Terbitnya HIKMAH



Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.


HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.


Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.


Permintaan-permintaan sebegitu terus muncul daripada pihak-pihak lain lalu kami cuba mencari cara untuk melaksanakannya. Begitulah kami di HIKMAH. Siapa sangka acara yang asalnya mahu diadakan sekali sahaja iaitu pada 4 November 2012 boleh bercambah menjadi satu siri jelajah yang ditunggu-tunggu umat Melayu dan Islam serata Malaysia malah dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia? Untuk melihat atau menelaah apa yang telah dibuat HIKMAH sila klik pautan berikut...




















Friday, September 26, 2014

Berkat wali Allah yang terpilih...



Salam pagi Jumaat yang indah. Mengambil keberkatan hari ini 1 Zulhijjah ingin saya menyatakan beberapa perkembangan tentang rancangan mengadakan acara ke-11 HIKMAH di hadapan makam Sultan Alauddin Riayat Syah (Melaka) di Kampung Raja, Pagoh, Muar, dalam kawasan Masjid Sultan Alauddin Riayat Syah. Pada artikel Perjalanan balik hari ke Pagoh - Misi tak disangka HIKMAH Sultan Alauddin... yang dibuat lebih seminggu lalu telah dinyatakan saya ada membuat perjalanan ke sana untuk mengatur perkara. Ketika itu 15 Sept, saya dapat berjumpa dengan pengerusi masjid lalu menyatakan rancangan. Alhamdulillah beliau bersetuju. Cuma butiran lanjut akan dibincangkan kemudian, cadangnya pada satu mesyuarat bersama beliau, ketua kampung dan pengerusi tanah perkuburan semasa cuti Hari Raya Haji akan datang.

Malam itu sekembalinya saya ke rumah terus tergerak untuk berkongsi berita gembira ini di Facebook sambil meminta kawan-kawan dan kenalan memberi maklum balas bilakah tarikh paling sesuai untuk mengadakan acara. Setelah dipertimbangkan setiap maklum balas daripada beberapa sudut, saya membuat keputusan tarikh terbaik adalah Sabtu 8 November yang harus bersamaan 15 Muharram tahun baru Islam 1436 Hijriah. Siangnya, ketika negara sedang menyambut Hari Malaysia 16 September saya pun menghubungi pengerusi masjid menyatakan tarikh tersebut. Beliau tiada masalah dan membenarkan saya mengumumkannya. Turut dihubungi ketua kampung dan pengerusi tanah perkuburan. Mereka juga tiada masalah. Cuma kata pengerusi perkuburan beliau mungkin tidak dapat menghadiri mesyuarat cuti Raya Haji yang mahu diadakan di masjid kerana harus kembali bercuti ke rumah keluarga isteri di Selangor. Tapi insyaallah beliau akan menghantar wakil.

Tengah hari itu saya pun membuka event page untuk acara. Ia disebut sebagai "HIKMAH Pagoh - Ziarah Sultan Alauddin" atau HIKMAH XI. Dengan cepat ia mendapat perhatian dan komitmen ramai. Maka itu biar disenaraikan perkembangan sejak itu. Saya copy paste seperti dimaklumkan di FB berserta ulasan ringkas, bermula dengan perkembangan pada esoknya 17 Sept...




BERKAT WALI ALLAH YANG TERPILIH - SENARAI PEMBENTANGAN UNTUK HIKMAH XI DI PAGOH

Subhanallah walhamdulillah walailahaillallahu wallahuakbar. Wala hawlawala quwwaatailla billahil aliyilazim. Sukacita dimaklumkan kami telah berjaya mendapatkan sejumlah penulis buku yang berkaliber untuk berkongsi ilmu pada acara ke-11 HIKMAH yang mahu diadakan di hadapan makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Pagoh 8 Nov atau 15 Muharram merangkap majlis hol almarhum baginda yang ke-550. Saya sebagai presiden HIKMAH juga penulis turut membentang apalagi acara diadakan di Pagoh, dalam daerah kelahiran dan tempat saya membesar iaitu Muar. Disenaraikan tajuk dan pembentang :-


1. "Raja Temenggung Muar : Satu kaitan Aceh, Melaka lama dan beberapa kesultanan sekarang" - TunSuzana Tun Hj Othman, penulis buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu"

2. "Sistem Pentadbiran Islam Moden di bawah Pemerintahan Raja-Raja Melayu" - Pelita Di Dalam Kaca (nama pena, nama betul saya tak tahu), penulis novel Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafur

3. "Sultan Alauddin Riayat Syah - Wali Allah yang Terpilih" - Hasan Yusof, penulis buku "Sultan-sultan Soleh di Nusantara"

4. "Malim Dewa dan Dinasti al-Kamil - Sambungan Aceh ke Muar" - Radzi Sapiee, penulis trilogi novel "Berpetualang ke Aceh"


Tajuk2 lain mungkin akan ditambah setelah diambil kira beberapa faktor seperti masa dan keluangan pembentang. Antara yang sedang difikirkan adalah pembentangan tentang wang dinar dan dirham dengan fokus diberikan pada dinar dan dirham Kesultanan Melaka. Alhamdulillah



Ulasan : Sukacita hati saya dalam tempoh 24 jam mengumumkan acara kepada ramai dimudahkan Allah SWT mendapatkan 3 orang penulis buku selain saya sendiri untuk membentang. Ini sahaja sudah cukup untuk mengisi acara. Tetapi insyaallah boleh ditambah tajuk-tajuk lain setelah diambil kira masa yang mahu digunakan untuk tahlil, zikir, baca Yasin memandangkan acara HIKMAH kali ini juga merupakan sambutan hol atau ulang tahun kemangkatan almarhum sultan, Mungkin juga akan diadakan persembahan maulud/qasidah, pertunjukan silat, memanah dan sebagainya. Ini bergantung jika ada pihak yang sudi membawa majlis secara sukarela. Kita akan lihat apabila semakin hampir tarikh.

Oh sejurus sebelum itu saya ada menyebut begini :



HOL ALMARHUM SULTAN ALAUDDIN YANG KE-550

Sudah disebut bahawa pada HIKMAH XI di makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Pagoh nanti akan diadakan majlis hol atau hari memperingati ulang tahun kemangkatan baginda. Buku2 sejarah yang masih berpegang pada dakwaan Kesultanan Melaka dimulakan tahun 1400an Masihi menyebut sultan alim ini mangkat 1488. Kiraan baru yang diwar2kan sejak tahun 2010 menggunakan data dari kitab Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu pula menyebut baginda mangkat 1481.

Saya cenderung pada 1481 dan mendapati ia bersamaan tahun 886 Hijriah. Acara dijadualkan berlangsung pada 8 Nov 2014 bersamaan 15 Muharram 1436 Hijriah. Maka tak salah untuk mengatakan hol yang mahu dibuat adalah ulangtahun ke-550 Sultan Alauddin mangkat mengikut kiraan hijrah.



Ulasan : Maka itu saya akan menyebutnya sebagai hol almarhum ke-550. Tarikh tepat kemangkatan Sultan Alauddin tidak saya ketahui kerana belum pernah terjumpa tercatat di mana-mana. Apapun, kalau tarikhnya lain pun tidaklah salah menyambutnya pada 15 Muharram mengambil keberkatan awal tahun baru Islam.

Pagi Khamis 18 Sept saya dihubungi seorang kenalan menyatakan beliau mahu menanggung makan minum untuk majlis. Terus tergerak untuk membuat pengumuman di FB seperti di bawah...




MAKAN MINUM DAN PENGINAPAN PERCUMA PADA HIKMAH XI DI PAGOH 8 NOV

Salam semua. Kita sebut dahulu bab penginapan. Sukacita dimaklumkan, tanpa dipinta sudah ada individu menawarkan untuk menaja penginapan homestay untuk sejumlah hadirin semasa acara nanti. Tawaran ini sebenarnya dibuat sejak saya mengumumkan rancangan untuk mengadakan acara di sekitar Gunung Ledang lagi iaitu 2 bulan lalu. Apabila mendapat tahu acara mahu dialihkan ke Pagoh beliau menghubungi saya sekali lagi untuk mengulangi tawaran menampung belanja penginapan di sekitar itu pula.

Namun ini bukanlah untuk semua. Keutamaan kami adalah untuk para pembentang, pihak urusetia dan 2-3 buah kumpulan NGO kedaulatan Melayu dan Islam yang selalu menyokong acara kami. Ada kemungkinan kawan2 kami di Aceh akan datang membawa rombongan lebih 50 orang aktivis dan ketua2 masyarakat. Keutamaan kami adalah untuk memudahkan kedatangan juga penginapan mereka2 ini.

Kepada kawan2 HIKMAH lain dari jauh yang mahu bertandang tetapi tidak memiliki saudara mara berdekatan untuk tumpang bermalam atau tiada bajet untuk mendapatkan penginapan berbayar berupa hotel mahupun homestay saya cadangkan bermalam di masjid sebelah makam. Ada keberkatan bermalam di bawah bulan penuh 15 Muharram berdekatan makam Sultan Alauddin yang merupakan raja bertaraf wali Allah lagi terpilih. Malah dipercayai masjid didirikan di atas tapak istana baginda. Bukan senang nak dapat peluang tidur dalam istana seorang raja wali!

Apapun ada kemungkinan akan ada pihak lain muncul menawarkan penajaan untuk lebih banyak homestay. Jika ini berlaku lebih banyak penginapan percuma akan dibuka kepada peserta. Tentang makan dan minum pula sepanjang mengadakan acara sejak HIKMAH diasaskan 12 Oktober 2012 hinggalah acara ke-10 di Aceh 29 Mac 2014, kami tidak pernah gagal menyediakannya untuk semua. Malah di kala pihak lain yang lebih established mendapat sokongan kerajaan negeri dan sebagainya cuma dapat menyediakan makanan untuk jawatankuasa acara dan dif2 kehormat sahaja, tidak untuk hadirin yang lainnya, kami dapat menyediakan sarapan, makan tengah hari dan minum petang untuk semua.

Dengan bantuan Allah yang disampaikan melalui pihak2 yang prihatin ini dapat dilakukan walaupun HIKMAH bukan persatuan berdaftar, sekadar sebuah komuniti kecil FB, tidak memegang atau menerima peruntukan tetap dana daripada mana2 badan. Malah semasa di Aceh pihak kami melalui kawan2 di sana dapat menyediakan makan malam istimewa bertaraf hotel 5 bintang di rumah rasmi Gabernor yang pangkatnya serupa dengan Ketua Menteri di Melaka. Tetapi bermula HIKMAH Pagoh ini saya fikir malas hendak memenatkan kepala memikirkan bagaimana hendak menampung makan minum peserta. Lalu saya fikir cukuplah dengan mengajak orang kampung berniaga membuka gerai2 kecil makan minum seperti pasar malam dalam kawasan acara. Dengan itu peserta dapat makan tanpa saya pening2 memikirkan dari mana hendak mendapatkan belanja.

Dengan kuasa Allah pagi tadi tiba2 seorang hamba Allah menawarkan untuk menampung makan minum semasa HIKMAH Pagoh. Jumlah awal yang sanggup dikeluarkan (dia sanggup keluar lebih jika tak cukup tapi saya kata tak payah kerana tidak suka mengambil kesempatan atas kebaikan orang) harus cukup untuk menampung sarapan, makan tengah hari dan minum petang untuk tidak kurang 300 peserta. Subhanallah dan syukur alhamdulillah!



Ulasan : Begitulah bantuan Allah SWT datang tanpa dijangka. Melihat update ini pula ada seorang anak tempatan Muar menawarkan penginapan percuma di rumahnya si Kampung Liang Batu kira-kira 12 km daripada lokasi acara. Beliau boleh menampung 7-10 orang. Tapi kalau perlu lebih akan diusahakan. Jawab saya nanti selepas mesyuarat dan acara semakin dekat, baru saya dapat kepastian dan akan memberitahu.

Jumaat keesokannya iaitu 19 Sept saya buat status update ini...



Gerak sepintas lalu tadi - Nama acara ke-11 HIKMAH 8 Nov ditukar daripada "HIKMAH Pagoh - Ziarah Sultan Alauddin" menjadi "HIKMAH Pagoh - Hol Almarhum Sultan Alauddin, Wali Allah Yang Terpilih" Harap maklum.



Ulasan : Ini adalah kali terakhir saya mengumumkan sesuatu tentang acara. Fikir saya berehatlah dahulu daripada memikirkannya. Tak perlulah mengumumkan perkembangan setiap hari, cukuplah apa yang diberitahu dari 16-19 Sept itu buat masa ini. Nanti selepas mesyuarat cuti Raya Haji, cadangnya pada hari selepas Raya Haji iaitu pada 11 Zulhijjah 10 hari lagi insyaallah saya umumkan perkembangan terbaru. Doakan segalanya berjalan lancar... :]


Friday, September 19, 2014

Forum Keindahan Sistem Kesultanan Alam Melayu-Nusantara : Menuju aspirasi raja yang insan kamil




Selepas jam 9.,30 malam forum pun sedia untuk dimulakan. Kelihatan di atas pentas para panelis yang akan membentang atau memberi hujah/kuliah. Mereka ialah (dari kiri) Tun Suzana Tun Hj Othman, pengkaji sejarah dan pengasas Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam (KEMUDI), Profesor Madya Dr Shamrahayu Aziz, felo utama Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Sidi Syaikh Rohimuddin Nawawi al-Bantani, pembimbing rangkaian madrasah Darul Hasani di Mesir, Malaysia dan Indonesia dan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Jamal, felo Pusat Pengajian Perniagaan Putra dan naib pengerusi Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM).


Moderator, Mohd Khalid bin Yahya, penulis dan pengerusi Akademi Kajian Rumpun Nusantara (AKAR) membuka sesi dengan sedikit mukadimah tentang kesultanan di Alam Melayu dan raja-raja. Umum tahu topik ini sedang hangat diperbicarakan kerana kini institusi beraja di Malaysia sedang hangat diserang pihak sekular yang bersifat republican, cuba menyanggah atau menghapuskan terus institusi. Perkara ini pernah menjadi hangat beberapa tahun lalu apabila Sultan Perak memperkenankan pertukaran kerajaan negeri dan perlantikan menteri besar baru akibat beberapa orang ahli sebuah parti keluar lalu menyokong parti lawannya. Ini kembali hangat masa kini apabila Selangor mengalami krisis akibat menteri besarnya hilang sokongan parti politiknya yang mahu menggantikan beliau dengan yang lain. Sultan dan istana Selangor dilihat sebagai penghalang cita-cita penggantian itu yang pada ramai pihak yang waras menilai memiliki motif-motif tidak elok membelakangkan kepentingan rakyat sambil memuaskan nafsu gila seorang politikus yang gila kuasa.


Hal inilah yang menyebabkan kedatangan pada majlis forum ini melepasi jangkaan awal sehingga harus dialihkan ke ruang atau dewan yang lebih besar. Memang perkara ini sedang hangat diperkatakan dengan ramai pendokong kedaulatan Melayu dan Islam, NGO-NGO, golongan pesilat dan sebagainya sedia ke hadapan untuk mempertahankan sultan. Apabila rancangan untuk mengadakan forum disampaikan kepada beberapa pihak termasuk saya lalu disebarkan lebih meluas melalui Facebook dan sebagainya, ramai menyambarnya sebagai peluang untuk melihat perkara ini diulas sambil menyatakan taat setia terhadap institusi beraja. Mereka ini rata-rata sudah bosan dengan kerenah ahli politik dan sistem demokrasi yang sering menerbitkan perpecahan dan perbalahan sesama ummah. Walaupun ada mempersoalkan peribadi raja-raja atau kerabat diraja yang sesetengahnya diketahui jelek, yang mereka sokong bukan individu tetapi institusi beraja yang menjadi benteng untuk mempertahankan kedaulatan Melayu dan Islam.


Tun Suzana menjadi panelis pertama membuat pembentangan. Beliau yang telah menulis 15 buah buku kalau tak salah, paling terkenal bertajuk "Ahlul Bait (Keluarga) Rasulullah s.a.w. Dan Raja-Raja Melayu" (pada cetakan atau versi kemudian perkataan "Raja-raja Melayu" ditukar menjadi "Kesultanan Melayu") menggunakan slaid. Pembentangan diberi tajuk "Orientalisme, Khulafa' Rasulullah & Kosmos Kesultanan Melayu". Namun ia tidak ada kena-mengena dengan surat khabar Kosmos ya... :)






Secara rata beliau membicarakan bagaimana penjajah Barat terutama Inggeris telah mengaburkan makna sebenar pemerintahan beraja lalu memperkecilkan malah "memperdajalkan" (perkataan saya) institusi yang menjadi tonggak kekuatan orang Melayu. Ini dibuat menggunakan kajian Orientalis yang kelihatan syumul mahu memahami budaya orang kita dan Islam tetapi sebenarnya mencari ruang yang boleh digunakan untuk merosakkan institusi dengan meracun pemikiran orang Melayu. Kosmos atau alam kesultanan Melayu asalnya sudah sedia teratur dan efisyien, setiap komponennya, daripada raja sebagai kepala, ulamak sebagai penasihat yang mendampingi umarak, pembesar sebagai pentadbir, golongan hulubalang sebagai barisan pertahanan membawa kepada para pedagang yang memeriahkan ekonomi seraya memenuhi keperluan harian biasa juga rakyat ada tempat dan peranan masing-masing. Tetapi melalui Orientalisma, semua ini berjaya dikaburkan menjadi caca marba lalu institusi beraja dapat diburukkan dengan dakwaan tidak lagi relevan untuk zaman sekarang.


Ah. Isteri saya (kanan) sedang tekun mendengar pembentangan. Sungguh beliau adalah penyokong utama yang memberikan kekuatan untuk saya berjuang bersama barisan seperti para panelis yang mahu mendaulatkan Melayu dan Islam.



Syaikh Rohimuddin menjadi panelis kedua, membuka bicara tanpa memakai slaid mahupun teks. Melihat kedudukan panelis di atas pentas juga kedudukan nama dan gambar pada grafik promosi acara dan bunting ramai menjangkakan Prof Shamrahayu yang duduk di sebelah Tun Suzana harus mengambil pentas terlebih dahulu. Nama Syaikh Rohimuddin cukup terkenal sebagai salah seorang ulamak besar yang sering berdakwah dalam majlis-majlis ilmu di Malaysia dan Indonesia. Sebagai seorang pengamal Tasawuf malah sheikh Tariqat yang boleh membimbing kenaikan kerohanian seseorang, beliau mengambil pendekatan aspek keSufian dalam membina kerangka kerelevanan institusi raja-raja dan kenapa ia perlu dipertahankan.



Dengan tutur kata lembut penuh sopan penampilan biasa orang keSufian beliau menyatakan betapa beruntungnya kita di Alam Melayu Nusantara ini berbanding orang di Tanah Arab yang disangkakan sesetengah orang lebih kuat Islam. Kata Syaikh Rohimuddin, Nusantara ini memiliki 3 perkara yang tidak ada pada Tanah Arab. Hmm. Saya mula ingat-ingat lupa kerana tidak pernah mengambil catatan. Saya tulis aje le apa yang ingat kerana saya ni jenis yang mencerna maklumat ibarat makanan menjadi zat. Bila dah jadi zat dalam badan ibarat ayam sudah dikunyah dan dihadam, tidak ada lagi rupa ayam tetapi zat yang membina kesihatan sudah ada di dalam badan.

Yang saya ingat katanya begini :-

1. Nusantara ini memiliki raja-raja berketurunan Ahlul Bait iaitu anak cucu Nabi Muhammad Rasulullah SAW.  Malah katanya semua raja-raja Islam di Nusantara memiliki darah tersebut. Ini berbeza dengan di Tanah Arab  yang raja-raja Islamnya bermula dengan Dinasti Umaiyah dari keturunan Muawiyah ibnu Abu Sufian, dari orang yang dikatakan seorang sahabat Nabi. Dinasti Abbasiyah yang menyusul selepas itu juga dikatakan dari keturunan sahabat Nabi (walaupun mungkin ada yang mempertikaikan apakah ini keturunan sahabat atau harus disebut keturunan keluarga, kerana Bani Abbasiyah berasal dari keturunan Saidina Abbas, bapa saudara Rasulullah).

2. Kedua, yang membawa dan menyebarkan Islam ke Nusantara adalah golongan Sufi. Sedangkan di Tanah Arab kelihatannya yang menyebarkan itu lebih pada golongan fuqaha, ahli fekah atau golongan hukamak. Ada perbezaan ketara sebenarnya antara kedua ini. Di kala ahli fuqaha lebih menekankan hukum hakam dan pemahaman melalui ilmu kalam, ahli Sufi menekankan kerohanian sambil membina akhlak.

3. Nusantara rata-rata bermazhab Syafiee dan ini menurut Syaikh Rohimuddin adalah mazhab pakaian Ahlul Bait. Biar saya menambah ibu Imam Syafiee, pengasas mazhab ini adalah seorang Ahlul Bait dari keturunan Saidina Hassan kalau tak salah.

Berasal dari Indonesia, lebih tepat di Pulau Jawa beliau kemudian menyentuh sejarah kemunculan raja-raja Islam di sana. Sejarah Majapahit pun disentuh berserta kedatangan para Wali Songo (sembilan orang wali) yang sangat terkenal dengan penekanan diberikan kepada bagaimana Sunan Ampel yang berdarah Arab-Champa mendidik seorang anak raja Majapahit sehingga layak menjadi seorang raja Islam lalu membina Kesultanan Demak. Ini dilanjutkan menjadi sejarah bagaimana Belanda merosakkan kefahaman Islam Indonesia dengan memisahkan raja-raja sebagai para umara' dengan para ulamak, antaranya melalui doktrin keSufian yang disalah-tafsir lalu salah-tafsir ini sengaja diperbesar-besarkan sehingga dianggap sebagai kebenaran. Misalnya kisah Sheikh Siti Jenar yang terkenal ceritanya sering melakukan perbuatan yang melanggar syariat kebiasaan Islam.

Hasilnya terbitlah raja-raja kemudian yang mengaku Islam tetapi tidak mahu bersolat atas alasan tidak perlu lagi kerana sudah mencapai tahap tinggi kebatinan Islam. Ulamak yang tentunya tidak sebulu pun terpisah. Jika dahulu raja-raja menjadi penaung untuk ulamak berdakwah, kemudiannya ulamak harus bergerak sendiri mengembangkan ajaran melalui sistem sekolah pondok. Lalu apabila gugusan kepulauan yang membentuk Indonesia dapat memerdekakan diri daripada penjajahan Belanda ia terjadi tanpa ulamak dilibatkan lalu Islam tidak diangkat paling utama dalam falsafah pembentukan negara. Dan seperti kita tahu Indonesia menjadi sebuah republik, banyak raja-rajanya telah digulingkan, institusi beraja dihapuskan kecuali di beberapa tempat, itupun sekadar tinggal menjadi lambang adat.

Sebetulnya begitu banyak perkara penting disentuh ulamak besar ini, kalau tidak kerana had masa tentu sahaja beliau boleh bercakap lebih panjang. Biar saya simpulkan pembentangan/hujah/ceramah beliau ini kepada beberapa perkara :-


1. Pentingnya pendidikan pondok atau yang berasaskan cara pendidikan pondok untuk membina sahsiah ramai terutama raja-raja yang boleh memimpin rakyat ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat.

2. Pentingnya cara pendidikan dari ulamak yang bersifat Tasawuf, para ahli Sufi yang menggalas tanggungjawab berdakwah. Yang ini saya cukup suka. Saya suka sangat apabila beliau menyebut konsep 'limpahan'... limpahan ilmu, akhlak dan sebagainya untuk mendidik, bukan sekadar mengajar, baru yang mengikut itu betul-betul mendapat manfaat.

3. Raja itu harus seorang insan yang kamil, Tanpa menyatakan apakah maksudnya ini, ia harus difahami semua yang memiliki walau sekelumit pengajian Tasawuf, Ia bermakna insan yang sempurna, sudah mencapai tahap kerohanian atau pengenalan/makrifat yang sempurna tentang Allah.


Tentang hal ini, tentang raja haruslah insan yang kamil boleh rujuk beberapa penulisan lama saya sendiri di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Ringkasnya (sebenarnya agak panjang lebar juga) lihat artikel Demokrasi vs Raja-raja lagi? yang memaparkan sedutan daripada buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" (terbit Mei 2007).
.


Ketika panelis ketiga, Prof Shamrahayu mengambil pentas sudah masuk jam 10.40 malam. Beliau yang memiliki kepakaran dalam bidang undang-undang juga bercakap terus tanpa slaid dan teks. Dengan gaya seorang pensyarah bersyarah di dalam bilik kuliah beliau menceritakan peranan raja-raja Melayu mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Islam sewaktu berunding dengan pihak British dalam membentuk perlembagaan negara. Walaupun sangat informatif dan akademik lalu memberikan banyak maklumat tentang undang-undang negara dan perlembagaan, ada sesuatu yang saya kurang gemar. Ini kerana walaupun beliau menyebut beberapa fasal yang mengakui hak raja-raja untuk memutuskan suatu perkara, saya dapati apa yang disebut masih kuat terperangkap dalam legasi peninggalan penjajah yang memang bertujuan mahu meminggirkan Melayu dan Islam.



Saya merasakan cerita atau kuliah yang beliau bawa lebih mahu menjustifikasikan kepentingan orang politik dan sistem demokrasi. Segala fasal itu fasal ini, akta itu akta ini yang disebut dengan penuh bijak pandai tanpa perlu meneliti apa-apa rujukan itu sekadar memanjangkan lagi kerja residen atau penasihat British. Semasa zaman penjajahan, nasihat-nasihat mereka wajib digunapakai. Peranan residen ini diambil alih oleh orang politik selepas Semenanjung Tanah Melayu mencapai kemerdekaan 1957.  

Rata-rata kami yang datang ini sudah bosan dengan kerenah orang politik. Kami mahu raja-raja kembali memainkan peranan mendaulatkan Melayu dan Islam tanpa dikekang manusia tamak haloba yang semakin lama semakin nyata cuma mementingkan diri sendiri sahaja. Kalau ada keprihatinan terhadap rakyat pun lebih pada bermuka-muka untuk mendapatkan sokongan dan undi. Cuma apabila berlaku keadaan komposisi dewan undangan negeri mahupun parlimen menjadi 50-50, tergantung akibat pegangan kerusi kerajaan dan pembangkang sama banyak sahaja baru kelihatan raja boleh memainkan peranan. Selain itu adalah keadaan darurat di mana undang-undang biasa tidak lagi terpakai. Ketika itu pihak tentera mengambil kuasa dengan Yang di-Pertuan Agong boleh menentukan segalanya kerana baginda adalah ketua tertinggi angkatan tentera.

Dalam dua keadaan ini sahaja nampaknya raja boleh jadi terserlah mengatasi sistem politik demokrasi. Selain dari itu tetaplah raja-raja duduk 'mendengar nasihat', disuruh tandatangan itu ini, buat itu, buat ini oleh ahli politik, Berbuatlah ia seperti menerima perintah orang politik kecuali dalam sedikit perkara kerana terikat dengan takrif raja berperlembagaan yang diperkenalkan (sebenarnya dipaksakan tetapi Shamrahayu samada tak tahu atau sengaja mengkaburkan ini) oleh penjajah sebelum meninggalkan Tanah Melayu. Pada saya segala itu cuma alat tinggalan penjajah untuk mengekang raja-raja daripada menggalas tugas sebenar meninggikan syiar Islam. Nak buat bagaimana? Tangan mereka diikat oleh kepentingan ahli politik yang sering merayu undi dengan cara menurut nafsu kehendak orang kebanyakan yang sering bersifat amarah.


Apa yang saya ingin dengar dari pakar undang-undang seperti Shamrahayu adalah bagaimana tafsiran undang-undang, akta mana, fasal mana boleh digunakan agar raja-raja dapat betul-betul memainkan peranan mengatasi permainan ahli politik yang kami naik mual itu. Maka bersyukurlah kami ada anak muda bertenaga, hebat berfikir dan tinggi wawasan seperti Wan Ahmad Fayhsal menjadi panelis keempat dan terakhir. Anak didik cendekiawan besar Profesor Syed Naguib al-Attas ini memang tegar mahu mengangkat kembali peranan institusi beraja. Kenyataan beliau boleh disimpulkan begini (perkataan saya ya) : "Tolak ketepi orang-orang politik yang tidak boleh diharapkan lagi untuk membela kepentingan Melayu dan Islam, zahirkan sultan yang keras lagi tegas untuk memperbetulkan segala kepincangan yang sudah sangat lama berakar-umbi".


Di kala anak-anak muda di Malaysia, anak Melayu dan Islam kini banyak terpesong malah terpasung dengan kerangka pemikiran sekularisasi yang semakin nyata semakin mahu menghancurkan Islam tetapi pandai berselindung di sebalik segala macam slogan muluk seperti kebebasan bersuara, hak asasi manusia dan ketuanan rakyat, beliau terang-terang menyanggah semua itu sebagai instrumen atau alat untuk menghancurkan ummah. Beliau memberi contoh bagaimana gerakan anak muda berpendidikan Barat yang dikenali sebagai Young Turks di Turki menjadi salah satu punca besar kejatuhan Kekhalifahan Uthmaniah yang berpusat di sana. Melaungkan slogan Tanzimat yang sebenarnya bermakna reformasi (ya, sama seperti keadaan di Malaysia sekarang), kekhalifahan dijatuhkan. Hasilnya umat Islam seluruh dunia hilang tumpuan kepimpinan lalu lebih mudah dijajah. Segala aspek kehidupan mereka pun diubah agar menjauhi Islam, kalau atas nama Islam pun bersifat zahir sahaja tanpa hakikat roh Islam yang amat tinggi lagi suci itu.

Sayang, Wan Ahmad Fayhsal tidak boleh bercakap lama kerana ketika mula naik bercakap pun sudah 11.15 malam. Saya kagum dengan jangkauan pemikiran dan ilmu beliau, mampu menulis dan bertutur dengan lincah dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, cukup arif Bahasa Arab dan nahu-nahunya, mampu meneliti karya-karya besar Timur dan Barat, boleh bercakap tentang penulisan seperti The Leviathan oleh Thomas Hobbes begitu juga tulisan cendekiawan Islam seperti al-Mawardi. Dalam masa suntuk tidak dapat mengupas perkara seperti yang awalnya beliau rancang forum dibawa melompat ke arah penelitian realiti zaman yang lebih tinggi. Faktor geopolitik dunia dengan Malaysia menjadi perebutan pengaruh antara blok pro-US dengan lawannya, blok pro-Russia dapat dikaitkan dengan usaha-usaha jahat pihak tertentu untuk menjatuhkan institusi beraja.

Maka untuk menangani inilah raja-raja harus diperkasakan kembali melampaui kekangan tangan-tangan cemar ahli politik yang sentiasa hendak menjaga kepentingan diri sendiri sehingga selalu memperkudakan rakyat. Malah Wan Ahmad Fayhsal  mendakwa Russia yang sudah lama hilang institusi beraja pun berura-ura mahu mengembalikannya. Mereka hilang raja akibat ditekan gerakan ketuanan rakyat Bolshevik yang modus operandi atau gerak kerjanya serupa dengan gerakan Young Turks dengan laungan Tanzimat mereka. Satu kepala kepimpinan yang kuat, yang keputusannya tidak sering disoal seperti halnya dalam sistem demokrasi diperlukan untuk betul-betul dapat menangani cabaran hegemoni US yang semakin hari semakin mengancam. Katanya, presiden Russia sekarang iaitu Vladimir Putin adalah calon raja itu!



Sesi pembentangan tamat sekitar 11.30 diikuti sesi soal jawab. Tak payahlah dipanjangkan ya. Cukuplah menyebut antara yang disentuh adalah bab asal usul Melayu yang berkaitan dengan Nabi Ibrahim, kekhalifahan dan peribadi bagaimana layak menjadi khalifah juga bagaimana menangani persoalan personaliti raja atau kerabat diraja yang jelek sehingga merosakkan nama baik institusi lalu dijadikan alasan sesetengah pihak untuk menyanggah malah mahu menghapuskannya.



Cukuplah ditambah, forum ditamatkan dengan Tun Suzana mengemukakan resolusi agar semua kembali memperbaiki agama dan diri masing-masing dengan mengaji. Selain itu beliau menyatakan kesimpulan bahawa kita sebenarnya ada cukup cendekiawan dan cerdik pandai untuk menyelesaikan segala macam masalah yang melanda negara juga umat Melayu dan Islam. Tapi malangnya jalan penyelesaian yang dikemukakan tersangkut pada peringkat ahli politik disebabkan kepentingan. Teringat saya bagaimana pada satu wacana ilmu yang lain ada disebut bahawa peruntukan undang-undang dan pelembagaan sekarang, walaupun telah menghadkan kuasa sebenar raja-raja sejak sekian lama, sebenarnya memberikan lebih banyak kuasa dari yang disangka. Tetapi para penasihat raja sendiri tidak menasihati sebaik mungkin. Nampaknya mereka sengaja mahu mengaburkan hak kekuasaan raja agar orang politik dapat terus memegang teraju utama. Raja-raja pun dijadikan sekadar burung kak tua, rubber stamp atau tukang cap/tandatangan surat untuk membenarkan agenda...


Soal jawab selesai selepas 12 tengah malam. Ketika gambar ini diambil sudah 12.15 dan ramai masih berlegar.


Daripada seorang rakan yang berniaga buku saya mendapatkan senaskah kitab Hikayat Iskandar Zulkarnain. Ia merujuk kepada seorang raja besar luar negara yang dipercayai menjadi nenek-moynag raja-raja Melayu. Walaupun sudah lama tahu tentang kewujudan naskah yang telah ditransliterasikan ke dalam tulisan Rumi, malah sejak 1967 kalau tak salah sudah ada naskahnya, baru sejak seminggu lalu saya merasa perlu memilikinya dan meneliti isi.


Tu dia, rakan-rakan seperjuangan memakai busana penuh tradisional Melayu, bersampin, berkeris, bertanjak bergambar bersama panelis.


Dengan ini selesailah ulasan tentang forum institusi beraja ini. Bolehlah saya menelaah Hikayat Iskandar Zulkarnain. Semoga selepas itu dapat menyambung kembali penulisan buku ke-8 dengan lebih bersemangat, dengan gerak kerja juga ilham yang lebih teratur lagi mantap. Amin. :]



Forum Keindahan Sistem Kesultanan Alam Melayu-Nusantara : Nostalgia HaRUM dan acara pertama HIKMAH di Shah Alam 2 tahun lalu

Salam malam Jumaat. Kita masuk bab majlis ilmu...


Malam semalam 17 September saya dan isteri pergi ke Menara HPAIC di Shah Alam.


Kami mahu menghadiri majlis yang dipanggil "Forum Keindahan Sistem Kesultanan Alam Melayu-Nusantara". Selain tajuk dan senarai panelis saya tertarik kerana tertera nama HaRUM sebagai salah satu badan yang menganjurkan. Ini kerana saya sudah lama tidak mendengar nama itu muncul di mana-mana. Pada awal 2012 nama yang merupakan singkatan bagi Himpunan Kekeluargaan Rumpun Nusantara itu tiba-tiba muncul untuk menganjurkan sebuah majlis mengangkat agama Islam yang sangat besar, dihadiri ribuan golongan agamawan yang berkampung 3 hari 2 malam di Masjid Negeri, Shah Alam. Lihat artikel lama Meh ke Himpunan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (Harum) 2012 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU


Ketika itu saya sudah pernah menghadiri beberapa acara besar keagamaan seperti hol almarhum Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani juga majlis maulud dan zikir yang dihadiri ribuan malah berpuluh ribu orang. Setiap acara dianjurkan oleh organisasi besar yang sedia diketahui ramai, sekurang-kurangnya oleh mereka yang biasa menghadiri majlis-majlis melibatkan para ulamak. Ada antaranya memiliki jaringan perhubungan di seluruh dunia. 

Jadi tidak menghairankan jika mereka mampu membuat majlis gah. Cuma saya bukan pengikut tegar jadi tidaklah saya hafal nama-nama ulamak yang sentiasa bermain pada bibir mereka yang rajin mengikuti pengajian kecuali beberapa orang. Pun begitu saya tahu beberapa organisasi yang biasa mengadakan acara besar apa lagi ada kawan-kawan yang terikat dengan mereka. Tetapi nama HaRum baru saya dengar ketika itu. Entah datang dari mana, siapa yang menerajuinya, tiba-tiba dapat menganjurkan majlis sangat besar yang setakat itu saya ketahui cuma pernah dibuat oleh 2-3 sahaja organisasi bertaraf antarabangsa. 
.


Cerita di sebalik kemunculan HaRUM, cerita yang ada keajaibannya yang tersendiri saya dapat tahu tidak lama selepas itu. Adapun nama badan ini segar dalam kenangan kerana dengan ihsan merekalah saya pertama kali dapat merasa bercakap atau berceramah di hadapan khalayak ramai dalam dewan solat Masjid Negeri Shah Alam, masjid yang tercatat memiliki menara azan tertinggi di dunia juga kubah paling besar. Di bawah kubah gergasi itu saya pertama kali berkongsi pengalaman sebenar hidup yang membawa kepada penulisan siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" di hadapan ramai golongan agamawan. Apa yang berlaku berserta rakaman video telah diabadikan dalam artikel lama Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh.


Kenangan bersama HaRUM itu merupakan salah satu sebab HIKMAH yang diasaskan saya boleh muncul 12 Oktober 2012 juga mendapat nama. Ini telah diceritakan panjang lebar dalam artikel pertama dibuat tentang HIKMAH, artikel yang muncul beberapa jam selepas ia mendapat nama lalu diwar-warkan di Internet melalui Facebook. Lihat Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Sekarang kembalilah kita kepada forum di Shah Alam semalam. Dewan atau ruang besar bersiling rendah beralas karpet, orang masuk meninggalkan kasut di luar, hadirin datang dari pelbagai lapisan masyarakat, aktivis, agamawan, cendekiawan, dipercayai ada sejumlah yang berpangkat, kerabat diraja dan sebagainya...


Ruang perniagaan disediakan untuk memperagakan pelbagai jenis barangan, suasana santai hadirin datang berwarna-warni pelbagai pakaian tetapi secara rata menggambarkan diri yang Melayu lagi Islam, ini semua pernah saya lihat hampir serupa 2 tahun lalu.


Beginilah keadaan acara pertama HIKMAH. Kalau tak percaya sila lihat gambar-gambar, cerita dan video melalui artikel kompilasi Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012. Bezanya di sini lebih banyak kerusi (HIKMAH pertama menyediakan lebih banyak ruang untuk duduk bersila), tidak ada tiang besar mengganggu pandangan ke pentas dan tidak ada show nasyid/lagu keagamaan.








Mungkin persamaan yang menerbitkan nostalgia ini berlaku kerana HaRUM terlibat sebagai salah satu penganjur. Seperti diakui dalam artikel Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH), penyertaan saya dalam HaRUM pada April 2012 adalah antara faktor yang membawa kepada HIKMAH mendapat nama.


Selain itu dua lagi badan yang menganjur, AKAR (Akademi Kajian Rumpun Nusantara) dan KEMUDI (Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam) juga ada kena mengena. Saya diberi tahu bahawa AKAR wujud sebagai satu pecahan atau spin-off dari HaRUM sedangkan KEMUDI pula diasaskan sejurus selepas pengasasnya Tun Suzana merasa membentang bersama HIKMAH awal tahun lepas, sekembalinya beliau dari 2-3 tahun menuntut ilmu agama di Hadramaut, Yaman. Lihat Acara ketiga HIKMAH di Marina Hall, Lumut 27 Jan 2013.


Isi pembentangan juga ada persamaan sebenarnya walaupun mengambil pendekatan yang berbeza. Ini disebabkan kami semua mahu mendaulatkan Melayu dan Islam lalu mendokong kuat institusi beraja sebagai rantaian untuk mewujudkan kembali kekhalifahan yang boleh membela umat Islam sejagat. Jika forum ini memiliki pensyarah atau felo dalam bidang undang-undang untuk menyatakan hak-hak raja di dalam perlembagaan, kami pada HIKMAH I pula telah mendapatkan seorang peguam berpengaruh di selatan tanah air untuk menyentul hal sama. Jika forum ada seorang pemimpin tariqat bercakap tentang akhlak raja, kami juga pernah mendapatkan seorang sheikh untuk bercakap tentang peranan Melayu akhir zaman. Pendek kata terdapat begitu banyak persamaan yang membuat saya tersenyum dan rasa nostalgik sepanjang acara. Perkongsian ilmu pada forum akan diulas dalam artikel sambungan. Tunggu... :]


Thursday, September 18, 2014

Perjalanan balik hari ke Pagoh - Misi tak disangka HIKMAH Sultan Alauddin...

Artikel ini ditulis di blogspot CATATAN SI MERAH SILU semalam. Oleh kerana ia melibatkan penganjuran acara HIKMAH akan datang biar dipaparkan di sini...


---------------------



Satu lagi cerita ringkas tetapi agak penting untuk suatu rancangan kedaulatan Melayu dan Islam.


Isnin baru ini saya berlepas ke masjid besar baru di Bukit Jelutong, Shah Alam. Tujuannya adalah untuk berjumpa seorang kenalan. Kebetulan saya belum pernah sampai ke masjid, cuma pernah melihatnya beberapa kali dari jauh. Saya pun mengambil gambar-gambar. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Kenalan ini baru seminggu gitu mendapat tahu tentang kewujudan makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Pagoh, Muar, satu-satunya makam Sultan Melaka yang dikenalpasti masih wujud di Malaysia. Beliau teringin hendak menziarahinya lalu meminta saya menemani dan menunjukkan jalan.


Kebetulan saya memang ingin ke sana dalam masa terdekat, untuk mengatur majlis terbaru HIKMAH. Tetapi disebabkan kurang belanja saya hanya dapat ke makam apabila kembali ke kampung bercuti Hari Raya Haji iaitu sekitar 4 Oktober. Agak lama perlu menunggu itu sedangkan saya perlu secepat mungkin mendapatkan kebenaran mengadakan majlis agar kawan-kawan dan mereka yang sudah lama mengikuti HIKMAH dapat merancang perjalanan juga percutian untuk datang. Ternyata permintaan untuk menunjukkan jalan adalah penyelesaian dari Allah... dapatlah menumpang kereta sampai ke sasaran tanpa mengeluarkan belanja.


Rancangan untuk mengadakan majlis di sekitar makam menjadi acara ke-11 HIKMAH sudah tercetus seawal Rabu 3 Sept lagi. Sejak itu sebenarnya saya menyimpan hajat untuk berurusan dengan pihak masjid, masjid yang terletak di sebelah makam tetapi belum kesampaian akibat kekangan masa juga belanja. Lihat artikel Beralih ke makam Sultan Melaka di Pagoh? di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Siapa sangka tiba-tiba diberikan jalan?



Sesungguhnya saya sudah banyak kali menziarahi makam sultan yang alim lagi soleh ini kerana letaknya cuma 20 km gitu dari rumah ibu bapa saya di Kampung Temiang. Tetapi baru kini timbul rasa untuk membuat majlis di sini, acara HIKMAH pertama dalam daerah kelahiran dan tempat saya membesar iaitu Muar. Selain wacana ilmu rancangnya mahu diadakan sekali majlis hol atau ulangtahun kemangkatan Sultan Alauddin lebih 500 tahun lalu. Kali ini baru saya betul-betul meneliti keadaan dan kemudahan masjid lalu mendapati apa yang sedia ada sudah cukup untuk mengadakan majlis sederhana besar, boleh menampung lebih 300 orang hadirin.



 
Alhamdulillah melalui maklumat yang terpapar pada satu bahagian dinding saya dapat menghubungi pengerusi masjid yang ketika itu baru kembali dari hospital besar di bandar Muar.



Saya memberitahu rancangan dan memberikan kertas kerja. Beliau bersetuju untuk membenarkan kegunaan masjid dan sedia menolong untuk mendapatkan kerjasama beberapa pihak lain termasuk pengerusi tanah perkuburan (kerana makam berada di bawah penjagaannya) dan ketua kampung.



Sungguh Allah mengatur segala sesuatu dengan penuh hikmah. Kalau ikut rancangan asal, saya mahu menunggu sehingga waktu Zuhur untuk bertemu imam lalu membincangkan hal penganjuran. Maka itu perkara dijangka selesai paling awal pun jam 2 petang. Alhamdulillah, pertemuan dengan pengerusi menyebabkan kami dapat meninggalkan masjid sebelum tengah hari. Dapatlah masa untuk bersiar-siar ke beberapa tempat yang tiada dalam rancangan.



Saya mulakan dengan membawa kenalan melihat masjid lama di Olak Sepam. Kebetulan ia terletak berhampiran tebing Sungai Muar,  kami pun menikmati pemandangan sungai. Lihat artikel Muar river in front of the old mosque of Olak Sepam di blogspot BERPETUALANG KE ACEH
.


Selepas itu kami mengambil jalan kampung menghilir sungai sehingga ke pekan Panchor. Kebetulan nampak papan tanda menyebut "Jom makan" dan kami pula sudah lapar. Apa lagi, singgah le kami. Sebelum makan sempat saya mengambil lagi gambar. Lihat Muar river from Panchor. Oh, di kanan adalah kenalan tersebut membawa sama seorang rakan. Maka kami keluar bertiga ya, bukan berdua-duaan...


Sungguh Allah juga mendengar apa yang terbetik di dalam hati hambanya. Sebetulnya saya teringin hendak makan mee bandung Muar yang terkenal di bandar Muar. Tapi nak ke sana perlu bergerak lebih 20 km ke arah barat-laut menjauhi Lebuh Raya PLUS sedangkan kami ada satu tempat di Melaka yang ingin diziarahi kalau ada masa... lokasinya lebih dekat jika keluar dari tol Ayer Keroh. Tengok-tengok di kedai tepi sungai ini pun ada mee bandung Muar. Malah lebih istimewa, ia dicampur udang galah.



Dari Panchor kami ke Grisek sebelum masuk lebuh raya melalui tol Bukit Gambir. Sampai ke Ayer Keroh kami memotong melalui kampus UTEM (Universiti Teknologi Melaka) sebelum ke lokasi yang dimaksudkan.  Lihat Old Machap mosque revisited. Kami berehat agak lama menikmati pemandangan. Sekitar jam 3.30 petang baru bersedia untuk kembali ke Lembah Klang.
.


Dengan mengambil jalan kampung ke Alor Gajah kemudian Lebuh Raya AMJ kami  menuju ke tol Simpang Ampat untuk masuk ke Lebuh Raya PLUS. Tengok-tengok ada kereta mewah dengan plet tertera "Undang Luak Naning" betul-betul di hadapan kami bergerak sama sehingga ke bulatan hadapan tol (lupa ambil gambar). Kebetulan sudah masuk kawasan Naning, sangat dekat dengan makam seorang pahlawan dan penghulu daerah itu yang sangat terkenal iaitu Dol Said. Saya fikir ini mungkin petunjuk untuk menziarahi makam lalu mengajak kenalan dan kawannya bertandang.


Ini memang tiada langsung dalam rancangan. Yang ada cuma persinggahan di masjid lama Machap, itupun kalau cukup masa selepas urusan utama berjumpa imam atau sesiapa yang berkenaan di masjid sebelah makam Sultan Alauddin selesai. Dari makam Dol Said saya membawa mereka menziarahi sejumlah makam lama yang terletak agak tersorok di belakang. Lawatan ini pula mencetuskan gerak rasa agar membawa mereka ke satu makam lain 1-2 km lagi perjalanan. Makam tersebut ditanda batu-batu megalithic atau batu hidup yang besar-besar.


Apa-apa hal pun kami perlu kembali ke Shah Alam sebelum Maghrib. Memandangkan tempat batu hidup ini cuma 3-4 km dari tol Simpang Ampat, mereka pun bersetuju untuk ke sana.  Rujuk artikel lama Megalith (of) Datuk Tua. Kewujudan batu hidup mencetuskan perbualan spontan yang dapat menjawab satu persoalan yang sudah lama terbuku dalam hati kawan kenalan. Ia adalah persoalan yang dia sendiri sudah lama lupa melibatkan perjalanan penghijrahan nenek moyang. 

Maka terkabullah hajat ketiga-tiga kami. Ini termasuk hajat kenalan untuk menziarahi makam Sultan Alauddin juga hajat saya untuk mendapatkan kebenaran mengadakan majlis di sekitar makam. Sungguh semua telah diatur. Cetusan rasa untuk mengadakan HIKMAH di sekitar makam telah membawa pembukaan perjalanan baru bagi seorang hamba Allah. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 1,221 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Semoga apa yang kami buat diberkati Ilahi, majlis yang dirancang mencapai matlamat perjuangan. Amin... :]



Wednesday, September 3, 2014

Beralih ke makam Sultan Melaka di Pagoh?

[33P8230098.jpg]


Adapun artikel ini bermula sebagai satu status update di Facebook. Tapi bila dah jadi panjang sangat saya fikir elok diletakkan di blogspot HIKMAH. Biar yang di FB digantikan dengan status ringkas berserta link atau pautan ke artikel ini (lihat sini). Untuk memahami keadaan yang menerbitkan penulisan berikut rujuk artikel Memecah tempoh rehat dengan bertandang ke Gunung Ledang yang dibuat 2 bulan lalu.


------------------



HIKMAH DI HADAPAN MAKAM SULTAN ALAUDDIN RIAYAT SYAH (MELAKA) DI PAGOH?

Semakin hari saya terasa rancangan untuk mengadakan acara ke-11 HIKMAH di Ledang seperti terhalang. Pada perasaan saya mungkin disebabkan ada beberapa pihak lain terlibat yang mana mengikut apa yang mereka mahu dan rancang acara keseluruhan harus menelan belanja yang besar. Sedangkan konsep HIKMAH sendiri adalah mengadakan acara keilmuan demi merancakkan perjuangan mendaulatkan Melayu dan Islam dengan belanja seminimum mungkin. Namun kami percaya kesannya cukup kuat sambil dapat menggalakkan mereka yang memiliki kepakaran mahupun pengetahuan untuk menabur ilmu secara sukarela juga amal jariah, satu konsep yang susah difahami oleh mereka yang biasa menjadikan acara-acara keramaian sebagai landasan untuk menerbitkan wang juga peluang-peluang perniagaan.

Maaf, saya harus meluahkan rasa ini kerana ia kuat berlegar di dalam fikiran sejak lebih 2 minggu lalu. Tak mengapalah jika luahan ini menjadi asbab HIKMAH dikeluarkan daripada rancangan untuk mengadakan acara di Ledang. Saya percaya reputasi kami sudah cukup kukuh setelah mengadakan 10 acara kedaulatan Melayu dan Islam di merata Semenanjung Malaysia sehingga luar negara ke Aceh. Kami tidak perlu mengejar nama atau merebut apa-apa pengiktirafan. Wujudnya dan terus berdirinya kami terutama diri saya sendiri sebagai peneraju walau sudah setengah tahun tidak aktif adalah untuk membantu pihak-pihak lain agar terus bersemangat meneruskan perjuangan. Hal inilah yang sering disebut kawan-kawan seperjuangan terutama dari Aceh apabila saya menyatakan niat mahu bersara. Maka untuk memenuhi harapan juga rasa tanggungjawab saya kata tidak jadi bersara, cuma mahu berehat menyiapkan penulisan yang tertunda (masih lagi tersangkut sebenarnya) sambil melihat dari belakang tabir sekurang-kurangnya buat suatu masa.

Sebagai seorang penulis saya sering mengikut mood meluahkan rasa apabila perlu. Kalau tak diluahkan apa-apa usaha termasuk penulisan boleh jadi tersangkut. Maka saya luahkan panjang lebar 2 perenggan di atas sebagai mukadimah untuk menyatakan hal seterusnya...



Baru-baru ini kawan-kawan di Aceh telah menyuakan gambar-gambar sambutan haul ke-385 Sultan Iskandar Thani yang diadakan di hadapan makam baginda di Banda Aceh. Untuk pengetahuan, baginda adalah seorang anak raja Pahang yang dijadikan menantu raja Aceh. Baginda sendiri kemudian menjadi Sultan Aceh. Majlis dibuat begitu ringkas dengan sebuah kemah melindungi peserta yang duduk bersila. Ini mengingatkan bagaimana acara ke-10 HIKMAH diadakan di bawah rumah tradisional Aceh. Lihat Acara kesepuluh HIKMAH di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014



Seorang kawan lalu mencadangkan agar dibuat penggiliran acara sebegitu, tahun ini tahun genap diadakan di Aceh, tahun ganjil seperti tahun hadapan iaitu 2015 diadakan di Malaysia dan begitulah seterusnya. Saya berkongsi status tersebut lalu menyebut begini : "Subhanallah. Semoga ada kawan2 di Malaysia dapat meneruskan gerak dengan mengadakan acara serupa. Kawan2 kita ramai yang berbakat menganjurkan acara. Buatlah. Semoga Allah SWT membantu dengan syafaat Rasul..."



Sebetulnya saya terasa penat hendak mengadakan apa-apa acara lalu cuba mengajak orang lain melakukannya. Tetapi apabila difikirkan balik berapa ramai sanggup mengadakan acara kecil di hadapan makam kalau tidak ada apa-apa imbuhan seperti duit dan peluang perniagaan, juga melonjakkan nama naik? Sambil itu timbul rasa sedikit bersalah kerana menyedari kawan-kawan di Aceh sangat berharap agar saya melakukannya. Kemudian seorang kawan lama yang pernah beberapa kali turut menjayakan acara demi acara HIKMAH menyatakan sokongan. Beliau malah bercadang untuk mengeluarkan dana sendiri demi mendapatkan sebuah dua khemah juga sistem bunyi atau PA termasuk hailer atau alat pembesar suara agar acara serupa boleh diadakan pada bila-bila masa tanpa terlalu bergantung pada pihak lain.

Tentunya saya amat gembira mendengar sokongan ini. Selain ada alatan sendiri yang memudahkan kami mengadakan acara, ia juga membolehkan kami untuk mengadakan acara di mana-mana ceruk rantau. Kami boleh pergi ke makam-makam raja, para wali dan pahlawan yang terletak jauh daripada kemudahan infrastruktur biasa. Tidak seperti sebelum ini di mana kami memerlukan dewan atau bangunan serupanya untuk berkongsi ilmu, kami boleh bergerak lebih bebas pergi ke tempat-tempat dengan tema tertentu sesuai dengan keadaan persembahan pada sesuatu masa.

Ketika itulah timbul ilham apa kata buat acara di makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja, Pagoh? Untuk pengetahuan ini adalah satu-satunya makam Sultan Melaka yang dipastikan masih wujud di Malaysia, lain sudah hilang jejak atau berada di luar negara. Malah ia bukan pun makam di tempat jin bertandang. Di sebelahnya wujud sebuah masjid yang cukup luas, ada pula bangunan lain yang kalau tak salah saya digunakan untuk menyimpan barangan masjid. Pendek kata sudah cukup infrastruktur untuk mengadakan acara. Tak perlu pun usung khemah ke sana ke mari tapi kalau ada apa salahnya?

Masyaallah, sejak menerbitkan HIKMAH 12 Oktoboer 2012 tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk mengadakan acara di situ. Baru kini timbul walhal letaknya cuma sekitar 25 km dari rumah ibu bapa saya di Muar. Nampaknya inilah hikmah yang muncul daripada cadangan untuk mengadakan acara ke-11 HIKMAH di Ledang tapi hingga kini tak nampak apa-apa perkembangan. Kalau selepas ini tiba-tiba timbul perkembangan hingga acara nenjadi juga maka saya akan mengotakan janji untuk menjayakannya. Tapi kalau tak jadi atau penyertaan HIKMAH dibatalkan lalu acara dijayakan oleh pihak lain, mungkin akibat penulisan ini saya tiada masalah. Sesungguhnya HIKMAH itu diterbitkan dengan konsep sukarelawan yang saya percaya amat mudah supaya ia dapat menjadi wadah perjuangan mendaulatkan Melayu dan Islam yang sejati, bukan lubuk mencari wang, peluang perniagaan mahupun mendapatkan nama untuk menaikkan mana-mana individu mahupun pihak apalagi kepentingan politik.

Untuk melihat keadaan sekitar makam Sultan Alauddin Riayat Syah juga tempat-tempat berdekatan sila rujuk artikel-artikel berikut. Ia pernah dikongsikan dalam blogspot-blogspot saya, CATATAN SI MERAH SILUBERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Nampaknya banyak juga artikel telah saya tulis melibatkan makam baginda. Bacalah. Samada HIKMAH di Ledang jadi atau tidak semoga yang di makam Sultan Melaka ini menjadi kenyataan. Amin.


Sultan Alauddin Riayat Shah: Satu-satunya Sultan Melaka yang makamnya masih wujud di Malaysia

Al-Rasyid jejak tanah di makam Sultan Alauddin Melaka...

Laksamana pulang ke Perak: Membuka detik baru di Muar

Makam Sultan Alauddin Melaka, kesan banjir dan ukiran lidah terjulur

Projek buku masjid - perjalanan selatan 3

Cerita projek buku masjid - Pulau Besar membawa ke Muar dan makam Sultan Alauddin

Gambar-gambar di Muar

Dari makam Sultan Alauddin ke Bukit Serindit, Melaka

Jalan-jalan lepas raya... Dari Muar ke Pagoh ke Melaka, entah le nak cari apa!

Salam Ramadhan... semoga berkat bulan mulia menghilangkan H1N1 dan segala macam kekalutan...

Dari Tok Bentayan ke Sultan Alauddin ke Tuanku Tambusai - Latihan awal Johan untuk pengembaraan akan datang

Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Singgah dahulu ke makam Sultan Alauddin

Seputar cuti raya Cina 2013 - Maulud di Pulau Besar, berpanji hitam dan berkeris di makam Sultan Alauddin

Meninjau persekitaran Ledang untuk HIKMAH akan datang

Masjid jamek (Main mosque of) Sultan Alauddin Riayat Shah I


Batu-batu nesan di makam Sultan Alauddin Melaka (Tombstones at the tomb of Sultan Alauddin of Melaka)


\

Nota tambahan (dibuat pada 21 Februari 2017) : Saya tak tahu kenapa dua buah gambar yang dilampirkan dalam artikel ini hilang, tidak dapat dipaparkan. Mungkin kerana saya telah membuat pautan terus pada website yang kini sudah hilang. Harap maaf jika hal ini mengganggu pembacaan...


PERKONGSIAN ILMU YANG TELAH DIBUAT HIKMAH SETAKAT INI

Ramai sudah sedia maklum bagaimana HIKMAH menggabungkan persembahan silat, budaya, pameran koleksi keris malah sesi berkuda juga memanah untuk memeriahkan acara. Namun teras utama acara tetap perkongsian ilmu yang dibuat dalam bentuk pembentangan seperti seminar sebelum diikuti sesi berkumpulan. Dengan ini biar dikongsikan tajuk-tajuk kertas kerja yang telah dibuat setakat ini...

“Suai Kenal HIKMAH” atau HIKMAH I di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Perlembagaan Negara dan Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja – Mohd Faizal Ahmad, peguambela dan peguamcara


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


4. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


5. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


6. Ragam Hias Gunungan Mihrab dan Mimbar di Alam Melayu – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan Idris


7. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


8. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


9. Keris ke arah Penyatuan Alam Melayu – Khairul Azhar Abdul Karim, YDP Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur


10. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


11. Dari Srivijaya ke Batu Bersurat Terengganu : Perjalanan Melayu Merentas Zaman Menggamit Peranan – Mohd Syukri Embong, YDP Persatuan Belia Waja Watan




“Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” atau HIKMAH II di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 November 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


3. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


4. Ragam Hias Gunungan Mihrab di Acheh dan Tanah Melayu (1600-1900) – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan


5. Busana tradisional Melayu sebagai Lambang Jiwa Merdeka – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


6. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Ancaman Terhadap Situs Bersejarah Kerajaan Lama Lamuri : Usaha untuk Memperkasakan sejarah Aceh yang hilang Melalui Pemeliharaan Makam-makam - wakil dari badan NGO Mapesa (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh)


9. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


10. Panji-panji hitam dari Timur : Peranan bangsa Melayu Akhir Zaman – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh


“HIKMAH Berselawat : Menjejak Pendekar, Ahlul Bayt dan Mendaulat Sultan di tanah Gangga Negara” atau HIKMAH III di Marina Hall, Lumut 27 Januari 2013


1. Alter Terahsia Melayu – Srikandi, pengkaji sejarah Melayu dan seorang penulis blog yang agak misteri tetapi diminati ramai terutama melalui blog Mistisfiles


2. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Ahlul Bayt Rasulullah SAW & Warisan Melayu – Tun Suzana Othman, penulis buku tentang Ahlul Bait dan raja-raja Melayu juga ulamak silam


4. Siapakah itu Melayu? – Tuan Haji Halim Bashah, penulis, pengumpul koleksi sejarah negeri Kelantan, wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan


5. Ahlul Bayt sebagai Perisai Agama,Bangsa dan Negara - Habib Abu Aswad ibn Zakaria Al-Kubra, mudir Madrasah Ahbabul Mustafa, Kelantan


6. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Sajak Melayu – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


9. Kebangkitan Panji-panji Hitam Melalui Pembatalan Sihir Perjanjian Pangkor - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”

HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013


1. Motif Langkasuka Dalam Kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR


2. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Abd Arif, calon PhD seni UPSI


3. 'Seni Khat Melayu': Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


4. Sejarah dan Tempat-tempat Signifikan di Kelantan : Langkasuka, Empayar Chermin hingga ke Zaman Raja K'Umar – Mohammad Iddham, Kelab Pencinta Sejarah Kelantan


5. Sejarah Kelantan Membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan Kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong


6. Sheikh Ahmad al-Fathoni dan para Ulamak Pantai Timur : Kenapa Kelantan dipanggil Bumi Serambi Mekah? - Ustaz Zaidi Hassan dari Masjid Salor, Pasir Mas, Kelantan


7. Apa yang Perlu dilakukan untuk Menjayakan Perjuangan Dinar Dirham dan Muamalatnya : Peranan HIKMAH dan Kaitan dengan Cap Mohor Diraja - Ustaz Muhammad Hassan Zaid bin Ramli dari As-Saff Madani Islamic City


8. Praktik Dinar dan Dirham untuk Kesultanan dan Umat Melayu – Mazli Alias dari kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


9. Dari Langkasuka ke Serambi Mekah : Kedaulatan Melayu dan Islam – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH


“HIKMAH Isra’ dan Mi’raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu” atau HIKMAH V di Masjid Makmur Losong, Kuala Terengganu 5-8 Jun 2013


1. Aplikasi Dinar dan Dirham sebagai Wadah Pendaulatan Islam sedunia : Pasar Terbuka Masjid - Puan Norbaini Hassan, Perunding Dinar & Dirham


2. Hubungan Syarif Al-Baghdadi dan Tok Pulau Manis dengan Islam di Nusantara - Fokus Salasilah Tok Syeikh Pulau Manis - Cikgu Najib Badruddin, Pengkaji sejarah dan waris Tok Pulau Manis dari Kelantan


3. Antara Muhammad al-Baghdadi dan Muhammad Nafs al-Zakiyah : Pengalaman Peribadi Menjejak Makna hingga ke Terengganu - Radzi Sapiee, pengasas dan presiden HIKMAH


4. Dinar dan Dirham dan Kesultanan Masa Kini – Umar Azmon Amir Hassan, Penggiat Dinar dn Dirham kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


5. Tasawuf, Tamadun Melayu dan Khilafat Uthmaniyyah – Halit Osmanli An-Naqsyabandi, Sheikh tariqat Naqsyabandiah-Haqqani


6. TokKu Paloh dari aspek Sosiologi Ekonomi Masyarakat - Razi Yaakob, Pensyarah UnisZa (Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu)


7. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 -Mohd Zahamri Nizar, Aktivis seni rupa Melayu


8. Jejak dan Legasi Tok Ku Paloh dan Keluarga - Dr Syed Lutfi bin Syed Umar, Pensyarah Unisza


9. Batu Bersurat Terengganu, Mesej untuk Umat Akhir Zaman - Rashid Hamat, Ketua Bahagian Sejarah, Muzium Negeri Terengganu


HIKMAH Merdeka Raya atau HIKMAH VI di Galeri Shah Alam 7 September 2013


1. Hasil kerja seni sebagai Wadah Memartabatkan Melayu dan Islam - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


2. Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya – Puan Zaharah Sulaiman, penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu - Shamsul Yunos, bekas wartawan Malay Mail dan aktivis media bebas


4. Pernyataan HIKMAH Melaka sebagai blue print kebangkitan Ummah - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH

Festival Ketamadunan Dan Adat Istiadat Melayu Mukmin Nusantara atau HIKMAH VII di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 November 2013


1. Zuriat Nabi SAW dan Islam di Nusantara : Sejarah, Hijrah dan Hikmah - Tun Suzana Othman, penulis buku“Ahlul Bait dan Raja-Raja Melayu” dan Ustaz Mohd Iqbal Parjin dari KEMUDI ((Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam)


2. Fiqh al Adat Muhakkamah dalam Hikayat Raja-raja Melayu oleh Farha Muhammad - Nur Shazwani Sadzali dari Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan



Rumahku Syurgaku @ HIKMAH VIII di Baitul Hikmah, Sungai Buaya, Rawang, Selangor 8 Februari 2014


1. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 oleh Mohd Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu


2. Ruang Mihrab Rumah Rasulullah SAW dan Perkaitannya dengan Falsafah Gunungan bersumberkan Al-Quran oleh Puan Harleny Abd Arif, pengkaji dan calon PhD seni UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris)

Mutiara HIKMAH @ HIKMAH IX di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Februari 2014


1. Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang - Roslan Saadon dari NGO Peradaban


2. Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu - Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos, wartawan dan aktivis media bebas


4. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


5. Ancaman terhadap Akidah Umat Islam - Sheikh Raja Aman bin Raja Mokhtar, pemimpin Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah

HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda @ HIKMAH X di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014



1. Pengenalan HIKMAH – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


2. Sahibul Hikayat Bustanus Salatin - Muammar Farisi dari SILA (Sejarah Indatu Lemuria Aceh)


3. Pelestarian Situs Sejarah dan Budaya di Aceh - Teuku Zulkarnaian dari Dinas Budaya dan Parawisata (Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan) Aceh, juga Raja Nagan, raja bagi negeri kecil Nagan di bawah Aceh Darussalam.