Adapun apa yang diterbitkan ini adalah sebahagian daripada
batch atau kumpulan pertama dirham HIKMAH. Disebabkan ia hasil terbitan kami buat julungkalinya, setiap dirham dalam kumpulan ini diberikan nombor siri daripada 1 atau 0001 hingga 1313. Ertinya sejumlah 1,313 keping dirham mahu diterbitkan dengan setiap satu memiliki nombor siri. Dirham-dirham ini dijual dengan harga serendah RM30 hingga RM500 sekeping bergantung pada nombor. Rujuk penerangan berkenaan dalam artikel
Dirham HIKMAH - Serial No. Booking, UPDATE di
blogspot QC dirham and dinar milik sahabat saya Amirul.
Lalu ada yang bertanya kenapa terdapat perbezaan harga berdasarkan nombor? Apakah kami mahu menjual nombor dengan harga yang tinggi seperti kedai Cina menjual nombor telefon cantik? Izinkan saya memberikan penerangan berdasarkan apa yang saya faham tentang keseluruhan konsep duit dinar dan dirham juga penjelasan daripada Amirul.
Mula-mula saya hendak bercakap tentang kos. Nak terbitkan dirham ni bukan boleh petik duit atau dana dari atas pokok atau cakap sembang lebat sampai pokok tumbang, duit boleh sendiri keluar daripada perut bumi. Nak terbitkan dirham perlukan belanja yang cukup besar. Biar dibahagikan kos seperti berikut :-
a) Harga muka berdasarkan nilai 'ain atau zat dirham itu sendiri - Ini merujuk pada harga berdasarkan satu dirham itu harus dibuat daripada perak tulen pada satu berat piawai. Terdapat khilaf tentang berat piawai tersebut. Kami mengikut keputusan syarak yang menyatakan berat satu dirham adalah 2.975 gram.
b) Kos cetak - Nak cetak dirham bukan boleh main cop pakai tangan ke hapa atau tulis maklumat atas duit dengan taik hidung mahupun copy paste artikel orang di Internet. Kena buat acuan ataupun mould dan ini sahaja dah menelan belanja ribuan ringgit. Kena masuk sekali kos buat reka bentuk ataupun design juga kos minting atau cetak di kilang.
c) Kos sampul/packaging - Ini satu lagi perkara tak boleh petik kat pokok. Pakai plastik pasar malam pun tak boleh. Setiap dirham perlu dilindungi dengan sampul yang bersesuaian supaya tahan lama dan tidak rosak. Keperluan dan kehendak orang zaman sekarang juga mengharuskan agar dibuat kad menunjukkan maklumat tentang dirham. Dah kena buat sekali design dan ini semua memerlukan belanja tambahan.
d) Kos operasi - Nak buat segala kerja sehingga jadi dirham itu semua memerlukan perancangan yang teliti selain sedikit tenaga empat kerat. Kemudian nak pegang, nak simpan, nak edarkan, nak jual, promosi/hebahan. Semua itu kena keluar belanja. Boleh buat sorang-sorang aje ke atau perlu pakai pekerja/kakitangan? Semua itu ada kos.
Antara perkara yang dipersoalkan orang adalah bukankah duit dirham ini diterbitkan supaya kita dapat sedikit demi sedikit keluar daripada sistem kewangan duit kertas dan sebagainya yang hidup berasaskan perbankan penuh riba'? Kalau begitu kenapa kena letak harga macam-macam? Kenapa tidak harga asas berdasarkan nilai logam atau harga semasa perak?
Sebetulnya itulah ideal atau sasarannya seperti pernah berlaku ketika kerajaan-kerajaan Islam seluruh dunia masih berpegang 100% pada sistem kewangan yang sebetul-betulnya mengikut syariat. Ketika itu semua kerajaan Islam termasuk Kesultanan Melaka dan Aceh mengeluarkan duit dinar dan dirham sendiri atau yang serupa dengannya seperti kupang. Yang penting dan wajib nilai duit mesti terletak pada 'ain atau zat duit itu sendiri. Tidak seperti wang kertas yang mana nilai sebenar kertasnya cuma berapa sen sahaja tetapi DIBERI nilai sah guna sehingga RM100 dan sebagainya. Sedangkan pada zat duit atau wang itu sendiri mana ada nilai.
Tetapi itu kalau kerajaan masih bertanggungjawab menerbitkan dinar dan dirham sebagai matawang untuk kegunaan rakyat berjual-beli atau bermuamalat. Kalau kerajaan masih bertanggungjawab, kos-kos yang disebut di atas itu cuma tinggal Kos a) iaitu harga muka sahaja . Ini kerana menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyerap Kos b) iaitu kos percetakan juga Kos d) iaitu kos operasi. Kos c) iaitu kos sampul/packaging pula harus tidak timbul langsung kalau kerajaan masih bertanggungjawab menerbitkan dinar dan dirham sebagai matawang untuk kegunaan rakyat berjual-beli atau bermuamalat. Ini kerana duit dinar dirham akan jadi seperti syiling kita sekarang. Ia adalah kegunaan biasa dan sah diperlakukan di mana-mana tanpa kita risau jika duit itu tercalar, sudah lapuk atau dah diselaputi kotoran sehingga menjadi hitam. Yang penting nampak perisytiharan nilai pada duit, apakah 1 dirham, 2 dirham atau sebagainya.
Disebabkan dinar dan dirham bukan lagi kebiasaan maka sampul berserta maklumat diperlukan sebagai jaminan kualiti dan ketulenan. Kalau tidak orang akan tolak atau menganggap nilai dah kurang apabila mahu membuat urusan menggunakan dirham walhal nilai sebenar sama aje asal ketulenan logam dan berat piawaian tidak tercemar. Di sini biar diberitahu dirham HIKMAH yang kami keluarkan ini lebih pada usaha individu. Saudara Amirul yang juga ahli biro ekonomi HIKMAH mengeluarkan belanja daripada sumber sendiri, saya sebagai presiden dan pengasas HIKMAH membenarkan dan endorse... memberikan sokongan setelah puas hati dengan reka bentuk dan sebagainya mengambil kira sudut pandang saya.
Disebabkan ini sebenarnya usaha individu tetapi atas nama pergerakan tidak formal HIKMAH, bukan usaha kerajaan, kami tidak dapat lari daripada berdepan dengan Kos a), Kos b) dan Kos c) yang tinggi. Dan disebabkan terhadnya dana, kami belum dapat menerbitkan cukup banyak dirham lalu mendapat faedah daripada konsep economy of scale. Untuk pengetahuan ini merujuk pada keadaan di mana kos penerbitan setiap barangan menjadi semakin berkurangan dengan bertambahnya jumlah barangan yang dikeluarkan. Jika jumlah barangan cukup banyak Kos a), b) dan c) (kalau ada pun) jadi terserap hingga tidak lagi terasa dan kelihatan.
Ingat. Dirham HIKMAH ini baru batch atau keluaran pertama. Kalau mahu bertahan lalu dapat mengeluarkan lebih banyak dirham (dan insyaallah nanti duit dinar emas yang jauh lebih mahal) kami wajib dapat menampung kembali kos penerbitan keluaran awal. Untuk itu kami mengambil kesempatan atas konsep novelty di mana suatu barangan itu mendapat harga lebih tinggi kerana wujud nilai tambah disebabkan ada orang minat untuk mengumpul. Hal ini sama seperti kenapa barangan antik dapat dijual pada harga yang lebih tinggi walhal ia barangan lama dan buruk berbanding barangan baru. Begitu juga orang sanggup membeli duit siling 50 sen tahun 1960an ke hapa sampai harga RM50,000 gitu. Ini disebabkan nilai novelty lalu ada orang sanggup membayar harga yang tinggi untuk memilikinya.
Barangan sebegini juga dikenali sebagai collectibles... barangan yang orang suka kumpul sebagai simpanan untuk kesukaan diri sendiri mahupun hobi. Hal ini seperti ada orang suka mengumpul stem pelbagai negara daripada pelbagai zaman. Ada pula suka mengumpul mainan patung Superman dan lain-lain adiwira terkenal komik. Ia boleh menjadi investment atau pelaburan yang memberikan keuntungan apabila ada orang lain sanggup membeli daripada kita dengan harga yang lebih tinggi,
Dalam dunia dinar dan dirham sendiri ada banyak keluaran dicari dan dikumpulkan atas nilai novelty dan collectibles selain nilai zat logam itu sendiri. Misalnya duit campuran 1/8 dinar (emas) bercampur 1 dirham (perak) yang diterbitkan 5,000 keping sahaja (kalau tak salah) sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang sedang berlangsung kini. Berbalik pada dirham HIKMAH batch atau keluaran pertama yang bernombor siri 1 sehingga 1,313. Ia sebenarnya adalah keluaran terhad, selepas itu tidak akan dibuat duit satu dirham HIKMAH bernombor siri lagi. Untuk makluman kos percetakan jadi bertambah disebabkan nombor itu sendiri. Saya diberitahu, setiap keping dirham bernombor perlu dibayar RM4 extra untuk kos cetakan nombor. Ini disebabkan ada penambahan logam perak berserta kos cetak khas akibat nombor harus dicetak satu persatu kerana tidak boleh dibuat melalui acuan asal.
Maka itu dirham bernombor itu sendiri sudah lebih mahal daripada dirham biasa. Disebabkan ia keluaran terhad dan bernombor pula timbul nilai novelty. Disebabkan manusia secara semulajadi memang suka pada nombor-nombor tertentu maka jadilah harga berbeza-beza menurut nombor. Harga berbeza-beza disebabkan faktor novelty dan collectibles inilah yang dijangka dapat menampung kembali kos percetakan keseluruhan lalu boleh dibuat percetakan keluaran seterusnya. Kalau tak buat begini kami setakat mampu sembang lebat aje le macam kebanyakan orang yang kaki kritik tanpa tahu duduk letak hujung pangkal perkara. Cerita dan cita-citanya hebat. Hasilnya tak ke mana. Setakat dapat sedapkan hati sendiri sambil menipu orang yang kurang tahu supaya kelihatan terkehadapan dalam perjuangan walhal hakikatnya jauh panggang daripada api..
Apabila kos keluaran awal dapat ditampung kembali baru dapat dikeluarkan duit 1 dirham HIKMAH umum yang tiada nombor siri. Baru dapat dikeluarkan dalam jumlah yang lebih banyak untuk menepati tujuan sebenar kami supaya duit dinar dan dirham dapat kembali menjadi alat jual beli dan muamalat semua umat Islam akhir zaman ini. Ketika itu harga jualan tidak lagi dibezakan disebabkan nombor dan ia juga lebih murah berbanding sekarang. Ini disebabkan kos terbesar selain harga logam iaitu acuan sudah dapat dilupuskan. Kos sampul/packaging juga dapat dikurangkan dengan ketara melalui penggunaan sampul yang lebih sesuai dengan sifat umum dirham.
Malah kos tersebut boleh dilupuskan terus jika dirham kembali menjadi kebiasaan sehingga dapat digunakan secara menyeluruh dalam berjual-beli. Cuma kena ingat ya. Kita ni sebenarnya sedang hidup dalam dunia akhir zaman yang dikuasai konco-konco Dajjal lalu sentiasa cuba dihalang daripada menerbitkan negara Islam sebenar. Ada undang-undang termasuk di negara kita Malaysia ini yang menghalang duit dinar dan dirham digunakan sebagai matawang sah. Nasib baik ia tidak boleh menghalang kita daripada menggunakannya atas konsep barter trade atau pertukaran barangan. Disebabkan nilai dirham dan dinar itu sedia ada pada 'tubuh badannya' maka ia sendiri adalah suatu jenis barang lalu boleh ditukarkan dengan barangan lain juga perkhidmatan yang senilai.
Tetapi itu semua cerita apabila dinar dan dirham sudah dapat digunakan secara berleluasa. Buat masa ini sekurang-kurangnya bagi pihak kami nak berusaha supaya ia menjadi kelaziman pun adalah satu cabaran yang sangat getir. Terbitkan dirham HIKMAH pun pakai duit sendiri... duit poket tahu, bukan ada syarikat atau badan berkedudukan sponsor. Jadi tolonglah faham kami kena buat keluaran awal dengan harga berbeza-beza, daripada RM30 hingga RM500 sekeping berdasarkan nombor untuk menampung kos supaya lebih banyak dirham dapat dikeluarkan.
Kalau tak faham atau tak dapat terima konsep novelty dan collectibles untuk harga yang lebih tinggi sekurang-kurangnya anggaplah sebagai sumbangan jariah demi menolong kebangkitan ummah. Proses novelty dan collectibles ini cuma akan diteruskan apabila kami membuat keluaran-keluaran lain yang memerlukan acuan-acuan baru. Misalnya duit 2 dirham, 1 dinar (insyaallah akan dikeluarkan kalau tak pun 1/2 dinar) dan sebagainya. Keluaran terhad bernombor siri akan kami buat lagi untuk menampung kos awal. Selain itu kami akan cuma keluarkan duit dirham dan dinar umum yang harganya mendekati nilai pasaran logam berkenaan sedapat mungkin.
Hari ini iaitu 3 hari kemudian baru saya menulis artikel ini yang lebih jelas menerangkan juga mempromosikan usaha. Maka biar ditambah. Walaupun saya lama menyepikan diri sahabat saya Amirul tidak pernah berhenti daripada memajukan usaha penerbitan dirham HIKMAH ini. Sukacita dimaklumkan ia kini sudah beredar di merata Malaysia malah sudah sampai ke Amerika dan Eropah. Untuk maklumat lanjut juga terkini sila rujuk blogspot QC dirham and dinar juga FBnya di sini. Boleh juga lihat dalam blogspot Qiblah Consulting dan Matawang Sunnah.