Salam pagi Jumaat ke-2 bulan Rejab 1441 Hijriah. Masuk pembentangan ke-2 pada acara ke-22 HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) 22 Februari 2020. Bersambung daripada artikel
Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia.
Pembentangan sesi pagi yang juga merupakan pembentangan ke-2 keseluruhan bagi acara diberi tajuk “Keris Sebagai Pakaian Peradaban Melayu”. Pembentangnya, Tengku Ahmad Ridhaudin adalah calon PhD di ISTAC dalam bidang pemikiran Islam khusus pada kajian keris. Beliau juga adalah presiden Persatuan Pelajar ISTAC (ISTACSS).
Beliau kini telah menghasilkan 5 tajuk buku tentang keris.
Bezanya dahulu ada digunakan slaid. Dan saya juga mendapati beberapa kelemahan hujah yang saya lihat wujud dalam pembentangan terdahulu telah diperbaiki dan diperkemaskan. Jika dahulu saya lihat terdapat beberapa lompatan mantiq hujah yang boleh menyebabkan pembentangan kedengaran terlalu taksub Melayu hingga hilang sifat saintifik yang boleh dipertanggungjawabkan, kini hujah-hujah yang digunakan untuk mengangkat teknologi besi yang dimiliki bangsa Melayu melalui pembuatan keris lebih teratur. Ia tidak lagi terasa begitu melulu meminta untuk dipercayai tanpa asas secukupnya yang boleh diterima orang selain Melayu.
Kali ini juga dipertunjukkan demonstrasi permainan keris berdasarkan kajian beliau bahawa permainan keris asli bukanlah menikam tetapi menghiris. Cara permainan ini dikatakan membawa kepada nama keris itu sendiri. Kedengaran ada logiknya daripada hiris membawa pada nama keris. Sedangkan perkataan hiris pula dikatakan timbul daripada bunyi yang kedengaran apabila melakukan perbuatan menghiris.
Selain daripada apa yang sudah saya kongsikan itu kata-kata Tengku Ahmad atau
update dalam Facebook beliau seminggu lalu iaitu seminggu selepas acara boleh dikatakan sama seperti dibentangkan ketika itu. Aturan atau ayat-ayat yang digunakan dalam tutur kata sebenar mungkin berbeza tetapi asas kandungannya tetap sama. Oleh itu biar dikongsikan di sini dengan sedikit suntingan...
----------------
Sebenarnya agak sukar menyusun ayat bagi memaknakan silat berkeris yang saya ingin kongsi dan sampaikan. Tesis saya ialah ramai orang bersilat tidak kenal keris dan ramai orang berkeris tidak kenal SILAT BERKERIS. Fenomena ini bermula seawal tahun 1823 Masihi apabila keris mula diharamkan dan ia pupus sekitar tahun 1970an setelah hampir 20 tahun Akta 357 (dalam undang-undang negara Malaysia) dibuat pada 1958. Walaupun dahulu keris dimaknakan sebagai pakaian peradaban, tetapi proses membuang keris dari jiwa Alam Melayu bermula pada tahun 1824 oleh Raffles dan Farquhar (dua orang pegawai atasan Inggeris) atas alasan keris adalah senjata amok (yang mengganggu proses penjajahan mereka).
Keris kemudian dijenamakan sebagai alat sihir oleh Skeat (penulis buku Malay Magic). Sejarah keris pula ditulis sebagai senjata orang-orang tidak bertamadun oleh pengkaji-pengkaji Barat seperti Gardner, William-Griffith. Ia dinyatakan sebagai senjata Hindu oleh Crawford, Marsden dan sebagainya. Dengan kekeliruan sejarah ini akhirnya Malaysia yang undang-undangnya dibuat oleh Anglophile (orang Asia yang suka bersikap, berpakaian dan berbahasa seperti orang Inggeris) meletakkan keris sebagai senjata terkawal.
Malah pemikiran penjajah/kolonial dan takrifan Orientalis ini telah mendasar dalam pemikiran orang Melayu. Paling menyebabkan bias atau pandangan berat sebelah adalah apabila orang silat sendiri menggunakan keris sebagai alat mengamok, alat masuk hantu, alat menjadi isim dan tidak siuman. Hal sebegini membawa kepada hilangnya peradaban asal keris sebagai pakaian yang dianjurkan di dalam al Quran. Al Anbiya:80
Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur?
- Al-Anbiyaa' 21:80
Apabila saya diberikan izin untuk membuka kembali seni lama ini, saya terpaksa berhadapan dengan dua pihak. Satu, pihak yang selama ini berpandangan keris adalah senjata bahaya yang perlu diharamkan, satu lagi pihak yang menganggap keris adalah senjata bahaya yang perlu dikawal. Maka secara adat kononnya ia perlu diikat, diterbalikkan, ditelungkup hingga hilang sifat keris dan hilang falsafah keris sebagai pakaian peradaban.
Dua pihak ini saling bantu membantu. Tanpa sedar mereka menjadi ejen-ejen penjajah yang menghilangkan ilmu peradaban keris yang sebenar. Oleh itu saya cuba menerangkan bahawa keris adalah warisan bangsa yang amat dalam maknanya bagi jati diri dan peradaban Melayu. Keris adalah alat tamadun agung yang telah disalah letak tempatnya. Ironinya, dalam kesungguhan orang Melayu berbusana, bersilat, dan memakai keris, mereka sendiri merosakkan sifat keris dan menjadikan diri mereka bahan ketawa para musuh Melayu yang sebenar.
Saya bawakan Silat Berkeris sebagai cara memelihara Warisan Bangsa yang hampir pupus. Ia kadang-kadang diajar tapi jarang-jarang dipertontonkan. Silat berkeris ingin mengembalikan semula iaitu menzahirkan kembali tapak asal dan langkah permainan keris yang selama ini dikelirukan oleh penjajah.
SILAT BERKERIS adalah cabang ilmu bela diri yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita sejak ribuan tahun dahulu untuk diwarisi menjadi pakaian dan amalan. SILAT BERKERIS bukan aliran baru. SILAT BERKERIS tidak tertakluk pada aliran dan perguruan. KERIS adalah pakaian seorang Melayu beradab. Tidak lengkap tanpa tahu SENI SILAT BERKERIS dan tidak sempurna ahli PERKERISAN tanpa tahu menggunakan keris yang disisip di pinggang hingga diterbalikkan dan diikat.
SILAT BERKERIS adalah pakaian dan pemikiran PERADABAN DAN TAMADUN MELAYU. Sewajarnya kita pesilat mengajak masyarakat di luar sana faham sifat dan nafsu berkeris bukan untuk amok dan menyerang curi dan bertikam tanpa sebab.
Orang yang tersisip keris di pinggang adalah orang yang sewajibnya menjaga amanah, mendaulatkan bangsa, menjaga keamanan dan kedamaian negara dan masyarakat, bukan orang yang ditakuti dan disahkan kebiadabannya sehingga perlu mengikat keris. Pada zaman dulu, hanya keris orang yang tidak dipercayai atau diragui sahaja yang diikat, diterbalikkan, dan ditelungkupkan. Keris orang yang dipercayai sentiasa terlentang di depan tanda mereka adalah golongan bangsawan dan beradab.
KERIS DAN SILAT adalah warisan dunia. Ia telah diangkat UNESCO sebagai warisan dunia pada tahun 2005 dan 2019. Tetapi sayang amalan dan fahaman keris kita mundur ke belakang. Oleh itu SENI SILAT BERKERIS adalah wadah untuk membawa kembali fahaman benar bahawa keris adalah pelengkap zahir dan batin Melayu.
Keris bukan ancaman. Buanglah keris jika ia adalah senjata bahaya pada ketamadunan. Diundang semua guru-guru dan persatuan silat, sahabat handai, rakan taulan dan kenalan untuk turut sama MENGAMBIL ILMU Silat Berkeris sebagai pakaian peradaban, bukan sebagai senjata terlungkup yang membawa mesej amok dan geruh.
No comments:
Post a Comment