Salam wahai para pembaca yang dimuliakan. Salam keberkatan pagi Jumaat. Pada artikel
Antara
HIKMAH di kaca televisyen, buku untuk Melaka dan persiapan di Kelantan yang dibuat 3 hari lalu, telah diberitahu saya mahu berjalan jauh untuk mengatur persiapan buat HIKMAH IV 16 Mac ini. Sekarang saya berada di Kuantan, belum kembali ke rumah. Tetapi disebabkan tarikh hari ini cantik iaitu 1.3.13 saya rasa eloklah diceritakan terus hal persiapan.
Setelah meredah hujan lebat dan banjir dari Lembah Klang ke Kota Bahru, Kelantan hari Selasa, dalam keadaan demam dan sakit-sakit badan untuk menunaikan niat bermalam dan beriktikaf di Masjid Tok Kenali, Kubang Kerian, esoknya pagi Rabu saya pun menziarahi makam wali besar Kelantan itu. Seperti biasa kalau ke KB rasa tak sempurna kalau tidak ke masjid juga ke makam walau sekejap. Kali ini saya ada misi untuk memastikan kejayaan acara terbaru dari pihak saya iaitu HIKMAH IV di Kelantan. Tentunya sesuai dan tak salah saya memohon restu dari Allah SWT melalui wasilah kerohanian Tok Kenali yang tetap hidup walaupun secara jasad beliau telah meninggalkan kita hampir seabad lalu.
Tentang talian peribadi saya dengan hamba Allah ini boleh baca di
blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Jangan pelik tentang apa yang diceritakan. Macam-macam perkara serupa malah lebih pelik lagi pernah saya tempohi terutama dalam tempoh beberapa tahun asyik keluar mengembara tidur dari masjid ke masjid menziarahi makam ke makam. Lihat artikel-artikel ini...
Turut serta beriktikaf dan ziarah adalah seorang sahabat dari Kelantan. Kami kemudian menuju ke Kandis yang terletak sekitar 13-15 km ke tenggara pekan Bachok, saya menaiki motosikal besar kesayangan, beliau dengan kereta. Sampai di hadapan pos mini Kandis kami harus mengambil lorong di sebelah.
Lorong itu boleh membawa ke sebuah pusat peranginan tepi laut.
Ia juga membawa ke masjid...
Ikut lorong itu dan lengkoknya ke kiri nescaya anda akan sampai ke persimpangan di hadapan kubur. Pandang ke kanan kubur, kelihatanlah satu kelompok bangunan dengan bahagian berwarna putih dan tembok agak terserlah. Tapi saya tak ambil gambar dari simpang kerana belum pasti apakah itu lokasi yang dicari.
Bila dah sampai dekat baru saya pasti inilah tempatnya. Inilah Akademi Nik Rashiddin atau ANR tempat di mana saya telah menerima tawaran pasti dan bersetuju untuk mengadakan acara ke empat HIKMAH.
Masuk sahaja ke dalam, kelihatan tiga buah bangunan bersambung bersedia untuk menyambut acara yang dipanggil HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah.
Bangunan tengah adalah rumah...
Bangunan ke kanan pula nampaknya sambungan dari rumah.
Ada lagi satu bangunan merupakan rumah lama kayu.
Ada perkarangan yang cukup luas untuk bermain bola. Di sebalik pokok-pokok kelapa di latar belakang adalah pantai dan Laut Cina Selatan. Nampaknya peserta HIKMAH IV nanti bolehlah bermandi-manda di laut...
Pada satu sudut yang sedikit tersorok terdapat bengkel yang pernah digunakan pengasas dan pemilik asal tempat ini, arwah Nik Rashiddin, seorang pengukir seni kayu yang sangat terkenal di kalangan mereka yang menceburi bidang sama atau berkaitan.
Rumah lama kayu ini dijadikan muzium untuk menyimpan koleksi arwah. Saya diberitahu ia dibeli dan diangkut dari Terengganu lalu dipasang balik beberapa tahun lalu. Usianya sudah mencapai 190 tahun.
Kami dijemput ke serambi rumah...
Di sinilah mesyuarat tentang HIKMAH IV diadakan bersama pemilik ANR sekarang, Puan Rosnawati, balu kepada arwah Nik Rashiddin. Turut bersama adalah seorang lagi sahabat dari Kelantan.
Secara rata kita diberitahu boleh menggunakan semua ruang yang ada untuk menganjurkan majlis. Cuma tempat-tempat tertentu tak boleh dikacau seperti dalam rumah peribadi, dalaman rumah kayu lama yang telah dijadikan muzium, juga galeri yang terletak di bahagian atas bangunan di kiri dari pintu masuk. Lihat artikel
Galeri
(Gallery of) Akademi Nik Rashiddin blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Bahagian yang mahu digunakan untuk membuat wacana ilmu terletak di bawah galeri.
Ketika kami datang ada air bertakung akibat hujan lebat dan banjir yang sedang hebat melanda negeri Kelantan, juga Terengganu.
Ruangnya tidak sebesar mana, malah lebih kecil daripada dewan kecil yang pernah digunakan untuk mengadakan HIKMAH I atau "Suai Kenal HIKMAH" di Yayasan Restu, Shah Alam 4 November 2012. Terfikir juga mana nak letak orang kalau lebih 300 datang? Sedangkan ruang di Yayasan Restu dahulu pun katanya dibuat untuk memuatkan kurang 100 peserta seminar. Kami dapat memuatkan kira-kira 350 orang setelah disuruh semuanya bersila rapat-rapat sehingga kaki hampir mencecah meja pembentang di hadapan. Bagaimana pula ruang lebih kecil di ANR?
Setelah difikirkan balik ternyata ada caranya. Kita boleh mendirikan khemah di luar di mana boleh diletakkan lagi satu skrin dan projektor. Untuk pengetahuan tanah berpagar di mana ANR ini berdiri adalah seluas satu setengah ekar. Terdapat begitu banyak ruang yang boleh dan dibenarkan untuk dimanfaatkan termasuk kawasan di bawah rumah peribadi Puan Rosna. Kata beliau satu bahagian serambi di rumah akan dijadikan surau perempuan, serambi rumah kayu berusia 190 tahun dijadikan surau. Selain itu ada tanah luar pagar seluas satu ekar menuju ke kubur, satu lagi tanah seluas tiga ekar mengunjur dari belakang akademi ke utara di mana kita juga boleh menjalankan aktiviti.
Dengan ini saya meminta kawan-kawan yang ada kelapangan terutama di Kelantan agar dapat menjenguk Puan Rosna dan menolong apa yang patut. Diumumkan sekali, sesiapa yang mahu membuka gerai pameran dan jualan dipersilakan datang mengambil tempat pada 16 Mac nanti. Peniaga makanan malah dialu-alukan kerana HIKMAH IV setakat ini tidak mendapat penajaan makanan, tidak seperti pada HIKMAH I di Shah Alam, HIKMAH II di Melaka 25 November 2012 dan HIKMAH III di Lumut 27 Januari 2013. Nak bersilat, main wau, gasing, berkuda dan sebagainya pun boleh dan dialu-alukan. Kita sama-sama berusaha secara sukarela untuk menjayakan acara ya. Sekarang biar diletakkan atur cara terbaru...
Pembukaan
8 – 9am : Pendaftaran - Peserta boleh terus memilih kumpulan untuk aktiviti berkumpulan petang, kumpulan seperti Perkerisan, Persilatan dan Kebudayaan
9 – 9. 30 : Sesi terbuka sesiapa nak bersilat atau buat pertunjukan seni/kebudayaan - Persatuan Gayung Kelantan sudah menyatakan minat mahu membuat persembahan. Persatuan Teater Ruhul Islam (PETRI) pula mahu membuat persembahan nasyid diiringi tarian melibatkan belasan pelajar dari Maahad Amir Indra Petra, Binjai, Kelantan
9.30 : Selawat pembukaan oleh Sheikh Raja Aman Al-Kubra
9.45 : Kata-kata aluan oleh pemilik Akademi Nik Rashiddin, Puan Rosnawati
10.00 : Ucapan pengenalan oleh Pengasas dan Presiden HIKMAH, Radzi Sapiee
Sesi pembentangan pagi
10. 15 : 1. Motif Langkasuka dalam kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR
10.45 : 2. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Abd Arif, calon PhD seni UPSI
11.15 : 3. 'Seni Khat Melayu': Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis ktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor.
11.45 : Rehat 15 minit
Sesi pembentangan tengah hari
12pm : 4. Sejarah dan tempat-tempat signifikan di Kelantan : Langkasuka, empayar Chermin hingga ke zaman Raja K'Umar – Kelab Pencinta Sejarah Kelantan
12.30 : 5. Sejarah Kelantan membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong
1.00 : 6. Signifikan Puteri Saadong pada Kelantan kini – Puteri Anis
1.30 : Rehat Zuhur
Sesi pembentangan petang
2. 30 : 7. Sheikh Ahmad al-Fathoni dan para ulamak Pantai Timur : Kenapa Kelantan dipanggil bumi Serambi Mekah? - Ustaz Zaidi Hassan dari Masjid Salor, Pasir Mas, Kelantan
3.00 : 8. Kepentingan salasilah dalam mencari jati diri dan peranan di akhir zaman – Megat Iskandar, setiausaha persatuan keluarga Megat Terawis
3.30 : 9. Ekonomi Islam berdasarkan Dinar dan Dirham : Keperluan minima untuk menjayakan sebuah negara yang betul-betul Islam – Amirul HM, perunding kewangan Islam dan dinar dirham
4.00 : Sesi berkumpulan seperti Perkerisan, Persilatan dan sebagainya. Kali ini kami tidak mengharapkan apa-apa maklum balas seperti pada HIKMAH I, II dan III. Sebaliknya sesi dibuat semata-mata untuk peserta berkenalan dan berkongsi minat dalam bidang kegemaran masing-masing.
4.30 : Rehat Asar
Cetusan rasa
5.00 : Sajak Melayu – Tun Muhammad Farul aktivis silat dan busana, ahli Istiadat Penjurit Kepetangan
5.15 : Penutup : Dari Langkasuka ke Serambi Mekah : Kedaulatan Melayu dan Islam – Radzi Sapiee
Semasa mesyuarat Puan Rosna ada bertanyakan tentang misi dan objektif HIKMAH. Ini sebenarnya sudah dinyatakan panjang lebar dalam kertas kerja untuk HIKMAH I dahulu. Lihat artikel
Himpunan
Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) - Permission to proceed yang dibuat 4 bulan lalu. Beliau juga bertanya tentang aktiviti berkumpulan, apakah itu dan kategori-kategorinya. Dengan itu biar disalin balik penerangan yang pernah diberikan dalam Facebook lama dahulu...
--------------
Salam Jumaat. Kita tentunya tahu bagaimana ramai daripada kita berkenalan lalu berhubung di FB, jadi friends, fans dan sebagainya tetapi tidak pernah bersua muka hingga kini. Mengambil keberkatan penghulu segala hari ini saya ingin membuka ruang penyertaan untuk satu komponen utama Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman atau HIKMAH 4 Nov ini. Ia adalah segmen acara berkumpulan menurut minat atau special interest groups. Melalui aturan acara ini, ruang pun dibuka untuk pameran dan perniagaan.
Acara yang kiranya mahu mengangkat format perbincangan groups dalam Facebook ke dunia nyata ini akan diadakan selepas tamat sesi pembentangan petang kertas kerja. Untuk makluman selain memperjuangkan kedaulatan Melayu dan Islam, matlamat HIKMAH adalah untuk menterjemahkan rangkaian perhubungan/perbincangan/setiakawan dalam FB menjadi sesuatu yang mampu dizahirkan ke dunia nyata demi agama, bangsa dan negara (bukan sekadar Malaysia ya. Kita akan ada beberapa penyertaan daripada negara-negara jiran). Sekarang biar disenaraikan aturan special interest groups.
1. Perkerisan – Ini khas untuk peminat keris juga senjata-senjata lain Melayu seperti pedang. Saya sudah mendapat pengesahan penyertaan daripada dua kumpulan besar iaitu Persatuan Pusaka Senipurba Nusantara Selangor (PURBA) dan Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur.
2. Perubatan – Tentunya ada orang yang berminat pada ilmu perubatan terutama yang berbentuk tradisional Melayu. Saya tidak pasti penyertaan tetapi saya tahu ada sejumlah yang menyatakan komitmen akan datang memang terlibat dengan dunia perubatan.
3. Persilatan – Walaupun belum ada persatuan menyatakan penyertaan ramai yang bakal datang ke HIKMAH dan menyokong majlis adalah pesilat dan aktivis persilatan daripada pelbagai aliran, baik lincah, mahupun gayung, cekak sehingga ke penjurit kepetangan. Lagipun persatuan-persatuan yang disebut di bawah tajuk perkerisan itu sendiri terdiri daripada ahli-ahli silat. Saya rasa bolehlah dimaklumkan bahawa di belakang saya ada orang-orang kuat daripada aliran selempang merah.
4. Busana tradisional – Penyertaan juga mungkin bercampur-baur dengan tajuk perkerisan dan persilatan. Bezanya tajuk busana insyaallah turut mengandungi penyertaan kaum Hawa yang berpakaian tradisional.
5. Kebudayaan/tarian – Sejumlah artis terutama dalam bidang lakonan telah memberikan komitmen mahu menyerikan acara. Peminat subjek berkenaan boleh berkumpul di bawah ‘panji-panji’ ini, chewah… :]
6. Seni ukiran/khat – Ini juga satu cabang seni yang diminati orang Melayu khususnya, Islam umumnya. Saya diberitahu akan ada peserta mempamerkan kerja-kerja khat dan sebagainya. Semoga manusia yang bertanggungjawab memahat Batu Bersurat Terengganu juga datang, hehe.
7. Kitab/buku/sastera – Difahamkan antara penggiat khat ada yang mungkin membawa mushaf Al-Quran lama. Selain itu kumpulan ini boleh dijadikan tempat perkongsian hasil pembacaan kitab-kitab dari pelbagai aliran fahaman termasuk Tasawuf.
8. Keagamaan – Tasawuf, feqah dan sebagainya. Ada perkara yang mungkin bertindih dengan tajuk kitab/buku/sastera. Di sini kumpulan-kumpulan Tariqat boleh bersatu untuk memeriahkan acara.
9. Keluarga dan salasilah – Kita sedia maklum antara topik paling hangat di dunia Internet terutama di forum-forum dan Facebook adalah perbincangan keluarga dan salasilah. Di HIKMAH anda digalakkan membawa salasilah dan lain-lain bukti kaitan keluarga. Mana tahu mereka yang selama ini tidak tahu asal usul sebenarnya rupa-rupanya bersaudara?
Untuk ini saya boleh memaklumkan ada peserta HIKMAH yang merupakan wakil-wakil berpengaruh daripada keturunan Megat Terawis, Daeng Selili, Nakhoda Hitam, keluarga Temenggung Muar, keturunan Daeng Berlima (Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi) juga keturunan Sultan Hussein Singapura. Saya rasa mereka yang katanya daripada keturunan Hang Tuah pun akan ada selain keturunan kerabat diraja dan bangsawan lain.
Saya juga mengalu-alukan kedatangan kaum keluarga Empayar Siam-Kedah. Walaupun saya secara peribadi tidak bersetuju dengan beberapa dakwaan mereka, keluarga ini juga adalah ahli komponen besar bangsa Melayu Islam kita. Ada kajian mereka yang harus difikirkan.
10. Ketamadunan dan kerajaan – Yang ini mungkin bertindih dengan tajuk keluarga dan salasilah. Bezanya ia tidak ditumpukan kepada keluarga sahaja tetapi melibatkan hal kerajaan. Dalam FB juga di wadah Internet yang lain ada yang sedang sibuk berbincang tentang Srivijaya, ada Siam-Kedah ada juga bab Terengganu lama, Muar, Samudera-Pasai, Melaka, Aceh dan sebagainya. Maka di sini bolehlah perbincangan dilanjutkan ke dunia nyata secara bersemuka empat mata.
Berdasarkan pembahagian ini ruang dan penyertaan pameran akan diatur. Mereka yang mahu berniaga pun akan diatur menurutnya demi mewujudkan persepaduan acara. Kalau anda rasa pameran/produk anda tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana tajuk telitilah lagi. Busana Muslimah misalnya tentu kena di bawah tajuk busanan tradisional. Saya sendiri akan membuka gerai menjual buku tulisan saya terutama siri “Berpetualang ke Aceh” dan itu tentunya masuk di bawah tajuk kitab/buku/sastera.
Acara ini akan diatur untuk membentuk satu macam suasana pasar bercampur wadah perbincangan ilmu bersifat cosmopolitan. Peserta HIKMAH juga pengunjung lain termasuk VVIP/VIP boleh melihat dan melawat dari kumpulan ke kumpulan. Ahli kumpulan boleh boleh ‘mengintai’ aktiviti yang lain. Selain itu setiap kumpulan dan sub-kumpulan (misalnya dua persatuan besar di bawah tajuk perkerisan) akan diberikan kertas dan pen/pensil. Di situ mereka boleh memberikan :-
1. Maklum balas tentang acara, keberkesanan, kelemahan
2. Cadangan untuk penambahbaikan
3. Cadangan/buah fikiran/penyelesaian sesuatu masalah kepada pemerintah tertinggi negara untuk mendaulatkan agama, bangsa dan negara
Maklum balas dan cadangan akan diambil kira bersama isi terpilih pembentangan untuk dijadikan rumusan HIKMAH edisi sulung ini dan membentuk resolusi majlis. Insyaallah ia juga akan diangkat untuk pemerhatian orang atasan oleh pihak kami yang berkebolehan. Selain itu maklum balas dan cadangan akan diwar-warkan sekurang-kurangnya melalui blogspot saya sendiri, merahsilu.blogspot.com dan FB page HIKMAH.
OK. Cukuplah ini ya. Selepas solat Jumaat nanti, mungkin petang sikit saya akan meletakkan setiap tajuk/kumpulan sebagai satu update di page HIKMAH. Sesiapa yang mahu membuat pameran atau/dan berniaga sila tinggalkan nama, jenis perniagaan dan contact number di bawah tajuk pilihan. Sila berikan maklum balas.
Assalamualaikum saya sangat berminat untuk menjadi ahli dlam kumpulan ini.. bagaimana caranya. Terima kasih.
ReplyDeleteWassalam. Ini adalah kumpulan longgar. Like aje kat page HIKMAH... https://www.facebook.com/HimpunanKedaulatanMelayuIslamAkhirZamanhikmah?fref=ts
Delete