
Salam Jumaat. Pada artikel
Lokasi tepat HIKMAH Beruas 8 Ogos dan atur cara terbaru yang dibuat 3 hari lalu saya ada memberitahu lokasi acara telah dimuktamadkan mahu diadakan di sebuah chalet di Kampung Bakar Bata, sekitar 12 km ke selatan pekan Beruas. Pagi tadi saya baru menerima berita pertukaran lokasi ke kampung berdekatan. Nasib baik ia tidak mengganggu kerana lokasi baru cukup dekat dengan yang lama. Biar di
copy paste update berkenaan yang diletakkan di Facebook...
--------------
LOKASI HIKMAH BERUAS 8 OGOS DIALIH KE KAMPUNG BANJAR
Salam pagi Jumaat. Hari ini tergerak saya untuk membuat senarai tempat2 yang mahu diliputi dalam sesi lawatan lapangan HIKMAH Beruas yang mahu diadakan Ahad 9 Ogos. Tapi sebelum itu biar dikongsi berita pertukaran yang baru diterima tadi. Saya diberitahu jawatankuasa penganjur tempatan telah membuat keputusan untuk mengalihkan acara ke dewan orang ramai di Kampung Banjar, Beruas. Ini adalah sekitar 1.2 km ke selatan lokasi acara yang diumumkan sebelum ini iaitu di Chalet Md Tan, Kampung Bakar Bata.
Saya belum melihat sendiri dewan ini tetapi dimaklumkan kemudahan yang ada lebih baik berbanding di Kampung Bakar Bata. Dengan itu majlis ilmu Sabtu 8 Ogos akan diadakan di situ, begitu juga taklimat dan perkumpulan untuk lawatan lapangan 9 Ogos. Insyaallah juga akan diadakan aktiviti seperti bacaan puisi pada malam 8 Ogos di dewan ini. Ini bergantung pada kesediaan mereka yang terlibat apabila sampai waktunya memikirkan, selepas majlis ilmu hadirin perlu berehat sebelum menyertai lawatan lapangan keesokan harinya.
Seterusnya saya membuat
update ini di FB...
--------------
PENGGAMBARAN DOKUMENTARI "DAULAH MELAYU" PADA HIKMAH BERUAS
Nampaknya saya harus membuat status terbaru HIKMAH Beruas secara berperingkat baru rasa beres. Tadi dah sebut pasal pertukaran tempat acara ke Kampung Banjar sekarang kena kongsi bab ini sebelum menyenaraikan tempat2 bersejarah yang akan dijejaki pada sesi lawatan lapangan.
OK. Rasanya ramai sudah tahu tentang penglibatan saya dalam satu projek dokumentari bernama "Daulah Melayu". Selain menjadi penyelidik saya juga hos lalu harus mengembara ke merata tempat termasuk ke benua Eropah untuk menjayakan projek bersiri yang memakan masa 2 tahun ini. Pihak produksi kami telah bersetuju untuk membuat penggambaran semasa HIKMAH Beruas 8 Ogos nanti. Paling utama mereka mahu mengekori perjalanan dan tempat2 yang diliputi semasa lawatan lapangan 9 Ogos.
Penggambaran dibuat dalam 2 kapasiti. Satu adalah untuk menunjukkan aktiviti saya sebagai hos yang sering terlibat dengan acara2 memartabatkan sejarah dan ketamadunan Melayu. Satu lagi adalah untuk bercerita tentang kerajaan Beruas yang terkait dengan kerajaan lebih lama iaitu Gangganegara itu sendiri. Dengan itu hadirin akan menjadi sebahagian daripada isi dokumentari. Semoga ini dapat menyemarakkan lagi semangat semua untuk berjuang demi kedaulatan Melayu dan Islam di bumi timur ini.
--------------
Dua update di FB ini muncul demi untuk menerangkan sesuatu. Sekarang barulah kita ke cerita utama, lawatan lapangan ke tempat-tempat bersejarah yang mahu diadakan Ahad 9 Ogos iaitu sehari selepas majlis ilmu Sabtu 8 Ogos...
Disebabkan perubahan lokasi acara adalah cukup dekat berbanding lokasi dahulu maka peta atas yang dipersembahkan dalam artikel
Lokasi tepat HIKMAH Beruas 8 Ogos dan atur cara terbaru3 hari lalu masih terpakai. Peta ini juga melingkungi tempat-tempat yang boleh dilawati demi menjejak sejarah lama kerajaan Beruas dan kerajaan lebih lama Gangganegara. Biar disenaraikan tempat-tempat yang mahu dilawati seperti diberitahu kepada saya pagi tadi...
1. Bukit Shamsul Baharin
Bukit ini terletak kira-kira 7 km ke utara lokasi baru acara iaitu dewan orang ramai Kampung Banjar. Penanda dalam peta berwarna merah masih terpakai untuk menunjukkan lokasinya. Terdapat pelbagai cerita mistik dikaitkan dengan bukit ini, biar pengkaji tempatan menceritakannya nanti semasa sesi ilmu 8 Ogos diikuti taklimat lawatan lapangan 9 Ogos. Saya cuma tahu ada gua berdekatan puncak yang mana ramai pernah terlihat harta karun daripada jauh termasuk pengembara Mat Saleh zaman penjajahan British dahulu namun tiada siapa dapat mengambilnya.
Lagi satu adalah asal-usul nama bukit. Biar diulang, menurut cerita tempatan kerajaan Beruas diasaskan oleh seorang anak Raja Aceh bernama Malikul Mansur. Ini sebenarnya merujuk kepada Sultan Malikul Mansur, cucu kepada Sultan Malikus Saleh yang mengasaskan kerajaan Samudera dan Pasai hampir 800 tahun lalu, 300 tahun kemudian ia diserap ke dalam kerajaan Aceh. Kitab Hikayat Raja-raja Pasai menyebut, Sultan Malikul Mansur mewarisi kerajaan Samudera setelah kemangkatan Malikus Saleh. Kekanda baginda Sultan Malikul Mahmud pula telah lebih awal mewarisi kerajaan Pasai.
Namun Malikul Mansur dibuang daripada kerajaan oleh kekandanya akibat mengambil perempuan dari istana Pasai. Hikayat Raja-raja Pasai menyebut baginda dibuang ke Temiang, berhampiran sempadan Aceh-Sumatera Utara sekarang sedangkan kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu menyebut baginda dibuang ke Manjung iaitu berdekatan Beruas sekarang. Selepas membuka Beruas baginda didatangi 2 orang sahabat dari Aceh, Shamsul Baharin dan Daik Ismail lalu menjadikan mereka pembesar. Shamsul Baharin menjadi pemerintah Beruas apabila Malikul Mansur dipanggil kembali ke Aceh. Namanya diabadikan pada bukit kerana dipercayai bersemayam di sekitar situ...
2. Kampung Kota
Kampung ini terletak di tepi jalan Sitiawan-Beruas berhadapan Bukit Shamsul Bahrin. Dipercayai pernah ada kota lama yang besar di sini tetapi yang tinggal adalah sejumlah makam berbatu nesan Aceh. Secara rata pengkaji luar lebih mengenali kampung ini sebagai peninggalan zaman kegemilangan Beruas disebabkan makam-makam yang ada.
3. Muzium Beruas
Terletak di hujung pekan Beruas ia menempatkan relik-relik atau barangan lama yang dipercayai tinggalan lama kerajaan. Saya diberitahu muzium ini terbit hasil ekspedisi tajaan kerajaan Perak yang diadakan tahun 1991. Sedangkan ekpedisi kerajaan adalah susulan daripada ekspedisi-ekspedisi. anak tempatan untuk merungkai misteri kebesaran kerajaan Beruas. Lihat artikel-artikel berikut...
Lawatan ke Muzium Beruas dapat memberikan kefahaman yang baik tentang apa yang perlu diiliputi demi memahami sejarah kerajaan Beruas dan Gangganegara. Ini juga membawa kepada lawatan ke kawasan yang dipercayai tapak pelabuhan lama, dalam lingkungan pekan.
4. Kampung Dendang
Saya dah penat memberikan huraian. Cukuplah disebut kampung ini terletak sekitar 4-5 km ke timur pekan Beruas iaitu di tepi jalan ke Ipoh. Di situ katanya ada tempat dipanggil pintu gerbang, nampaknya merujuk pada pintu gerbang kerajaan. Lebih menarik ada kawasan yang jika dipijak mengeluarkan bunyi seperti gendang dipalu. Katanya ini menunjukkan kawasan di bawah bumi situ kosong, ada ruang tinggalan daripada zaman lama kerajaan.
5. Kampung Che Putih
Yang ni saya cuma tahu menghala ke barat pekan iaitu jalan ke Taiping. Katanya ada lokasi menunjukkan keberadaan kerajaan purba Gangganegara.
6. Kampung Pulau Meranti
Ada sejumlah makam-makam di sekitar kampung. Banyak barangan lama telah ditemui di kawasan ini
7. Ladang berdekatan Pulau Meranti
Satu bukit dalam ladang berkenaan dipercayai adalah lokasi batu bersurat Beruas yang misteri pernah dilihat pencari rotan 30 tahun lalu. Tetapi sejak itu tidak pernah ditemui.
Lain-lain tempat
Terletak lebih jauh sikit tetapi masih dalam lingkungan yang mampu diliputi dalam lawatan lapangan adalah tempat-tempat legenda seperti Makam Puteri Bunian, Padang Antah Berantah dan Kota Kulit Kerang. Sebetulnya banyak cerita berkaitan kerajaan lama Beruas juga Gangganegara boleh ditelusuri melalui lokasi-lokasi dalam lingkungan 20-30 km daripada pekan Beruas. Ada antara tempat-tempat ini pernah diceritakan dalam siri novel terkenal "Bercakap dengan Jin" kerana memang cerita di dalamnya berlaku dalam lingkungan yang dimaksudkan.
Tetapi ini cuma akan dilakukan jika ada permintaan, masa dan tenaga. Secara rata lawatan lapangan ini akan cuba merungkai banyak perkara termasuk yang bersifat mistik tentang kerajaan-kerajaan lama yang pernah wujud di sekitar ini. Sesungguhnya ini bukanlah kerja enteng. Ia adalah satu misi besar yang saya percaya ada kaitan dengan kebangkitan Islam di akhir zaman. Untuk membaca pengalaman saya sendiri menjejak tempat-tempat ini lihat artikel-artikel berikut di
blogspot CATATAN SI MERAH SILU :- :-
Nota : Banyak lokasi pernah dijejaki tetapi masih banyak juga yang belum pernah saya sampai. Apapun saya diberitahu semua lokasi dapat dicapai dengan kenderaan ringan seperti kereta biasa, tidak perlu 4WD. Secara rata ada jalan kampung menuju ke semua tempat. Walaupun ada yang masuk lebih ke dalam kita tak perlu pergi begitu jauh. Misalnya Bukit Shamsul Bahrin. Kawasan paling menarik dan misteri adalah menghampiri puncak, perlu trekking jalan kaki mendaki bukit ke dalam. Tapi kita tidak akan pergi sejauh itu kerana banyak tempat hendak diliputi dalam masa terhad dan kami tidak mahu orang penat. Sebaliknya kami akan menggunakan jalan yang boleh dicapai kereta sedalam yang mungkin, cukup agar semua orang dapat melihat keistimewaan setiap tempat. Selepas itu kalau ada yang mahu lebih adventure boleh atur sendiri sesi pengembaraan kemudian.