Terbitnya HIKMAH



Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.

HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.

Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.


------------------------

Nota : (ditulis malam Jumaat 25 Julai 2013 bersamaan 17 Ramadhan 1434, malam Nuzul Quran).

Adapun penulisan pengenalan di atas dibuat ketika HIKMAH sedang bersedia untuk mengadakan acara keduanya iaitu di Melaka 25 Nov 2012. Selepas itu acara ketiga telah diadakan di Lumut, Perak 27 Jan 2013, keempat di Kandis, Bachok, Kelantan 16 Mac diikuti kelima di Kuala Terengganu 5-8 Jun. Selepas acara pertama di Shah Alam 4 Nov 2012 pengasas HIKMAH iaitu saudara Radzi Sapiee bercadang cuma akan membuat satu sahaja lagi acara iaitu pada hujung tahun. Itupun untuk memenuhi janji kerana Datuk Seri Ali Rustam pernah mengisytiharkan HIKMAH Melaka sebagai acara tahunan ketika beliau masih Ketua Menteri.

Tulisan tambahan 25 Julai 2013 dibuat dalam keadaan agak mencabar, ketika acara ke-5 HIKMAH di Terengganu tinggal 2 minggu sahaja lagi untuk berlangsung. Ketika itu Radzi perlu berehat menanti penyembuhan kecederaan kaki yang agak teruk akibat jatuh tergelincir 23 April. Beliau juga ingin kembali pada satu usaha penulisan buku yang tergendala setahun lalu.


Nota lagi : Ditulis selepas HIKMAH Terengganu selamat dilangsungkan 5-8 Jun...

HIKMAH Terengganu dilangsungkan dalam keadaan Radzi baru seminggu menerima pembedahan masuk besi dalam kaki sambil memperbetulkan hal pertumbuhan tulang tidak sekata yang berlaku dalam tempoh sebelum lebih sebelum itu. Selepas itu. pada kala beliau dijangka memakan masa lagi 6 minggu untuk sembuh timbul permintaan baru yang membuat beliau terasa harus memenuhinya. Ketika itu pihak kami sedang bersiap-sedia untuk mengadakan acara keenam di Shah Alam 7 September merangkap sambutan hari raya. Sambil itu ada pihak di utara meminta untuk menjadi penganjur acara ketujuh lalu kami mencadangkan agar ia dibuat minggu ketiga bulan Oktober. Pihak tersebut ingin menaja segala kos dan meminta agar ia diadakan selama 3 hari.

Begitulah kami di HIKMAH. Siapa sangka acara yang asalnya mahu diadakan sekali sahaja iaitu pada 4 November 2012 boleh bercambah menjadi satu siri jelajah yang ditunggu-tunggu umat Melayu dan Islam serata Malaysia malah dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia? Untuk melihat atau menelaah apa yang telah dibuat HIKMAH sila klik pautan berikut...



















Video sekitar acara sulung kami,
"Suai Kenal HIKMAH"
di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012
bersamaan 19 Zulhijjah 1433 Hijrah















Video acara lain HIKMAH boleh dilihat di sini...






Notis (dibuat 3 Disember 2015) : Mulai hari ini tak perlulah dikongsikan video juga pautan selain untuk 10 acara terawal HIKMAH. Begitu juga gambar-gambar di sidebar kanan dan senarai tajuk-tajuk pembentangan di bahagian bawah blogspot. Untuk mengikuti cerita tentang acara-acara HIKMAH selepas itu cukuplah melalui pautan sebelum paparan video atas. Kecuali kalau ada orang lain sanggup buatkan...


Sunday, February 7, 2016

HIKMAH Janda Baik - Gema Maulud yang tak disangka, pembukaan yang sangat memberangsangkan

Cerita ke-3 tentang acara daripada saya. Bersambung daripada HIKMAH Janda Baik - Mukadimah awal pagi Sabtu,



Hampir jam 9.30 pagi baru kehadiran peserta kelihatan cukup memberangsangkan.




Sudah disebut dalam artikel HIKMAH Janda Baik - Mukadimah awal pagi Sabtubahawa mengikut atur cara, peserta dijangka datang bermula jam 8 pagi. Sedangkan acara mahu dimulakan dengan Maulud jam 9. Sekarang dah jam 9.30. Baru nampak macam acara boleh bergerak. Takkan nak mulakan majlis dengan setakat 30-40 orang? Nak mulakan Maulud pun kumpulan yang diminta membawanya baru sahaja sampai...



Tak mengapa. Kami sudah biasa memulakan acara sehingga lebih sejam lewat daripada apa yang dijadualkan. Jadi, walaupun kehadiran selepas jam 9,30 sudah cukup ramai untuk memulakan majlis saya membiarkan lagi sehingga lebih ramai datang. Lagipun ketika itu saya sendiri belum bertukar pakaian. Saya masih perlu memastikan beberapa perkara lancar sebelum sendiri dapat bersiap...



Hampir jam 10.15 baru majlis betul-betul dapat dimulakan.



Ketika itu sejumlah pelajar agama dan tahfiz daripada sekolah berdekatan sudah muncul untuk memeriahkan acara. 



Maulud dimulakan oleh satu kumpulan yang dibawa oleh seorang kawan lama saya saudara Zafir Zakaria. Mereka ini adalah sebahagian daripada kumpulan Haqqani Maulud Ensemble, dahulunya di bawah selian almarhum Sheikh Raja Ashman, adinda kepada Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak sekarang. Kumpulan ini pernah bermain di merata pentas keliling Malaysia dan luar negara, beberapa kali di istana Sultan Perak, pernah juga di istana Sultan Brunei kalau tak salah. Kebetulan Zafir menetap di Janda Baik, rumahnya sekitar 6 km sahaja dari rumah Pak Habib. Dia pun membawa sejumlah kawan/ahli kumpulan yang turut menetap di kawasan kampung di pergunungan Banjaran Titiwangsa ini.



Para pelajar agama dan tahfiz pula datang dari Maahad An-Noer yang terletak cuma sekitar 300 meter daripada rumah Pak Habib. Saya diberitahu Maahad tersebut baru mendapat rupa baru yang sangat menyegarkan di bawah pimpinan ulamak terkenal dari Indonesia, Sheikh Nuruddin al-Banjari bulan September tahun lepas. Lihat artikel Looking at Maahad An-Noer in Janda Baik di blogspot BERPETUALANG KE ACEH



Sungguh, alunan Maulud, Salawat dan Qasidah yang terhasil daripada gabungan kumpulan Haqqani dengan para pelajar (mereka disebut sebagai santri, panggilan untuk pelajar sekolah agama tradisional di Indonesia) sangat sangat memberangsangkan, menyentuh hati, jiwa dan menaikkan semangat. Saya pun duduk sama di atas pentas diikuti beberapa orang peserta yang datang berbusana tradisional Melayu penuh.



Tim dokumentari Daulah Melayu turut membuat penggambaran. Untuk pengetahuan saya adalah hos dan penyelidik bagi tim ini. Lihat artikel Menjayakan projek dokumentari Daulah Melayu di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.



Cuma mereka yang berada sama di situ sahaja dapat merasakan betapa hebatnya majlis Maulud yang berlaku pagi itu. Entah berapa orang sahaja yang tahu ia hampir-hampir tak menjadi. Entah berapa orang sedar bahawa kehebatan yang muncul memang langsung tidak dirancang. Sekarang barulah boleh dibuka cerita di sebalik apa yang berlaku...



Adapun rancangan untuk mengadakan Maulud pada acara ke-16 HIKMAH ini telah disuarakan oleh pemilik tempat/rumah iaitu penulis buku politik terkenal, Pak Habib @ S.H.Alattas, dalam pertemuan yang sama dia meminta saya mengadakan acara HIKMAH di tempatnya iaitu pada 3 Januari lalu. Lihat artikel HIKMAH Janda Baik di rumah Pak Habib 30-31 Januari 2016. Beliau memberitahu akan mengundang mana-mana Habaib (ulamak berketurunan Nabi Muhammad SAW) untuk memimpin majlis. Saya percaya ini kerana Pak Habib sendiri berasal daripada keluarga tersebut. Datuknya Syed Hassan al-Attas pernah menjadi mufti negeri Pahang kemudian Johor awal abad ke-19. Saya tahu rumah beliau juga sering dikunjungi para Habaib lalu diadakan Maulud. 

Dan lagi, sekurang-kurangnya seorang anak beliau mampu memimpin majlis. Saya diberitahu (bukan oleh Pak Habib) seorang lagi anak beliau boleh membawa Qasidah dengan baik. Atas kepercayaan ini saya pun meninggalkan hal Maulud 100 peratus kepada beliau. Biar saya sendiri memberikan penumpuan kepada perkara-perkara lain terutama pengisian untuk sesi-sesi pembentangan ilmu bagi majlis yang Pak Habib minta agar berlangsung selama 2 hari...



OK. Sambil bercerita ini biar ditunjukkan juga gambar-gambar yang diambil ketika saya meninjau keadaan sekeliling sambil Maulud sedang berjalan...



Maka saya pun membiarkan sahaja Pak Habib mengatur siapakah yang akan memimpin Maulud dan bagaimana ia mahu dilaksanakan. Cukuplah sekadar dapat memenuhi jadual yang saya atur iaitu Maulud harus berlangsung pagi Sabtu 30 Januari jam 9-10... sebelum pembukaan yang mengandungi kata-kata aluan daripada Pak Habib sebagai tuan rumah, saya sebagai pengasas dan presiden HIKMAH diikuti tokoh akademik , Profesor Dato' Dr Othman Yatim sebagai perasmi diadakan jam 10-11. Bila orang tanya siapa yang akan membawa Maulud saya cuma cakap Pak Habib akan membawa seorang Habaib yang sesuai untuk memimpin. Saya sendiri tak tahu siapa. Setakat menunggu apa yang Pak Habib dapat. 

Nak berhubung selalu dengan beliau saya segan kerana menghormati kedudukannya sebagai seorang penulis buku politik terkenal yang sering sibuk dengan penulisannya. Walaupun beliau ayah angkat saya ini tidak bermakna saya boleh suka-suka hati berhubung bertanyakan hal. Saya cukup faham kerana saya sendiri seorang penulis. Saya tidak suka diganggu kecuali kalau betul-betul ada hal penting. Anak-anak kandung Pak Habib pun bukan boleh senang-senang nak menghubunginya. Beliau sebagai orang lama yang berpendirian old school pula tidak suka menggunakan Internet lalu tidak dapat mengikuti perkembangan yang disajikan melalui blogspot dan Facebook, apa lagi memberikan atau menerima maklum balas cepat...



Masa pun berlalu tanpa saya tahu siapakah yang akan memimpin Maulud. Walhal ada seorang dua kawan bertanyakan khabar lalu menawarkan diri untuk menjayakan sesi. Saya jawab kena hormat pilihan Pak Habib sebagai tuan rumah. Dah masuk pagi Jumaat 29 Januari iaitu sehari sebelum majlis baru saya menalifon untuk mendapatkan kepastian siapakah yang akan memimpin majlis.



Alangkah terperanjatnya saya apabila beliau bertanya balik kepada saya, siapakah yang akan dibawa untuk memimpin Maulud. "Aku ingat engkau yang akan bawak orang!". Rupa-rupanya beliau terlupa kerana sibuk dengan projek penulisan buku baru. Allah! Tinggal sehari lagi sebelum majlis. Mana nak dapat orang?



Beberapa minit kemudian beliau menalifon saya lalu memberitahu tidak dapat mencari orang. Ini kerana semua orang termasuk anaknya sendiri, anak yang mampu membawa Maulud ada hal masing-masing pada tarikh dan masa yang dijadualkan. Beliau pun meminta agar saya menundakan Maulud ke penghujung acara iaitu lewat petang Ahad 31 Januari. Insyaallah boleh dapat orang untuk waktu itu katanya. 

Saya jawab tak boleh. Ini kerana dalam kalangan pembentang pun masing-masing ada kesibukan. Tak semua dapat muncul pada kedua-kedua hari malah duduk menghadiri majlis buat satu hari penuh pun ada yang tak boleh. Jadual telah diatur mengambil kira semua ini. Kalau diubah nanti semua orang boleh jadi kelam-kabut lalu ada pembentang tidak dapat menghadiri majlis. Saya cakap Maulud harus diadakan pada waktu yang ditetapkan juga. Biar saya cuba cari dahulu orang yang boleh memimpin...



Beberapa minit kemudian Allah SWT turunkan ilham. Saya teringat bahawa ada sahabat lama, si Zafir, ahli kumpulan Haqqani Maulud Ensemble memang menetap di Janda Baik. Saya pun terus menghubungi beliau bertanyakan jika dapat mengumpul orang untuk mengadakan Maulud. Saya cakap ini emergency disebabkan ada miscommunication antara saya dan Pak Habib.

Beliau bersetuju malah memberikan jaminan akan muncul pada waktunya. Untuk memastikan agar sesi Maulud lebih meriah saya juga mengundang para pelajar Maahad An-Noer untuk bersama. Saya sendiri datang ke tempat mereka uhtuk membuat undangan sebaik sahaja sampai ke rumah Pak Habib malam sebelum majlis. Lihat HIKMAH Janda Baik - Menggamit keindahan malam sebelum acara. Kalau tak salah ingatan, saya masuk ke tempat mereka jam 10 malam.

Kebetulan ketika sampai kedengaran alunan Maulud dan Qasidah dari dalam sekolah. Rupa-rupanya para pelajar sedang membuat latihan di sebuah bangunan besar yang kelihatan seperti surau. Saya masuk ke dalam lalu menunggu mereka selesai. Saya terus berdiri apabila mereka meneruskan dengan tazkirah dan perbincangan. Setelah beberapa lama melihat saya begitu, baru saya dijemput untuk bercakap dengan ustaz muda dari Bogor, Indonesia yang sedang menjaga sekolah.




Pada ustaz muda itulah saya memanjangkan undangan agar kakitangan dan pelajr maahad hadir pada majlis Maulud di rumah Pak Habib jam 9 pagi Sabtu. Saya cuma memberitahu kepada beliau, para pelajar tidak mendengar. Pagi tersebut, apabila belum melihat kelibat mereka jam 9 saya sekali lagi datang ke Maahad untuk memastikan kehadiran. Ternyata mereka memang mahu ke majlis, cuma ada kelas pagi yang perlu diselesaikan. Ketika mahu keluar ke tempat merekalah saya terserempak dengan kumpulan Haqqani baru sampai. Mereka juga terlewat. Tak mengapalah. Yang penting dapat juga datang...



Pak Habib memberikan ucapan alu-aluan kepada semua selepas Maulud selesai. Ketika ini sudah jam 11.06, sudah lebih sejam lewat berbanding atur cara yang dirancang iaitu pembukaan yang mengandungi kata-kata aluan harus dibuat  jam 10-11. Jam 11-11.15 adalah rehat sebelum sesi pembentangan ilmu.



Sungguh, anak-anak muda, para pelajar agama dan tahfiz ini telah mengangkat martabat majlis ke satu tahap yang saya sendiri tidak pernah fikirkan. Walaupun saya tahu mereka mampu membawa alunan Maulud, Salawat dan Qasidah dengan baik, saya malu untuk meminta mereka berbuat begitu kerana tidak mampu memberikan apa-apa bayaran mahupun saguhati. Takkan le senang-senang nak mintak orang buat secara percuma ya tak? Kenal pun tidak, setakat baru berjumpa memanjangkan undangan lewat malam sebelumnya...



Siapa sangka mereka akan begitu seronok terlibat dalam sesi yang dipimpin oleh kumpulan Haqqani Maulud Ensemble? Pada awal majlis saya sebenarnya risau apabila ada beberapa orang pelajar tiba-tiba berdiri lalu meninggalkan pentas. Tak suka ke bagaimana fikir saya? Ada hal lain ke kena tinggalkan majlis? Rupa-rupanya mereka kembali ke sekolah untuk menarik lebih ramai pelajar datang. Bukan itu sahaja, mereka membawa alatan seperti gendang-gendang sendiri untuk menyerikan lagi Maulud...



Dipimpin oleh ustaz muda dari Bogor, mereka juga menyanyikan alunan Maulud sendiri. Antara para pelajar Maahad An-Noer dengan kumpulan Haqqani Maulud Ensemble muncul keserasian semulajadi lantaran cinta yang sama terhadap junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Mereka seperti saling sambut menyambut mengalunkan bait-bait pujian dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW. Kami para hadirin dan peserta lain cuma mengikut sambil sesekali tenggelam ke dalam kefana'an yang terbit akibat kehebatan hati-hati yang bertaut dalam kecintaan Rasul sambil mengharapkan limpahan kebaikan daripada Ilahi. Masyaallah!



Ini pula adalah Prof Othman Yatim memberikan kata-kata aluan sebelum merasmikan majlis. Antaranya beliau mengulangi apa yang telah saya nyatakan kepada umum juga kepada beliau bahawa ada sesuatu yang istimewa tentang penglibatannya dalam acara HIKMAH kali ini. Ini kerana Prof Othman pernah merasmikan acara pertama (ke-1) HIKMAH kemudian acara ke-6. Lihat artikel lama Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012 diikuti Acara keenam HIKMAH di Galeri Shah Alam 7 Sept 2013. Nah sekarang beliau merasmikan acara ke-16, gabungan nombor 1 dengan 6. Saya tak rancang ini namun ia terjadi. Nampak tak ada sesuatu?



Sebelum Prof Othman menaiki pentas, saya telah memberikan ucapan alu-aluan dengan sedikit pengenalan tentang HIKMAH. Tapi saya tidak  memiliki gambar diri sendiri berucap. Nasib baik ada yang mengambilnya namun biar dipersembahkan dalam satu artikel lain nanti, insyaallah.



Perasmian majlis ditambah seri dengan persembahan silat daripada perguruan Silat Hamboran Rimao Puteh...



Penyertaan mereka juga penyertaan beberapa perguruan lain untuk persembahan diatur oleh tuan Mass Kamal atau lebih dikenali sebagai Lang Indah, yang dipertua Armada Malaiu Malaysia. Untuk pengetahuan NGO warisan ini adalah pengajur bersama acara ke-16 HIKMAH.



Hadirin mengikuti persembahan daripada pelbagai sudut taman...









Persembahan dipimpin oleh guru Akmal. Untuk melihat lebih banyak gambar persembahan daripada pihak beliau sila masuk sini.


2 comments:

  1. Assalamualaikum. Maaf bertanya, maahad annoer ni tak ambil pelajar muslimat ye?

    ReplyDelete
  2. Wassalam. Rasanya tak sebab tak nampak pun pelajar perempuan. Kalau ada mungkin diasingkan di tempat lain...

    ReplyDelete

PERKONGSIAN ILMU YANG TELAH DIBUAT HIKMAH SETAKAT INI

Ramai sudah sedia maklum bagaimana HIKMAH menggabungkan persembahan silat, budaya, pameran koleksi keris malah sesi berkuda juga memanah untuk memeriahkan acara. Namun teras utama acara tetap perkongsian ilmu yang dibuat dalam bentuk pembentangan seperti seminar sebelum diikuti sesi berkumpulan. Dengan ini biar dikongsikan tajuk-tajuk kertas kerja yang telah dibuat setakat ini...

“Suai Kenal HIKMAH” atau HIKMAH I di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Perlembagaan Negara dan Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja – Mohd Faizal Ahmad, peguambela dan peguamcara


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


4. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


5. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


6. Ragam Hias Gunungan Mihrab dan Mimbar di Alam Melayu – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan Idris


7. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


8. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


9. Keris ke arah Penyatuan Alam Melayu – Khairul Azhar Abdul Karim, YDP Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur


10. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


11. Dari Srivijaya ke Batu Bersurat Terengganu : Perjalanan Melayu Merentas Zaman Menggamit Peranan – Mohd Syukri Embong, YDP Persatuan Belia Waja Watan




“Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” atau HIKMAH II di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 November 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


3. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


4. Ragam Hias Gunungan Mihrab di Acheh dan Tanah Melayu (1600-1900) – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan


5. Busana tradisional Melayu sebagai Lambang Jiwa Merdeka – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


6. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Ancaman Terhadap Situs Bersejarah Kerajaan Lama Lamuri : Usaha untuk Memperkasakan sejarah Aceh yang hilang Melalui Pemeliharaan Makam-makam - wakil dari badan NGO Mapesa (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh)


9. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


10. Panji-panji hitam dari Timur : Peranan bangsa Melayu Akhir Zaman – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh


“HIKMAH Berselawat : Menjejak Pendekar, Ahlul Bayt dan Mendaulat Sultan di tanah Gangga Negara” atau HIKMAH III di Marina Hall, Lumut 27 Januari 2013


1. Alter Terahsia Melayu – Srikandi, pengkaji sejarah Melayu dan seorang penulis blog yang agak misteri tetapi diminati ramai terutama melalui blog Mistisfiles


2. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Ahlul Bayt Rasulullah SAW & Warisan Melayu – Tun Suzana Othman, penulis buku tentang Ahlul Bait dan raja-raja Melayu juga ulamak silam


4. Siapakah itu Melayu? – Tuan Haji Halim Bashah, penulis, pengumpul koleksi sejarah negeri Kelantan, wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan


5. Ahlul Bayt sebagai Perisai Agama,Bangsa dan Negara - Habib Abu Aswad ibn Zakaria Al-Kubra, mudir Madrasah Ahbabul Mustafa, Kelantan


6. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Sajak Melayu – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


9. Kebangkitan Panji-panji Hitam Melalui Pembatalan Sihir Perjanjian Pangkor - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”

HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013


1. Motif Langkasuka Dalam Kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR


2. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Abd Arif, calon PhD seni UPSI


3. 'Seni Khat Melayu': Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


4. Sejarah dan Tempat-tempat Signifikan di Kelantan : Langkasuka, Empayar Chermin hingga ke Zaman Raja K'Umar – Mohammad Iddham, Kelab Pencinta Sejarah Kelantan


5. Sejarah Kelantan Membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan Kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong


6. Sheikh Ahmad al-Fathoni dan para Ulamak Pantai Timur : Kenapa Kelantan dipanggil Bumi Serambi Mekah? - Ustaz Zaidi Hassan dari Masjid Salor, Pasir Mas, Kelantan


7. Apa yang Perlu dilakukan untuk Menjayakan Perjuangan Dinar Dirham dan Muamalatnya : Peranan HIKMAH dan Kaitan dengan Cap Mohor Diraja - Ustaz Muhammad Hassan Zaid bin Ramli dari As-Saff Madani Islamic City


8. Praktik Dinar dan Dirham untuk Kesultanan dan Umat Melayu – Mazli Alias dari kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


9. Dari Langkasuka ke Serambi Mekah : Kedaulatan Melayu dan Islam – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH


“HIKMAH Isra’ dan Mi’raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu” atau HIKMAH V di Masjid Makmur Losong, Kuala Terengganu 5-8 Jun 2013


1. Aplikasi Dinar dan Dirham sebagai Wadah Pendaulatan Islam sedunia : Pasar Terbuka Masjid - Puan Norbaini Hassan, Perunding Dinar & Dirham


2. Hubungan Syarif Al-Baghdadi dan Tok Pulau Manis dengan Islam di Nusantara - Fokus Salasilah Tok Syeikh Pulau Manis - Cikgu Najib Badruddin, Pengkaji sejarah dan waris Tok Pulau Manis dari Kelantan


3. Antara Muhammad al-Baghdadi dan Muhammad Nafs al-Zakiyah : Pengalaman Peribadi Menjejak Makna hingga ke Terengganu - Radzi Sapiee, pengasas dan presiden HIKMAH


4. Dinar dan Dirham dan Kesultanan Masa Kini – Umar Azmon Amir Hassan, Penggiat Dinar dn Dirham kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


5. Tasawuf, Tamadun Melayu dan Khilafat Uthmaniyyah – Halit Osmanli An-Naqsyabandi, Sheikh tariqat Naqsyabandiah-Haqqani


6. TokKu Paloh dari aspek Sosiologi Ekonomi Masyarakat - Razi Yaakob, Pensyarah UnisZa (Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu)


7. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 -Mohd Zahamri Nizar, Aktivis seni rupa Melayu


8. Jejak dan Legasi Tok Ku Paloh dan Keluarga - Dr Syed Lutfi bin Syed Umar, Pensyarah Unisza


9. Batu Bersurat Terengganu, Mesej untuk Umat Akhir Zaman - Rashid Hamat, Ketua Bahagian Sejarah, Muzium Negeri Terengganu


HIKMAH Merdeka Raya atau HIKMAH VI di Galeri Shah Alam 7 September 2013


1. Hasil kerja seni sebagai Wadah Memartabatkan Melayu dan Islam - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


2. Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya – Puan Zaharah Sulaiman, penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu - Shamsul Yunos, bekas wartawan Malay Mail dan aktivis media bebas


4. Pernyataan HIKMAH Melaka sebagai blue print kebangkitan Ummah - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH

Festival Ketamadunan Dan Adat Istiadat Melayu Mukmin Nusantara atau HIKMAH VII di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 November 2013


1. Zuriat Nabi SAW dan Islam di Nusantara : Sejarah, Hijrah dan Hikmah - Tun Suzana Othman, penulis buku“Ahlul Bait dan Raja-Raja Melayu” dan Ustaz Mohd Iqbal Parjin dari KEMUDI ((Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam)


2. Fiqh al Adat Muhakkamah dalam Hikayat Raja-raja Melayu oleh Farha Muhammad - Nur Shazwani Sadzali dari Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan



Rumahku Syurgaku @ HIKMAH VIII di Baitul Hikmah, Sungai Buaya, Rawang, Selangor 8 Februari 2014


1. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 oleh Mohd Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu


2. Ruang Mihrab Rumah Rasulullah SAW dan Perkaitannya dengan Falsafah Gunungan bersumberkan Al-Quran oleh Puan Harleny Abd Arif, pengkaji dan calon PhD seni UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris)

Mutiara HIKMAH @ HIKMAH IX di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Februari 2014


1. Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang - Roslan Saadon dari NGO Peradaban


2. Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu - Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos, wartawan dan aktivis media bebas


4. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


5. Ancaman terhadap Akidah Umat Islam - Sheikh Raja Aman bin Raja Mokhtar, pemimpin Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah

HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda @ HIKMAH X di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014



1. Pengenalan HIKMAH – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


2. Sahibul Hikayat Bustanus Salatin - Muammar Farisi dari SILA (Sejarah Indatu Lemuria Aceh)


3. Pelestarian Situs Sejarah dan Budaya di Aceh - Teuku Zulkarnaian dari Dinas Budaya dan Parawisata (Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan) Aceh, juga Raja Nagan, raja bagi negeri kecil Nagan di bawah Aceh Darussalam.