Pagi Selasa 3 September 2019 bersamaan 3 Muharram 1441 Hijriah. Setelah sampai ke Banda Aceh jam 12 malam kemudian menginap di rumah kawan kami, si Fadhlan Amini dekat Ulee Kareng kami bergerak 6-7 km ke Punge Blang Cut untuk sampai ke bangunan rumah ini.
Tempatnya mungkin kelihatan ringkas, seperti tiada apa-apa daripada luar. Tetapi di dalamnya mengandungi khazanah ilmu dan barangan yang pada saya amat hebat. Ini kerana ia merupakan hasil kajian dan koleksi sejumlah anak muda penggiat sejarah yang rajin turun padang menyelamatkan tapak-tapak sejarah juga mengumpul manuskrip, senjata dan wang lama dengan duit poket sendiri tanpa bantuan mana-mana badan kerajaan. Terwujudlah sebuah muzium swasta yang saya lihat memiliki koleksi yang mampu menandingi muzium-muzium kerajaan. Lihat artikel
Muzium (Museum of) MAPESA-Pedir, Banda Aceh di
blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Acara memakai nama tempatan "Majelis Silaturrahim Penggiat Sejarah & Budaya Aceh-Malaysia". Badan NGO pelancongan bernama Majelis Parawisata Aceh (MPA) adalah penganjur utama. HIKMAH dikira sebagai salah satu penganjur utama. Kami melabelkannya sebagai sebahagian daripada acara ke-21 HIKMAH yang bermula sejak 1 Muharram.
Jam 9.50 pagi setelah cukup ramai hadirin mengambil tempat Ustaz Mujiburrizal yang merupakan seorang personaliti televisyen juga pemegang jawatan duta Muzium Aceh memberikan pengenalan tentang acara dan HIKMAH. Untuk pengetahuan beliau adalah penasihat bagi banyak NGO anak muda dan para penggiat sejarah Aceh. MPA juga berada di bawah pimpinan beliau. Sejumlah penggiat telah bergabung untuk mempromosikan pelancongan yang menepati syariah Islam bukan mengikut hasrat badan kerajaan yang mahu menarik ramai pelancong Barat walaupun ini boleh merosakkan nila-nilai tempatan.
Mujib yang juga adalah seorang penyanyi nasyid, biasa bersama kumpulan Raihan dan Hijjaz membuat persembahan di Malaysia telah mengikut dan hadir pada banyak acara HIKMAH. Dua acara HIKMAH di Aceh sebelum ini juga berjaya dilaksanakan dengan pimpinan dan bantuan beliau. Rujuk artikel-artikel lama berikut :-
Saya sebagai pembentang pertama bersedia di hadapan komputer. Sebagai presiden dan pengasas HIKMAH juga pengkaji sejarah dan penulis buku saya memang selalu diharapkan untuk berkongsi ilmu. Entah kenapa kali ini boleh terlupa hendak menyediakan slaid. Biasanya saya akan menyiapkan satu set slaid bagi suatu tajuk setiap kali akan membentang pada mana-mana acara terutama atas nama HIKMAH.
Nasib baik tak mati akal. Dengan menggunakan talian Internet secara
hotspot masuk ke
blogspot utama saya di mana sudah terdapat lebih 1,800 artikel dan berpuluh ribu gambar tentang bermacam perkara terutama dalam bidang sejarah pembentangan dapat dilakukan dengan jelas. Lihat
CATATAN SI MERAH SILU.
Hadirin duduk merata, ada yang berdiri di luar untuk mengikuti acara. Kalau tidak kerana Selasa hari bekerja tentu lebih ramai akan bersama.
Sebetulnya kalau ramai sangat datang pun susah kerana ruangan di muzium swasta atau persendirian yang didirikan dengan duit poket sendiri ini terhad. Yang penting semua yang hadir memang peka tentang sejarah lalu bersedia untuk menyampaikan dan memanjangkan kepada yang lain.
Pembentangan saya bermula sekitar jam 10.05. Tajuk yang dibawa adalah "Jejak Aceh di Semenanjung Tanah Melayu". Menggunakan gambar-gambar daripada blogspot juga sumber lain di Internet perkongsian dapat dilakukan dengan lancar. Rata-rata maklumat sudah sedia berada dalam kepala kerana pengalaman bertahun sering ke sana ke mari turun padang melihat tempat-tempat bersejarah.
Menggunakan peta Google Map dapat ditunjukkan lokasi-lokasi dan hubung kait antara satu sama lain. Ketika inilah berlaku satu macam kalam turunnya ilham tiba-tiba lidah hendak berkata-kata dengan sendirinya menyampaikan kebenaran daripada 'atas sana'. Ia adalah suatu perkara atau hal yang kadangkala berlaku kepada saya demi menjawab persoalan orang...
Ia pernah menjadi jajahan takluk Kesultanan Aceh, kalau tak salah paling kurang pun seabad. Sekarang ia berada di dalam propinsi (negeri) Sumatera Utara, 50 km ke selatan sempadan moden Aceh. Selepas menziarahi makam-makam pendakwah awal di Barus terpengaruh juga saya dengan pengisytiharan ia sebagai tempat paling awal masuk Islam di Indonesia dan Asia Tenggara. Tetapi apabila menerangkan keistimewaan kedudukan Aceh sebagai pintu masuk Alam Melayu daripada arah Tanah Arab, Parsi dan Benua Hindi berdasarkan kebiasaan laluan kapal terus kelihatan cukup jelas Aceh memang tempat masuk Islam terawal sebelum tersebar ke merata pelusuk Alam Melayu. Ini kerana laluan perdagangan memang selalunya mengikuti atau tidak terlalu jauh dari garis pantai atas faktor keselamatan selain mudah untuk mendapatkan bekalan air tawar. Oleh itu mustahil mana-mana pedagang atau pendakwah boleh sampai ke Barus yang terletak lebih 700 km ke selatan Banda Aceh tanpa membuat apa-apa persinggahan di Banda Aceh atau persekitarannya.
Jam 10.34 Mujib yang bertindak sebagai pengacara majlis memberikan sedikit ulasan lalu memperkenalkan pembentang kedua. Beliau adalah saudara Masykur Syafruddin, pengarah muzium ini. Tajuk yang dibawa adalah "Nisan, Manuskrip dan Numismatik sebagai Sumber Penulisan Sejarah Aceh ".
Orangnya masih muda, sedang belajar di universiti. Tetapi beliau telah bertahun mengumpul manuskrip-manuskrip lama, juga senjata dan wang lama Aceh.
Masykur sanggup pergi merata dengan biaya sendiri masuk kampung-kampung dan sebagainya untuk mencari manuskrip-manuskrip lama. Seringkali berlaku orang mewarisi manuskrip lama daripada ayah atau datuk mereka tanpa menyedari kepentingannya lalu ia tersimpan dalam gerobok dan sebagainya menunggu masa untuk reput.
Sambil beliau membuat pembentangan saya secara spontan mencari gambar-gambar berkenaan di Internet untuk dipaparkan kepada semua.
Dengan cara itu banyak perkara menarik dapat diliputi sebelum pembentangan selesai jam 11.10.
Masuk sesi soal jawab saya sudah lupa siapakah yang berkata ini dan apa yang diperkatakannya.
Yang ingat pada jam 11.46 ada perkongsian pengalaman daripada Pak Mizi atau Tarmizi Hamid seorang kolektor manuskrip yang agak terkenal dalam kalangan pengkaji. Saya tahu jam berapa kerana ada maklumatnya bersama setiap gambar yang diambil dengan kamera...
Jam 11.54 budayawan Aceh, Ayah Panton diminta berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang sejarah juga rasa tentang acara.
Perkongsian selesai jam 12.05 lalu sijil-sijil kenangan diberikan kepada para pembentang dan tetamu kehormat juga pihak-pihak yang menjayakan majlis.
Bergambar sebelum makan. Oh. Selepas itu saya ada diwawancara oleh seorang wartawan televisyen
on-line. Beliau ada bertanya apakah saya berhajat jika acara diadakan di tempat lebih besar dengan lebih ramai orang. Jawab saya tidak. Ini kerana telah menganjurkan banyak acara HIKMAH dengan setiap satu dihadiri ratusan orang. Paling ramai seingat saya adalah 800 orang. Lihat
Acara ketiga HIKMAH di Marina Hall, Lumut 27 Jan 2013.
Pada saya acara kali ini sudah cukup selesa. Sebelum diberitahu lokasi tepat pun (rujuk kembali artikel
Acara HIKMAH ke-21 - Dari makam Sultan Malikus Saleh ke Banda Aceh membawa barakah kewalian sultan...) saya ada menyimpan hajat agar acara diadakan di muzium kecil ini. Ini kerana baru mendapat tahu kira-kira sebulan sebelum acara tentang kewujudannya. Saya lebih seronok mengadakan acara kecil di tempat yang dianggap tidak seberapa tetapi dalam kalangan orang yang betul-betul cintakan sejarah lagi jujur sanggup berhempas pulas mengeluarkan keringat bagi menjayakan usaha daripada mengadakan acara besar di tempat gah tetapi ramai tidak jujur lagi berkepentingan untuk mengaut laba dan nama.
Acara ini penuh rasa kekeluargaan atas tanggungjawab dan keinsafan untuk mengangkat tinggi ketamadunan Melayu demi perjuangan memartabatkan Islam akhir zaman. Laporan berkenaan boleh dilihat dalam artikel
Ulasan dan liputan daripada orang Aceh tentang acara ke-21 HIKMAH yang dipersembahkan hampir sebulan lalu. Isteri saya telah membuat siaran secara langsung ke Facebook (
live FB). Ia boleh ditonton melalui pautan-pautan berikut, Untuk makluman ini adalah artikel ke-369 di
blogspot HIKMAH...