulau Pangkor.


Seperti yang sepatutnya golongan pendekar, pesilat dan seumpama dengannya bergerak lebih ke hadapan membentuk beberapa saf yang boleh dikatakan melindung para agamawan.


Kami menunggu sebentar golongan agamawan sampai ke pantai.


Lalu bermulalah upacara pembatalan sihir Perjanjian Pangkor 1874 menggunakan pembacaan Hizb Bahr dan beberapa doa. Untuk memahami hal ini baca artikel Hizb Bahr untuk membatalkan kesan negatif Perjanjian Pangkor yang dibuat 9 hari sebelum acara.


Selepas itu kami kembali ke dewan lalu bergambar sama.


Ini dan gambar-gambar berikut saya ambil dari Facebook peserta.


Semasa upacara pembatalan sihir Perjanjian Pangkor ruang saya untuk mengambil gambar agak terhad kerana sedang berdiri di sisi pemimpin agama dan turut sama membaca hizb. Melihat pada gambar yang diambil orang lain barulah dapat ditunjuk antara perkara yang berlaku.


Apa yang berlaku adalah selepas selesai pembacaan hizb dan doa, dua orang kuat HIKMAH, Tengku Syawal dan Tun Farul telah membuat gerak spontan menikam keris ke pantai sebagai usaha lanjutan untuk menolong merungkai sihir. Saya pula sudah tergerak untuk melakukannya sebelum itu tetapi terasa malu, takut dianggap mengada-ngada dan menunjuk-menunjuk. Apabila mereka telah memulakan langkah maka tidaklah lagi ganjil jika saya berbuat begitu. Saya pun melepaskan ikatan yang mengekang keris istiadat khas yang dipakai sebagai presiden dan pengasas HIKMAH, keris yang saya beri nama Kanzul Hikmah (lihat Keris yang sesuai untuk majlis) lalu menikam pantai menurut cara dan gerak sendiri.



OK. Ini adalah video menunjukkan beberapa bahagian terpilih dari pagi hingga ke petang HIKMAH III. Ia dibuat oleh pihak penganjur Perak menggunakan rakaman pihak saya.



Ini pula video yang dibuat oleh seorang peserta. Harap peserta lain yang ada membuat rakaman juga dapat berkongsi apa yang mereka ada. Ini kerana pihak saya tidak merakamkan 100 peratus acara. Dan tentunya bagus jika kita dapat melihat majlis dari pelbagai sudut.


HIKMAH III - Pengisian ilmu buat bekalan perjuangan syumul



Sekitar 10.30 pagi majlis disambung kembali. Ketika itu boleh kelihatan ramai sudah memenuhi dewan.


Seperti pada HIKMAH I di Shah Alam 4 November 2012 dan HIKMAH II di Melaka 25 Nov sekali lagi sahabat baik saya Sheikh Raja Aman, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah-Zainiyah memikul amanah membacakan selawat khas dan doa demi menyatukan hati para hadirin agar dapat bergerak mencapai matlamat yang sama mendaulatkan Melayu dan Islam.




Kemudian kumpulan Hadrah dari Madrasah Islamiah Ahbabul Mustafa naik ke pentas membawakan lagi lagu-lagu selawat.


Ini diikuti persembahan silat...










Adapun selawat berkumpulan diikuti persembahan silat dibuat seperti alat peralihan untuk satu persembahan slaid tentang keunggulan bangsa Melayu zaman berzaman. Slaid yang disediakan oleh seorang pengkaji sejarah bebas yang terkenal dengan nama Srikandi di Internet itu memang ditunggu ramai. Lihat video atas.


Ketika itu atau selepas, saya pun dah lupa, datang saudara Megat Iskandar yang menjadi moderator kumpulan keluarga dan salasilah membawa tiga gulung salasilah besar, pertama tentang raja-raja Perak, kedua tentang para Sayid, ketiga tentang keluarga Megat. Saya pun memilih satu bahagian dinding yang sesuai lalu menolong menampalkan salasilah. Terus datang mereka yang berminat.


Jam 12 : 15 gitu tiba-tiba kedengaran azan berkumandang. Eh. Takkan dah masuk Zuhur kot? Takkan cepat sangat...


Kemudian baru saya teringat memang ada dalam senarai atur cara laungan azan untuk membangkitkan semangat perjuangan. Seketika itu juga saya mendapat satu ilham dan gerak kerja.


Adapun sebelumnya, semasa saya asyik berjalan-jalan di sekeliling dewan melihat keadaan saya ternampak satu kumpulan rakan-rakan yang memanggil diri mereka sebagai AUM, Angkatan Ukhuwah Persilatan Melayu. Saya ternampak mereka membawa bendera hitam dengan kalimah Lailahaillallah Muhammadarasulullah lalu menegur mereka. Terus mereka menyebut bendara itu memang mahu dihadiahkan kepada saya, cuma menunggu masa yang sesuai. 

Jawab saya amat sesuailah ini kerana petang nanti kami akan membuat perarakan Maulidur Rasul diikuti satu acara kemuncak tertentu. Maka bendera bolehlah diarakkan sekali, mungkin boleh diserahkan kepada saya sebelum itu. Apabila kedengaran azan berkumandang terus hati saya berkata inilah masanya bendera yang merupakan panji-panji hitam itu diserahkan. Saya pun mengajak mereka ke hadapan.


Sebaik sahaja tamat azan saya naik ke atas pentas lalu meminta MC mengumumkan acara penyerahan panji hitam. Terpinga-pinga dia sebentar kerana ini tiada dalam atur cara rasmi, begitu juga terpinga-pinga pengerusi PESADA, Dr Mohd Fazzli apabila saya mengajaknya naik ke pentas untuk turut menerima panji. Penyerahan pun dibuat dalam keadaan tak disangka-sangka tetapi hadirin lain nampaknya tidak menyedari. Fikir mereka agaknya, ini memang sudah dirancang. Apabila melihat semua tercegat setelah menyerahkan panji saya pun mengibarkannya seraya melaungkan Allahuakbar. Laungan tiga kali itu diikuti semua...


Ketika menulis perenggan di atas baru saya teringat bahawa selepas bacaan selawat oleh Sheikh Raja Aman, Dr Fazzli memberikan ucapan alu-aluan. Ini diikuti ucapan pengenalan HIKMAH oleh saya sebagai presiden dan pengasas, barulah kumpulan Hadrah naik ke pentas. Selepas penyerahan panji maka bermulalah sesi pembentangan oleh kawan lama saya dari zaman kolej, saudara Amirul Haji Mohamad yang bercakap tentang dinar dan dirham. Naik membentang seterusnya adalah Puan Tun Suzana Othman yang terkenal dengan buku tulisannya Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu. Beliau baru sahaja beberapa hari kembali ke tanah air setelah beberapa bulan 'bertapa' di Tahrim, Yaman, terus terpanggil untuk turut menjayakan HIKMAH III.


Sekitar 1.30 tengah hari gitu, acara ditangguh untuk rehat makan dan solat Zuhur. Namun saya cuma dapat makan bersama isteri dan anak-anak hampir sejam kemudian kerana harus melayan sejumlah peserta.


Ketika sesi petang baru hendak bermula, kalau tak salah ingatan jam 2.45 gitu perut saya terasa tidak selesa. Saya mendengar sedikit pembentangan tentang siapakah orang Melayu oleh Tuan Haji Wan Abdul Halim Bashah, penulis buku, pengumpul koleksi sejarah negeri Kelantan dan wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan sebelum kembali ke hotel di mana saya juga mandi untuk menghilangkan rasa tidak sedap badan kemudian menjamakkan solat Zuhur dan Asar. Apabila kembali ke dewan saya sempat mendengar penghujung pembentangan tentang  nasib orang Melayu di Singapura oleh Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Hussein pernah bertakhta di Singapura sekitar 1820an). Nampaknya saya sudah terlepas pembentangan sebelumnya tentang Ahlul Bait oleh Habib Abu Aswad ibni Zakaria Al-Kubra, mudir  atau pemimpin Madrasah Ahbabul Mustafa.


Ketika wakil dari Pulau Bentan, Raja Syukri yang merupakan waris pahlawan besar Bugis-Melayu iaitu Raja Haji Fasibillah membacakan wasiat nendanya saya diberitahu agar bersiap sedia untuk pembentangan sendiri yang akan diadakan selepas bacaan sajak tentang Melayu oleh Tun Muhammad Farul. Ketika itu juga saya rasa harus membuat persiapan untuk acara berkumpulan yang akan dibuat selepas tamat pembentangan saya. Boleh kata tak cukup tanganlah juga saya rasa ketika itu...


Ini video klip dari Tun Farul. Pembentangan saya sendiri nanti-nantilah tunjuk ya, bila saya ada masa dan cukup rajin untuk menyunting kemudian memuat-naik segala video sesuai yang diambil oleh pihak saya.


Sekarang kita terus pada sesi atau acara berkumpulan di mana peserta boleh memilih untuk mengikuti mana-mana kumpulan menurut minat seperti perkerisan, persilatan dan perubatan.


Asalnya acara ini saya terbitkan pada HIKMAH I di Shah Alam 4 November 2012 untuk menggalakkan interaksi antara peserta, memikirkan bagaimana ramai daripada mereka sudah lama berkenalan di Internet terutama melalui Facebook tetapi sedikit sahaja yang pernah bersua muka di dunia nyata.





Agar interaksi berkumpulan ada arah tuju, saya telah meminta mereka memberikan maklum balas berguna tentang beberapa perkara. Menggunakan maklum balas dari HIKMAH I digabungkan dengan hasil dari HIKMAH II di Melaka 25 Nov, sebuah resolusi pun terbit lalu diumumkan untuk semua. Lihat artikel lama Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman?





Kali ini acara atau sesi berkumpulan bukanlah digunakan untuk mencari resolusi baru.


Sebaliknya kami mahu mengembangkan setiap perkara dalam resolusi, mencari cara-cara yang realistik untuk menzahirkannya ke dunia nyata...





HIKMAH III - Selawat pagi untuk membuka talian pancaindera dan rohani

Assalamualaikum. Setelah lebih setengah hari meletakkan gambar-gambar iaitu selepas jam 3 petang, setelah 3 hari ia berlalu baru saya dapat gerak untuk bercerita tentang kelangsungan acara ke-3 HIKMAH. Kiranya bersambung dari HIKMAH III - Bersedia untuk memacu kebangkitan ummah.


Pagi hampir 8.50 pagi Ahad 27 Januari 2013 bersamaan 15 Rabiulawal 1434 Hijrah saya berjalan kaki dari hotel berdekatan ke dewan.


Sebenarnya saya sudah ke situ sebelum jam 8.30 pagi menaiki kereta untuk mengangkut sejumlah buku terutama siri "Berpetualang ke Aceh" masuk ke bahagian pameran dan jualan. Kemudian meletakkan kereta kembali di hotel sebelum berjalan kaki.


Dewan sudah dibuka seawal 7.30 untuk persiapan akhir diikuti pendaftaran peserta, bermula 8 pagi. Nampaknya masih banyak ruang kosong ketika ini, masih terlalu sedikit yang dapat menduduki 1,000 kerusi yang disediakan. Saya mendapat tahu ramai juga peserta diuji dengan kesulitan ketika mahu melangkah datang. Saya juga mendapat tahu ada yang berjanji akan datang tetapi tidak muncul akibat berlaku beberapa gangguan saat akhir seperti kereta rosak, jatuh demam dan sakit mata.



Sesungguhnya perjuangan pada jalan Allah bukanlah perkara yang mudah. Kamu tidak boleh mengatakan diri kamu beriman selagi belum diuji secukup-cukupnya. Selain masalah-masalah tersebut saya mendapat tahu ada pihak memboikot majlis malah mahu menggagalkannya. 

Di satu sisi ada yang menuduh HIKMAH adalah alat satu parti politik untuk meraih undi atas pagar. Ada pula menuduh ia kenderaan peribadi saya untuk menaikkan nama sebagai penulis. Malah lebih teruk lagi, ada yang menabur fitnah saya mengasaskan HIKMAH untuk menuntut hak menaiki takhta sebuah kerajaan. Masyaallah!



Berita-berita tentang ini telah disampaikan oleh kawan-kawan dan mereka yang setia sejak beberapa minggu lalu. Saya diberitahu ada kawan-kawan kami didekati pihak tertentu dengan harapan mereka akan bermufarakah atau mengasingkan diri daripada saya. Dalam keadaan ini tidak hairanlah jika ada pihak bergerak menghubungi pelbagai pihak lain agar membatalkan komitmen untuk menyertai HIKMAH III. Punyalah kami diuji dan acara mahu digagalkan, sampai kuda kesayangan seorang pemilik ladang kuda di Teluk Intan mati diracun 4-5 hari sebelum acara. Sehingga beliau yang berminat membawa sejumlah kuda untuk tunggangan kami secara percuma terpaksa membatalkan rancangan itu!

Selain itu kelihatan ada unsur-unsur ghaib seperti mahu menggagalkan acara dan penyertaan terhadapnya. Sudah disebut tadi ada yang dilanda demam dan sebagainya, namun ada juga yang bertahan untuk datang. Teringat bagaimana 2-3 hari sebelum acara pertama HIKMAH di Shah Alam bermula 4 Nov 2012 seorang sahabat kami yang sepatutnya menjadi MC, Dr Hapiza, pensyarah di UiTM tiba-tiba diserang penyakit angin ahmar ataupun stroke hingga lumpuh sebelah badan. Beliau masih berusaha untuk memulihkan diri. Setelah beberapa lama tinggal tangan kanan sahaja kurang berfungsi.

Seorang lagi sahabat kami, pelakon veteran terkenal Maimon Muttalib dapat datang ke Shah Alam lalu menjadi moderator budaya bagi sesi berkumpulan. Namun ketika menuruni tangga meninggalkan dewan selepas acara kaki beliau terseliuh. Apabila kembali ke rumah mata pula asyik mengenyit tanpa boleh dikawal dan lama kelamaan jadi seperti mengecil sebelah. Setelah beberapa lama keadaan tidak pulih baru Kak Maimon dibawa kawan-kawan lain dari dunia lakonan menemui doktor lalu didapati menghidap penyakit barah peringkat ketiga yang sudah menganggu saraf dan tulang belakang sejak sekian lama. Tak dapatlah menghadiri acara HIKMAH kedua di Melaka 25 Nov walhal beliaulah antara orang yang berusaha keras untuk menjayakannya - dengan cara mendapatkan tajaan makan minum pagi dan tengah hari untuk 500 orang.

Saya dan isteri sendiri asyik dilanda demam dan sakit-sakit badan sebelum acara. Jangankan itu. Pakaian kami suami isteri untuk majlis sepatutnya ditaja oleh sebuah butik milik kawan. Tapi sampailah ke hari Jumaat pakaian masih tak sampai-sampai. Kemudian kami mendapat tahu tukang jahit sendiri jatuh demam sedangkan setiap jarum yang mahu digunakan patah. Perkara ini tidak pernah berlaku pada mereka lalu pakaian tidak dapat disiapkan. Nasib baik kami sudah bersedia dengan koleksi sendiri di rumah.




Sungguh, misi dan arah tujuan yang kami bawa bukanlah mudah. Nasib baik ada berkat doa para masyaikh dan guru-guru Tasawuf mengiringi acara. Kebetulan Allah gerakkan HIKMAH III yang secara rasminya dipanggil "HIKMAH Berselawat : Menjejak Pendekar, Ahlul Bayt dan Mendaulat Sultan di tanah Gangga Negara" ini agar diadakan 3 hari selepas jatuh tarikh sambutan Maulidur Rasul. Maka majlis pun mendapat keberkatan apabila dibuka 9 pagi dengan bacaan selawat oleh kumpulan Hadrah dari Madrasah Islamiah Ahbabul Mustafa di Tumpat, Kelantan, dibimbing mudirnya Habib Abu Aswad ibn Zakaria Al-Kubra. 


Selawat daripada kumpulan yang mendalami Tasawuf dan ada itrah sambungan Ahlul Bait membuka talian pancaindera dan kerohanian agar hadirin lebih peka terhadap misi dan arah tujuan majlis juga HIKMAH itu sendiri. Selain itu kami disokong beberapa persatuan persilatan dari berbagai tempat di tanah air. Mereka sanggup mengharungi rintangan untuk bersama mendaulatkan Melayu dan Islam.


Antara yang paling terserlah adalah satu kumpulan yang duduk di barisan paling hadapan kiri dewan (ke kanan jika dilihat dari pentas). Pakaian mereka begitu seragam menampakkan kesatuan (walaupun pakaian beragam lain dan macam-macam tidaklah bermakna tidak ada kesatuan). Pada mulanya saya menyangkakan mereka adalah ahli persatuan dari Manjung atau sekitarnya, mungkin Persatuan Pencak Silat Daerah Manjung (PESADA) yang merupakan penganjur bagi majlis HIKMAH kali ini. Kemudian baru dapat tahu mereka adalah ahli satu kumpulan yang dipanggil Hulubalang Melayu Kuala Langat dari Banting, Selangor, dekat kampung isteri saya.


Di barisan paling hadapan tengah dewan pula terdapat sejumlah kerusi empok untuk tetamu VIP/VVIP. Kelihatan pada waktu ini ia dikosongkan. Asalnya pihak penganjur di Perak mahu mendapatkan kehadiran Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah juga Menteri Besar, Dato' Seri Zambry Abdul Kadir. Kemudian kami diberitahu baginda tidak dapat berangkat atas sebab tertentu dan wakil pun tidak dihantar. MB juga tidak dapat datang walhal beliau adalah wakil rakyat bagi kawasan Pangkor yang melingkungi pulau buatan di mana terdapat dewan ini. Pada malam hari, apabila menonton berita di televisyen baru tahu Zambry lebih suka menghadiri sambutan perayaan Thaipusam daripada menyokong HIKMAH yang mahu menyatukan umat Melayu.


Sambil berjalan ke belakang melihat kawasan pameran saya memikirkan betapa semuanya tetap ada HIKMAH. Ya. Kalau sultan berangkat, MB juga harus datang. Acara dapat dibawa naik ke persada yang lebih tinggi menurut kebiasaan orang ramai menilai keadaan dan apa yang ingin kami perjuangkan bolehlah mendapat perhatian pihak paling atas. Namun kalau ada mereka, majlis pada saya akan jadi kaku dan 'kejung' diikat protokol. Dengan ketidakhadiran mereka kami lebih santai dan bebas mengikuti acara. Saya pula boleh berjalan-jalan ke mana-mana suka, dengan gaya kebiasaan sendiri tanpa perlu risau pandangan istana dan pegawai protokol.


Mungkin penganjur sini mengharapkan pengiktirafan sama seperti yang diperolehi acara kedua HIKMAH di Melaka yang mendapat sokongan rasmi Ketua Menteri, Dato' Seri Ali Rustam sehingga acara diisytiharkan masuk menjadi program tahunan negeri. Mungkin. Bagi kami terutama saya sendiri, alhamdulillah... acara diiktiraf dan ini memberi peluang untuk kami melangkah lebih maju ke hadapan. Tetapi itu juga telah menimbulkan persepsi negatif dan fitnah bahawa kami kononnya adalah alat satu parti.

Jika di Melaka pandangan serong ini masih boleh dikekang, di Perak ia boleh menjadi barah. Ini kerana kenaikan MB Perak penuh dengan kontroversi yang sehingga kini masih menimbulkan kemarahan sebuah parti bertentangan dan sekutu mereka. Biar diberitahu, jangkaan awal MB tersebut akan datang ke HIKMAH III menyebabkan sesetengah pihak memboikot acara sambil cuba mempengaruhi pihak lain agar tidak menyokong.



Dalam keadaan santai tidak terikat oleh protokol, saya tidak ada kekangan untuk menurut gerak hati. Apabila bacaan/nyanyian selawat sampai kepada lagu yang sangat diminati, lagu yang bermula lebih kurang begini ; "Tolama asykur ghuromi" saya tidak dapat bertahan daripada menyertai. Terus bergegas ke hadapan dan dengan selambanya naik ke pentas duduk bersama kumpulan.



Lama juga saya duduk bersama melagukan pujian-pujian terhadapan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Sampai satu ketika kami semua berdiri melagukan bacaan seterusnya.



Terasa sungguh getaran ukhuwah cinta kasih sayang suci dan kerinduan terhadap Rasulullah SAW bergema mengisi seluruh dewan yang boleh memuatkan lebih 2,500 orang ini.


Hampir 10 pagi masuk waktu berehat. Orang ramai pun mengambil peluang melihat segala macam pameran.






Ruang tengah pameran sepatutnya diisi oleh barangan dari pihak Muzium Beruas. Namun saya mendapat tahu mereka membatalkan penyertaan pada saat-saat akhir. Mungkin akibat sultan tidak dapat berangkat. Namun HIKMAHnya ia memberi ruang untuk pameran seni dan khat yang dibawa sejumlah pendokong HIKMAH dari Lembah Klang.







Sambil sesetengah sibuk melihat pameran, yang lain beratur untuk sarapan.



Penyertaan ramai golongan agamawan memberikan suasana yang terasa begitu aman dan permai. Begitulah HIKMAH. Dalam tenang kami sebenarnya berniat untuk membawa perjuangan yang sangat besar.


PERKONGSIAN ILMU YANG TELAH DIBUAT HIKMAH SETAKAT INI

Ramai sudah sedia maklum bagaimana HIKMAH menggabungkan persembahan silat, budaya, pameran koleksi keris malah sesi berkuda juga memanah untuk memeriahkan acara. Namun teras utama acara tetap perkongsian ilmu yang dibuat dalam bentuk pembentangan seperti seminar sebelum diikuti sesi berkumpulan. Dengan ini biar dikongsikan tajuk-tajuk kertas kerja yang telah dibuat setakat ini...

“Suai Kenal HIKMAH” atau HIKMAH I di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Perlembagaan Negara dan Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja – Mohd Faizal Ahmad, peguambela dan peguamcara


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


4. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


5. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


6. Ragam Hias Gunungan Mihrab dan Mimbar di Alam Melayu – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan Idris


7. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


8. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


9. Keris ke arah Penyatuan Alam Melayu – Khairul Azhar Abdul Karim, YDP Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur


10. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


11. Dari Srivijaya ke Batu Bersurat Terengganu : Perjalanan Melayu Merentas Zaman Menggamit Peranan – Mohd Syukri Embong, YDP Persatuan Belia Waja Watan




“Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” atau HIKMAH II di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 November 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


3. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


4. Ragam Hias Gunungan Mihrab di Acheh dan Tanah Melayu (1600-1900) – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan


5. Busana tradisional Melayu sebagai Lambang Jiwa Merdeka – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


6. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Ancaman Terhadap Situs Bersejarah Kerajaan Lama Lamuri : Usaha untuk Memperkasakan sejarah Aceh yang hilang Melalui Pemeliharaan Makam-makam - wakil dari badan NGO Mapesa (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh)


9. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


10. Panji-panji hitam dari Timur : Peranan bangsa Melayu Akhir Zaman – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh


“HIKMAH Berselawat : Menjejak Pendekar, Ahlul Bayt dan Mendaulat Sultan di tanah Gangga Negara” atau HIKMAH III di Marina Hall, Lumut 27 Januari 2013


1. Alter Terahsia Melayu – Srikandi, pengkaji sejarah Melayu dan seorang penulis blog yang agak misteri tetapi diminati ramai terutama melalui blog Mistisfiles


2. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Ahlul Bayt Rasulullah SAW & Warisan Melayu – Tun Suzana Othman, penulis buku tentang Ahlul Bait dan raja-raja Melayu juga ulamak silam


4. Siapakah itu Melayu? – Tuan Haji Halim Bashah, penulis, pengumpul koleksi sejarah negeri Kelantan, wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan


5. Ahlul Bayt sebagai Perisai Agama,Bangsa dan Negara - Habib Abu Aswad ibn Zakaria Al-Kubra, mudir Madrasah Ahbabul Mustafa, Kelantan


6. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Sajak Melayu – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


9. Kebangkitan Panji-panji Hitam Melalui Pembatalan Sihir Perjanjian Pangkor - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”

HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013


1. Motif Langkasuka Dalam Kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR


2. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Abd Arif, calon PhD seni UPSI


3. 'Seni Khat Melayu': Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


4. Sejarah dan Tempat-tempat Signifikan di Kelantan : Langkasuka, Empayar Chermin hingga ke Zaman Raja K'Umar – Mohammad Iddham, Kelab Pencinta Sejarah Kelantan


5. Sejarah Kelantan Membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan Kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong


6. Sheikh Ahmad al-Fathoni dan para Ulamak Pantai Timur : Kenapa Kelantan dipanggil Bumi Serambi Mekah? - Ustaz Zaidi Hassan dari Masjid Salor, Pasir Mas, Kelantan


7. Apa yang Perlu dilakukan untuk Menjayakan Perjuangan Dinar Dirham dan Muamalatnya : Peranan HIKMAH dan Kaitan dengan Cap Mohor Diraja - Ustaz Muhammad Hassan Zaid bin Ramli dari As-Saff Madani Islamic City


8. Praktik Dinar dan Dirham untuk Kesultanan dan Umat Melayu – Mazli Alias dari kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


9. Dari Langkasuka ke Serambi Mekah : Kedaulatan Melayu dan Islam – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH


“HIKMAH Isra’ dan Mi’raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu” atau HIKMAH V di Masjid Makmur Losong, Kuala Terengganu 5-8 Jun 2013


1. Aplikasi Dinar dan Dirham sebagai Wadah Pendaulatan Islam sedunia : Pasar Terbuka Masjid - Puan Norbaini Hassan, Perunding Dinar & Dirham


2. Hubungan Syarif Al-Baghdadi dan Tok Pulau Manis dengan Islam di Nusantara - Fokus Salasilah Tok Syeikh Pulau Manis - Cikgu Najib Badruddin, Pengkaji sejarah dan waris Tok Pulau Manis dari Kelantan


3. Antara Muhammad al-Baghdadi dan Muhammad Nafs al-Zakiyah : Pengalaman Peribadi Menjejak Makna hingga ke Terengganu - Radzi Sapiee, pengasas dan presiden HIKMAH


4. Dinar dan Dirham dan Kesultanan Masa Kini – Umar Azmon Amir Hassan, Penggiat Dinar dn Dirham kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


5. Tasawuf, Tamadun Melayu dan Khilafat Uthmaniyyah – Halit Osmanli An-Naqsyabandi, Sheikh tariqat Naqsyabandiah-Haqqani


6. TokKu Paloh dari aspek Sosiologi Ekonomi Masyarakat - Razi Yaakob, Pensyarah UnisZa (Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu)


7. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 -Mohd Zahamri Nizar, Aktivis seni rupa Melayu


8. Jejak dan Legasi Tok Ku Paloh dan Keluarga - Dr Syed Lutfi bin Syed Umar, Pensyarah Unisza


9. Batu Bersurat Terengganu, Mesej untuk Umat Akhir Zaman - Rashid Hamat, Ketua Bahagian Sejarah, Muzium Negeri Terengganu


HIKMAH Merdeka Raya atau HIKMAH VI di Galeri Shah Alam 7 September 2013


1. Hasil kerja seni sebagai Wadah Memartabatkan Melayu dan Islam - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


2. Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya – Puan Zaharah Sulaiman, penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu - Shamsul Yunos, bekas wartawan Malay Mail dan aktivis media bebas


4. Pernyataan HIKMAH Melaka sebagai blue print kebangkitan Ummah - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH

Festival Ketamadunan Dan Adat Istiadat Melayu Mukmin Nusantara atau HIKMAH VII di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 November 2013


1. Zuriat Nabi SAW dan Islam di Nusantara : Sejarah, Hijrah dan Hikmah - Tun Suzana Othman, penulis buku“Ahlul Bait dan Raja-Raja Melayu” dan Ustaz Mohd Iqbal Parjin dari KEMUDI ((Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam)


2. Fiqh al Adat Muhakkamah dalam Hikayat Raja-raja Melayu oleh Farha Muhammad - Nur Shazwani Sadzali dari Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan



Rumahku Syurgaku @ HIKMAH VIII di Baitul Hikmah, Sungai Buaya, Rawang, Selangor 8 Februari 2014


1. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 oleh Mohd Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu


2. Ruang Mihrab Rumah Rasulullah SAW dan Perkaitannya dengan Falsafah Gunungan bersumberkan Al-Quran oleh Puan Harleny Abd Arif, pengkaji dan calon PhD seni UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris)

Mutiara HIKMAH @ HIKMAH IX di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Februari 2014


1. Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang - Roslan Saadon dari NGO Peradaban


2. Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu - Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos, wartawan dan aktivis media bebas


4. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


5. Ancaman terhadap Akidah Umat Islam - Sheikh Raja Aman bin Raja Mokhtar, pemimpin Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah

HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda @ HIKMAH X di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014



1. Pengenalan HIKMAH – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


2. Sahibul Hikayat Bustanus Salatin - Muammar Farisi dari SILA (Sejarah Indatu Lemuria Aceh)


3. Pelestarian Situs Sejarah dan Budaya di Aceh - Teuku Zulkarnaian dari Dinas Budaya dan Parawisata (Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan) Aceh, juga Raja Nagan, raja bagi negeri kecil Nagan di bawah Aceh Darussalam.