Terbitnya HIKMAH



Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.

HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.

Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.


------------------------

Nota : (ditulis malam Jumaat 25 Julai 2013 bersamaan 17 Ramadhan 1434, malam Nuzul Quran).

Adapun penulisan pengenalan di atas dibuat ketika HIKMAH sedang bersedia untuk mengadakan acara keduanya iaitu di Melaka 25 Nov 2012. Selepas itu acara ketiga telah diadakan di Lumut, Perak 27 Jan 2013, keempat di Kandis, Bachok, Kelantan 16 Mac diikuti kelima di Kuala Terengganu 5-8 Jun. Selepas acara pertama di Shah Alam 4 Nov 2012 pengasas HIKMAH iaitu saudara Radzi Sapiee bercadang cuma akan membuat satu sahaja lagi acara iaitu pada hujung tahun. Itupun untuk memenuhi janji kerana Datuk Seri Ali Rustam pernah mengisytiharkan HIKMAH Melaka sebagai acara tahunan ketika beliau masih Ketua Menteri.

Tulisan tambahan 25 Julai 2013 dibuat dalam keadaan agak mencabar, ketika acara ke-5 HIKMAH di Terengganu tinggal 2 minggu sahaja lagi untuk berlangsung. Ketika itu Radzi perlu berehat menanti penyembuhan kecederaan kaki yang agak teruk akibat jatuh tergelincir 23 April. Beliau juga ingin kembali pada satu usaha penulisan buku yang tergendala setahun lalu.


Nota lagi : Ditulis selepas HIKMAH Terengganu selamat dilangsungkan 5-8 Jun...

HIKMAH Terengganu dilangsungkan dalam keadaan Radzi baru seminggu menerima pembedahan masuk besi dalam kaki sambil memperbetulkan hal pertumbuhan tulang tidak sekata yang berlaku dalam tempoh sebelum lebih sebelum itu. Selepas itu. pada kala beliau dijangka memakan masa lagi 6 minggu untuk sembuh timbul permintaan baru yang membuat beliau terasa harus memenuhinya. Ketika itu pihak kami sedang bersiap-sedia untuk mengadakan acara keenam di Shah Alam 7 September merangkap sambutan hari raya. Sambil itu ada pihak di utara meminta untuk menjadi penganjur acara ketujuh lalu kami mencadangkan agar ia dibuat minggu ketiga bulan Oktober. Pihak tersebut ingin menaja segala kos dan meminta agar ia diadakan selama 3 hari.

Begitulah kami di HIKMAH. Siapa sangka acara yang asalnya mahu diadakan sekali sahaja iaitu pada 4 November 2012 boleh bercambah menjadi satu siri jelajah yang ditunggu-tunggu umat Melayu dan Islam serata Malaysia malah dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia? Untuk melihat atau menelaah apa yang telah dibuat HIKMAH sila klik pautan berikut...



















Video sekitar acara sulung kami,
"Suai Kenal HIKMAH"
di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012
bersamaan 19 Zulhijjah 1433 Hijrah















Video acara lain HIKMAH boleh dilihat di sini...






Notis (dibuat 3 Disember 2015) : Mulai hari ini tak perlulah dikongsikan video juga pautan selain untuk 10 acara terawal HIKMAH. Begitu juga gambar-gambar di sidebar kanan dan senarai tajuk-tajuk pembentangan di bahagian bawah blogspot. Untuk mengikuti cerita tentang acara-acara HIKMAH selepas itu cukuplah melalui pautan sebelum paparan video atas. Kecuali kalau ada orang lain sanggup buatkan...


Wednesday, February 10, 2016

HIKMAH Janda Baik - Ahlul Bait Nabi Muhammad SAW sebagai sarana keselamatan ummah

Salam semua. Setelah berehat 2 hari daripada menulis baru terasa nak sambung cerita. Masuklah cerita ke-4 tentang acara daripada saya. Bersambung HIKMAH Janda Baik - Gema Maulud yang tak disangka, pembukaan yang sangat memberangsangkan.



Sekitar jam 12.10 tengah hari sesi pembentangan pun dimulakan, lewat hampir sejam berbanding apa yang dijadualkan.



Tajuk yang dibuka adalah "Ahlul Bait Rasulullah SAW : Sarana Keselamatan Ummah".



Pembentangnya adalah Puan Tun Suzana Othman, pengasas dan pengerusi Kemudi (Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam).  Umum lebih mengenali beliau sebagai penulis buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu".



Ikut jadual asal beliau harus membentang selepas saya sendiri membuka sesi pembentangan tengah hari Sabtu  merangkap sesi pembentangan pertama HIKMAH ke-16 dengan tajuk "Daripada Demokrasi ke Pemerintahan Beraja : Peralihan Rahman ke Rahim".



Namun seperti disebut dalam artikel HIKMAH Janda Baik - Gema Maulud yang tak disangka, pembukaan yang sangat memberangsangkan, acara dimulakan lebih sejam lewat daripada yang dijadualkan kerana menunggu cukup ramai orang muncul...



Kalau mahu saya boleh membetulkan kembali penggunaan masa dengan memendekkan sesi Maulud juga pembukaan/perasmian. Jika atur cara asal Maulud jam 9-10 pagi diikuti pembukaan 10-11 menganggu sesi seterusnya akibat dimulakan jam 10.15,  saya boleh memberhentikan Maulud pada jam 10.45 misalnya lalu diikuti pembukaan 10.45-11.15. Kemudian sesi seterusnya iaitu pembentangan yang asalnya dijadualkan bermula 11.15 samada boleh diteruskan tanpa rehat atau dianjak sedikit lewat supaya bermula 11.30. 

Tetapi saya merasakan pembentangan saya sendiri tidak begitu penting berbanding kehebatan gema Maulud yang muncul secara spontan seperti sudah diceritakan panjang lebar dalama artikel HIKMAH Janda Baik - Gema Maulud yang tak disangka, pembukaan yang sangat memberangsangkan. Biarlah ia berlangsung sampai hadirin betul-betul puas atau kumpulan Haqqani Maulud Ensemble yang memimpin sesi sendiri rasa perlu berehat. Saya yakin dengan aturan yang Allah SWT telah turunkan. Lagipun sebagai ketua majlis merangkap pengacara spontan, apa yang mahu dibentangkan boleh sahaja  saya nyatakan pada kelapangan yang lain.




Sungguh, aturan Allah SWT mengatasi segalanya. Kumpulan Haqqani sendiri menamatkan sesi sekitar jam 11.05 pagi lalu pembukaan dimulakan. dengan ucapan alu-aluan oleh pemilik premis/rumah iaitu penulis buku politik terkenal Pak Habib @ S.H.Alattas. Ini diikuti ucapan oleh saya sebagai pengasas dan presiden HIKMAH kemudian ucapan perasmian oleh tokoh akademik, Profesor Dato' Dr Othman Yatim. Perasmian dimetrai dengan persembahan silat oleh perguruan Silat Hamboran Rimao Puteh dan ini selesai sekitar jam 12.01.



Melihat-lihat sekeliling sambil pembentangan oleh Tun Suzana berkumandang di udara...



Dengan tamatnya sesi pembentangan/perasmian jam 12.01 maka sebetulnya ada sedikit masa untuk saya membentang kerana menurut jadual asal saya harus menangani tajuk "Daripada Demokrasi ke Pemerintahan Beraja : Peralihan Rahman ke Rahim" jam 11.15-12.15.



Sekali lagi, dah jadual daripada Allah SWT nampaknya. Ketika saya bersedia untuk memulakan pembentangan Tun Suzana yang datang lewat baru sampai ke rumah Pak Habib. Lalu saya ambil ini sebagai isyarat tak perlulah saya membentang. Biar diberikan terus kepada beliau. Tun Suzana pun bersetuju. Selepas mengambil sedikit nafas rehat beliau naik ke pentas.



Sambil itu para pelajar agama dan tahfiz yang telah memeriahkan sesi Maulud seronok melihat dan mencuba pelbagai perkara yang ada di lokasi.



Mereka nampaknya paling seronok dengan aktiviti memanah sunnah iaitu memanah menggunakan peralatan tradisional seperti pernah diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW.



Lapangan memanah dikendalikan oleh penganjur bersama HIKMAH Janda Baik iaitu jemaah Armada Malaiu Malaysia. Pada ketika gambar diambil, ahli Haqqani Maulud Ensemble juga beberapa kawan pemanah yang bermarkas di Janda Baik sedang menunjukkan cara memanah yang betul lalu diikuti oleh para pelajar (dan juga kakitangan) maahad.




Kembali ke khemah untuk mengikuti pembentangan lebih dekat...













Adapun Tun Suzana sudah beberapa kali membentang secara sukarela pada acara-acara HIKMAH. Pertama kali adalah pada acara ke-3 yang diadakan di Lumut 27 Januari 2013, setelah lebih 2 tahun begitu beliau menetap di Hadramaut, Yaman untuk mendalami ilmu agama. Lihat artikel lama HIKMAH III - Pengisian ilmu buat bekalan perjuangan syumul. Tajuk yang dibawa ketika itu adalah "Ahlul Bayt Rasulullah SAW & Warisan Melayu".

Pada acara ke-7 HIKMAH yang diadakan di Melaka 30 November 2013, Tun Suzana membawa tajuk "Zuriat Nabi SAW dan Islam di Nusantara : Sejarah, Hijrah dan Hikmah". Cuma kali itu beliau dibantu menantunya Ustaz Mohd Iqbal yang kini sudah menjadi seorang pendakwah terkenal. Lihat HIKMAH VII di Melaka - Dari DNA Melayu ke Ahlul Bait dan hukum-hakam.

Pada acara ke-11 di Pagoh, Muar beliau membawa tajuk "Raja Temenggung Muar : Satu kaitan Aceh, Melaka lama dan beberapa kesultanan sekarang". Lihat HIKMAH Pagoh 8 Nov - Kaitan Aceh-Muar dan visi kerajaan Islam ideal. Secara rata semua tajuk yang dibawa beliau melibatkan Ahlul Bait iaitu keluarga dan keturunan Nabi Muhammad SAW. Raja Temenggung Muar yang disebut di Pagoh itu juga dipercayai berasal daripada satu cabang Ahlul Bait.




Untuk acara ke-16 saya meminta beliau mengenengahkan lagi subjek atau perkara yang beliau sudah cukup arif malah dikenali ramai kerananya tetapi dalam konteks yang lebih urgent untuk menghadapi keadaan semasa. Maka itu saya berikan tajuk "Ahlul Bait Nabi Muhammad SAW sebagai sarana keselamatan ummah" sesuai dengan tema acara HIKMAH kali ini iaitu "Menangani Cabaran Akhir Zaman". Untuk itu Tun Suzana terasa perlu untuk bercerita panjang lebar dahulu tentang apa itu Melayu. Beliau mengambil kira beberapa faktor yang telah didedahkan kepada umum dalam tempoh 2-3 tahun kebelakangan.

Saya fikir apa yang dikongsikan oleh beliau tentang Melayu boleh dirujuk melalui beberapa artikel yang pernah ditulis dalam blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Lihat artikel-artikel berikut :-


Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Ke Arah Pencerahan yang Dinantikan..





Hal Melayu perlu disebut secara panjang lebar kerana ramai ulamak kini percaya kebangkitan Islam akhir zaman yang disebut Nabi Muhammad SAW sebagai bermula dari sebelah Timur itu merujuk kepada Alam Melayu/Nusantara/Asia Tenggara. Tentang Ahlul Bait sebagai sarana keselamatan ummah, dipercayai dan diyakini juga kebangkitan sebenar akan dipimpin oleh tokoh-tokoh keturunan Nabi Muhammad SAW. Dan bumi sebelah sini memiliki ramai tokoh seperti itu...




Berjalan-jalan lagi ke merata tempat sambil mendengar pembentangan...
















Menarik apabila difikirkan pembentangan Tun Suzana ini adalah kali ke-4 pada acara HIKMAH. Sedangkan ini adalah kali ke-4 acara HIKMAH diadakan di sebuah rumah. Sebelum ini acara ke-4, ke-8 dan ke-12 pernah dilaksanakan di rumah. Lihat artrikel-artikel berikut :-











Keadaan sekitar waktu rehat makan tengah hari/solat Zuhur. Pembentangan tamat sekitar 1.20 lalu dihadirin diundang makan.




Sarapan, makan tengah hari dan minum petang dikendalikan oleh penganjur bersama acara, Armada Malaiu Malaysia. Di sini biar dirakamkan ucapan tahniah dan terima kasih saya juga ramai pihak kepada mereka kerana dapat mengendalikan keperluan peserta dengan jayanya...



Menarik untuk difikirkan bahawa Tun Suzana telah 4 kali membawa tajuk-tajuk melibatkan Ahlul Bait pada acara-acara HIKMAH. Sedangkan Ahlu Bait itu daripada segi bahasa bermaksud "Ahli Rumah".






Menarik lagi apabila difikirkan pembentangan tentang peranan Ahlul Bait kali ini dibuat pada acara ke-16 HIKMAH. 16 adalah 4 x 4. Ini adalah kali ke-4 HIKMAH dibuat di rumah. Dan tanpa dirancang mahupun disedari sebelum ini ada selang 4 bagi setiap acara di rumah (acara ke-4 diikuti ke-8, ke-12 dan kini ke-16). 



Maka jadilah 4 x 4 = 16 itu sangat berkaitan dengan keadaan semasa. Acara ke-16 HIKMAH membuka kalendar kami untuk tahun 2016 sedangkan pada asalnya kami tidak bercadang untuk membuat apa-apa acara pun bagi tahun ini. Lihat penjelasan dalam artikel HIKMAH Janda Baik di rumah Pak Habib 30-31 Januari 2016.



Dalam pengertian khusus, Ahlul Bait merujuk kepada keturunan Nabi Muhammad SAW melalui cucu-cucu laki-laki baginda, Saidina Hassan dan Saidina Hussein. Pembentangan Tun Suzana dilakukan selepas berlaku sesi Maulud hebat yang tak disangka diikuti pembukaan/perasmian. Acara berlaku di rumah Syed Hussein Al-Attas yang diketahui sebagai seorang keturunan Nabi Muhammad SAW. Ah. Ini semua bukan sekadar kebetulan. Memang ada sesuatu yang berkaitan dengan tajuk "Ahlul Bait Nabi Muhammad SAW sebagai sarana keselamatan ummah"



Saya dan isteri bergambar bersama Prof Othman (tengah), Pak Habib (dua dari kiri) dan Ustaz Halim daripada Khazanah Fathaniyah. (paling kiri). Sesungguhnya banyak perkara tersirat berlaku di sebalik yang tersurat untuk difikirkan oleh mereka yang mampu mengambil iktibar dan hikmah. Insyaallah... :]


1 comment:

  1. Biduk lalu kiambang bertaut
    Kiambang layu tak kurang pun daun
    Kelak tahu sayang bersambut
    Sayang melayu tak hilang berkurun..

    Keris bersilang sarung dipinggang
    Masak rebung pucuklah ubi
    Waris berjuang orang berulang
    Gerak bertulang rusuk dan hati..

    Kalau benar bagai ditelah
    Air mengalir menjadi rendah
    Kalau salah bagai disejarah
    Biar Akhir menjadi HIKMAH..

    Khas untuk semua Melayu..

    Pantun ialah
    4×2 pembayang tersirat
    4×2 penyampai tersurat
    8+8 = 16
    4×4 = 16

    ReplyDelete

PERKONGSIAN ILMU YANG TELAH DIBUAT HIKMAH SETAKAT INI

Ramai sudah sedia maklum bagaimana HIKMAH menggabungkan persembahan silat, budaya, pameran koleksi keris malah sesi berkuda juga memanah untuk memeriahkan acara. Namun teras utama acara tetap perkongsian ilmu yang dibuat dalam bentuk pembentangan seperti seminar sebelum diikuti sesi berkumpulan. Dengan ini biar dikongsikan tajuk-tajuk kertas kerja yang telah dibuat setakat ini...

“Suai Kenal HIKMAH” atau HIKMAH I di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Perlembagaan Negara dan Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja – Mohd Faizal Ahmad, peguambela dan peguamcara


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


4. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


5. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


6. Ragam Hias Gunungan Mihrab dan Mimbar di Alam Melayu – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan Idris


7. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


8. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


9. Keris ke arah Penyatuan Alam Melayu – Khairul Azhar Abdul Karim, YDP Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur


10. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


11. Dari Srivijaya ke Batu Bersurat Terengganu : Perjalanan Melayu Merentas Zaman Menggamit Peranan – Mohd Syukri Embong, YDP Persatuan Belia Waja Watan




“Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” atau HIKMAH II di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 November 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


3. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


4. Ragam Hias Gunungan Mihrab di Acheh dan Tanah Melayu (1600-1900) – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan


5. Busana tradisional Melayu sebagai Lambang Jiwa Merdeka – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


6. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Ancaman Terhadap Situs Bersejarah Kerajaan Lama Lamuri : Usaha untuk Memperkasakan sejarah Aceh yang hilang Melalui Pemeliharaan Makam-makam - wakil dari badan NGO Mapesa (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh)


9. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


10. Panji-panji hitam dari Timur : Peranan bangsa Melayu Akhir Zaman – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh


“HIKMAH Berselawat : Menjejak Pendekar, Ahlul Bayt dan Mendaulat Sultan di tanah Gangga Negara” atau HIKMAH III di Marina Hall, Lumut 27 Januari 2013


1. Alter Terahsia Melayu – Srikandi, pengkaji sejarah Melayu dan seorang penulis blog yang agak misteri tetapi diminati ramai terutama melalui blog Mistisfiles


2. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Ahlul Bayt Rasulullah SAW & Warisan Melayu – Tun Suzana Othman, penulis buku tentang Ahlul Bait dan raja-raja Melayu juga ulamak silam


4. Siapakah itu Melayu? – Tuan Haji Halim Bashah, penulis, pengumpul koleksi sejarah negeri Kelantan, wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan


5. Ahlul Bayt sebagai Perisai Agama,Bangsa dan Negara - Habib Abu Aswad ibn Zakaria Al-Kubra, mudir Madrasah Ahbabul Mustafa, Kelantan


6. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Sajak Melayu – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


9. Kebangkitan Panji-panji Hitam Melalui Pembatalan Sihir Perjanjian Pangkor - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”

HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013


1. Motif Langkasuka Dalam Kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR


2. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Abd Arif, calon PhD seni UPSI


3. 'Seni Khat Melayu': Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


4. Sejarah dan Tempat-tempat Signifikan di Kelantan : Langkasuka, Empayar Chermin hingga ke Zaman Raja K'Umar – Mohammad Iddham, Kelab Pencinta Sejarah Kelantan


5. Sejarah Kelantan Membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan Kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong


6. Sheikh Ahmad al-Fathoni dan para Ulamak Pantai Timur : Kenapa Kelantan dipanggil Bumi Serambi Mekah? - Ustaz Zaidi Hassan dari Masjid Salor, Pasir Mas, Kelantan


7. Apa yang Perlu dilakukan untuk Menjayakan Perjuangan Dinar Dirham dan Muamalatnya : Peranan HIKMAH dan Kaitan dengan Cap Mohor Diraja - Ustaz Muhammad Hassan Zaid bin Ramli dari As-Saff Madani Islamic City


8. Praktik Dinar dan Dirham untuk Kesultanan dan Umat Melayu – Mazli Alias dari kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


9. Dari Langkasuka ke Serambi Mekah : Kedaulatan Melayu dan Islam – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH


“HIKMAH Isra’ dan Mi’raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu” atau HIKMAH V di Masjid Makmur Losong, Kuala Terengganu 5-8 Jun 2013


1. Aplikasi Dinar dan Dirham sebagai Wadah Pendaulatan Islam sedunia : Pasar Terbuka Masjid - Puan Norbaini Hassan, Perunding Dinar & Dirham


2. Hubungan Syarif Al-Baghdadi dan Tok Pulau Manis dengan Islam di Nusantara - Fokus Salasilah Tok Syeikh Pulau Manis - Cikgu Najib Badruddin, Pengkaji sejarah dan waris Tok Pulau Manis dari Kelantan


3. Antara Muhammad al-Baghdadi dan Muhammad Nafs al-Zakiyah : Pengalaman Peribadi Menjejak Makna hingga ke Terengganu - Radzi Sapiee, pengasas dan presiden HIKMAH


4. Dinar dan Dirham dan Kesultanan Masa Kini – Umar Azmon Amir Hassan, Penggiat Dinar dn Dirham kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


5. Tasawuf, Tamadun Melayu dan Khilafat Uthmaniyyah – Halit Osmanli An-Naqsyabandi, Sheikh tariqat Naqsyabandiah-Haqqani


6. TokKu Paloh dari aspek Sosiologi Ekonomi Masyarakat - Razi Yaakob, Pensyarah UnisZa (Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu)


7. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 -Mohd Zahamri Nizar, Aktivis seni rupa Melayu


8. Jejak dan Legasi Tok Ku Paloh dan Keluarga - Dr Syed Lutfi bin Syed Umar, Pensyarah Unisza


9. Batu Bersurat Terengganu, Mesej untuk Umat Akhir Zaman - Rashid Hamat, Ketua Bahagian Sejarah, Muzium Negeri Terengganu


HIKMAH Merdeka Raya atau HIKMAH VI di Galeri Shah Alam 7 September 2013


1. Hasil kerja seni sebagai Wadah Memartabatkan Melayu dan Islam - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


2. Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya – Puan Zaharah Sulaiman, penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu - Shamsul Yunos, bekas wartawan Malay Mail dan aktivis media bebas


4. Pernyataan HIKMAH Melaka sebagai blue print kebangkitan Ummah - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH

Festival Ketamadunan Dan Adat Istiadat Melayu Mukmin Nusantara atau HIKMAH VII di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 November 2013


1. Zuriat Nabi SAW dan Islam di Nusantara : Sejarah, Hijrah dan Hikmah - Tun Suzana Othman, penulis buku“Ahlul Bait dan Raja-Raja Melayu” dan Ustaz Mohd Iqbal Parjin dari KEMUDI ((Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam)


2. Fiqh al Adat Muhakkamah dalam Hikayat Raja-raja Melayu oleh Farha Muhammad - Nur Shazwani Sadzali dari Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan



Rumahku Syurgaku @ HIKMAH VIII di Baitul Hikmah, Sungai Buaya, Rawang, Selangor 8 Februari 2014


1. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 oleh Mohd Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu


2. Ruang Mihrab Rumah Rasulullah SAW dan Perkaitannya dengan Falsafah Gunungan bersumberkan Al-Quran oleh Puan Harleny Abd Arif, pengkaji dan calon PhD seni UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris)

Mutiara HIKMAH @ HIKMAH IX di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Februari 2014


1. Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang - Roslan Saadon dari NGO Peradaban


2. Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu - Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos, wartawan dan aktivis media bebas


4. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


5. Ancaman terhadap Akidah Umat Islam - Sheikh Raja Aman bin Raja Mokhtar, pemimpin Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah

HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda @ HIKMAH X di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014



1. Pengenalan HIKMAH – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


2. Sahibul Hikayat Bustanus Salatin - Muammar Farisi dari SILA (Sejarah Indatu Lemuria Aceh)


3. Pelestarian Situs Sejarah dan Budaya di Aceh - Teuku Zulkarnaian dari Dinas Budaya dan Parawisata (Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan) Aceh, juga Raja Nagan, raja bagi negeri kecil Nagan di bawah Aceh Darussalam.