Salam malam 14 Zulkaedah 1443 Hijriah. Ada perkongsian daripada hujung minggu lalu.
Sejak 2 minggu kebelakangan timbul poster atas di media sosial terutama di Facebook dan WhatsApp.
Atur caranya sepanjang siang Sabtu 11 Jun 2022 kelihatan begitu menarik. Sedangkan ramai yang terlibat termasuk peneraju majlis, seorang ulamak Sufi yang dikenali sebagai Walid Ibrahim Al Malik adalah kawan-kawan dan kenalan saya dalam dunia NGO dan aktivisma busana, persilatan serta usaha-usaha kedaulatan orang Melayu.
Pun begitu asalnya saya tidak mahu pergi. Lokasi majlis di Putrajaya 70 km terasa agak jauh sedangkan saya mahu memberikan tumpuan pada dua majlis yang mana saya menjadi penerajunya pada keesokannya Ahad 12 Jun.
Namun ada orang lain seperti memujuk datang melalui isteri. Tiga orang kawan kami dalam dunia aktivis masing-masing menghantar WhatsApp kepada isteri meminta kami datang. Memandangkan acara pertama diterajui saya iaitu pada pagi Ahad akan berlangsung di Kelana Jaya, 44km ke selatan rumah isteri pun mencadangkan apa kata pergi ke Putrajaya kemudian bermalam di hotel sekitar Kelana Jaya. Dari situ boleh ke acara pertama kemudian selepas itu ke acara kedua, di tengah bandar raya Kuala Lumpur.
Kami pun mencari dalam talian. Tengok-tengok ada hotel murah yang cukup selesa cuma 1.6 km sahaja dari lokasi acara di Kelana Jaya. Ngam-ngam tinggal satu bilik. Kami pun tempah. Dengan itu dapatlah bergerak dengan senang hati ke lokasi majlis hari Sabtu di Putrajaya Mall, dalam satu bahagian Putrajaya yang kami belum pernah sampai sebelum ini.
Kami sampai sedikit lewat iaitu pada jam 11.50. Kelihatan ia begitu meriah...
Dapat dilihat ramai yang datang berbusana tradisional Melayu atau berbaju Melayu. Suasana adalah seperti pada rumah terbuka hari raya.
Pelbagai jenis makanan dan minuman disediakan secara percuma, hadirin boleh ambil pada bila-bila masa. Sambil itu berjalan pelbagai jenis acara di atas pentas.
Gambar ini diambil pada jam 12.43 dari atas pentas.
Ketika itu saya diminta untuk bersama dif-dif kehormat untuk sambutan Maulidur Rasul...
Selesai itu kami turun makan bersama Walid.
Setelah beberapa lama saya meminta diri untuk berjalan-jalan melihat suasana...
Jam 2.30 saya ke arah pentas untuk kembali menyertai acara-acara rasmi lalu diminta duduk di sebelah Walid...
Adapun majlis ini memiliki beberapa sesi cabutan bertuah di mana hadirin yang nombornya dipanggil akan menerima hadiah. Saya diminta untuk membuat cabutan bagi 10 nombor terakhir.
Penghujung majlis, sejumlah kami diminta menjadi orang terawal bergambar dengan Walid sebelum yang lain dapat bersama kumpulan demi kumpulan. Adapun beliau memiliki ramai anak murid di seluruh Malaysia. Majlis ini menjadi teristimewa kerana ia adalah hari terakhir Walid menunjukkan muka kepada umum. Sebelum ini belum pernah menyepikan diri selama belasan tahun sebelum keluar dari uzlah penghujung tahun 2021 lalu terlibat memberikan ceramah atau hadir pada majlis-majlis keramaian. Setelah 6 bulan beliau mahu kembali menyepikan diri. Pun begitu orang-orangnya ramai mewakili untuk membuat kerja-kerja akhir zaman demi umat Melayu dan Islam insyaallah.
Nota tambahan (ditulis lewat malam Jumaat 16 Jun 2022) : Saya diberitahu bahawa Walid telah membaca tulisan ini. Oleh itu beliau ingin menambah, walaupun sudah masuk beruzlah beliau sedia hadir ke majlis-majlis penting yang boleh memberikan kesan tinggi kepada usaha bagi memartabatkan Melayu dan Islam.