Alhamdulillah. Sukacita dimaklumkan acara ke 5 HIKMAH, acara yang diberi nama "HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu" atau HIKMAH V sudah berjaya dan selamat diadakan di Masjid Makmur Losong Dato' Amar, Kuala Terengganu 5-8 Jun iaitu minggu lalu. Sekarang bolehlah dimulakan cerita...
Rabu malam Khamis 5 Jun 2013, masuk waktu Maghrib, masuk juga 27 Rejab, malam Isra' dan Mi'raj, saya buat pertama kali sampai ke masjid tempat acara mahu diadakan. Masjid ini terletak kira-kira 500 meter dari Muzium Negeri Terengganu. Saya biasa ke kawasan berdekatan terutama Kampung Paloh di mana terdapat masjid dan makam wali besar Terengganu abad ke-19 Masihi iaitu Tokku Paloh juga ke Masjid Kristal dan Taman Tamadun Islam yang terletak tidak jauh dari sini. Tetapi saya baru tahu kewujudan masjid ini kira-kira 2 bulan lalu, apabila imam muda masjid, Ustaz Khairul Azhar menawarkan penggunaannya untuk acara.
Adapun saya bertolak dari rumah di Rawang, Selangor sebelum tengah hari bersama isteri membawa dua orang anak kecil kami lalu bertemu seorang rakan perempuan di Tol Gombak yang ingin ikut sama ke Terengganu membawa seorang anak. Tetapi berlaku satu insiden ketika kami singgah di makam seorang lagi wali besar sana tetapi untuk abad ke 17 iaitu Tokku Pulau Manis, 15 km dari Kuala Terengganu. Insiden ini menyebabkan saya harus meninggalkan mereka untuk ke masjid terlebih dahulu.
Apa yang berlaku adalah anak rakan kami tertinggal kunci keretanya di dalam kereta kemudian ia terkunci, langsung tidak dapat dibuka. Adapun kami sampai di makam sekitar 6.15 petang, hampir jam 7 masalah belum selesai sedangkan saya sebagai pengasas HIKMAH harus berada di Masjid Makmur jam 7.30. Tentunya rakan ini dan anaknya tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja. Nasib baik ada dua orang lelaki sebaya saya yang turut menziarahi makam sudi menolong. Mereka dapat menghubungi orang yang boleh membuka kunci, cuma perlu menunggu orang itu datang.
Nasib baik juga muncul beberapa orang lain yang ditakdirkan Allah sedia mengenali nama saya sebagai penulis buku juga pengasas HIKMAH melalui Internet. Mereka sudi menjaga isteri yang mahu menemani rakan menunggu tukang kunci datang sementara dua orang tadi menghantar saya ke Kuala Terengganu. Saya sampai ketika masuk raka'at kedua solat berjemaah Maghrib. Selepas solat saya terus mencari dan cuba menghubungi Ustaz Azhar tapi tak dapat.
Mengikut program asal, selepas solat Maghrib akan diadakan ceramah bertajuk "Isra' dan Mi'raj sebagai Petunjuk Dunia di Luar Matriks" oleh Ustaz Syed Nazmi bin Tuan Taufiq, qadhi Hulu Terengganu. Ia adalah satu tajuk yang telah saya pilih lebih sebulan lalu istimewa untuk malam Isra' dan Mi'raj dengan siri filem Hollywood terkenal Matrix mahu dijadikan alat perbandingan, Ustaz Azhar mencarikan penceramah. Namun sekitar 2 hari sebelum acara berlangsung tiba-tiba Syed Nazmi memberitahu tidak dapat datang kerana ada hal lain. Penceramah gantian pula tidak dapat diperolehi kerana ramai yang ada program malam Isra' dan Mi'raj.
Di atas kelihatan seorang lagi imam masjid memberikan ceramah. Ia bukanlah tentang Isra' dan Mi'raj tapi pengajian kitab yang dilakukan selang beberapa hari dan tidak termasuk dalam program HIKMAH V. Ketika ini saya terasa keliru. Ustaz Azhar tak dapat dihubungi, tiba-tiba ada ustaz lain yang saya tak tahu siapa memberikan ceramah. Ah. Apa sudah jadi pada atur cara HIKMAH V ni? Bayangkan kegelisahan saya ketika itu apalagi isteri dan rakannya yang ditinggalkan bersama anak-anak kami di makam Tok Pulau Manis yang agak gelap pada malam hari tidak dapat dihubungi.
Selepas solat Isyaq seorang ahli jawatankuasa masjid tampil ke hadapan untuk mengumumkan bahawa selepas ini akan dimulakan ceramah di bawah HIKMAH V. Alangkah leganya saya mendengar ini apalagi penceramah gantian tetapi untuk tajuk lain malam itu sudah ada bersama. Gambar ini diambil ketika saya sendiri tampil ke hadapan untuk memberikan sedikit pengenalan. Saya malah sempat memberikan kata-kata ringkas apa yang dimaksudkan dengan tajuk "Isra' dan Mi'raj sebagai Petunjuk Dunia di Luar Matriks" sebelum meminta penceramah gantian mengambil tempat.
Sungguh ini semua aturan Allah dan Qada' Qadarnya jua. Penceramah ini, Puan Norbaini Hassan sebenarnya dijadualkan membentang pada pagi Khamis. Tapi entah kenapa beliau boleh terlupa lalu datang dengan pesawat ke Terengganu hari Selasa dengan tiket kembali ke Kuala Lumpur pagi Khamis. Beliau menyangkakan pembentangannya harus dibuat pagi Rabu! Kebetulan ketika itu kami sudah mendapat tahu Ustaz Syed Nazmi yang patut memberikan pembentangan bertajuk "Isra' dan Mi'raj sebagai Petunjuk Dunia di Luar Matriks" tidak dapat datang. Puan Norbaini pun diminta mengisi ruang, pada mulanya selepas Maghrib tetapi dialih ke selepas Isyaq.
Menariknya sejurus sebelum beliau tampil membuka bicara, Ustaz Azhar yang tidak dapat saya hubungi sejak Maghrib pun muncul. Rupa-rupanya beliau ada tugasan di masjid lain Maghrib hingga Isyaq. Ketika itu juga isteri saya dan kawan serta anak-anak kami dapat dilihat di masjid. Alhamdulillah, mereka sampai dengan selamat malah sudah siap mandi bertukar pakaian cantik, tumpang bersiap di rumah seorang kenalan baru berdekatan makam Tok Pulau Manis...
OK. Tajuk tentatif pembentangan yang saya beri untuk ditangani Puan Norbaini adalah "Aplikasi Dinar dan Dirham sebagai Wadah Pendaulatan Islam Sedunia". Ini kerana sejak acara pertama HIKMAH lagi subjek dinar dirham telah diperkatakan pada setiap acara dan kini saya mahu agar cara praktikal diperkenalkan supaya ummah senang menggunakan matawang dinar dirham yang diketahui adalah satu cara utama mahu menaikkan ekonomi Islam selain mengelakkan riba'. Puan Norbaini memilih untuk memperkenalkan tajuk sendiri "Pasar Terbuka Masjid". Ia dibuat berdasarkan pengalaman peribadi beliau mengusahakan penggunaan dinar dirham di beberapa tempat.
Tu dia. Malam itu kami bercakap tentang dinar dan dirham sedangkan ia malam Isra' dan Mi'raj. Puan Norbaini yang pernah menjadi orang penting dalam institusi perbankan termasuk di Bank Negara boleh sahaja bercakap tentang hal-hal besar seperti import eksport antara negara menggunakan dinar dan dirham. Tapi beliau tahu buat masa ini ia tidak praktikal kerana halangan besar yang terpaksa dihadapi melawan gerakan perbankan antarabangsa (international bankers) dan para kapitalis besar dengan tangan-tangan ghaib Yahudi Laknatullah yang sentiasa mahukan dunia tertipu dengan penggunaan wang kertas dan sistem riba' mengendalikan dunia di belakang tabir. Oleh itu disarankan agar diwujudkan pasar kecil di masjid-masjid di mana matawang dinar dan dirham dijadikan alat utama untuk berjual-beli. Jangan tunggu pemimpin negara mengisytiharkan penggunaan dinar dirham (yang tentu akan dilawan dengan kuat oleh pihak berkepentingan) sebaliknya mulakan ia secara kecil-kecilan di tempat sendiri.
Itulah antara misi HIKMAH. Kami tidak mahu bercakap berdegar-degar melepasi langit ke tujuh tetapi apa yang dicakap tidak mampu dicapai mahupun dipraktikkan. Alhamdulillah apa yang disampaikan mendapat perhatian ramai. Sesungguhnya jarang sekali perkara seperti dinar dirham ini dibincangkan dan diperkatakan dalam masjid sedangkan ia adalah alat sangat penting untuk memartabatkan ummah.
Sesungguhnya ini adalah satu kelainan yang diatur Allah.
Kebiasaannya, pada malam Isra' dan Mi'raj tentu ceramah utama di masjid-masjid adalah berkenaan peristiwa di mana Nabi Muhammad SAW menaiki kenderaan berbentuk binatang buraq dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa kemudian ke atas melepas langit demi langit hingga ke hadirat Allah SWT bukan?
Tetapi itulah HIKMAH. Bukan peristiwa hebat seperti Isra' dan Mi'raj sahaja boleh mengangkat ummah. Untuk zaman sekarang, untuk menghadapi fitnah akhir zaman, dinar dan dirham adalah satu alat yang tidak boleh ditinggalkan. Dipersembahkan pada malam Isra' dan Mi'raj, semoga ia dapat mengangkat kita umat Islam sekarang zahir dan bathin, dunia dan akhirat.
Nah. Beginilah keadaan saya datang ke acara HIKMAH kali ini, setelah mengalami satu kemalangan penghujung bulan April (lihat artikel
Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot di
blogspot CATATAN SI MERAH SILU). Kemudian baru saya dapat tahu kecederaan yang dialami adalah lebih serius dari yang disangka. Tulang atas buku lali luar kaki kanan bukan sekadar retak di dua tempat tetapi retak itu bersambung membentuk
spiral atau lingkaran memanjang ke atas. Selain itu buku lali dalam juga retak sedangkan ligamen atau tulang/otot lembut yang memegang dua tulang kaki berdekatan buku lali koyak hampir putus. Namun dahulu saya fikir dengan memakai simen sambil mendapat perkhidmatan bomoh patah sudah cukup untuk memulihkan keadaan.
Selepas sebulan kecederaan lalu dibuat x-ray ternyata tulang yang tumbuh tidak cantik kedudukan dan tidak sekata. Kalau dibiarkan saya tidak akan dapat berjalan dengan elok selain risiko cepat kena
athritis dan mungkin sentiasa sakit bisa-bisa kaki. Nak tak nak kaki harus dibedah dan dimasukkan besi. Tulang yang sudah tumbuh ada yang harus dipecahkan sebelum dibetulkan kedudukan lalu diikat dengan plet sepanjang 3-4 inci yang dimasukkan beberapa skru kecil. Selain itu kaki saya juga perlu diikat dengan 4 skru besar.
Bayangkan, pembedahan dilakukan selepas Zuhur hari Khamis 30 Jun sedangkan seminggu kemudian saya harus berada di Terengganu untuk menjayakan HIKMAH. Bukan dekat wooo hendak ke Kuala Terengganu, naik kereta tak kurang 6 jam, perjalanan 460 km dari Lembah Klang. Nasib baik saya dibenarkan keluar hospital hari Sabtu. Nasib baik isteri sanggup memandu sendiri begitu jauh sambil saya pula berbaring di belakang. Sambil itu beliau harus menjaga dua orang anak, semua barangan beliau yang angkat!
Alhamdulillah, Allah berikan kami kekuatan untuk sampai dan menjayakan majlis. Oh, jubah yang saya pakai ini dibeli di Madinah semasa ziarah dan umrah yang kami buat 1-12 April. Lihat artikel
Ziarah dan umrah 2013 - Dari mula sampai ke tamat.... Songkok pula adalah dari Tanah Bugis, dibeli semasa kami di sana 3-12 Mei, satu perjalanan yang dibuat dalam keadaan kaki kanan saya disimen separuh hingga ke peha akibat kecederaan yang dialami 10 hari sebelum bertolak. Lihat
Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Satu pengenalan pagi Jumaat.
Adapun sejak keluar dari hospital saya mengalami masalah kaki terasa sakit berdenyut-denyut setiap kali ia diletakkan ke bawah. Untuk mengurangkan ini saya harus meletakkan kaki atas paras pinggang, letak le atas kerusi ke apa. Tapi dengan kuasa Allah, pada malam Isra' dan Mi'raj di Masjid Makmur itu saya tidak terasa sakit langsung (ketika majlis saya banyak duduk bersila dengan kaki kanan terlunjur ke hadapan)... hinggalah hampir tengah malam apabila masuk ke rumah penginapan, baru ia terasa kembali... :].
No comments:
Post a Comment