Terbitnya HIKMAH



Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.

HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.

Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.


------------------------

Nota : (ditulis malam Jumaat 25 Julai 2013 bersamaan 17 Ramadhan 1434, malam Nuzul Quran).

Adapun penulisan pengenalan di atas dibuat ketika HIKMAH sedang bersedia untuk mengadakan acara keduanya iaitu di Melaka 25 Nov 2012. Selepas itu acara ketiga telah diadakan di Lumut, Perak 27 Jan 2013, keempat di Kandis, Bachok, Kelantan 16 Mac diikuti kelima di Kuala Terengganu 5-8 Jun. Selepas acara pertama di Shah Alam 4 Nov 2012 pengasas HIKMAH iaitu saudara Radzi Sapiee bercadang cuma akan membuat satu sahaja lagi acara iaitu pada hujung tahun. Itupun untuk memenuhi janji kerana Datuk Seri Ali Rustam pernah mengisytiharkan HIKMAH Melaka sebagai acara tahunan ketika beliau masih Ketua Menteri.

Tulisan tambahan 25 Julai 2013 dibuat dalam keadaan agak mencabar, ketika acara ke-5 HIKMAH di Terengganu tinggal 2 minggu sahaja lagi untuk berlangsung. Ketika itu Radzi perlu berehat menanti penyembuhan kecederaan kaki yang agak teruk akibat jatuh tergelincir 23 April. Beliau juga ingin kembali pada satu usaha penulisan buku yang tergendala setahun lalu.


Nota lagi : Ditulis selepas HIKMAH Terengganu selamat dilangsungkan 5-8 Jun...

HIKMAH Terengganu dilangsungkan dalam keadaan Radzi baru seminggu menerima pembedahan masuk besi dalam kaki sambil memperbetulkan hal pertumbuhan tulang tidak sekata yang berlaku dalam tempoh sebelum lebih sebelum itu. Selepas itu. pada kala beliau dijangka memakan masa lagi 6 minggu untuk sembuh timbul permintaan baru yang membuat beliau terasa harus memenuhinya. Ketika itu pihak kami sedang bersiap-sedia untuk mengadakan acara keenam di Shah Alam 7 September merangkap sambutan hari raya. Sambil itu ada pihak di utara meminta untuk menjadi penganjur acara ketujuh lalu kami mencadangkan agar ia dibuat minggu ketiga bulan Oktober. Pihak tersebut ingin menaja segala kos dan meminta agar ia diadakan selama 3 hari.

Begitulah kami di HIKMAH. Siapa sangka acara yang asalnya mahu diadakan sekali sahaja iaitu pada 4 November 2012 boleh bercambah menjadi satu siri jelajah yang ditunggu-tunggu umat Melayu dan Islam serata Malaysia malah dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia? Untuk melihat atau menelaah apa yang telah dibuat HIKMAH sila klik pautan berikut...



















Video sekitar acara sulung kami,
"Suai Kenal HIKMAH"
di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012
bersamaan 19 Zulhijjah 1433 Hijrah















Video acara lain HIKMAH boleh dilihat di sini...






Notis (dibuat 3 Disember 2015) : Mulai hari ini tak perlulah dikongsikan video juga pautan selain untuk 10 acara terawal HIKMAH. Begitu juga gambar-gambar di sidebar kanan dan senarai tajuk-tajuk pembentangan di bahagian bawah blogspot. Untuk mengikuti cerita tentang acara-acara HIKMAH selepas itu cukuplah melalui pautan sebelum paparan video atas. Kecuali kalau ada orang lain sanggup buatkan...


Wednesday, October 31, 2012

Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)

Kita mulakan proses berkongsi artikel HIKMAH daripada blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Artikel pertama... dibuat 13/10/12.



-------------------------



Hmm. Ingatkan nak sambung siri "Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan" masuk hari kedua. Tapi bila difikirkan harus menyediakan sekitar 10 artikel sokongan atau lebih terlebih dahulu untuk itu, saya rasa buat hari lainlah. Hari ini saya mahu berkongsi satu perkembangan baru menarik yang tidak dirancang. Mari...




Pembaca setia blogspot ini mungkin ingat 3 bulan lalu saya ada membuat ceramah ilmu di Muzium Negara, Kuala Lumpur atas jemputan Jabatan Muzium Negara Malaysia. Lihat artikel Ceramah "Batu Nesan Aceh" di Muzium Negara. Namun ia adalah ceramah tertutup untuk kakitangan muzium sahaja. Lalu ada kawan-kawan dan pembaca blogspot bertanya jika boleh diadakan acara serupa yang mana sesiapa sahaja boleh datang mendengarnya.

Isteri pun mencadangkan agar berhubung dengan satu badan sejarah yang katanya selalu membuat program perkongsian ilmu di mana orang luar yang ada bahan boleh menjalankan seminar di premis mereka. Dia sendiri sering berhubung dengan seorang kakitangan badan tersebut. Kakitangan itu meminta kami agar memanjangkan cadangan kepada pegawai atasannya. Beberapa hari lepas saya pun menghantar e-mail kepada pegawai itu.

Esoknya saya menelefon untuk memperkenalkan diri, menceritakan sedikit tentang cadangan kemudian meminta dia memeriksa e-mail. Kedengaran pegawai itu agak ramah dan berfikiran terbuka. Dua hari lepas baru saya mendapat balasan. Selain menyebut "Minta maaf takwim badan tahun ini amat padat" saya terasa jawaban keseluruhan pada e-mailnya seperti acuh tak acuh. Nampaknya cadangan saya seperti langsung tidak dipandangnya.

Saya terus berkata kepada isteri : "Kalau begini tak mahu Abang berhubung dengan badan ini lagi. Macamlah kita ni nak minta sedekah". Kemudian baru saya menambah : "Kalau Abang nak berhubung dengan mereka pun rasanya terus cakap dengan pengerusilah." Bila difikirkan kembali tak eloklah kalau memutuskan hubungan hanya kerana merasa terkilan. Lagipun ada juga orang-orang kuat badan ini yang merupakan kenalan baik saya. Dan mereka juga mahu memperjuangkan kebenaran sejarah Melayu dan Islam.

Rupa-rupanya isteri terus merancang sesuatu. Setelah menghubungi beberapa lagi badan siang semalam lalu mendapati premis perlu disewa kalau mahu membuat aktiviti (badan awal tadi menawarkan premis percuma, insyaallah dengan makan minum ditampung untuk hadirin sekali jika aktiviti diterima) dia menelefon pula rakan baik kami yang merupakan seorang VVIP yang banyak berjuang menaikkan kedudukan orang Melayu di sebalik tabir. Apabila diberitahu kami mahu menjalankan aktivti perbincangan/pembentangan sejarah Melayu Islam dia terus menawarkan beberapa premis yang berada di bawah pengawasan beliau. Dia mencadangkan agar diambil satu premis yang boleh muat 200 orang ke atas di Shah Alam. Isteri pun memberitahu saya tentang tawaran ini. 

Saya fikir elok juga orang dah bagi peluang untuk berkongsi ilmu. Tapi kalau setakat ilmu saya sahaja yang tak seberapa rasa rugilah dipakai satu premis yang boleh menampung agak ramai orang. Saya ada rakan-rakan dan kenalan yang aktif berbincang di Internet terutama di Facebook tentang sejarah Melayu Islam. Ada di antara mereka adalah aktivis tegar silat dan budaya yang suka memakai busana atau berpakaian penuh Melayu cara bangsawan lama setiap kali berpeluang. Apa kata digabungkan semua mereka dalam satu perhimpunan? Antara banyak ahli group atau kumpulan perbincangan di Internet pula ada yang cuma pernah berhubung di Internet, belum berkesempatan bertemu muka secara fizikal. Kan elok kalau majlis ilmu ini dijadikan tempat bersilaturrahim berhadapan secara nyata?

Setelah memikirkannya dalam-dalam saya pun bertindak hampir jam 11 malam semalam dengan membuka sebuah page FB. Sebelum itu saya sudah memikirkan tajuk untuk perhimpunan, tajuk yang boleh dipakai terus menjadi identiti satu badan. Saya terkenang perhimpunan penggiat-penggiat dan peminat ilmu Sufi dan Tasawuf yang diadakan di Shah Alam setengah tahun lalu di mana saya dijemput menceritakan sedikit tentang buku tulisan saya. Lihat artikel Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh. Perhimpunan itu diberi nama Himpunan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HARUM) 2012. Saya fikir elok juga majlis ilmu yang saya cadangkan diberi nama hampir serupa.

Gerak hati saya menyebut "Himpunan Kedaulatan Melayu Islam". Gerak hati seterusnya menambah biarlah singkatannya menjadi HIKMAH. Tapi "Himpunan Kedaulatan Melayu Islam" tidak ada huruf "h" untuk menjadi pelengkap kepada singkatan HIKMAH. Timbul pula ilham, tambahlah perkataan "Akhir Zaman". Kan dah "h"? Jadilah ia "Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)". :]

Nama inipun diberikan kepada page FB lalu diwar-warkan. Alhamdulillah dalam masa yang singkat ia sudah mendapat maklum balas yang memberangsangkan. Cuma majlis ilmu atau perhimpunan belum ditentukan bila. Siang tadi isteri telah menghubungi rakan VVIP kami untuk menyatakan perkembangan. Antara perkara yang dibincangkan adalah tarikh yang sesuai kerana premis yang dicadangkan sering digunakan untuk aktiviti pelbagai kumpulan. Namun VVIP yang teringin hendak bercakap dengan saya itu menyatakan program kami akan menjadi keutamaan.

Selepas Zuhur saya pun menghubunginya. Kali terakhir kami berjumpa adalah tahun 2008. VVIP ini amat teruja apabila mendapat tahu tajuk majlis/badan adalah "Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)". Katanya ada beberapa pihak/badan di bawah pengawasannya juga pihak istana memang sudah lama tercari satu program yang sesuai tentang Melayu dan Islam. Katanya lagi tajuk dan aktiviti ini boleh dipanjangkan kepada pihak istana. "Kita boleh buat perhimpunan secara besar-besaran di Istana Melawati dengan sokongan sultan. Dan ini boleh diteruskan menjadi aktiviti mingguan tak pun bulanan terus-menerus di tempat-tempat lain".

Menarik memang menarik tapi saya rasa terlalu awal dan bercita-cita besar. Walaupun VVIP ini memang mampu menaikkan majlis ilmu yang dirancang ke peringkat itu saya rasa biarlah berpada-pada. Jawab saya : "Dato', kita buat sahaja yang kecil dahulu ini dan lihat sambutannya. Selepas itu baru buat di istana dan tempat lain".

Dengan ini saya ingin mewar-warkan premis yang ditawarkan adalah Pusat Belia di Seksyen 7, Shah Alam. Tarikh yang dicadangkan adalah hari Ahad 4 November 2012 iaitu hujung minggu selepas Hari Raya Haji. Program mungkin dijalankan 9 pagi hingga 1 tengah hari, mungkin juga dipanjangkan sehingga ke petang kalau cukup bahan yang sesuai untuk dikongsikan. Semua pengkaji/peminat sejarah Melayu dan Islam dijemput datang. Sesiapa yang ada bahan kajian/ kertas kerja dialu-alukan.

Nak pamer koleksi keris dan baju tradisional pun boleh malah apa-apa asalkan kena-mengena dengan sejarah Melayu dan Islam. Penyertaan adalah percuma. Ingat ini adalah aktiviti sukarela demi memartabatkan kedaulatan bangsa dan agama tanpa mengira latar belakang politik kita. Dalam hal ini biarlah kita mengambil contoh bangsa Cina. Tidak kira siapa pun yang memerintah, siapa pun yang mengaku berjuang bagi pihak mereka, kaum Cina tetap dapat 'menjolok' mana-mana pihak agar menyokong mereka mempertahankan budaya, bahasa juga sistem sekolah mereka. Sila klik pada badge di bawah....








p/s : Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan, hari ini 13/10/2012 genaplah umur anak saya Muhammad Al-Aminul Rasyid 3 tahun, anak yang namanya telah lebih awal berkumandang dalam siri novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007), nama yang digunakan untuk menggantikan watak sebenar diri saya dalam cerita. :]


No comments:

Post a Comment

PERKONGSIAN ILMU YANG TELAH DIBUAT HIKMAH SETAKAT INI

Ramai sudah sedia maklum bagaimana HIKMAH menggabungkan persembahan silat, budaya, pameran koleksi keris malah sesi berkuda juga memanah untuk memeriahkan acara. Namun teras utama acara tetap perkongsian ilmu yang dibuat dalam bentuk pembentangan seperti seminar sebelum diikuti sesi berkumpulan. Dengan ini biar dikongsikan tajuk-tajuk kertas kerja yang telah dibuat setakat ini...

“Suai Kenal HIKMAH” atau HIKMAH I di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Perlembagaan Negara dan Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja – Mohd Faizal Ahmad, peguambela dan peguamcara


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


4. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


5. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


6. Ragam Hias Gunungan Mihrab dan Mimbar di Alam Melayu – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan Idris


7. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


8. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


9. Keris ke arah Penyatuan Alam Melayu – Khairul Azhar Abdul Karim, YDP Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur


10. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


11. Dari Srivijaya ke Batu Bersurat Terengganu : Perjalanan Melayu Merentas Zaman Menggamit Peranan – Mohd Syukri Embong, YDP Persatuan Belia Waja Watan




“Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” atau HIKMAH II di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 November 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


3. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


4. Ragam Hias Gunungan Mihrab di Acheh dan Tanah Melayu (1600-1900) – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan


5. Busana tradisional Melayu sebagai Lambang Jiwa Merdeka – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


6. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Ancaman Terhadap Situs Bersejarah Kerajaan Lama Lamuri : Usaha untuk Memperkasakan sejarah Aceh yang hilang Melalui Pemeliharaan Makam-makam - wakil dari badan NGO Mapesa (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh)


9. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


10. Panji-panji hitam dari Timur : Peranan bangsa Melayu Akhir Zaman – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh


“HIKMAH Berselawat : Menjejak Pendekar, Ahlul Bayt dan Mendaulat Sultan di tanah Gangga Negara” atau HIKMAH III di Marina Hall, Lumut 27 Januari 2013


1. Alter Terahsia Melayu – Srikandi, pengkaji sejarah Melayu dan seorang penulis blog yang agak misteri tetapi diminati ramai terutama melalui blog Mistisfiles


2. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Ahlul Bayt Rasulullah SAW & Warisan Melayu – Tun Suzana Othman, penulis buku tentang Ahlul Bait dan raja-raja Melayu juga ulamak silam


4. Siapakah itu Melayu? – Tuan Haji Halim Bashah, penulis, pengumpul koleksi sejarah negeri Kelantan, wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan


5. Ahlul Bayt sebagai Perisai Agama,Bangsa dan Negara - Habib Abu Aswad ibn Zakaria Al-Kubra, mudir Madrasah Ahbabul Mustafa, Kelantan


6. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Sajak Melayu – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


9. Kebangkitan Panji-panji Hitam Melalui Pembatalan Sihir Perjanjian Pangkor - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”

HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013


1. Motif Langkasuka Dalam Kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR


2. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Abd Arif, calon PhD seni UPSI


3. 'Seni Khat Melayu': Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


4. Sejarah dan Tempat-tempat Signifikan di Kelantan : Langkasuka, Empayar Chermin hingga ke Zaman Raja K'Umar – Mohammad Iddham, Kelab Pencinta Sejarah Kelantan


5. Sejarah Kelantan Membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan Kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong


6. Sheikh Ahmad al-Fathoni dan para Ulamak Pantai Timur : Kenapa Kelantan dipanggil Bumi Serambi Mekah? - Ustaz Zaidi Hassan dari Masjid Salor, Pasir Mas, Kelantan


7. Apa yang Perlu dilakukan untuk Menjayakan Perjuangan Dinar Dirham dan Muamalatnya : Peranan HIKMAH dan Kaitan dengan Cap Mohor Diraja - Ustaz Muhammad Hassan Zaid bin Ramli dari As-Saff Madani Islamic City


8. Praktik Dinar dan Dirham untuk Kesultanan dan Umat Melayu – Mazli Alias dari kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


9. Dari Langkasuka ke Serambi Mekah : Kedaulatan Melayu dan Islam – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH


“HIKMAH Isra’ dan Mi’raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu” atau HIKMAH V di Masjid Makmur Losong, Kuala Terengganu 5-8 Jun 2013


1. Aplikasi Dinar dan Dirham sebagai Wadah Pendaulatan Islam sedunia : Pasar Terbuka Masjid - Puan Norbaini Hassan, Perunding Dinar & Dirham


2. Hubungan Syarif Al-Baghdadi dan Tok Pulau Manis dengan Islam di Nusantara - Fokus Salasilah Tok Syeikh Pulau Manis - Cikgu Najib Badruddin, Pengkaji sejarah dan waris Tok Pulau Manis dari Kelantan


3. Antara Muhammad al-Baghdadi dan Muhammad Nafs al-Zakiyah : Pengalaman Peribadi Menjejak Makna hingga ke Terengganu - Radzi Sapiee, pengasas dan presiden HIKMAH


4. Dinar dan Dirham dan Kesultanan Masa Kini – Umar Azmon Amir Hassan, Penggiat Dinar dn Dirham kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


5. Tasawuf, Tamadun Melayu dan Khilafat Uthmaniyyah – Halit Osmanli An-Naqsyabandi, Sheikh tariqat Naqsyabandiah-Haqqani


6. TokKu Paloh dari aspek Sosiologi Ekonomi Masyarakat - Razi Yaakob, Pensyarah UnisZa (Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu)


7. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 -Mohd Zahamri Nizar, Aktivis seni rupa Melayu


8. Jejak dan Legasi Tok Ku Paloh dan Keluarga - Dr Syed Lutfi bin Syed Umar, Pensyarah Unisza


9. Batu Bersurat Terengganu, Mesej untuk Umat Akhir Zaman - Rashid Hamat, Ketua Bahagian Sejarah, Muzium Negeri Terengganu


HIKMAH Merdeka Raya atau HIKMAH VI di Galeri Shah Alam 7 September 2013


1. Hasil kerja seni sebagai Wadah Memartabatkan Melayu dan Islam - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


2. Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya – Puan Zaharah Sulaiman, penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu - Shamsul Yunos, bekas wartawan Malay Mail dan aktivis media bebas


4. Pernyataan HIKMAH Melaka sebagai blue print kebangkitan Ummah - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH

Festival Ketamadunan Dan Adat Istiadat Melayu Mukmin Nusantara atau HIKMAH VII di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 November 2013


1. Zuriat Nabi SAW dan Islam di Nusantara : Sejarah, Hijrah dan Hikmah - Tun Suzana Othman, penulis buku“Ahlul Bait dan Raja-Raja Melayu” dan Ustaz Mohd Iqbal Parjin dari KEMUDI ((Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam)


2. Fiqh al Adat Muhakkamah dalam Hikayat Raja-raja Melayu oleh Farha Muhammad - Nur Shazwani Sadzali dari Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan



Rumahku Syurgaku @ HIKMAH VIII di Baitul Hikmah, Sungai Buaya, Rawang, Selangor 8 Februari 2014


1. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 oleh Mohd Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu


2. Ruang Mihrab Rumah Rasulullah SAW dan Perkaitannya dengan Falsafah Gunungan bersumberkan Al-Quran oleh Puan Harleny Abd Arif, pengkaji dan calon PhD seni UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris)

Mutiara HIKMAH @ HIKMAH IX di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Februari 2014


1. Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang - Roslan Saadon dari NGO Peradaban


2. Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu - Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos, wartawan dan aktivis media bebas


4. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


5. Ancaman terhadap Akidah Umat Islam - Sheikh Raja Aman bin Raja Mokhtar, pemimpin Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah

HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda @ HIKMAH X di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014



1. Pengenalan HIKMAH – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


2. Sahibul Hikayat Bustanus Salatin - Muammar Farisi dari SILA (Sejarah Indatu Lemuria Aceh)


3. Pelestarian Situs Sejarah dan Budaya di Aceh - Teuku Zulkarnaian dari Dinas Budaya dan Parawisata (Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan) Aceh, juga Raja Nagan, raja bagi negeri kecil Nagan di bawah Aceh Darussalam.