Ada diberitahu pada artikel
HIKMAH VII sebagai wadah pengisi filem epik Melayu yang dibuat lebih sebulan lalu bahawa sesi berkumpulan acara HIKMAH kali ini akan digunakan untuk mengisi filem "Darah Melayu" yang mahu diarahkan sutradara terkenal Mamat Khalid. Hampir jam 4 petang beliau sampai ke Hang Tuah Center membawa sejumlah orang filem. Mereka pun dijemput masuk ke auditorium lalu Mamat terus membuka taklimat untuk sesi berkumpulan. Beliau menyatakan telah menyimpan harapan untuk menerbitkan dan mengarah filem epik Melayu sejak 10 tahun lalu. Tetapi setelah beberapa lama baru mendapat tajuk yang dirasakan sesuai iaitu "Darah Melayu".
Sejak itu beliau mendapati jalan untuk mengadakan filem semakin lancar. Mamat turut memperkenalkan (duduk dari kiri) Nam Ron, Pekin Ibrahim dan Khir Rahman sebagai para pelakon utama. Nama sutradara lain seperti Aziz M. Osman, Afdlin Shauki dan Anwardi Jamil pula disebut akan terlibat sama. Saya teringat perbincangan pertama dengan Mamat tentang filem tersebut lebih 2 bulan lalu. Ini kerana ketika itu beliau menyatakan mahu mengambil barisan pelakon lain yang lebih glamour untuk membintangi filem.
Tak payahlah disebut siapakah pelakon-pelakon itu. Saya menyatakan cerita kerana menyangkakan itulah yang akan dibawa Mamat ke majlis ini. Saya teringat pernah terlihat Mamat meletakkan nama calon-calon di Facebook tetapi mendapat bantahan. Ini kerana para peminat sejarah merasakan nama-nama itu, walaupun sangat terkenal, tidak cukup kuat dan serius untuk membawa watak besar yang boleh mengangkat apa itu Melayu. Sebaliknya nama pelakon-pelakon lain diberi. Nampaknya Mamat mendengar kata-kata mereka kerana itulah dia 3 muka yang ada di pentas untuk taklimat sesi berkumpulan.
Oh. Sambil menulis ini saya bertanya pada isteri bilakah pertemuan pertama saya dengan Mamat untuk membincangkan filem berlaku kerana beliau dan anak-anak ada bersama. Kata isteri ia berlaku 12 Oktober kerana sehari selepas itu adalah ulang tahun ke-4 anak kami Muhammad al-Aminul Rasyid. Bila disemak ternyata tarikh ini benar kerana pertemuan berlaku selepas kami hadir ke satu seminar usahawan. Lihat artikel
Konvensyen Inspirasi Usahawan di
blogspot
CATATAN SI MERAH SILU. Masyaallah... 12.10.12 adalah tarikh HIKMAH diasaskan. Ini bermakna usahasama untuk menjayakan filem "Darah Melayu" bermula ketika HIKMAH cukup umur setahun!
Mamat kemudian membuka untuk hadirin/peserta bersoal jawab.
Setelah beberapa lama saya naik ke pentas untuk menambah penerangan. Saya terpanggil untuk menjawab satu persoalan yang nampaknya masih bermain di fikiran ramai orang - Siapakah itu sebenarnya Melayu. Selain itu memang saya perlu naik kerana mahu mengatur sesi berkumpulan. Para moderator perlu dilantik agar sesi dapat berjalan dengan lancar. Secara rata peserta diminta memilih satu dari 10 kumpulan menurut minat seperti Persilatan, Perkerisan dan Kebudayaan lalu memberikan buah fikiran dan maklum balas berupa perkara-perkara yang mahu dilihat dalam filem juga perkara-perkara yang harus dielakkan. Moderator harus memiliki kepakaran dalam bidang agar dapat membantu peserta memberikan isi yang berguna.
Isi taklimat Mamat, soal jawab juga penerangan saya tentang apa itu Melayu diikuti perlantikan moderator boleh dilihat dalam rakaman video sepanjang 35 minit yang akan diberikan nanti. Selepas itu peserta boleh beredar untuk rehat minum petang juga solat Asar. Kita beralih ke kawasan khemah...
Sambil minum mereka menikmati persembahan silat yang disediakan oleh Hulubalang Melayu.
Kelihatan di sini, dari kiri pengerusi Hulubalang, Pak Tam yang diberi tugas menjadi moderator kumpulan Persilatan dan Siasah Perang diikuti pelakon/dramatis Sharifah Haslinda (Datin Seri) yang menjadi moderator Kebudayaan/Tarian/Seni Wayang. Beliau yang lebih selesa dikenali sebagai Lynn al-Khaired datang bersama Ku Es ibni almarhum Sultan Idris Perak (paling kanan).
Selepas beberapa lama pertunjukan berjalan, pesilat diminta berhenti sebentar agar tumpuan dapat diberikan kepada sesi berkumpulan.
Kumpulan Keluarga dan Salasilah dengan moderatornya, Megat Iskandar, setiausaha Persatuan Keturunan Megat Terawis Malaysia.
Kumpulan Persilatan dan Siasah Perang. Moderatornya Pak Tam (tidak kelihatan di sini) sudah diperkenalkan.
Moderator kumpulan Kebudayaan juga telah diperkenalkan.
Tun Suzana Othman, penulis buku “Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu” (kanan) menjadi moderator kumpulan Kitab/Buku/Sastera.
Kumpulan Busana Tradisional dipandu oleh saudara Mass Kamal (kanan), Yang Di-Pertua NGO bernama Armada Malaiu Malaysia. Kebetulan untuk majlis beliau menyumbangkan 4 buah hamper sebagai hadiah kepada mereka yang memakai busana terindah, menurut 4 kategori iaitu lelaki dewasa, perempuan dewasa, kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan.
Kumpulan Perubatan dan Pemakanan di bawah Ustaz Mahyuddin (berbaju biru memandang). Beliau yang memiliki badan warisan bernama Anjung Hikmah (nama kebetulan dekat dengan HIKMAH) di Banting, Selangor bertanggungjawab menerbitkan acara dengan pertolongan Hulubalang Melayu.
Di anjung Rumah Hang Tuah, rumah tradisional yang dijadikan pejabat untuk Hang Tuah Center satu kumpulan memilih untuk duduk atas tikar.
Ia adalah kumpulan Ketamadunan dan Kerajaan. Asalnya saya mahu Puan Zaharah yang dijadualkan membentang kertas kerja tentang DNA Melayu (rujuk
HIKMAH VII di Melaka - Dari DNA Melayu ke Ahlul Bait dan hukum-hakam) menjadi moderatornya. Apabila beliau tidak dapat datang saya jadi terkial-kial juga. Siapakah yang sesuai mengambil alih tugas satu bidang yang amat besar skop pemikiran intelektualnya ini? Nasib baik ada seorang peserta berkaliber, tuan Ar. (kiranya doktor dalam bidang senibina dan arkitektur kalau tak salah) Mastor Surat (berbaju putih), ketua Jabatan Seni Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina serta Penyelidik Bersekutu Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia boleh menggalas tugas.
Tugas moderator Perkerisan dan Persenjataan pula saya mahu simpan untuk tokoh yang sesuai dari persatuan silat di Melaka. Apabila tokohnya tak muncul tugas diserahkan kepada Pak Long Ani dari Hulubalang Melayu (dua dari kanan gambar bawah)...
Satu meja dikhaskan untuk orang-orang filem. Mamat yang sesekali meninjau perbincangan di meja-meja lain menyambung perbincangan dengan orang-orangnya. Sambil itu kelihatan wartawan akhbar Metro (bertudung) sedang berbual dengan Nam Ron.
Campur rehat melihat orang bersilat tadi sesi berkumpulan berjalan lebih sejam. Pada jam 6 ia dihentikan dengan setiap moderator kumpulan diminta membuat kesimpulan, sebelum isi perbincangan/maklum balas yang siap tertulis dikumpulkan lalu diserahkan kepada Mamat.
Dengan tamatnya sesi berkumpulan, majlis memasuki fasa bebas. Kumpulan silat yang masih ingin membuat persembahan pun dibenarkan menyambung. Masuk Ku Ess menunjukkan buah silatnya sebelum pesilat yang lebih muda meneruskan acara.
Masuk senja ramai masih berlegar-legar di perkarangan Rumah Hang Tuah juga Rumah Hang Jebat di hadapannya. Mereka pun diajak bergambar beramai-ramai berlatarbelakangkan Rumah Hang Jebat sebelum bersurai. Dengan ini tamatlah cerita acara. Nanti akan dibuat artikel menunjukkan rakaman video pula.