Petang Sabtu lepas 20 April 2019, ketika masih berada di majlis haul saya menerima WhatsApp daripada tokoh pejuang bahasa, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan berbunyi begini :-
Pemakluman awal: Sidang media pembentangan hasil kajian penolakan PPSMI akan diadakan pada 23.4.19, Selasa, 12 tengah hari di Wisma Majlis Perundingan Melayu, Jalan Ledang, Kuala Lumpur. Mohon kehadiran pemimpin semua badan pejuang bahasa dan pendidikan kebangsaan (persatuan dan institusi/agensi). Kehadiran individu pejuang turut dialu-alukan. Allahuakbar!
Untuk pengetahuan beliau adalah pensyarah saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam) dalam subjek Tamadun Melayu Islam semester lalu. Turut diterima senarai berikut lalu beliau meminta saya memanjangkan dengan menambah nama :-
Senarai pejuang yang mengesahkan kehadiran dalam Sidang Media Pembentangan Laporan Kajian PPSMI, 23.4.19, pukul 12 tengah hari:
1. Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron
2. Dato' Raof Husin
3. Dato' Dr.Hasan Mad
4. Awang Sariyan
5. Prof. Supyan Hussin
6. Puan Zaharah Sulaiman
7. Kamal Shukri Abdullah Sani
8. Dato' Ibrahim Ghafar
9. Zairudin Hashim
10.Cikgu Zai Mustafa
11.Cikgu Azmi Hamid/wakil TERAS
12.Wakil Utusan Melayu
13.Wakil Berita Harian
14.Wakil Harian Metro
Saya jawab : "Tak boleh janji Prof" memandangkan sedang berada jauh lebih 450 km dari rumah. Takut apabila kembali yang dijangka sampai lewat Ahad malam Isnin saya sudah terlalu penat lalu perlu berehat sepanjang hari. Kepenatan mungkin berlanjutan hingga keesokan harinya kerana saya harus memandu kereta lebih 1,000 km meliputi banyak tempat dalam keadaan sedang menunaikan puasa sunat setiap hari sejak masuk bulan Rejab. Beliau pun meminta agar dimewar-warkan majlis kepada para pejuang Melayu Islam yang lain.
Awang tahu saya adalah seorang aktivis kedaulatan Melayu Islam lalu memiliki ramai kenalan sealiran kerana pernah membuat satu kerta kerja ala-ala tesis lebih 6,000 perkataan tentang HIKMAH - Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman, Diberi tajuk "HIKMAH – Satu Gerakan Intelektual Melalui Jaringan Sosial Internet untuk Memartabatkan Agama, Bangsa dan Negara" ia dibuat sebagai assignment terakhir (lupa pula apakah perkataan Melayu untuk assignment.) untuk kelas beliau. Petang Isnin 22 April, setelah lebih 12 jam berada di rumah iaitu sekembalinya dari Terengganu baru terasa boleh menghadiri majlis pada tengah hari Selasa 23 April. Saya pun memberitahu beliau melalui WhatsApp. Diberi pula senarai terbaru penyertaan termasuk nama saya sambil diminta mendapatkan lagi penyertaan...
Senarai pejuang yang mengesahkan kehadiran dalam Sidang Media Pembentangan Laporan Kajian PPSMI, 23.4.19, pukul 12 tengah hari di Wisma MPM, Jalan Ledang, KL:
1. Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron
2. Dato' Raof Husin
3. Dato' Dr.Hasan Mad, MPM
4. Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan, PLM
5. Prof. Supyan Hussin, ATMA
6. Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, PPM
7. Datuk Zainal Abidin Borhan, GAPENA
8. Puan Zaharah Sulaiman
9. Kamal Shukri Abdullah Sani, PLM
10. Dr. Mohd. Saleeh Rahamad, PENA
11. Dato' Ibrahim Ghafar
12. Zairudin Hashim, ABIM
13. Cikgu Zai Mustafa, MAPPIM
14. Cikgu Azmi Hamid/wakil TERAS Pengupayaan Melayu
15. Anas Alif, GPMS
16. Wakil Utusan Melayu
17. Wakil Berita Harian
18. Wakil Harian Metro
19. Prof. Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud, ASASI
20. Abdul Hakim Shahbuddin, GPTD
21. Datuk Nasarudin Hashim
22. Azril Mohd Amin, CENTHRA
23. Mohd Zuhdi Marsuki, Pusat Penyelidikan PAS
24. Dato' Rosli Yang Danian, Harmonis Perak
25. Mohd. Fauzi Noordin
26. Prof. Emeritus Dato' Dr. Wan Hashim Wan Teh
27. Ramlee Wahab
28. Ruslan, MPM
29. Dato' Faridah Jabar, MPM
30.Wakil akhbar Harakah
31. Dato' Zain Hamzah
32. Letfee Ahmad
33. Dr. Fazilah Husin, NUMERA
34. Prof. Dr. Puteri Roslina (APM, UM)
35. Junaini Kasdan (ATMA/PAPTI)
36. Abd Ganing Laengkang (Pascasiswazah, APM, UM)
37. SN Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah, NUMERA Malaysia
38. Zainal Mohd. Jais, KEMUDI
39. Dr. Hasrina Baharum (UPSI)
40. Prof.Madya Dr. Norliza Jamaluddin (UPSI)
41. Dr. Zaharani Ahmad
42. Prof. Dr. Zamri Mahamod (UKM)
43. Dr. Ibrahim Ahmad, Harmonis Perak
44. Romil Shamsudin
45. Radzi Sapiee @ Merah Silu
Masuk jam 5.30 petang beliau memberitahu sudah ada 60 orang dalam senarai. Tengah hari Selasa saya pun bergegas ke lokasi majlis iaitu Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM). Bangunannya adalah sebuah bungalow lama yang dicat baru bersebelahan bangunan Parlimen Malaysia. Kelihatan dalam gambar Awang sebagai pengerusi sedang memperkenalkan majlis...
Secara rata diceritakan bagaimana program PPSMI iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris itu merosakkan prestasi pelajar Melayu di sekolah. Diperkenalkan tahun 2003 oleh Kementerian Pendidikan atas dakwaan kononnya ia akan memperbaiki pemahaman pelajar tentang sains dan matematik sambil meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris ia dikecam banyak pihak terutama mereka yang memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu. Mengikut kajian berdasarkan apa yang sebenarnya berlaku di sekolah-sekolah beberapa tahun selepas dilaksanakan ia didapati menyebabkan pencapaian pelajar dalam subjek-subjek tersebut menurun. Bahkan penguasaan bahasa Melayu mereka juga turun merosot sama kerana dipaksa menguasai subjek-subjek lain bukan dalam bahasa ibunda lalu mengabaikan bahasa sendiri di sekolah.
Disebabkan itu bermula tahun 2009 telah diadakan bantahan demi bantahan sehingga pelaksanaan PPSMI dibatalkan tahun 2012. Ketika itu bantahan serta hujahan berkenaan didengar lalu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kini setelah berlaku pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lepas PPSMI kembali menghantui. Ada ura-ura Perdana Menteri sekarang, Tun Dr Mahathir yang pernah menjadi PM ke-4 dahulu ingin menghidupkannya kembali.
Ditunjukkan satu kaji selidik ringkas berupa kutipan pendapat melalui Internet tentang PPSMI dalam tempoh beberapa hari sebelum majlis.
Seramai 2,844 orang daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang telah memberikan maklum balas.
Secara rata mereka menolak PPSMI...
Seterusnya naik Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Abdul Rauf Hussin berkongsi kajian ilmiah yang dibuat atas nama Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA). Untuk pengetahuan beliau juga adalah pengarah eksekutif PEMBINA.
Kajian yang berada pada tangan beliau lalu ditunjukkan kepada hadirin itu cukup tebal, Seperti satu jilid ensaiklopedia atau satu tesis PhD rupanya. Salinan ringkasan kajian bertarikh Mac 2009 dengan 28 muka surat diberikan. Ia adalah hasil usahasama PEMBINA dengan 8 buah universiti :-
1. Universiti Putra Malaysia (UPM)
2. Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)
3. Universiti Sains Malaysia (USM)
4. Universiti Utara Malaysia (UUM)
5. Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM)
6. Universiti Teknologi Mara Sarawak (UiTM Sarawak)
7. Universiti Malaysia Sabah (UMS)
8. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Kakitangan universiti dihantar membuat kajian bagi memerhatikan pembelajaran baik daripada segi cara cikgu mengajar juga penerimaan dan pemahaman murid kemudian dinilai hasil peperiksaan. Disebut bahawa kajian diadakan di 90 buah sekolah rendah kebangsaan termasuk 3 sekolah orang asli, 2 sekolah pendidikan khas, 7 sekolah Cina dan 5 sekolah Tamil. Turut dijadikan kajian 70 buah sekolah menengah termasuk 4 sekolah agama, 4 sekolah berasrama penuh, 4 sekolah teknik dan 5 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Secara rata ia melibat 553 orang guru dan 15,089 pelajar.
Pada bahagian belakang dilampirkan salinan surat rasmi Profesor Diraja Ungku Aziz bertarikh 6 Mei 2009 menyokong laporan diikuti salinan rencana akhbar Berita Harian tentang laporan (tidak kelihatan tarikh).
Ringkasannya mudah. PPSMI adalah satu projek yang gagal lagi menyusahkan. Diberikan juga satu salinan 12 sebab kenapa ia tidak boleh diteruskan. Kajian inilah yang pernah dibawa kepada Muhyiddin lalu PPSMI akhirnya dibatalkan tahun 2012. Pada awal salinan dilampirkan salinan laporan akhbar Utusan Melayu hari Sabtu 23 Mei 2009 menunjukkan pertemuan Ungku Aziz, Tan Sri Ahmad Sarji, Datuk Abdullah Abdul Rahman dan Datuk Hassan Ahmad dengan Muhyiddin. Mereka datang atas nama Gagasan Veteran Malaysia untuk menyatakan penolakan terhadap PPSMI.
Presiden Akademi Sains Islam Malaysia, Profesor Datuk Ir. Wan Ramli Wan Daud pula berkongsi laporan prestasi pelajar akibat PPSMI berdasarkan penaksiran antarabangsa TIMMS dan PISA.
TIMSS adalah singkatan bagi perkataan Inggeris Trends in International Mathematics and Science Study. Saya terjemahkan sebagai "kebiasaan semasa dalam pengajian matematik dan sains antarabangsa". PISA pula singkatan bagi Programme for International Student Assessment - Program Penilaian untuk Pelajar Antarabangsa. Kedua-duanya merupakan program penilaian pelajar di beberapa buah negara yang dibuat oleh dua badan antarabangsa berlainan.
Ditunjukkan graf kajian TIMMS bagi Malaysia berbanding Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Indonesia untuk subjek matematik. Didapati berlaku penurunan pencapaian yang jelas apabila PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003 malah semakin menurun dan menurun. Selepas dibatalkan tahun 2012 baru pencapaian naik menuju pemulihan. Itupun belum lagi mencapai tahap sepertimana sebelum PPSMI diperkenalkan...
Begitu juga kajian TIMMS untuk bidang sains. Lihat sendiri graf dan rumusan.
Untuk PISA pula Malaysia mula menyertai kaji selidik ini pada tahun 2009 yang mana PPSMI sudah diperkenalkan. Lalu tidak dapat dibuat perbandingan dengan tahun-tahun sebelum itu. Kelihatan seperti ada peningkatan dalam bidang matematik. Tapi kadar peningkatan kelihatan serupa sahaja selepas PPSMI dibatalkan tahun 2012.
Ini pula kajian yang dibuat berdasarkan aliran. Kedua-dua aliran sains dan bukan sains diambil kira. Saya agak keliru membaca graf. Jadi ikut sahajalah rumusan bahawa pencapaian pelajar aliran sains tulen mendatar sekitar 30% pada zaman PPSMI dilaksanakan dan menjunam sekitar 20% pada 2016-2018 iaitu setelah ia dibatalkan tahun 2012.
Adakah ini bermakna pembatalan itu menjahanamkan? Menurut Wan Ramli bukan. Walaupun PPSMI tidak lagi dilaksanakan ketika itu ia telah menimbulkan trauma yang berpanjangan. Pelajar melihat matapelajaran sains menjadi susah akibat PPSMI lalu terkesan walaupun ia tidak lagi dilaksanakan.
Tokoh pejuang bahasa Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron turut memberikan pendapat sebagai orang lama yang dahulu pernah berusaha sama membantah sehingga pelaksanaan PPSMI dibatalkan. Pada beliau ia jelas merosakkan prestasi pelajar, bukan memajukan.
Hadirin lain pun secara rata sependapat.
Yang harus dipanjangkan adalah strategi bagaimana untuk memastikan ia tidak berulang juga menyekat apa-apa lagi cadangan pembelajaran yang boleh mensudutkan kedaulatan bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan bahawa bahasa penghantar utama adalah bahasa Melayu.
Saya sendiri turut berkongsi pandangan dan memberikan maklum balas. Gambar ini dan selepasnya dihantar Awang kepada saya melalui WhatsApp.
Sesungguhnya PPSMI ini bukan sahaja isu yang boleh melemahkan pencapaian pelajar Melayu di sekolah. Dalam keadaan sekarang di mana jelas kumpulan-kumpulan bukan Melayu semakin rancak memperlekehkan kepentingan orang Melayu dan penggunaan bahasa Melayu ia seperti membantu serangan ideologi musuh untuk menjatuhkan orang Melayu secara keseluruhan.
Saya akhiri artikel ini dengan beberapa laporan akhbar daripada majlis menolak PPSMI. Semoga memberikan manfaat...
Oh. Baru teringat. Ketika menyemak kembali artikel ini baru tersedar. Rasanya elok disertakan sekali pernyataan rasmi oleh Awang pada majlis yang dibuat atas nama Persatuan Linguistik Malaysia. Saya ambil gambar kenyataan itu di rumah...
Sebetulnya kenyataan dicetak atas kertas berwarna merah jambu. Tapi saya ambil gambar di ruang tamu bawah lampu kuning. Nah. Dah jadi macam nak sama warna kuning kejinggaan dengan bangunan makam Tok Pulau Manis pula. Hmm... :]
Laporan yang sungguh rinci dan teliti, syabas - perjuangan bahasa akan terus bernyala hingga penghujung nyawa, insya-Allah
ReplyDeleteTerima kasih saudara. Sila panjangkan dan sebarkan...
ReplyDelete